29.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 14, 2025
Utama Blog Laman 362

Peserta Ratu Cantik Myanmar rayu bantuan antarabangsa segera campur tangan hentikan keganasan di negaranya

0

BANGKOK – Peserta Ratu Cantik Miss Grand International dari Myanmar dengan berani mengambil kesempatan dalam ucapannya apabila merayu bantuan antarabangsa untuk campur tangan dalam hal negaranya ketika kerajaan tentera terus menindas penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa bulan lalu yang kini telah mengorbankan lebih 100 orang awam tidak bersalah.

Pelajar Universiti Yangon, Han Lay membuat komen itu di pertandingan Miss Grand International yang diadakan di Bangkok, Thailand pada 27 Mac lalu. Ketika beliau mengeluarkan kenyataan itu, sekurang-kurangnya 114 orang telah terbunuh dalam hari malang paling berdarah sejak rampasan kuasa junta tentera pada 1 Februari.

Han Lay tanpa bersembunyi melahirkan rasa simpati dalam satu wawancara video publisiti yang disiarkan pada minggu lalu dan turut lantang di laman Instagramnya, yang menunjukkan meme dan gambar gerakan protes di tanah airnya. Tidak mengejutkan apabila melihat peserta di pertandingan ratu cantik antarabangsa ini menggunakan acara tersebut untuk mengkritik pemimpin negaranya sendiri.

Miss Grand International / Gambar AP

“Saya sangat simpati dengan mereka yang kehilangan nyawa di jalanan. Setiap warganegara di dunia menginginkan kemakmuran dalam negara mereka dan persekitaran yang damai. Untuk berbuat demikian, para pemimpin yang terlibat tidak boleh menyalah guna kuasa dan bertindak mementingkan diri sendiri ketika memerintah negara,” katanya.

“Hari ini di negara saya, Myanmar, ketika saya berada di atas pentas, ramai orang yang sedang terkorban, lebih 100 orang yang telah terkorban hari ini. Saya sangat bersimpati dan bersedih terhadap semua orang awam yang kehilangan nyawa,” luahnya sambil berhenti seketika menahan linangan air mata.

“Saya ingin katakan di sini, tolong bantu Myanmar. Kami perlukan bantuan antarabangsa dengan segera sekarang,” rayu Han Lay.

Pertumpahan darah pada 27 Mac di Myanmar menimbulkan kecaman antarabangsa, baik menerusi misi diplomatik di Myanmar bahkan dari luar negara.

Gambar AP

Beberapa warga Myanmar berprofil tinggi telah menggunakan platform antarabangsa untuk mengkritik rampasan kuasa dan junta baru yang memerintah negara itu.

Beberapa warga Myanmar di luar negara yang berpaling tadah menyatakan taat setia mereka kepada kerajaan alternatif yang diisytiharkan, yang mana ahli parlimen yang terpilih dalam pilihan raya tidak diizinkan untuk menduduki Parlimen selepas tentera bertindak merampas kuasa.

Kyaw Moe Tun, wakil Myanmar di PBB yang juga telah berpaling tadah dengan menyatakan kesetiaan baharunya dalam sesi rasmi badan dunia itu, sambil memberikan simbol hormat tiga jari tanda menyokong gerakan protes di akhir ucapannya.

Di Myanmar, selebriti dari dunia hiburan dan peragaan turut menyatakan sokongan terhadap protes jalanan sebelum kerajaan junta melancarkan tindak balas keganasan bagi menghentikan penunjuk perasaan.

Instagram

Pada bulan lalu kerajaan junta mengeluarkan waran tangkap ke atas beberapa pelakon dan pengarah terkenal yang secara terbuka menyokong tunjuk perasaan itu, dengan mendakwa mereka di bawah undang-undang ketenteraman awam yang membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara.

