29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 6, 2025
Utama Blog Laman 265

PM : Rentas negeri dibenarkan bagi individu lengkap divaksinasi bermula 11 Oktober

0

Kerajaan akhirnya bersetuju untuk membenarkan Keluarga Malaysia yang sudah lengkap divaksinasi untuk melakukan pergerakan merentas negeri.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri pada jam 3 petang 10 Oktober, di mana ia juga boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90%”.

Katanya, Keluarga Malaysia turut dibenarkan untuk melancong ke mana-mana negeri, di samping bebas melakukan pergerakan balik ke kampung untuk bertemu keluarga.

Sungguhpun begitu, beliau menegaskan bahawa kebenaran rentas negeri ini tidak terpakai terhadap lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau juga mengingatkan agar rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun sudah diberikan kebebasan pergerakan.

Ini kerana Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) di bawah KKM masih lagi dikuatkuasakan dan mereka yang didapati melanggarnya akan dikenakan tindakan.

Tambahnya lagi, pohak polis juga masih boleh membuat pemeriksaan secara rawak di mana sahaja walaupun tiada sekatan khusus dijalankan untuk menyekat pergerakan.

“Pihak polis boleh membuat pemeriksaan terhadap MySejahtera walaupun tiada SJR khusus untuk tujuan rentas negeri”.

Kerajaan turut membenarkan perjalanan ke luar negara termasuklah untuk melancong tanpa melalui MyTravel Pass di bawah Jabatan Imigresen berkuatkuasa tarikh yang sama.

Individu berkenaan perlulah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik sahaja pulang ke tanah air.

Berjaya tangkap beberapa ekor tikus di rumah setiap hari, kebolehan kucing ini buat tuannya kagum!

0

Hari ini orang ramai memelihara kucing kerana mereka mahukan teman di rumah untuk diri sendiri atau keluarga. Kucing kesayangan di rumah dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh. Mereka juga diberi makan makanan yang mahal dan sihat. Mereka tidak lagi menjalankan kerja-kerja menangkap tikus seperti kucing dahulu-dahulu.

Tetapi lain pula dengan kucing kampung milik seorang netizen. Netizen tersebut menceritakan bagaimana kucingnya di kampung telah bekerja keras setiap hari untuk menangkap tikus-tikus di rumah.

Suatu hari, dia yang duduk di bandar telah pulang ke kampung halamannya dan dia mula perasan kucingnya semakin besar. Ibunya kemudian memberitahu bahawa jangan memandang rendah kepada kucingnya kerana kucingnya itu kini sudah boleh menangkap tikus.

Pada mulanya dia berasa curiga dengan kebolehan kucingnya. Jadi, ibunya memintanya untuk bangun awal pagi keesokan harinya untuk melihat apa yang dilakukan oleh kucingnya di halaman rumah. Rupa-rupanya di situ terdapat 10 ekor bangkai tikus yang berjaya dikumpulkan oleh kucingnya.

Jadi, tidak hairanlah jika badan kucingnya semakin membesar kerana kini dia memilih untuk menikmati tikus setiap hari. Bukan hanya tikus dewasa yang berjaya ditangkap malah anak-anak tikus juga berjaya ditangkap. Nampaknya kucing ini sangat rajin dan bekerja keras dalam ‘kerier’ nya sebagai pemburu tikus yang berjaya.

Lihat tuannya makan maggi dia pun mahu juga, mana tidaknya maggi adalah makanan kegemaran kucing ini

0

Setiap haiwan peliharaan pasti ada tabiat pelik mereka yang tersendiri. Terkadang kita tidak habis berfikir mengapa mereka melakukan semua itu tetapi itu lah mereka.

Kucing bernama Shakira ini juga ada tabiat anehnya yang tersendiri iaitu suka makan maggi. Ya, kucing pun suka makan maggi sebenarnya!

Gelagat lucu Shakira dirakam oleh tuannya sebelum dimuat naik ke internet. Video dimulakan apabila pemuda tersebut mula memasak maggi. Dia kemudian meletakkan mangkuk berisi maggi di atas meja di mana Shakira duduk sebelum membuka lampu. Ketika itu kucing comel itu sudah mula mengambil bau makanan kesukannya.

Melihat tuannya mula makan dengan berselera Shakira mula mahu mencuit makanan tersebut namun dihalang tuannya. Dia kemudian mencuit tangan tuannya untuk memberitahu bahawa dia mahukan maggi tersebut.

