Baru-baru gempar di media sosial apabila beberapa orang memuat naik video yang dirakam menunjukkan seperti ada suatu cahaya di langit. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kawasan Pasifik Barat Laut Amerika Syarikat pada malam Khamis lalu. Beberapa orang penduduk telah merakam kejadian tersebut dan memuat naik ke laman Twitter.
Ada antara netizen yang berpendapat bahawa cahaya tersebut berpunca daripada serpihan roket kerana berlakunya pelancaran roket angkasa baru-baru ini.
“Objek terang yang dilaporkan di langit adalah puing-puing dari roket Falcon 9 ke-2 yang tidak berjaya membuat pembakaran deorbit,” tulis laman web Perkhidmatan Cuaca Nasional (NSW) di Seattle.
Kenyataan NWS merujuk kepada tweet oleh Jonathan McDowell, pakar astrofizik di Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics, yang menyatakan bahawa cahaya tersebut sebenarnya berpunca daripada serpihan roket yang memasuki atmosfera bumi.
Menurut McDowell lagi, pelancaran Starlink pada 4 Mac lalu gagal membuat ‘pembakaran deorbit’ dan kini masuk semula ke bumi setelah 22 hari berada di orbit. Kemasukannya kembali dapat dilihat di kawasan Seattle pada sekitar 0400 UTC pada 26 Mac.
Selain itu, SpaceX pula melaporkan bahawa fasa pertama Falcon 9 telah mendarat pada hari Rabu di kawasan luar pesisir Florida.
“Pada hari Rabu, 24 Mac pukul 4:28 EDT, SpaceX melancarkan 60 satelit Starlink dari Space Launch Complex 40 (SLC-40) di Cape Canaveral Space Force Station di Florida,” tulis SpaceX di laman web mereka.
“Ini adalah pelancaran dan pendaratan keenam Falcon 9 fasa pada pertama ini, yang sebelumnya menyokong pelancaran GPS-III Space Vehicle 03, Turksat 5A, dan tiga misi Starlink. Separuh daripada pelancaran Falcon 9 menyokong misi Sentinel-6A dan yang lain menyokong misi Starlink sebelumnya.”
Cahaya pertama dilihat sekitar jam 9 malam dan tiada kesan yang berlaku di kawasan sekitar. Selain di Seattle, cahaya aneh tersebut turut dapat dilihat di sekitar Oregon dan Victoria, B.C.