Sempena Hari Polis ke-214, dua ekor anjing baka German Shepherd dari Unit K9 Johor telah diberikan anugerah kerana berjaya menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.
Menurut New Straits Times, anjing jantan berusia tiga tahun, Mailo dan Barny, itu telah membantu pasukan polis dalam mencari mayat, menyiasat kes rompakan dan mencari orang hilang.
Pada 25 Mac, Mailo dan Barny diberikan pingat Jasamu Dikenang oleh ketua polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam sidang media, Ayob memberitahu Malay Mail bahawa anjing-anjing itu telah berkhidmat dengan kontinjen polis Johor sejak dua tahun yang lalu, dan telah banyak memberi sumbangan kepada kontinjen mereka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhan.

Anugerah tersebut diterima oleh pelatih mereka, L / KPL K Thiru dan L / KPL Calvin Maluni, yang lemudian meletakkan pingat pada leher Mailo dan Barny.
Antara kejayaan yang dicapai oleh Mailo dan Barny ialah apabila mereka dapat mengesan mayat seorang wanita berusia 38 tahun di Kota Tinggi yang dibunuh oleh suaminya pada awal bulan ini.

Ayob memberitahu Kosmo!, “Mailo dan Barny juga berjaya membantu kami menyelesaikan kes pembunuhan seorang pesara polis, Su Kim Chiang, 57, dengan penemuan mayat yang dikebumikan di ‘kubur’ di Kahang Selatan, Kluang tahun lalu.”
Pelatih Barny, Calvin, mengatakan bahawa ini adalah anugerah pertama mereka sejak dia mula melatih Barny pada tahun 2019.

Menurut New Straits Times, Calvin mengatakan, “Kami memulakan latihan pada November 2019. Dia (Barny) ramah dan suka dimanjakan pada waktu lapang … tetapi di tempat kerja dia garang.”
Sementara itu, Mailo digambarkan sebagai seekor anjing yang sangat bekerjasama semasa bekerja.

“Melatih Mailo tidaklah sukar kerana suka dimanjakan dan patuh. Anjing tersebut juga menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan,” beritahu Thiru pula.
Mereka adalah antara 139 penerima Anugerah Ketua Polis Johor, yang disampaikan semasa Majlis Perhimpunan Hari Polis yang diadakan di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Selain itu seramai 27 pegawai dan anggota polis telah diberikan Anugerah Integriti dari Ketua Polis Negara (IGP).