Amat penting untuk mengambil perhatian akan rayuan Han Lay yang menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand International di Thailand. Thailand menjadi tuan rumah kepada 4 juta pekerja migran dari Myanmar, yang kebanyakannya bersimpati dengan perjuangan menuntut demokrasi oleh penunjuk perasaan di Myanmar, namun bimbang pekerjaan mereka mungkin akan terjejas sekiranya mereka bersuara kerana pegawai Thailand telah memberi amaran supaya jangan terlibat secara aktif dalam politik.

Mayat plastik yang digunakan sebagai bahan pameran berkemungkinan besar berasal dari tahanan yang dibunuh di China

0

Terdahulu, pengurus wilayah Pakatan Antarabangsa untuk Menghentikan Penyalahgunaan Pemindahan Organ oleh Parti Komunis China (ETAC), Elke Van de Brande, menekankan bahawa penggunaan mayat dalam pameran mayat berasal daripada tahanan pengamal Falun Gong di China, yang dibunuh dengan kejam.

Kenyataan ini turut sama disokong oleh artikel yang diterbitkan oleh majalah mingguan Belgium, “Knack”, pada 15 Februari lalu yang mempersoalkan sama ada mayat yang dipamerkan di negara berkenaan adalah berasal dari China dan merupakan tahanan yang diseksa dan dibunuh.

Menjawab mengenai perkara ini, pihak penganjur pameran tidak menidakkan dakwaan ini, sebaliknya menekankan bahawa mayat yang digunakan untuk pameran itu adalah mayat yang tidak dituntut dari China namun mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan oleh organisasi antarabangsa.

Kata Brande, pameran mayat dengan tanggungjawab moral perlu mempunyai identiti sebenar dan penjelasan mengenai punca kematian dan menurutnya, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa mayat yang diterima tidak didermakan dan bukan juga mayat yang tidak dituntut seperti yang didakwa oleh China.

Dilaporkan, pameran berkenaan telah berlangsung sejak pertengahan bulan Disember sehingga bulan Mei tahun ini.

Pada masa ini, semakin banyak negara di dunia seperti Perancis, Republik Czech, Israel dan Amerika Syarikat mula melarang penggunaan mayat yang diplastikkan dari China untuk kegunaan pameran.

Sebilangan pengamal perubatan percaya bahawa pameran mayat adalah sesuatu yang “berharga dalam pendidikan” dan mayat yang digunakan itu “dihormati”. Tetapi, Brande dengan tegas menyangkal pendirian ini dan menyatakan bahawa “mayat orang yang dibunuh itu tidak pernah dihormati. Pendidikan hanya berharga jika tidak melibatkan dengan jenayah.”

Disamping itu, Brande turut menekankan tentang data yang menunjukkan bahawa wilayah Dalian di China yang menjadi bandar penting untuk aktiviti pemindahan organ dan penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong.

Pada Julai 1999, sejarah merekodkan bahawa PKC mula menganiaya pengamal Falun Gong. Dan, pada tahun yang sama, Kilang Kimia Plastik Dalian mula mendaftarkan syarikatnya.

Dipercayai, aktiviti memplastikkan mayat sudah bermula sejak 20 tahun yang lalu, yang turut bermaksud bahawa dari mula PKC menganiaya pengamal Falun Gong, mayat-mayat mereka sudahpun diawet menjadi plastik.

Pada masa yang sama juga, dilaporkan jumlah kes pemindahan organ di China juga semakin meningkat disebabkan oleh pengembangan industri ekonomi, kilang plastik dan organ.

Pihak polis menurut Brande, turut membantu industri memplastikkan mayat dan pemindahan organ. Terdapat bukti berupa e-mel yang bertulis, “Pagi ini, ada dua mayat yang baru dihantar ke kilang. Organ sudah diambil beberapa jam yang lalu”.

Perkara ini sangat mengejutkan kerana mayat yang digunakan pada pameran tersebut tidak mempunyai buah pinggang dan hati.

