27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 7, 2025
Utama Blog Laman 230

5 tindakan terbaik yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik

0

Adakala hari-hari yang dilalui agak membosankan dan memang sangat memenatkan. Kalau boleh kita mahu berhenti daripada melakukan semua itu dan bertukar kepada kehidupan yang baru. Kita juga mula tertanya-tanya adakalah hidup kita selama ini sudah baik atau masih ada ruangkah untuk ia menjadi lebih baik?

Jika anda punya soalan seperti itu anda mungkin perlukan perubahan dalam hidup. Namun, tidak mudah untuk berubah sekelip mata jadi anda boleh melakukan beberapa perkara pada awalnya sehingga suatu saat anda meraskan anda memiliki hidup yang lebih baik daripada sebelumnya.

Berikut adalah 5 langkah yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan sehari-hari anda. Selamat mendapatkan hidup yang lebih baik!

1. Jangan mencari salah seseorang

Apabila seseorang itu mempunyai peribadi yang semakin baik, mereka tidak akan mudah untuk menyakiti orang lain. Mereka akan mula faham bahawa setiap orang dididik dan dibesarkan dengan cara dan persekitaran yang berbeza jadi mereka akan mula untuk meraikan perbezaan tersebut. Mereka juga tidak akan memaksa orang lain mengikut cara mereka. Mereka juga akan mula mencari jalan untuk saling membantu.

Jika ada perbalahan atau salah faham, mereka tahu tiada yang akan menang atau kalah kerana bagi mereka hubungan antara manusia itu jauh lebih penting. Mereka percaya jika mereka menyakiti orang lain itu bermakna mereka menyakiti diri sendiri.

Jadi, jika mereka melihat sesuatu yang tidak menyenangkan atau sesuatu yang tidak baik mereka tidak akan memberitahu orang lain. Apa yang dilakukan ialah cuba untuk faham dan kekalkan hubungan sosial yang baik.

2. Belajar menjadi lebih berani

Apabila kehidupan seseorang itu semakin baik, mental mereka akan lebih kuat dan berani dan lama-kelamaan mereka boleh membina keyakinan diri yang lebih tinggi. Apa sahaja rintangan yang datang dalam hidup mereka akan lebih berani untuk menghadapinya.

Jadi, walaupun anda disakiti oleh orang lain anda perlu kuat dan tabah untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Proses tersebut pastinya tidak mudah. Tidak salah untuk anda menangis atau bersedih untuk seketika tetapi jangan terlalu lama kerana anda perlu bangkit semula. Perjalanan tersebut mungkin sukar tetapi pada akhirnya anda akan mendapatkan sesuatu yang baik dan lebih berharga.

3. Jangan mengeluh

Apabila seseorang itu semakin baik, mereka akan lebih banyak bersyukur. Walaupun ada masalah atau sesuatu yang tidak memuaskan hati yang berlaku, mereka tidak akan menghabiskan masa untuk mengadu atau mengeluh kepada orang lain. Mereka bahkan akan mencari punca kejadian dan mula mencari jalan serta solusi yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jadi, anda perlu faham bahawa mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah atau mengubah apa yang terlah berlaku. Keluhan hanya akan membuatkan anda terus berada dalam keadaan negatif dan hal itu akan memburukkan keadaan. Apa yang paling penting jangan bandingkan diri anda dengan orang lain bahkan hargai apa yang anda miliki dan lihatlah diri anda sebagai orang yang paling bertuah!

4. Banyakkan membaca

Antara aktiviti yang sangat baik ialah membaca. Mereka yang mempunyai akal yang sihat biasanya akan suka pergi ke kedai buku dan mencari buku atau bahan bacaan yang sesuai buat mereka. Dengan membaca kita dapat melihat sesuatu perkara dari sudut yang pelbagai.

Isi kandungan buku yang baik bukan sahaja akan memberi pengetahuan malah akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dan memberi idea baru untuk meneruskan hidup yang semakin mencabar.

Membaca bukan sahaja dapat mengubah pandangan seseorang malah jika anda teruskan tabiat ini anda akan secara sedar atau tidak ia akan mengubah gaya hidup seharian anda kepada sesuatu yang lebih baik.

5. Tidak lagi berpegang kepada kesempurnaan

Apabila kehidupan seseorang mejadi semakin baik mereka akan mula rasakan ketenangan dan hati mereka akan menjadi lebih lapang. Merek akan perlahan-lahan melupakan kesempurnaan yang mereka cari selama ini. Mereka juga akan berhenti taksub kepada kesempurnaan dan mula menerima keadaan seadanya.

Untuk berubah bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia juga bukan sesuatu yang sukar. Pada mulanya semuanya seperti mustahil untuk dilakukan tetapi sedikit demi sedikit anda akan boleh melakukannya. Mulakan dengan hal-hal yang kecil dan lama-kelamaan akan akan boleh berubah menjadi lebih baik.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

DCA lulus penggunaan Pfizer untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun- KKM

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Menurut Khairy KKM pada ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengeluar vaksin itu berhubung jadual penghantaran.

Keputusan ini bakal menyaksikan golongan tersebut bakal menerima vaksin buat kali pertama di negara ini.

“Kita masih mengadakan perbincangan dengan pihak PfizerBioNTech mengenai jadual penghantaran, kita akan mengumumkan nanti dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis lalu.

Berkait isu yang sama, Khairy memaklumkan KKM menubuhkan Jawatankuasa Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (CITF-C) hari ini untuk menjalankan pelaksanaan Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kanak-kanak).

Tambahnya lagi, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan COVID-19 Remaja (CITF-A) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B).

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pakai baju kurung untuk mendaki, pendaki Sabah ini pernah takluk Gunung Kinabalu dan berhasrat untuk sampai ke puncak Everest kelak

0

KOTA KINABALU: Aktiviti pendakian bukanlah sesuatu yang baru malah aktiviti lasak seperti sangat digemari ramai walau di mana mereka berada. Ada yang sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk membeli segala kelangkapan dan peralatan termasuk pakaian yang sesuai dan selesa untuk dipakai ketika mendaki.