Tahu yang kucingnya mahu makan magginya, pemuda ini terus memberikan maggi kepada Shakira. Shakira makan dengan berselera sekali dan sekejap sahaja maggi tersebut habis dimakan. Apa yang lebih hairan, dia boleh makan dengan pantas walaupun maggi tersebut masih panas.

Selepas bahagian makanannya habis Shakira mula melihat-lihat makanan tuannya. Tuannya siap memberitahu jika dia mahukan maggi lagi, dia perlu mencuit tangannya dan sekali lagi Shakira mencuit tangan tuannya untuk memberitahu bahawa dia mahukan maggi lagi!

Tonton video di sini.

Aryan dihantar ke Penjara Arthur selepas permohonan jaminan ditolak mahkamah

0

MUMBAI: Mahkamah Mumbai pada Sabtu menolak permohonan jaminan ke atas anak pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, dalam kes melibatkan penyalahgunaan dadah.

Aryan Khan, 23, akan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai.

Dalam situasi tersebut, tertuduh boleh dihantar ke penjara dan pihak berkuasa memerlukan kebenaran daripada pihak mahkamah untuk melakukan soal siasat.

Memetik laporan portal Money Control, Ketua Majistret Metropolitan, R M Nerlikar berkata, permohonan jaminan ditolak kerana dia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Tambahnya lagi, hanya mahkamah khas yang boleh mendengar dan meluluskan permohonan tersebut.

Pihak Narcotics Control Bureau (NCB) sebelum ini juga membantah dengan menyatakan hanya mahkamah khas yang boleh mempertimbangkan permohonan jaminan melibatkan kes penyalahgunaan dadah dan bahan psikotropik.

Terdahulu, Aryan ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita oleh NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada hari Ahad.

Menurut The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan wang tunai lebih daripada 1.3 juta lakh rupee.

Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.

Lima lagi individu yang ditahan ialah Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jaiswal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.

Selasa lalu Aryan dihadapkan ke sebuah mahkamah di Mumbai atas dakwaan pengambilan dadah.

Mahkamah Majistret JB kekal keputusan lepas dan bebas jurujual yang didakwa sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak

0

Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 10 Oktober sekali lagi mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Sam Ke Ting, 26 tahun.

“Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.”

Twitter

“Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan di akhir kes pembelaan,” katanya.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Siti Hajar berkata keterangan Sam bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Sam, yang sebelum ini digantung, dikembalikan kepadanya dengan serta-merta.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019 yang melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Sam Ke Ting, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Mereka ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16 tahun.

Jurujual wanita itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

28 Individu positif COVID-19 selepas hadiri kenduri kahwin

0

KUALA PILAH: Seramai 28 orang disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan kontak rapat seramai 44 orang telah dijalankan pada 4 dan 5 Oktober lalu.

“Hasil saringan mendapati 28 orang positif dan 16 lagi negatif.

“Kes ini melibatkan tujuh keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan pada 26 September lalu di kampung tersebut.

“Individu yang disaring melibatkan ahli keluarga dan tetamu sekampung yang menghadiri majlis perkahwinan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, daripada 28 individu disahkan positif, seramai 12 orang dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 16 lagi dirujuk ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, semua keluarga yang menjalani kuarantin diberi bantuan bekalan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, program vaksinasi akan diteruskan bagi mengawal penularan COVID-19 di perkampungan orang asli.

Pekerja pembersihan manfaat khidmat di terminal pengangkutan awam Mersing selama 12 tahun dengan mempelajari 11 bahasa asing

0

Amat bertuah menjadi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bahasa, dengan jika mahu seseorang itu boleh mengambil peluang mempelajari bahasa selain Bahasa Malaysia dan Inggeris, untuk bertutur dalam bahasa Mandarin, Tamil sehingga bahasa pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

Amat unik apabila seorang pekerja pembersihan dan tukang sapu dari SWM Environment memutuskan untuk mengambil peluang mempelajari bahasa pelancong yang ditemuinya di Mersing, Johor.

Mohamad Azizi Bahuddin berusia 42 tahun, melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar pusat bandar Mersing yang menjadi tempat tumpuan pelancong, kini boleh berkata bahawa dia mampu bertutur dalam 11 bahasa asing yang asas dan mudah untuk dipelajari, lapor Kosmo!