Disamping itu, Brande turut menyatakan bahawa negara China yang ditekan oleh komuniti antarabangsa pernah mengeluarkan kenyataan dan data yang menunjukkan bahawa semua organ yang didapati dalam aktiviti pemindahan organ adalah berasal daripada penderma yang menawarkan diri sendiri secara sukarela.

Bagaimanapun, analisis statistik pada tahun 2019 menunjukkan bahawa PKC telah memalsukan data dan menipu komuniti antarabangsa.

Sejak tahun 2006, ramai penyiasat telah berulang kali menghubungi hospital-hospital di China dan menyamar sebagai pesakit yang memerlukan organ. Dan berdasarkan laporan, ramai doktor di hospital di negara itu mengakui bahawa mereka menggunakan pengamal Falun Gong sebagai sumber untuk mendapatkan organ.

Kucing romantik hantar bunga kamelia depan pintu individu terpilih 5 tahun berturut-turut. Untunglah..

0

Kucing diketahui gemar membawa hadiah kepada insan kesayangan sebagai tanda penghargaan dan sayang pada mereka.

Lazimnya, mereka akan membawa haiwan yang sudah pun mati dibunuh oleh mereka misalnya tikus, burung dan pelbagai lagi.

Namun seekor kucing ini nampaknya mempunyai citarasa yang agak berbeza. Kisahnya dikongsikan oleh seorang pengguna @maho_24 di Twitter.

Menurut individu itu, beberapa tahun kebelakangan ini, dia sering menerima sekuntum bunga di hadapan rumahnya.

Sudah tentulah dia berasa ingin tahu siapa agaknya yang bersifat romantik dan meninggalkan kuntuman bunga padanya.

“Satu hari, apabila saya mahu keluar daripada rumah, saya nampak kuntuman bunga kamelia diletakkan di hadapan pintu”.

Memandangkan dia tidak menanam bunga tersebut di rumah, individu itu pasti bahawa bunga itu dibawa daripada lokasi lain.

Menariknya, kuntuman bunga kamelia itu ditinggalkan di rumahnya untuk lima tahun berturut-turut. Siapa agaknya si gerangan yang memberi itu ya?

Rupa-rupanya, ia dihadiahkan oleh seekor kucing! Individu itu melihat sendiri saat kucing tersebut meninggalkan bunga itu kemudian berlalu pergi.

“Saya datang untuk hantar bunga lagi. Harap kamu suka”

Perkongsian tersebut membuatkan ramai pengguna yang lain berasa tersentuh. “Mungkin dia pernah berbuat baik dengan kucing. Jadi itulah cara kucing untuk berterima kasih”, tulis seorang pengguna.

Ada juga pengguna lain yang mengatakan bahawa mungkin kucing itu sukakan bunga atau mungkin kucing itu sememangnya bersifat romantik.

“Untunglah dapat bunga. Saya dapat tahi saja di rumah”, tulis pengguna lain. Apa pun, individu itu memang cukup bertuah kerana diberikan bunga oleh kucing bukan?

Setelah 17 tahun bersembunyi, berbilion telur riang-riang Brood X dijangka akan menetas 13 Mei ini

0

AMERIKA SYARIKAT – Mei 2021 dijangka akan menjadi suasana yang bingit bagi warga Amerika Syarikat (AS) akibat fenomena semula jadi penetasan telur sejenis riang-riang hutan yang dikenali sebagai cicada.

Penetasan telur riang-riang yang disebut sebagai Brood X itu akan terjadi apabila suhu tanah musim bunga mencapai paras suhu tertentu yang menggalakkan proses penetasan. Pada masa yang sama, fenomena alam ini dikatakan hanya berlaku setiap 17 tahun dan kali ini, spesies yang bakal menetas dijangka memiliki saiz yang besar.