Ketika orang memilih memakai baju dan seluar yang tahan lasak dan selesa, wanita ini sebaliknya memilih untuk menggunakan baju kurung setiap kali dia melakukan aktiviti pendakian.

Hadinah Inah Basinau, 41, yang merupakan anak kelahiran Sabah itu dikatakan lebih selesa mengenakan set baju kurung berbanding memakai baju dan seluar.

Menurutnya dia sering kali dinasihatkan pihak yang bertanggungjawab di tempat pendakian untuk menggunakan pakaian yang sesuai. Menurut mereka baju kurung hijau yang dipakainya tidak sesuai untuk melakukan aktiviti seperti itu tetapi wanita ini tetap meyakinkan mereka bahawa dia boleh melakukannya.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa wanita ini sudah mula mendaki dengan menggunakan baju kurung sejak tahun 2016 lagi.

Menurutnya dia tiada sebab khusus untuk menggunakan baju kurung bahkan pemakaiannya lebih dilihat dari sudut cabaran kepada dirinya sendiri dan kini baju kurung telah menjadi ‘trademark’ buatnya.

“Memakai baju kurung membantu saya bernafas lebih baik dan lebih teratur kerana saya mempunyai kelajuan yang konsisten dan tidak memaksa diri saya untuk melebihi had saya.

“Sehingga kini, saya telah mendaki lebih daripada 30 kali termasuk bukit dan gunung di Sabah, Bukit Gasing di semenanjung Malaysia, puncak Penawangan di Indonesia untuk Cabaran 20 Hike, dan Gunung Silipat di Thailand antara lain,” katanya lagi.

Kakitangan kerajaan yang bekerja dengan Jabatan Kesihatan Sabah itu juga pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu dengan berbaju kurung buat kali pertama pada 31 Jan 2018 dan baru-baru ini dia telah menakluki Gurkha Hut.

Pondok buatan manusia itu terletak di seberang puncak Oyayubi setinggi 4,000m di rabung barat Gunung Kinabalu. Untuk naik ke sana dia mengambil masa tambahan dari Low’s Peak.

Dia menyifatkan pengalaman mendaki ke Gurkha Hut merupakan sebuah pendakian yang lebih sukar kerana dia terpaksa menahan kesejukan selama kira-kira 10 jam dari Timpohon Gate bermula pada pukul 10 pagi.

“Disebabkan cuaca buruk dan hujan, ia menjadi lebih sejuk dan permukaan batu licin, justeru saya perlu lebih berhati-hati untuk berjalan kerana keadaan gelap di mana kami hanya mempunyai lampu suluh sebagai sumber cahaya.

Hadinah berkata dia akan mendaki Gunung Queshan di Taiwan pada tahun ini dan berharap dapat menakluk Gunung Everest pada masa hadapan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

“Buat apa simpan, bukan boleh bawa mati pun”, wanita ini kongsi nasihat berguna arwah ibunya yang boleh dijadikan pedoman

0

Tiada ibu bapa yang tidak mahukan yang terbaik buat anak masing-masing. Mereka seboleh mungkin mahu anak-anak membesar menjadi insan yang berguna.

Justeru, segala nasihat daripada mereka perlu diingat dan dipraktikkan di dalam kehidupan seharian, seperti apa yang dilakukan oleh seorang wanita ini.

Wanita bernama Nurlia Mohd Nor ini, berkongsi beberapa pesanan daripada arwah ibu. Walaupun ibunya tiada lagi di dunia, namun nasihatnya masih diingati Nurlia sehingga ke hari ini.

Berikut perkongsian Nurlia di laman Facebook miliknya, antara nasihat arwah ibu Nurlia yang boleh kita ikuti adalah :

#1 Pinggan mangkuk

Jelas Nurlia, pinggan mangkuk untuk kegunaan harian keluarga sebolehnya gunakan yang elok. Jangan tunggu tetamu datang, barulah kita keluarkan set pinggan mangkuk yang cantik.

Ini kerana lazimnya kita akan gunakan pinggan mangkuk biasa sahaja untuk kegunaan harian, apatah lagi jika ada anak kecil.

“Yang sebenarnya, family dalam rumah ini lagi kena raikan. Takkan tunggu tetamu datang baru suami atau anak-anak dapat merasa guna pinggan cantik kan. Mak dulu pinggan Pyrex coklat dia guna untuk pakai harian”.

“Buat apa simpan. Dah beli guna. Bukan boleh bawa mati pun”, kata bapa Nurlia pula. Harta benda sudah dibeli jadi silalah guna..

#2 Telekung

Sentiasa pastikan telekung bersih dan cantik. “Bila nak jumpa orang kita beria pilih baju cantik, siap make up bagai tapi nak menghadap Allah kenapa tak boleh cantik jugak kan. Tiba-tiba jadi berkira dan cincai saja”, tulis Nurlia.

Elakkan daripada memakai telekung yang sudah bertahi lalat, kuning mahupun kusam. Biarlah harganya murah asalkan bersih.

“Mak dulu telekungnya sentiasa bersih. Kalau tak sebab reput atau kain sudah jarang, memang boleh guna lagi. Bila Mak meninggal, saya wakafkan telekung-telekungnya yang masih elok di surau-surau”.

#3 Sejadah

Samalah seperti sejadah, ada masanya ia perlu dicuci. “Macam mana kita nak perkara lain pun cantik dan elok, sama jugalah dengan sejadah”.

Tambahnya, sejadah digunakan untuk menghadap Allah ketika bersolat, jadi jangan ambil mudah dan jangan biarkan ianya berbau kepam.

“Sampai masa kalau perlu tukar baru, tukarlah. Baju boleh beli dan tukar, kenapa sejadah tak boleh kan”, tulisnya lagi.

