Amat bertuah menjadi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bahasa, dengan jika mahu seseorang itu boleh mengambil peluang mempelajari bahasa selain Bahasa Malaysia dan Inggeris, untuk bertutur dalam bahasa Mandarin, Tamil sehingga bahasa pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.
Amat unik apabila seorang pekerja pembersihan dan tukang sapu dari SWM Environment memutuskan untuk mengambil peluang mempelajari bahasa pelancong yang ditemuinya di Mersing, Johor.
Mohamad Azizi Bahuddin berusia 42 tahun, melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar pusat bandar Mersing yang menjadi tempat tumpuan pelancong, kini boleh berkata bahawa dia mampu bertutur dalam 11 bahasa asing yang asas dan mudah untuk dipelajari, lapor Kosmo!

Pekerja pembersihan ini boleh berbahasa Jerman, Sepanyol, Itali, Jepun, Cina, Belanda, Norway, Denmark, Ukraine, Czech dan Rusia.
Azizi mempelajari bahasa-bahasa itu daripada para pelancong yang lebih suka bertutur dalam bahasa ibunda mereka.
Mohamad Azizi, bapa kepada seorang anak berkata, dia berminat untuk mempelajari pelbagai bahasa asing setelah menyedari ramai pelancong lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda mereka berbanding Bahasa Inggeris.

“Sebelum pandemik COVID-19, sebagai tukang sapu, saya sering bertemu dengan pelancong asing yang datang mahu bercuti. Mereka menghabiskan banyak masa di terminal pengangkutan awam Mersing sementara menunggu perjalanan masing-masing ke pulau-pulau berdekatan. Saya selalu disapa dan dirujuk oleh pelancong asing untuk mendapatkan maklumat sehingga sekarang ini saya boleh bertutur secara asas dalam bahasa negara asing,” kata Azizi.
“Tambahan pula, ketika saya menyapa mereka dengan bertanya dalam Bahasa Inggeris, mereka tidak begitu gemar dan tidak endah untuk menjawab, terutama pelancong dari Rusia,” katanya.

Mohamad Azizi memberi inspirasi kepada semua supaya kita “jangan menilai buku dari kulitnya”.
Azizi berkata mempelajari bahasa asing boleh menjadi sukar kerana nada sebutan yang berbeza tetapi dia berusaha untuk mencatatkan perkataan yang ditutur di atas kertas agar dia tidak lupa. Secara asas dia boleh bertutur dalam bahasa yang berkenaan dengan pelancong asing.

“Saya akan meningkatkan kemahiran ini untuk memudahkan saya berkongsi maklumat pelancongan, membantu orang asing dan mewujudkan imej positif daerah Mersing, di samping tanggungjawab utama saya iaitu menjaga kebersihan di kawasan ini,” tambahnya.
Selain berbakat untuk menjadi fasih dalam pelbagai bahasa asing, Mohamad Azizi juga pernah menerima anugerah pekerja cemerlang dari SWM Environment, penyedia perkhidmatan pengurusan sampah dan pembersihan awam bersepadu di daerah itu.

Sungguhpun sejak pandemik COVID-19, Azizi mengakui berasa sedih dengan ketiadaan pelancong di daerah ini yang berlarutan selama lebih satu tahun.
Diharap dengan realisasi vaksinasi lengkap, maka sempadan antarabangsa dapat dibuka semula dan pelancong akan kembali mengunjungi Mersing, sekali gus Mohamad Azizi dapat terus mengasah kemampuan linguistik 11 bahasa asing itu atau lebih lagi.