Berbilion telur Brood X dijangka menetas di AS / Sumber : Trendsmap

Menurut kurator zoologi invertebrata dari American Museum of Natural History iaitu Dr Jessica Ware, beliau menjangkakan anak riang-riang yang selama ini bersembunyi di dalam tanah dan di celah-celah akar pokok akan merangkak keluar untuk mencari makanan dan pasangan mengawan. Ketika ditanya mengenai tarikh sebenar fenomena ini, Jessica memaklumkan bahawa tiada tarikh yang jelas namun menganggarkan 13 Mei sebagai tarikh penetasan telur-telur itu.

Saintis menjangkakan tarikh 13 Mei sebagai hari telur-telur ini menetas / Sumber: Astro Awani

”Ia seperti satu tarian. Si jantan akan menunjukkan kebolehan menghasilkan bunyi paling kuat sekali gus membuktikan bahawa ia adalah teman mengawan yang terbaik. Riang-riang betina pula akan mendengar sama ada bunyi itu cukup kuat dan sampai ke jarak paling jauh. Ini suatu tarian akustik yang sangat rumit”.

Saiz riang-riang jenis ini juga dianggarkan lebih besar berbanding spesies riang-riang lain / Sumber : Cicada Mania

Jelas Jessica lagi, para saintis masih belum memperolehi bukti dan penjelasan kukuh tentang kitaran hidup riang-riang Brood X namun menyifatkan ia mungkin mempunyai perkaitan dengan proses evolusi sebagai mekanisma kelangsungan hidup. Pada masa yang sama, Jessica turut menegaskan bahawa riang-riang jenis ini tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada manusia sebaliknya boleh menjadi sumber makanan bagi burung, haiwan dan juga serangga lain.

Kemunculan cicada ini tidak akan menggugat manusia / Sumber : Slate

“Saya sangat teruja apabila memikirkan tentang kemunculan Brood X kerana kali terakhir spesies ini dilihat di atas tanah adalah pada tahun 2004. Bila anda memikirkannya, banyak yang telah terjadi sepanjang tempoh 17 tahun itu”.

Telur Brood X ini juga dilaporkan bakal berlaku di kawasan tengah dan timur AS iaitu di Tennessee hingga ke selatan New York.

Isteri buat kejutan di sebalik maskot Minnie Mouse, suami dipuji jaga batas enggan dipeluk ‘wanita lain’

0

Suami isteri yang bahagia adalah pasangan yang sentiasa melakukan sesuatu bagi menghargai pasangan masing-masing terutamanya pada hari yang bermakna seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Apabila kita sentiasa menghargai pasangan dan menunjukkan kasih sayang, maka hubungan itu akan sentiasa mekar dan dipenuhi dengan kenikmatan. Seperti pasangan suami isteri yang baru-baru ini tular setelah gelagat sang suami yang dipuji kerana menjaga batasnya dan sikap romantis si isteri membuatkan warganet memuji mereka.

Kisahnya bermula apabila si isteri melakukan pakatan bersama perancang perkhidmatan penghantaran hadiah untuk memberikan kejutan kepada suami tercinta di tempat kerjanya. Menerusi video tersebut, si isteri yang lengkap berpakaian maskod Minnie Mouse telah membawa sejambak bunga duit dan juga belon untuk diberikan kepada suaminya.

Selepas menghulurkan hadiah tersebut, Minnie Mouse ini kemudian melakukan cubaan ‘berani’ dengan memeluk suaminya. Bagaimanapun, suaminya yang tidak mengetahui identiti sebenar individu di sebalik maskot itu terus mengelak dan menjauhkan diri daripada wanita yang disangkakan perempuan lain itu.

Percubaan demi percubaan dilakukan oleh Minnie Mouse berkenaan namun tidak berjaya. Si suami tetap berkeras enggan berpelukan sebaliknya hanya mahu bergambar dari jarak yang jauh sahaja! Bagus! Ini yang wanita mahukan daripada seorang suami…

Tidak lama kemudian, lelaki ini mula mengesyaki sesuatu sebelum bertindak membuka kepala kostum Minnie Mouse itu. Dia kemudian terkejut dan terharu setelah mendapati wanita di sebalik kostum berkenaan adalah isteri tercintanya dan terus memeluk sebagai tanda penghargaan di atas usaha keras isterinya yang sanggup menahan panas semata-mata untuk memberikan kejutan!