Ada benarnya setiap butiran perkongsian Nurlia. Sama-sama kita ambil iktibar ya. Mana yang baik, kita ikut, manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dr. Robert Malone: Amerika Syarikat dalam ‘psikosis formasi massa’ terhadap COVID-19

0

Penyumbang utama mRNA Dr. Robert Malone, seorang penyelidik terkemuka yang skeptik terhadap vaksinasi COVID-19 secara mandatori, mencadangkan kepada podcaster popular Joe Rogan—beberapa hari selepas Dr. Malone digantung dari Twitter—semasa temu bual itu beliau berpendapat Amerika Syarikat sedang mengalami ‘psikosis formasi massa’ atau “mass formation psychosis” dalam istilah yang tular.

“Kerajaan telah tidak terkawal dalam hal ini,” kata Dr. Malone mengenai mandat vaksin dalam wawancara podcast Joe Rogan Experience, yang disiarkan pada hujung minggu. “Dan mereka adalah pelanggar undang-undang. Mereka sepenuhnya mengabaikan bioetika. Mereka sama sekali tidak menghiraukan peraturan umum persekutuan. Mereka telah melanggar semua peraturan yang diketahui, di mana saya telah dilatih selama  bertahun-tahun.”

Dr. Robert Malone, pakar dalam teknologi vaksin mRNA menerima latihan di University of California–Davis, UC–San Diego, dan Salk Institute, telah disekat oleh Twitter pada minggu lalu. Dr. Malone memberitahu The Epoch Times bahawa Twitter tidak memberikan penjelasan mengapa akaun miliknya, yang telah mengumpulkan 500,000 pengikut, digantung.

Dr. Robert Malone (Gambar oleh The Epoch Times)

Jurucakap Twitter memberitahu Daily Dot bahawa akaun Dr. Malone “telah digantung secara kekal kerana pelanggaran berulang kali polisi maklumat salah COVID-19 kami … mengikut garis panduan sistem di sini, kami akan menggantung akaun secara kekal kerana pelanggaran berulang polisi ini.”

Twitter belum menjawab permintaan The Epoch Times untuk memberi komen mengenai penggantungan Dr. Malone.

“Mandat ini … secara jelas menyalahi undang-undang” dan “secara jelas tidak konsisten dengan Kod Nuremberg,” kata Dr. Malone semasa wawancaranya dengan Rogan, merujuk kepada set prinsip etika penyelidikan terhadap eksperimen manusia. “Mereka secara jelas tidak konsisten dengan laporan Belmont,” katanya, merujuk kepada laporan tahun 1978 yang diterbitkan dalam Daftar Persekutuan mengenai prinsip dan garis panduan etika untuk penyelidikan yang melibatkan subjek manusia.

“Mereka nyata menyalahi undang-undang, dan mereka tidak peduli.”

Pada penghujung wawancara podcast, Dr. Malone mencadangkan orang ramai kini berada di tengah-tengah apa yang dipanggilnya “psikosis formasi massa”, menggambarkan mentaliti yang selari berkembang di kalangan populasi Jerman pada tahun 1920-an dan 1930-an.

Pada tahun-tahun itu, warga Jerman “mempunyai populasi yang sangat pintar, berpendidikan tinggi, dan mereka kemudian menjadi gila,” kata Dr. Malone.

“Apabila anda mempunyai masyarakat yang telah terpisah antara satu sama lain dan mempunyai kebimbangan yang tersebar bebas dalam perkara yang tidak masuk akal, yang kita tidak dapat memahaminya. Dan kemudian perhatian mereka tertumpu oleh seorang pemimpin atau siri acara pada satu titik kecil, sama seperti hipnosis. Mereka benar-benar terpukau dan boleh dibawa ke mana-mana.”

“Mereka akan mengikut orang itu. Tidak kira sama ada orang itu berbohong atau berbuat apa sahaja kepada mereka.”

Beberapa tahun yang lalu, kata Dr.Malone, orang ramai “mengeluh dunia tidak masuk akal” dan kami tidak “dihubungkan secara sosial lagi, kecuali melalui media sosial.”

“Kemudian perkara ini berlaku. Begitulah psikosis formasi massa berlaku dan itulah yang berlaku di sini,” kata Dr. Robert Malone yang merujuk kepada pandemik COVID-19.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Atlet berbasikal Terengganu jadi wanita pertama Asia Tenggara sertai pasukan berbasikal bertaraf dunia di Sepanyol

0

Atlet berbasikal dari Terengganu, Siti Nur Alia Mansor melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih untuk menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team yang berpangkalan di Sepanyol.

Gadis berusia 21 tahun itu berkata, tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan terkemuka itu tentunya bagaikan ‘mimpi’ yang menjadi nyata dalam hidupnya.

Menurutnya, pada bulan Jun tahun lalu, dia telah dihubungi oleh Adam Szabo iaitu bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) yang kini melatih pasukan Canyon-SRAM Racing Team.

“Beliau menyatakan minat untuk mengetengahkan bakat saya bersama pasukan mereka”, ujar Siti Nur Alia.

“Saya mengambil masa sebulan untuk bersetuju selepas memikirkan masa depan dan perkembangan kerjaya dalam arena berbasikal”, katanya semasa majlis meraikan kejayaannya di Wisma Darul Iman.

Di majlis berkenaan, Siti Nur Alia yang juga merupakan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu turut menerima sumbangan wang saku RM3,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Wan Sukairi berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu akan meneruskan pemberian elaun bulanan RM1,500 kepada Siti Nur Alia selama setahun.

“Kami amat bersyukur pasukan baharu Alia bersedia untuk membenarkan beliau kembali pada April untuk menyertai SUKMA.

“Jadi kami berharap beliau akan menggunakan peluang tersebut untuk menimba pengalaman berharga di sana dan mengharumkan nama negeri sepanjang SUKMA 2020 yang dijangkakan berlangsung pada Jun”, tambahnya.