Paparan Skrin / YouTube

Pekerja pembersihan ini boleh berbahasa Jerman, Sepanyol, Itali, Jepun, Cina, Belanda, Norway, Denmark, Ukraine, Czech dan Rusia.

Azizi mempelajari bahasa-bahasa itu daripada para pelancong yang lebih suka bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Mohamad Azizi, bapa kepada seorang anak berkata, dia berminat untuk mempelajari pelbagai bahasa asing setelah menyedari ramai pelancong lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda mereka berbanding Bahasa Inggeris.

Paparan Skrin / YouTube

“Sebelum pandemik COVID-19, sebagai tukang sapu, saya sering bertemu dengan pelancong asing yang datang mahu bercuti. Mereka menghabiskan banyak masa di terminal pengangkutan awam Mersing sementara menunggu perjalanan masing-masing ke pulau-pulau berdekatan. Saya selalu disapa dan dirujuk oleh pelancong asing untuk mendapatkan maklumat sehingga sekarang ini saya boleh bertutur secara asas dalam bahasa negara asing,” kata Azizi.

“Tambahan pula, ketika saya menyapa mereka dengan bertanya dalam Bahasa Inggeris, mereka tidak begitu gemar dan tidak endah untuk menjawab, terutama pelancong dari Rusia,” katanya.

Paparan Skrin / YouTube

Mohamad Azizi memberi inspirasi kepada semua supaya kita “jangan menilai buku dari kulitnya”.

Azizi berkata mempelajari bahasa asing boleh menjadi sukar kerana nada sebutan yang berbeza tetapi dia berusaha untuk mencatatkan perkataan yang ditutur di atas kertas agar dia tidak lupa. Secara asas dia boleh bertutur dalam bahasa yang berkenaan dengan pelancong asing.

Paparan Skrin / YouTube

“Saya akan meningkatkan kemahiran ini untuk memudahkan saya berkongsi maklumat pelancongan, membantu orang asing dan mewujudkan imej positif daerah Mersing, di samping tanggungjawab utama saya iaitu menjaga kebersihan di kawasan ini,” tambahnya.

Selain berbakat untuk menjadi fasih dalam pelbagai bahasa asing, Mohamad Azizi juga pernah menerima anugerah pekerja cemerlang dari SWM Environment, penyedia perkhidmatan pengurusan sampah dan pembersihan awam bersepadu di daerah itu.

Paparan Skrin / YouTube

Sungguhpun sejak pandemik COVID-19, Azizi mengakui berasa sedih dengan ketiadaan pelancong di daerah ini yang berlarutan selama lebih satu tahun.

Diharap dengan realisasi vaksinasi lengkap, maka sempadan antarabangsa dapat dibuka semula dan pelancong akan kembali mengunjungi Mersing, sekali gus Mohamad Azizi dapat terus mengasah kemampuan linguistik 11 bahasa asing itu atau lebih lagi.

Resipi suun goreng mudah dan paling penting, sihat!

0

Suun merupakan sejenis bahan memasak yang kelihatan seperti bihun tetapi mempunyai rasa yang jauh berbeza. Diperbuat daripada pelbagai bahan utama sama ada tepung kacang hijau, tepung keledek, tepung ubi atau tepung kentang, suun merupakan pilihan yang tepat buat mereka yang ingin berdiet.

Hal ini kerana suun mempunyai kandungan kalori dan karbohidrat yang rendah berbanding bihun. Jadi, memandangkan semakin ramai yang mulai menyedari akan kepentingan kesihatan, mari kita cuba resipi suun goreng yang mudah tetapi lazat.

Bahan-bahan:

  • Suun
  • Bawang putih
  • Bawang holland
  • Protein (ayam, udang, sotong)
  • 2 biji telur
  • Kiub pati ikan bilis
  • Sos tiram
  • Sos ikan
  • Kicap lemak manis
  • Lobak merah
  • Cili merah
  • Tomato
  • Gula
  • Garam
  • Daun bawang atau taugeh

Cara membuatnya:

  1. Pertama sekali, ambil kuali dan panaskan sedikit minyak untuk menumis. Tumiskan hirisan bawang putih bersama bawang holland sehingga naik bau.
  2. Setelah itu, masukkan sumber protein mengikut citarasa anda. Goreng seketika.
  3. Apabila bahan protein mulai masak, masukkan telur ke dalam kuali dan goreng bersama.
  4. Masukkan pula kiub pati ikan bilis, sos tiram, sos ikan dan kicap lemak manis
  5. Masukkan bahan-bahan sayuran seperti lobak merah, hirisan cili dan juga tomato. Sekiranya anda sukakan pedas, boleh masukkan cili api yang dipotong nipis.
  6. Masukkan suun yang telah direndam ke dalam kuali dan goreng sebati sehingga suun menjadi lembut dan jernih.
  7. Taburkan sedikit gula dan garam mengikut citarasa anda.
  8. Akhir sekali, taburkan daun bawang dan taugeh jika suka

Selamat mencuba!

PDRM akan guna BMW M3 bernilai RM665,000 sebagai ‘kereta polis’ terbaru?

0

Selama bertahun-tahun, kita menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kereta peronda dan kenderaan pengiring rasmi mereka yang dinaik taraf bermula Proton Saga, Mitsubishi Lancer Evolution X (Evo X) sehinggalah Honda Civic FK8 Type R.

Baru-baru ini, tular gambar kenderaan PDRM menggunakan BMW M3 baru yang beredar di media sosial, dan warganet menjadi musykil dan tertanya-tanya adakah kenderaan rasmi PDRM akan menjalani tahap ‘upgrade’ terbaru?

Facebook

Carlist.my menyenaraikan harga BMW M3 bernilai RM665,000 dalam spesifikasi standard. Dengan kenderaan canggih memekak telinga dan boleh memecut laju seperti “Fast and Furious” rata-rata berada di jalanan kini, agak masuk akal juga sekiranya PDRM memutuskan untuk menaik taraf kenderaan mereka sekarang.

Facebook

Spesifikasi BMW M3 mempunyai gril hadapan yang besar, kereta segmen Grand Tourer yang dikuasakan dengan enjin 3.0-liter 6-silinder, 473hp / 550Nm tork atau 503hp / 650Nm tork pada varian persaingan. Dengan rear-wheel drive, kenderaan ini mampu memecut dari 0km/j sehingga 100km/j dalam masa 3.5 saat. 

Facebook

Sebagai perbandingan, Evo X hanya mempunyai 290hp / 366Nm tork, jadi Pasukan Helang PDRM akan memiliki kenderaan rasmi dengan sekurang-kurangnya 180hp lebih berkuasa memecut laju berbanding kereta peronda dan pengiring sedia ada sekarang.

Facebook

Sementara itu, para warganet memberi reaksi di bahagian komen media sosial yang bertanya adakah kereta polis terbaru ini sebenarnya untuk produksi filem tempatan terbaru yang sedang dalam penggambaran. Walau bagaimanapun, nama filem itu tidak pula dinyatakan.

Facebook

Walaupun Vocket Car Club telah mengesahkan dalam bahagian komen mereka di Instagram bahawa kenderaan ini bukan bagi tujuan pembikinan filem, PDRM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai gambar kereta polis BMW M3 yang hangat diperkatakan di pelbagai platform media sosial itu.

Apa yang pasti, gambar-gambar ini telah meraih perhatian serta rasa kagum serta teruja kalangan warganet memandangkan kenderaan rasmi terbaru yang bakal digunakan oleh PDRM akan terus lebih canggih dan berkuasa tinggi pada masa hadapan.

Tonton video di sini.

998 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air selama 4 hari

0

Air Selangor mengumumkan beberapa kawasan di negeri itu akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada minggu depan.

Ia melibatkan sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang, termasuklah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Difahamkan bahawa gangguan itu berlaku susulan daripada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal.

Keadaan itu akhirnya menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). Gangguan ini dijadualkan berlangsung selama 4 hari bermula 13 Oktober ini.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air berskala besar”.

Air Selangor juga menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan itu juga telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Berikutan itu, pelanggan yang terjejas dinasihati untuk membuat simpanan bekalan secukupnya serta menggunakan air secara berhemah untuk sepanjang tempoh gangguan itu.

Dalam pada itu, pihak Air Selangor akan menggerakkan 105 lori tangki ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah pengebumian.

Mereka juga akan menyediakan 18 paip air awam dari 14 hingga 16 Oktober untuk kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air.