Penularan video ini turut meraih pujian daripada warganet yang memuji tindakan si suami kerana tahu menjaga batas sebagai seorang suami. Kesetiaan yang dipamerkan oleh suami ini membuatkan ramai warganet mendoakan agar kedua-duanya akan kekal bahagia hingga ke jannah.

Kanak-kanak autisme mampu hasilkan lukisan lanskap dengan hanya sekilas pandang

0

Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ada manusia yang mungkin kelihatan memiliki kehidupan yang sempurna namun sebaliknya, dia mungkin tidak bahagia dengan hidupnya. Ada pula individu yang mempunyai bakat besar namun disebabkan oleh kedaifan, perjalanan untuk mencapai kejayaan agak sukar dan berliku.

Seperti kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang berasal dari United Kingdom ini. Kanak-kanak yang mesra dengan panggilan Alex ini dikatakan menghidap penyakit autisme iaitu sejenis gangguan perkembangan otak yang menyebabkannya mengalami kesulitan untuk berinteraksi dan berkomunikasi.

Walau bagaimanapun, Alex adalah seorang yang berbakat besar terutamanya dalam bidang seni lukisan. Dengan hanya sekali imbas, Alex mampu menghasilkan lukisan terperinci tentang lanskap sesebuah kawasan.

Menurut laporan akhbar Metro, Alex Baker telah menghidap autisme sejak dari kecil lagi. Namun seawal usia dua tahun, Alex mula menunjukkan minat yang mendalam terhadap lukisan. Ketika Alex berusia lima tahun, ibunya yang dikenali sebagai Laura Jackson mula menyedari bakat terpendam anak istimewanya itu.

Lukisan Tower Bridge, London

Segalanya bermula apabila Laura dan anaknya itu bersiar-siar di London. Mereka cuma berada di sana untuk beberapa jam sahaja namun sebaik sahaja tiba di rumah mereka yang terletak berdekatan Liverpool, Alex mula membuat lakaran. Alex bukan sekadar mampu melukis bangunan tetapi dia mampu menghasilkan sebuah lukisan yang begitu rumit memaparkan lanskap seluruh kota London.

Alex memiliki daya ingatan yang menakjubkan. Dia akan menghabiskan masanya di dalam bilik untuk melukis. Kami sangat berbangga dengannya”.

Sementara itu, Laura turut mendedahkan bahawa anaknya mampu menghasilkan lukisan-lukisan tersebut setelah menziarahi kawasan berkenaan atau melihatnya di dalam buku. Purata masa yang diperlukan Alex untuk menghasilkan lukisan di dalam bayangannya adalah sekitar tiga jam sahaja!

“Saya suka melukis bandar yang padat dan memiliki banyak bangunan. Bandar kegemaran saya adalah London. Saya sangat sukakan kawasan itu kerana bangunan di situ adalah bangunan yang lama dan klasik,” jelas Alex.

Kini, Alex mempunyai hajat besar untuk melancong ke New York bagi melihat sendiri keindahan bangunan di sana dan menghasilkan lukisan yang hebat. Meksipun anak ini tidak sempurna, namun Alex nampaknya sudah mempunyai masa depan yang cerah. Semoga Alex akan terus maju jaya.

Gelagat comel kucing tidur lena dalam tuala kobis umpama bayi yang sedang dibedung buat warganet tersenyum

0

Sayur kobis merupakan sayur berdaun dari keluarga Brassica yang dikenali dengan pelbagai khasiat untuk tubuh. Antara manfaat yang boleh kita perolehi dengan mengambil kobis adalah seperti anti kanser, baik untuk kesihatan kulit, mempunyai ciri-ciri antioksidan, mampu merendahkan kadar kolesterol, menguatkan tulang dan sebagainya.