Disebalik keterujaan dalam mengembangkan karier ke luar negara, Siti Nur Alia pada masa yang sama turut berasa gugup dan gementar kerana bakal beraksi dengan rakan sepasukan yang berpengalaman luas.

“Ia adalah batu loncatan atau permulaan untuk saya mengejar impian yang lebih besar iaitu beraksi di pentas sukan terbesar – Olimpik”, katanya.

“Saya akan membalas pengorbanan dan jasa semua pihak termasuklah keluarga, jurulatih dan keluarga besar basikal Terengganu dengan mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas dunia suatu hati nanti”, azamnya.

Siti Nur Alia dijangka akan berlepas ke Jerman pada 13 Januari akan datang, sebelum menuju ke Sepanyol.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Telefon pintar BlackBerry secara rasmi menamatkan operasi

0

Jika dahulu telefon jenama BlackBerry menjadi fenomena namun kini secara rasminya syarikat terbabit sudah pun menamatkan servis dan perkhidmatannya.

Terdahulu, telefon jenama ini menjadi kegilaan anak muda di zaman sekitar 2000-an ekoran aplikasi khasnya – BlackBerry Messenger (BBM) yang hanya digunakan oleh pengguna mereka sahaja.

Bahkan apa yang menjadi nilai tambah dan istimewanya telefon pintar BlackBerry ini adalah papan kekunci QWERTY yang telah digunakan, disaat telefon jenama lain masih belum menggunakannya.

Difahamkan bahawa BlackBerry sudah menghentikan sistem operasi peranti pada model keluarannya seperti BlackBerry 10, 7.1 OS dan produk keluaran sebelumnya bermula 4 Januari lalu.

“Selepas tarikh ini, peranti-peranti yang menggunakan servis dan perisian tersenarai sudah tidak lagi berfungsi walaupun menggunakan sambungan Wi-Fi”.

“Pemberhentian servis ini termasuk untuk penggunaan data, panggilan telefon, SMS dan panggilan kecemasan”, jelas syarikat tersebut.

Menurut syarikat itu, perkhidmatan lain yang turut ditamatkan adalah seperti BBM, BlackBerry e-maill, BlackBerry ID, BlackBerry Protect dan lain-lain.

Pun begitu, peranti BlackBerry yang menggunakan data perisian Android masih boleh digunakan lagi, termasuklah model BlackBerry Priv, BlackBerry KEYone dan BlackBerry KEY2.

Ini bermakna, peranti yang tidak menggunakan data perisian Android tidak lagi boleh mengakses data, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), mengakses internet atau membuat sebarang panggilan termasuklah panggilan kecemasan.

Sebahagian besar pengguna sudah beralih daripada terus menggunakan BlackBerry semenjak keluaran terakhir sistem operasi itu dilancarkan pada tahun 2013.

Pada September 2020, syarikat itu dikatakan sedang berusaha untuk memberi tumpuan kepada penyediaan perisian dan perkhidmatan keselamatan kepada perusahaan dan pemerintah di seluruh dunia di bawah jenama BlackBerry Limited.

Ringkasnya, kebanyakan model BlackBerry sudah dihentikan penjualan sejak tahun 2016, namun syarikat itu tetap melesenkan jenamanya kepada syarikat OnwardMobility – sebuah syarikat peranti keselamatan bagi telefon pintar di Texas.

Siapa sangka jenama yang pernah menguasai dunia telefon pintar dan menjadi kegilaan orang ramai kini sudah tiada lagi.

Kedatangan iPhone dan Android ternyata menjadikan populariti BlackBerry kian merudum dan menyepi, sehingga menamatkan perkhidmatannya.

BlackBerry kini hanya tinggal kenangan. Selamat tinggal BlackBerry!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Tidak boleh terima hakikat Krismas sudah berakhir, dua ekor anjing bersungguh-sungguh halang tuannya daripada membuang pokok Krismas

0

Siapa sahaja yang tidak suka dengan musim perayaan atau cuti panjang? Kita tidak perlu susah-susah bangun awal pagi semata-mata untuk menghadap jalan yang sibuk, atau tidak perlu berasak-asak di dalam pengankutan awam untuk ke kelas. Apa yang paling menyeronokkan masa cuti adalah masa yang boleh dihabiskan bersama keluarga tersayang!

Kalau sudah berkumpul beramai-ramai pastinya meriah. Rumah yang sunyi mula bertukar meriah kerana ahli keluarga bersama-sama dalam menyediakan pelbagai jenis juadah dan hiasan rumah untuk menyambut apa sahaja perayaan yang diraikan.

Semuanya indah ketika itu tetapi momen seperti itu akan tiba ke penghujung juga. Suka atau tidak setiap perayaan akan berakhir dan kita akan kembali semula kepada kehidupan sebenar. Ketika itu hiasan rumah juga bertukar kepada sedia kala.

Memang menyedihkan untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada musim perayaan tetapi semua orang perlu melakukannya. Namun, nampaknya tidak semua yang bersedia untuk membiarkan musim perayaan berkahir secepat itu.

Itu lah yang mungkin dirasai oleh dua ekor anjing ini apabila mereka seolah-olah tidak boleh menerima hakikat bahawa Krismas sudah berakhir. Apa yang berlaku ialah mereka berkeras dan bersungguh-sungguh tidak membenarkan tuannya untuk membuang pokok Krismas.

Memang sudah menjadi kebiasaan untuk membuang pokok Krismas apabila berakhirnya sambutan perayaan tersebut tetapi kedua-dua ekor anjing ini nampaknya tidak mahu perayaan itu tamat. Memadangkan pokok Krismas adalah lambang kepada perayaan itu jadi mereka tidak mahu pokok tersebut dibuang begitu sahaja.

Jadi, ketika mereka melihat tuannya mahu membuang pokok tersebut mereka terus merebut pokok tersebut dengan sekuat tenaga mereka. Mereka kelihatannya memang tidak mahu membenarkan tuannya untuk membuang pokok tersebut kerana mereka tahu apabila pokok tersebut dibuang ini bermakna perayaan Krismas mereka sudah tamat! Jadi, mereka tidak mahukan perkara tersebut berlaku dengan mempertahankan pokok tersebut walaupun terpaksa melakukan adegan tarik menarik sehingga tuannya terjatuh.

Namun begitu, sekuat mana pun tenanga dan kudrat mereka akhirnya mereka tetap tidak mampu bertahan lagi. Tanpa sempat dihalang tuannya berjaya merampas pokok tersebut dan terus membuangnya ke luar pagar.

Anjing-anjing itu sudah semestinya sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Mereka terus menuju ke arah pagar untuk melihat pokok yang telah dibuang itu seolah-olah tidak percaya bahawa kini sudah tiada lagi pokok Krismas buat mereka.

Kejadian lucu tersebut telah dirakam sebelum dimuat naik ke laman sosial. Menurutnya dia pada mulanya hairan mengapa suaminya mengambil masa yang lama untuk membuang pokok Krismas tetapi setelah diselidiki rupa-rupanya suaminya sedang ‘diserang’ oleh dua ekor anjing mereka yang tidak mahu Krismas berakhir!

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Keindahan alam bak lukisan, alami penerokaan unik khazanah budaya Jeollanam-do, Korea Selatan

0

Apabila membincangkan mengenai pelancongan ke Korea Selatan, kebanyakan orang akan memikirkan destinasi popular seperti Seoul, Busan, dan Pulau Jeju. Seoul merupakan bandar moden yang indah manakala Pulau Jeju mempamerkan keindahan alam semula jadi Korea Selatan.

Namun terdapat satu lagi tempat yang indah terletak di antara Seoul dan Pulau Jeju iaitu Jeollanam-do. Ramai yang berpendapat lawatan ke Korea Selatan tidak sempurna tanpa menjejakkan kaki ke Jeollanam-do.

Jeollanam-do terletak di pantai barat bahagian barat daya semenanjung Korea, menghadap China di seberang laut, ia dikenali sebagai “Mutiara Pantai Barat Daya Korea Selatan”. Ia digelar sebagai sebuah lukisan pemandangan yang indah di mana terdapat pergunungan, sawah padi, laut, pulau dan pantai yang banyak.

Bentuk muka bumi semula jadi seperti gunung, tasik, sungai, laut dan pulau masih terpelihara dengan baik. Selain pemandangan yang indah, Jeollanam-do dikatakan sebagai sebuah khazanah budaya rakyat Korea Selatan, di mana budaya rakyatnya yang makmur. 

Jeollanam-do juga diiktiraf sebagai “Kampung Makanan Menarik” di Korea Selatan, di mana ia merupakan tempat asal bagi pelbagai masakan tradisional Korea. Setiap bandar di Jeollanam-do mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sebagai contoh, bandar pelabuhan Mokpo ialah kampung halaman ramai artis Korea Selatan yang terkenal; Yeosu, terletak di tengah pantai selatan Korea Selatan, bersinar di Ekspo Dunia 2012; Suncheon merupakan titik penumpuan bagi sejarah dan alam semula jadi.

Banyak filem dan drama televisyen telah difilemkan di sini; terdapat juga “Hometown of Bamboo”-Damyang County, “First Recreation Sanctuary of Jeonnam”-Gurye County, Perkampungan Pulau -Sinan County, dan lain-lain. Mari kita melancong ke Jeollanam-do untuk merasai pesonanya.

“Bandar Gourmet, Pelabuhan Romantik”- Mokpo

Mokpo ialah sebuah bandar pelabuhan di hujung barat daya Korea Selatan, ibu kota Wilayah Jeollanam-do, juga bandar pelabuhan terdekat ke Shanghai.

Pekan lama yang berpusat di “Gunung Yudal” mengekalkan bangunan permulaan zaman moden, dan anda boleh mengalami perjalanan nostalgia di sini.

Jalan kebudayaan merupakan tempat terletaknya monumen semula jadi, “Sagaram”, dan juga tertumpunya tempat kebudayaan seperti Muzium Maritim Negara, Muzium Sejarah Alam, Muzium Tembikar Kehidupan, dan Dewan Seni Budaya di sini. Mengalami suasana budaya secara mendalam dari Mokpo boleh dirasai di sini. Landskap semula jadi dan kebudayaan juga agak menarik.

Kereta Kabel Atas Laut Mokpo terkenal dengan pemandangan matahari terbenam di Laut Hadapan Mokpo dan keindahan Gunung Yudal. Perasaan memukau dapat dirasai apabila melihat Gunung Yudal yang semakin terang, ia seolah-olah berada di Athens, Greece.

Mokpo terkenal dengan hidangan makanan lautnya kerana lokasinya yang strategik dan makanan laut yang kaya. Apabila bercakap tentang makanan laut, orang Korea memikirkan Mokpo, dan apabila bercakap tentang Mokpo, mereka secara semula jadi memikirkan makanan laut.

Sotong, ikan pari bertompok, sashimi gutta-percha kuning, ketam bunga sejuk, ikan hairtail rebus pedas, sashimi bawal perak, mullet sejuk, sup monkfish (rebus pedas), dan sup kerapu dikenali sebagai “Mokura Nine Flavors” Ia adalah makanan paling lazat yang mencerminkan ciri-ciri Mokpo.

Seperti kata pepatah, jika anda tidak makan Mokura Nine Flavors di Mokpo, anda akan datang dengan sia-sia. Lawati Mokpo untuk merasai makanan laut yang berbaloi dan alami keseronokan menikmati makanan laut yang baru ditangkap dan terus dimasak.