Boleh dikatakan ramai manusia yang gemar menikmati sayur kobis kerana harganya yang murah selain boleh dijadikan hidangan yang enak tidak kira sama ada digoreng, dimakan mentah atau dijadikan sup. Namun tidak sangka pula ada juga mahkluk lain yang meminati kobis tetapi bukan dengan memakan sayur itu tetapi ‘memakainya’.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @minira_diary telah berkongsi beberapa gambar yang berjaya menarik perhatian ratusan ribu pengguna laman Twitter lain. Menerusi perkongsian tersebut, @minira_diary telah memuat naik gambar seekor kucing comel yang sedang lena sambil dibaluti tuala bercorak kobis.

Reaksi kucing ini yang kelihatan sangat selesa berada dalam tuala itu membuatkan perkongsian tersebut sehingga kini meraih 325.8K tanda suka dan 83.4K ulang ciapan!

Selain tidur dibaluti tuala kobis, kucing yang comel ini juga gemar disuapkan makanan ketika sedang memakai tuala berkenaan. Tidak pasti sama ada kucing ini yang terlalu comel atau corak kobis pada tuala berkenaan yang begitu kreatif sehingga membuatkan kucing ini kelihatan begitu selesa dan tenang.

Umpama bayi yang sedang dibedung! Comel betul kucing ini bukan?

Letih dengan kerja rumah yang tidak pernah habis, wanita ini ambil keputusan untuk berhenti mengemas dan lihatlah apa yang terjadi selepas itu

0

Bukan mudah bergelar isteri dan ibu. Seringkali segala beban kerja rumah diletakkan pada mereka sedangkan mereka juga bekerja di luar.

Penat lelah mereka pastinya lebih berganda ditambah pula jika tiada yang ringan tulang untuk membantu.

Itulah yang dirasakan oleh seorang wanita, Miss Potkin sehingga dia memutuskan untuk ‘mogok’ dengan berhenti mengemas dan membasuh pinggan mangkuk di dapur selepas menyediakan makan malam.

Jadi, sejak itu pinggan mangkuk kotor mula banyak di dapur sehingga cawan, mangkuk dan sudu bersih juga sudah kehabisan.

Twitter
Twitter

Bayangkan untuk membuat teh pun suaminya menggunakan sudu kecil yang biasa digunakan oleh anak kecil mereka.

Tidak hanya itu, dia juga menggunakan cawan ‘kecemasan’ memandangkan sudah tiada langsung perkakas dapur yang bersih untuk digunakan. Tisu di tandas juga kehabisan dan tiada yang ingat untuk meletaknya.

Walaupun dapurnya nampak tidak kemas dan kotor wanita ini tidak peduli dan masih dengan mogoknya.

Bukan sahaja tidak membasuh perkakas di dapur dia juga berhenti untuk membasuh pakaian kotor keluarganya. Hasilnya, lihat sahaja seperti yang berlaku di bawah ini… hampir di segenap rumahnya di bilik, koridor di mana sahaja sudah hampir penuh dengan pakaian kotor yang sengaja tidak dibasuh.

Twitter
Twitter

Akhirnya, selepas beberapa hari barulah suaminya membantu membersihkan rumah. Dia mula membasuh pinggan mangkuk dan segala perkakas dapur yang kotor.

Segala kotoran degil pada mangkuk dan kuali juga dibersihkan serta sampah juga dibuang di luar.

Sungguhpun keadaan dapur dibersihkan, mesin basuh pinggan mangkuk itu masih penuh dengan sisa kumbahan. Isteri kemudiannya mengatakan bahawa dia masih satu-satunya dalam keluarga yang tahu bahawa pinggan, mangkuk dan sisa makanan boleh dibersihkan di mesin basuh dan bagaimana untuk membersihkan pinggan dan mangkuk.

Twitter
Twitter

Dan inilah yang berlaku selepas dia melancarkan mogok selama tiga hari. Selepas tiga hari tidak mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan membasuh pakaian, inilah yang terjadi.

Walaupun eksperimennya berhasil namun menurut Miss Potkin dia tidak akan melakukannya lagi.

Twitter
Twitter
Twitter

Oleh sebab terlalu letih dan kepenatan mengurus rumah tangga membuatkan wanita itu perlu mogok untuk melihat sejauh mana suaminya boleh membantu.

Jadi, buat anda yang lain ringan tulang bantu ibu atau isteri di rumah membuat kerja-kerja rumah kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Majlis pernikahan Neelofa : PDRM buka kertas siasatan atas dakwaan tidak patuhi SOP

0

Umum mengetahui pada 27 Mac lalu, selebriti terkenal berusia 32 tahun, Neelofa telah selamat diijabkabulkan dengan pilihannya, Haris Ismail di sebuah hotel terkemuka.

Namun majlis itu mula menjadi bualan apabila jemputan majlis agak ramai dan mereka kelihatan tidak menjaga jarak fizikal dan duduk dalam jarak yang dekat.

Perkara itu menimbul rasa tidak puas hati netizen sehingga ia akhirnya mendapat perhatian pihak berkuasa untuk disiasat dengan lanjut.

Ini kerana, mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti sosial termasuklah majlis perkahwinan dibenarkan namun bilangan tetamu terhad kepada 20 orang di kawasan PKPB dan 30 orang di kawasan PKPP.

Info Roadblock JPJ/POLIS / Facebook

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Siasatan mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal”.

Sehubungan itu, pihak polis akan memanggil penganjur majlis berkenaan dan pemilik hotel dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.

Tambah beliau, pasangan pengantin dan juga ahli keluarga serta sanak saudara yang menghadiri majlis itu juga akan dipanggil.

Letupan bom gegarkan sebuah gereja di Makassar, 14 orang dilaporkan cedera

0

Satu kejadian letupan bom menggegarkan pagi damai Palm Sunday pada 28 Mac, dipercayai dilakukan oleh dua pengebom nekad maut di hadapan pintu masuk Gereja Katedral Roman Katolik di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Menerusi satu video yang diambil dari sumber Katedral Sacred Heart of Jesus, klip terakhir merakamkan satu letupan kuat diikuti asap putih yang kelihatan di perkarangan gereja.

Menurut paderi gereja berkenaan, Wilhelmus Tulak, kira-kira sepuluh orang telah tercedera sejurus kejadian, dengan seorang petugas letak kereta mengalami luka kebakaran ketika percubaannya untuk menghentikan pengebom nekad maut.

Twitter

Media tempatan melaporkan dua suspek pengebom cuba memasuki perkarangan gereja dengan menaiki sebuah motosikal sebelum dihentikan oleh seorang pengawal keselamatan.

Dalam perkembangan terbaru, jurucakap polis Sulawesi Selatan, E. Zulpan mengesahkan seramai 14 mangsa telah tercedera dalam tragedi letupan di gereja berkenaan.

Sementara Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramadhan Pomanto berkata terdapat anggota badan dan cebisan daging manusia ditemui dalam jarak 200 meter dari tempat kejadian, namun menambah tiada ahli gereja yang terbunuh.

Twitter

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada wujud sebarang hubungan antara pengebom berkenaan dengan kumpulan radikal, serta serangan itu ada kaitan dengan penahanan suspek militan baru-baru ini.

Pada bulan Januari, unit membanteras keganasan Indonesia menjalankan serbuan di Makassar dan membunuh dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengeboman sebuah gereja di Filipina pada tahun 2019 yang mengorbankan lebih 20 orang.

@bernamadotcom/Twitter

Ini bukan kejadian pengeboman gereja pertama yang berlaku di Indonesia. Pada tahun 2018, tiga buah gereja telah dibom di Surabaya.

Kejadian itu dikaitkan dengan kumpulan pelampau tempatan yang ingin membentuk negara Islam.