“Perkampungan Pulau”-Sinan County (Sinan-gun)

Daerah Sinan adalah satu-satunya daerah di Korea Selatan yang terdiri daripada pulau-pulau, dan kini terdapat kira-kira seribu pulau.

Pulau Banwol dan Pulau Pak Ji ialah dua pulau bersebelahan di Daerah Sinan. Ia menjadi tarikan pelancongan yang baru. Kedua-dua pulau itu dihubungkan dengan jambatan berwarna ungu sepanjang kira-kira 1.4 kilometer.

Pemandangan pada malam amat romantis di bawah pencahayaan lampu dan cahaya bulan. Terdapat juga bunga lavender ungu, dan pelbagai bangunan serta kemudahan juga dicatkan dengan warna ungu.

Sekelilingnya dipenuhi dengan warna ungu yang mempesonakan, maka tidak hairanlah ia dikenali sebagai “pulau ungu” (Purple Island).

Bagi menarik lebih ramai pelancong yang suka mendaki, majlis tempatan daerah Sinan telah membina persiaran dan denai mendaki di pulau itu.

Jika anda ingin memilih cara yang lebih cepat untuk menikmati pemandangan di pulau itu, anda boleh menyewa basikal di pintu masuk pulau.

Selain itu, Purple Island telah dinobatkan sebagai salah satu “Perkampungan Pelancong Terbaik” oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Laut Malam yang Menawan”- Yeosu

Bercakap tentang “Laut Malam Yeosu”, Yeosu wajib diperkenalkan. Yeosu merupakan bandar pantai yang cantik. Pada waktu malam, terdapat lampu yang terang di mana-mana, keindahan Yeosu di bawah lampu neon yang cantik membuatkan ramai tidak sanggup meninggalkan bandar itu.

Jika anda ingin menikmati pemandangan malam bandar yang lengkap dari udara, maka Kereta Kabel Laut Yeosu adalah pilihan terbaik. Ini adalah kereta kabel pertama Korea yang menghubungkan pulau dan darat, dengan panjang keseluruhan kira-kira 1.5 kilometer. Kereta tersebut dibahagikan kepada kereta kristal dan kereta biasa.

Jika anda ingin merasai kereta kabel yang lebih realistik dan mengujakan, disyorkan untuk menaiki kereta kabel kristal. Ia adalah kebanggaan Kereta Kabel Laut Yeosu. Tapaknya diperbuat daripada kaca terbaja, pengalaman melalui laut di bawah kaki pasti sukar dilupakan. Pemandangan laut yang luas dapat dinikmati melalui tingkap, fikiran pun menjadi tenang.

Selain menaiki kereta kabel pada waktu siang, juga disyorkan untuk menaiki kereta kabel pada waktu malam untuk menyaksikan pemandangan malam Yeosu di atas laut.

Tidak seperti pemandangan semula jadi laut biru dan langit biru pada siang hari, pemandangan malam Yeosu penuh dengan perasaan romantis. Ia telah menjadi lokasi wajib untuk “check-in” dalam pelancongan ke Yeosu.

Taman Doosan, yang menghadap Jambatan Doosan dan Pulau Jiangjun pada waktu malam, juga merupakan pilihan yang baik untuk menikmati keindahan Yeosu.

Di sini, persembahan jalanan boleh dilihat di mana-mana, penghibur menyanyi dengan bersungguh-sungguh, dan orang ramai pula menghayati lagu yang dipersembahkan. Ia adalah satu lagi keseronokan rohani selepas lawatan sehari.

Apabila anda datang ke Yeosu dan ingin merasai hidangan makanan laut yang segar, maka pilihan pertama Carriage Street yang terkenal dengan gerai makanannya. Menikmati makanan laut dan angin laut di tepi pantai pada waktu malam seolah-olah segala masalah dapat dilupakan.

Yeosu di Jeollanam-do, Korea Selatan, wajib dilawati sekali buat seumur hidup. Percayalah anda bukan sahaja dapat melihat pemandangan yang indah, tetapi juga keluarga, persahabatan dan cinta!

“Bandar Bersejarah dan Ekologi”- Suncheon

Suncheon ialah bandar ekologi menarik yang juga satu-satunya tanah lembap pantai yang lengkap di dunia. Di tanah lembap Teluk Suncheon, dua projek pengalaman paling popular ialah Pengalaman Sinaran Bintang Teluk Suncheon dan Pengalaman Ekologi Teluk Suncheon.

Pengalaman sinaran bintang merupakan aktiviti memerhati jasad angkasa di langit malam Teluk Suncheon dengan menggunakan teleskop. Manakala pengalaman ekologi berubah mengikut musim yang berbeza dengan tema yang berbeza.

Aktiviti merangkumi mengamati keindahan semula jadi Teluk Suncheon seperti burung migrasi, tumbuhan halofit dan organisma bentik. Jika anda perhatikan dengan teliti ke kawasan Teluk Suncheon, anda juga boleh melihat ketam dan ikan kepala panjang di kawasan berlumpur.

Taman Negara Teluk Suncheon ialah taman perhutanan buatan terbesar yang dibina untuk melindungi Teluk Suncheon, ia juga merupakan taman perhutanan buatan pertama di Korea Selatan.

Di sebelah timur halaman adalah halaman bertema Sepanyol, Mexico, Perancis, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat, Itali, Britain, China, Jepun, Thailand dan negara lain, dan di sebelah barat adalah kawasan tanah lembap dan arboretum (Taman besar yang ditanam dengan pokok-pokok dan tumbuhan yang lain).

Oleh kerana hanya terdapat beberapa halaman yang bersambung, jika anda ingin melawat setiap halaman, anda perlu menaiki kereta persiaran di halaman. Setiap sudut halaman boleh diambil gambar dan “check-in”. Gambar berkualiti seperti dalam majalah dapat saja diambil di mana sahaja anda pergi.

Jika anda ingin merasai budaya rakyat Jeollanam-do, terdapat sebuah bandar purba di kawasan pergunungan iaitu Perkampungan Rakyat Nak An Eupseong. Terdapat bandar purba, kampung dan rumah persendirian yang dipelihara dengan baik dari era Joseon.

Walaupun mempunyai sejarah yang panjang, tembok kota di situ masih mengekalkan bentuknya seperti zaman dahulu.

Masih terdapat lebih daripada 100 buah keluarga yang tinggal di bandar tersebut. Rumah jerami yang tidak terkira banyaknya seolah-olah telah mengembara dari bandar moden ke era Joseon, penuh dengan pesona yang diwarisi daripada orang dahulu kala, ia telah menjadi lokasi penggambaran bagi banyak drama sejarah.

Banyak adegan drama Korea “Dae Jang Geum” dirakam di sini. Di Perkampungan Rakyat Le’an Yicheng, terdapat juga pelbagai aktiviti dan persembahan pengalaman adat tradisi rakyat, yang juga patut dikunjungi oleh pelancong dengan lebih teliti.

“Perkampungan Buluh, dan Puisi”- Damyang

Damyang County ialah tempat di mana cendekiawan terkenal meninggalkan jejak mereka. Pada masa lalu, untuk membolehkan cendekiawan menulis dan melukis dengan lebih baik, pondok dibina dalam persekitaran landskap yang indah dan tenang. Terdapat sepuluh pondok yang penuh dengan suasana budaya. Ia merupakan tempat terbaik bagi merehat dan menenangkan minda.

Damyang terkenal dengan buluh hijaunya, di mana taman buluh hijau yang wajib dilawati. Terdapat taman buluh yang padat, udara yang segar, tempat duduk yang cantik dan romantis, dan laluan pejalan kaki yang sunyi.

Berjalan ke dalam hutan buluh seperti terasing dari dunia luar, tanpa bunyi bising, ia amat tenang dan menyegarkan. Laluan itu terdiri daripada lapan tema, pelbagai arca dan papan tanda kayu yang dibina pada kedua-duanya sisi mengikut latar belakang cerita yang sepadan.

Pelawat boleh memilih laluan berjalan kaki untuk melawat mengikut masa dan kekuatan fizikal mereka sendiri.

Selepas menikmati kesegaran taman buluh hijau, anda boleh pergi ke pusat khidmat pelancong untuk rehat minum teh. Teh di sini diperbuat daripada titisan embun yang diambil daripada daun buluh. Rasanya manis dan wangi.

Pada masa yang sama, taman buluh hijau juga mempunyai kemudahan seperti dewan pameran ekologi, air terjun buatan, kolam teratai ekologi, perkampungan budaya puisi, tempat persembahan, dan lokasi penggambaran pengiklanan filem dan televisyen. Bagi memudahkan lawatan malam, lampu hutan malam dipasang khas di dalam taman.

“Tempat Peranginan Pelancong No.1 Jeollanam-do”- Gurye

Daerah Gurye terletak di barat daya semenanjung Korea, berhampiran dengan bandar-bandar utama seperti Seoul, Busan dan Gwangju. Ia adalah pusat peranginan pelancongan utama di Jeollanam-do.

Gurye, yang menggabungkan budaya tradisional dan pemandangan semula jadi, mempunyai banyak kuil purba, seperti Kuil Huayan, Kuil Quanyin dan Kuil Yangu.

Antaranya, Kuil Hwaeumsa dengan sejarah terpanjang terletak di lereng gunung Gunung Jirisan di Daerah Gurye. Ia merupakan kuil terbesar di antara banyak kuil di Gunung Jirisan dan salah satu kuil terpenting di dunia, Buddha Korea. Jalan ke Kuil Huayan berdekatan dengan lembah, yang mana lembah ini dipanggil Lembah Kuil Huayan.

Di sepanjang lembah yang berliku di jalan pergunungan dan di sebelah kanan jalan adalah tempat berehat untuk “Hiburan dalam Bandar”, dengan kotej jerami dan kincir air di mana-mana. Selepas melepasi tempat rehat, tiba pula di Kuil Huayan.

Di dalam kuil, terdapat bangunan kayu biasa Gakwongjeon, pagoda batu tiga tingkat dengan empat singa, struktur tanggam dan duri Dewan Besar, serta pagoda batu lima tingkat yang megah. Cahayanya yang dikenali sebagai “lampu cerah”.

Di samping itu, terdapat banyak peninggalan budaya yang merupakan khazanah negara dan karya seni yang diukir oleh tukang batu pada era Silla, yang patut dinikmati oleh para pengunjung.

Jika anda bosan dengan kehidupan yang serba pantas di bandar, anda juga boleh melakukan perjalanan keseronokan meditasi untuk mencari kedamaian dan ketenangan dalaman untuk diri anda.

 Jeollanam-do kaya dengan landskap semula jadi dan tarikan kebudayaan. Sama ada anda berehat, mencari keseronokan atau mengalami tradisi eksotik, anda boleh berpuas hati di Jeollanam-do.

Seperti kata pepatah, “lebih baik untuk melihat sekali daripada mendengar seratus kali”. Anda juga mungkin mengembara di tempat menarik dan mengalami sendiri kegembiraan itu dengan melihat, menikmati makanan, menerokai dan mengetahui.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila klik sini.

5 fakta anda perlu tahu mengenai bekas Juara Dunia dan penerjun negara bersara Cheong Jun Hoong

0

Penerjun negara Cheong Jun Hoong secara rasmi mengumumkan persaraannya selepas mewakili Malaysia selama lebih dua dekad sejak 1999.

Dalam satu kenyataan di laman sosial pada 4 Januari, Jun Hoong berkata beliau menerima kegagalannya dengan tangan terbuka.

“Sejak pembedahan lutut kedua saya pada 2018, saya hanya fokus kepada pemulihan dan mengumpulkan keberanian untuk kembali ke platform terjun dengan tujuan untuk melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik pada tahun lepas walaupun menghadapi pelbagai halangan,” tulisnya. 

Facebook

“Tetapi saya mesti mengakui bahawa saya berasa kesal kerana saya tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan itu walaupun saya telah berusaha sebaik mungkin.”

Walaupun Jun Hoong menyatakan yang beliau ingin terus mewakili Malaysia, namun terpaksa menerima keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak memperbaharui kontraknya.

“Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan, dan Majlis Olimpik Malaysia atas sokongan mereka sepanjang tahun, kerana tanpa mereka saya tidak akan berada seperti sekarang.”

Jun Hoong juga berterima kasih kepada Institut Sukan Negara dan para doktor, ahli fisioterapi pemulihan, kaunselor, dan semua kakitangan lain atas sokongan dan galakan mereka untuk setiap langkah dalam kerjayanya.

Untuk meraikan kerjayanya yang cemerlang, berikut ialah beberapa fakta yang mungkin anda tidak pernah tahu mengenai penerjun negara itu:

#1. Berasal dari Batu Gajah, Perak

Twitter

Cheong Jun Hoong dilahirkan pada 16 April 1990 dan berusia 32 tahun pada tahun ini.

Menurut profil atlet FINA, beliau menceburi sukan terjun selepas bapanya mendaftarkannya untuk pelajaran renang pada usia empat tahun. Dipantau oleh jurulatih negeri Perak ketika itu, Zhou Xiyang, Jun Hoong dijemput untuk mencuba acara terjun pada usia sembilan tahun.

Pada usia 13 tahun, Jun Hoong mendapat tempat di Sekolah Sukan Bukit Jalil, di mana beliau mula berlatih dan bersaing secara profesional.

Secara visual berbadan kecil pada ketinggian 153cm, Jun Hoong pakar dalam acara terjun individu 1m, 3m dan 10m serta terjun seirama.

#2. Mencipta sejarah dengan menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran kejohanan dunia dalam sukan terjun

Twitter

Jun Hoong dinobatkan sebagai juara dunia pada Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary pada tahun 2017 dengan membawa pulang emas dalam acara 10 meter Platform Individu Wanita.

Empat daripada tujuh hakim memberikan markah sempurna 10 pada terjunan terbaiknya dalam pertandingan itu, dan beliau menamatkan dengan markah keseluruhan 397.5.

Kemenangannya telah memecahkan rekod penguasaan China dalam sukan terjun dengan mencipta kejayaan yang penuh bersejarah.

“Ya Tuhan, saya adalah juara dunia! Saya hanya mengharapkan pingat, tetapi saya tidak sangka boleh mengalahkan penerjun China,” katanya ketika itu.

#3. Mempunyai sejarah kecederaan yang panjang dan hampir meninggalkan sukan itu pada usia 19 tahun

Twitter

Menurut FINA, Jun Hoong mengalami kecederaan belakang semasa Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia, yang memaksanya terlepas Sukan Asia pada tahun itu di Qatar.

Jun Hoong mempertimbangkan untuk meninggalkan sukan terjun pada 2009 tetapi digalakkan oleh jurulatihnya untuk bertahan.

Pada 2015, Jun Hoong cedera pada kedua-dua tumitnya selepas terlalu hampir dengan papan anjal semasa melakukan terjunan, dan pada 2017, beliau diganggu sekali lagi dengan masalah kecederaan belakang dalam Kejohanan Dunia di Budapest.

Jun Hoong berehat daripada kejohanan selepas menjalani pembedahan lutut pada Jun 2018.

Pada 2019, beliau mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kanannya, yang disebabkan ketika menggunakan tongkat semasa pemulihan daripada kecederaan lutut kirinya.

#4. Sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan berjaya membuat kemunculan semula

Twitter

Cheong Jun Hoong berjaya mengatasi kecederaannya, dan meneruskan latihan selepas tempoh pemulihan dengan berjaya membawa pulang lebih banyak pingat untuk Malaysia.

Beliau juga menamatkan ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia pada tempoh berehat.

“Saya pernah terfikir untuk bersara, tetapi itu adalah perkara biasa apabila anda berasa kecewa atau menghadapi masalah kerana kita adalah manusia,” katanya pada pertandingan Terjun Dalam Talian Antarabangsa Malaysia 2020.

“Saya masih mahu bersaing, dan itulah semangat yang ada pada saya sebagai atlet. Namun, untuk bersaing, saya perlu memastikan saya berada dalam keadaan terbaik untuk melakukan tugasan.”

#5. Cheong Jun Hoong berjaya membawa pulang sejumlah 34 pingat dunia FINA dan Olimpik di sepanjang kerjayanya

Twitter

Profil atletnya menyatakan Cheong Jun Hoong telah memenangi tujuh pingat emas, 14 perak, dan 13 gangsa sepanjang 22 tahun bertanding dalam kejohanan peringkat dunia.

Jun Hoong berjaya melakar namanya dalam kalangan atlet terhebat Malaysia dengan menggondol pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter Platform Seirama Wanita.

Selain emas bersejarah di Kejohanan Dunia FINA 2017, Jun Hoong juga memenangi pingat gangsa dalam acara 10m Platform Seirama Wanita pada pertandingan yang sama, sekali lagi bersama Pandelela.

Twitter

Beliau ialah pemenang pingat emas enam kali dalam Sukan SEA, dan telah menggondol lebih banyak pingat di pelbagai edisi Sukan Komanwel, Siri Dunia Terjun FINA, Grand Prix Terjun FINA, Piala Dunia FINA, Piala Terjun Asia, dan Sukan Asia.

Cheong Jun Hoong turut diberi penghormatan membawa bendera Malaysia pada majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, dan turut dinobatkan sebagai Olahragawati Terbaik oleh MSN pada tahun yang sama.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: