35.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025
Utama Blog Laman 204

Beberapa kit ujian pantas Covid-19 mungkin mempunyai bahan kimia bertoksik yang berbahaya

0

Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati kerana kit ujian Covid-19 di rumah mungkin mengandungi bahan toksik yang mungkin berbahaya kepada bukan hanya golongan dewasa malah terhadap kanak-kanak.

Bahan kimia yang dimaksudkan itu ialah Sodium Azide, dan Medical Center’s Drug and Poison Information Center di Hospital Kanak-kanak Cincinnati dilaporkan telah menerima banyak panggilan berkenaan dengan kes di mana orang ramai terdedah kepada bahan kimia itu memandangkan kini semakin ramai melakukan ujian kendiri di rumah.

Sementara itu, Pusat Kawalan Racun Kebangsaan (National Poison Control Center) sudah mengeluarkan amaran mengenai bahan kimia itu.

“Adalah penting untuk tahu bahawa terdapat beberapa jenis bahan kimia dalam kit antigen pantas termasuk Sodium Azide, sejenis kimia yang berfungsi sebagai agen pengawet,” kata pusat itu.

Mereka turut mendedahkan beberapa jenama yang mengandungi bahan kimia tersebut iaitu kit antigen pantas Covid-19 BinaxNow, BD Veritor, Flowflex dan Celltrion DiaTrust Covid-19.

Kenali Sodium Azide

Sodium Azide adalah sejenis cecair kimia yang sering digunakan sebagai pengawet dalam beberapa kit ujian Covid-19. Bahan kimia itu tidak berwarna, tidak memiliki rasa dan tidak berbau, dan ia digunakan terutamanya dalam beg udara kereta dan sebagai agen kawalan perosak.

Risiko boleh terjadi kepada mereka yang termakan atau tertelan bahan kimia ini. Hal ini boleh menyebabkan individu tersebut mengalami tekanan darah rendah, yang boleh mengakibatkan pening, sakit kepala atau berdebar-debar.

Tidak hanya itu, pendeahan kepada bahan kimia ini juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit, mata atau hidung. Jika ada individu terdedah kepada kuantiti Sodium Azide yang lebih banyak mereka boleh berhadapan dengan ancaman kesihatan yang lebih teruk. Mereka mungkin boleh terkena sawan, pengsan, kecederaan paru-paru atau kegagalan pernafasan yang membawa kepada kematian.

“Dos kecil Sodium Azide boleh menurunkan tekanan darah, dan dos yang lebih besar boleh menyebabkan kesan kesihatan yang lebih serius,” kata penasihat dari Health Canada. “ProClin juga terdapat dalam banyak kit. Ia mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi kulit dan mata, serta tindak balas alahan.”

Beberapa hospital di seluruh Amerika Syarikat berkata mereka telah menerima banyak panggilan telefon mengenai kes melibatkan bahan kimia itu.

“Kami mula terdedah kepada kit ujian ini sekitar awal November lalu,” kata Sheila Goertemoeller, ahli farmasi dan ahli toksikologi klinikal di Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati.

Menurutnya lagi, apa yang lebih membimbangkan ia terjadi kepada semua peringkat umur terutama kanak-kanak yang masih kecil.

Pendedahan secara tidak sengaja boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, kata Dr. Kelly Johnson-Arbor.

“Orang ramai mungkin tersalah anggap mereka sebagai ubat titis mata. Kanak-kanak mungkin terkena pada kulit mereka. Orang dewasa kadang-kadang tersilap meletakkan bahan kimia itu di mata mereka,” katanya lagi.

Tambahan lagi, kimia tersebut boleh menyebabkan reaksi seperti alahan atau ruam pada kulit. Bagi mereka yang sudah membeli kit ujian tersebut mereka dinasihatkan untuk tidak membuangnya tetapi perlu lebih berhati-hati ketika menggunakannya.

“Gunakannya dengan betul, buangnya dengan betul, dan ia tidak akan menyebabkan masalah,” kata Dr Jeffrey Jahre, dari Rangkaian Kesihatan Universiti St. Luke.

Jika ada orang di sekeliling anda yang telah tertelan bahan kimia tersebut, pakar mengesyorkan supaya individu tersebut tidak muntah dengan sengaja. Jika terkena pada mata, bilas dengan air suam selama 15 hingga 20 minit. Jika terkena pada kulit pula bersihkan dengan menggunakan air paip. Dapatkan rawatan dengan segera jika terdapat sebarang reaksi lain.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

‘Tiada seorang pun yang patut beli produk China’- PKC diminta bertanggungjawab atas kekejaman mereka

0

Terus bergelut dengan isu pelanggaran hak asasi manusia di China ditambah lagi dengan kegagalan Beijing untuk mematuhi perjanjian mereka sendiri seharusnya membawa kepada tindakan tegas di peringkat antarabangsa. Menurut Senator Rick Scott antara tindakan yang boleh diambil ke atas rejim itu ialah dari segi ekonomi, diplomatik, perundangan dan anti-pengintipan.

“China telah memutuskan untuk menjadi musuh kita. Dan kita berada dalam Perang Dingin baharu yang mereka mulakan,” kata Scott kepada program ‘China Insider’ EpochTV pada Persidangan Conservative Political Action Conference di Orlando, Florida, pada 26 Februari.

“Kerajaan Parti Komunis China telah memutuskan untuk mencuri teknologi kita, mencuri pekerjaan kita, memenjarakan orang ramai kerana agama, mengambil hak asasi warga Hong Kong, meletakkan tentera di Laut China Selatan, (dan) melanggar setiap perjanjian yang pernah mereka tandatangani.”

Scott meminta perhatian yang lebih luas diberikan kepada krisis hak asasi manusia yang berterusan di China dan pelbagai bentuk penyelewengan, penipuan dan penindasan yang diamalkan oleh Parti Komunis China (PKC).

Beliau menekankan keperluan “untuk bercakap tentang kekejaman di China,” seperti kecurian PKC terhadap harta intelek AS, penganiayaan terhadap kumpulan agama, tindakan keras di Hong Kong, dan intimidasinya terhadap demokrasi di Taiwan.

Walaupun kebanyakan isu yang dibangkitkan mungkin kelihatan seperti masalah geopolitik yang besar dan menakutkan, Scott berkata, beliau menekankan tindakan yang boleh diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi memberi tekanan ke atas PKC.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dengan memboikot barangan dari China untuk menghantar mesej mengenai isu buruh paksa di wilayah Xinjiang dan kezaliman lain, kata senator itu.

“Tiada seorang pun daripada kita yang patut membeli produk yang dibuat di China komunis. Tiada, kosong, tiada produk. Kita harus membeli produk buatan Amerika dan produk buatan sekutu kita,” kata Scott.

“Setiap kali anda memberi wang kepada syarikat China, anggap wang itu pergi kepada kerajaan China, yang mengawal keseluruhan ekonomi.”

Tugas kedua ialah dengan menesak PKC bertanggungjawab ke atas kekejaman mereka dalam pelanggaran perjanjian antarabangsanya, terutamanya kegagalan rejim itu untuk mematuhi komitmen yang dibuatnya semasa memasuki Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 2001, kata Scott.

“Lihat [angka] terkini mengenai perjanjian perdagangan. Mereka tidak mematuhi perjanjian itu, dan kita perlu mula meminta mereka bertanggungjawab atas semua pembohongan mereka. Oleh itu, kerajaan kita perlu melakukan tugasnya, dan setiap ahli perniagaan perlu melakukan tugasnya. Tetapi ia bermula dengan anda supaya tidak membeli sebarang produk buatan China komunis,” katanya.

Scott telah menjadi pengkritik lantang terhadap kegagalan Beijing untuk meneruskan komitmen yang dibuat di bawah perjanjian perdagangan “fasa satu” yang ditandatangani pada Januari 2020, iaitu perjanjian untuk membeli sekurang-kurangnya $200 bilion lebih barangan AS pada 2020–21 daripada yang diimport China pada 2017.

Pada bulan Disember, senator itu menghantar surat kepada Wakil Perdagangan AS, Katherine Tsai, yang menuntut untuk mengetahui bagaimana pentadbiran Biden merancang untuk menangani kegagalan ini.

Selain meneruskan kebanyakan dasar perdagangan pentadbiran Trump berhubung dengan China, pentadbiran Biden masih belum menyatakan sepenuhnya pendekatan yang koheren untuk menangani penyalahgunaan perdagangan yang dilakukan Beijing.

Sebahagian daripada strategi PKC dalam Perang Dingin menentang Amerika Syarikat ialah dengan ‘masuk’ ke dalam masyarakat Amerika secara rahsia, kata senator itu.

“China Komunis telah melakukan segala cara untuk cuba menyusup masuk ke negara kita dengan mengupah pelobi dan dengan meminta pengintip bekerja di universiti kita,” kata Scott.

Senator itu juga membuat perbezaan kritikal antara PKC dan rakyat China, yang disifatkannya sebagai “hebat.” Pertengkarannya bukan dengan orang Cina tetapi dengan rejim yang “berbohong, menipu, dan mencuri,” tegas Scott.

Beliau berkata beliau bersetuju dengan undang-undang yang diperkenalkan baru-baru ini yang akan mengenakan sekatan secara langsung ke atas pegawai PKC dan keluarga mereka serta menghalang mereka daripada belajar di universiti di Amerika Syarikat.

“Saya mahu melakukan segala yang saya boleh untuk mendedahkan dengan tepat apa itu komunisme, apa itu sosialisme, dan apa kekejaman yang berlaku setiap hari,” katanya.

“Tiada syarikat, tiada individu di Amerika, yang boleh melakukan perniagaan dengan komunis China,” tambahnya lagi.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Berpuluh-puluh anjing mati diracun di tapak perindustrian selepas khidmat mereka tidak diperlukan lagi

0

Dalam industri tertentu khidmat anjing adalah diperlukan. Anjing-anjing biasanya diperlukan di kilang-kilang, tapak pembinaa, kawasan industri dan perkebunan.

Namun begitu, apa yang menjadi masalah ialah anjing-anjing yang diambil ‘bekerja’ itu tidak dilakukan melalui saluran yang betul. Akibatnya, pihak industri akan sewenang-wenangnya membunuh anjing-anjing mereka selepas khidmat haiwan itu tidak diperlukan dan ia adalah sebuah tindakan yang kejam terhadap haiwan.

Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan sebuah kejadian di mana anjing-anjing diracun di sebuah tapak perindustrian.

Melalui laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia- Malaysia Animal Association mereka ada berkongsi bagaimana sekumpulan anjing diracun hingga mati selepas sebuah tapak perindustrian di Ipoh yang menjaga mereka memutuskan bahawa mereka tidak memerlukan khidmat anjing itu lagi.

Tidak pasti sama ada kakitangan tapak perindustrian meracuni anjing itu atau jika ada orang lain yang melakukan kerja-kerja itu.

Ekoran kejadian yang berlaku, NGO tersebut meminta pemilikan anjing industri mempunyai peraturan dan pelesenan yang lebih ketat bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang lagi pada masa hadapan.

“Kejadian tidak berperikemanusiaan pelaku yang meracun hingga mati puluhan anjing di Taman Cermin Ipoh Perak tidak harus dipandang ringan. Ia juga membuktikan keparahan masyarakat Malaysia yang semakin kejam dan hilang nilai maknusiawi,” tulis mereka.

“Sudah tiba masanya Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing & Rumah Pembiakkan Anjing dikaji semula dan diperketatkan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di negara ini.”

Mereka juga mencadangkan supaya pemilikan anjing oleh kilang-kilang, tapak pembinaan, kawasan industri dan perkebunan perlu diperkenalkan. Hal ini supaya pembiakan anjing tidak terkawal dapat dielakkan sekali gus dapat menghentikan dendam pembenci anjing hingga sanggup membunuh spesies itu.

Selain itu, peraturan mewajibkan pemandulan anjing hendaklah dikuatkuasakan terhadap semua pemegang lesen anjing untuk mengawal pembiakan yang tidak diperlukan dan seterusnya menyebabkan lambakan anjing.

Hal ini sebagai langkah pengawalan populasi anjing yang menimbulkan konflik keselesaan, hukum hakam agama dan isu keselamatan masyarakat suatu tempat.

Adalah penting bagi haiwan-haiwan ini diletakkan di tempat perlidungan atau badan khidmat yang boleh menyediakan penjagaan untuk anjing-anjing itu. Setidaknya haiwan-haiwan itu tidak ditinggalkan atau dibunuh begitu sahaja.

“Ini kerana kebanyakan masalah berkaitan anjing adalah datang daripada anjing yang ditinggalkan industri selepas khidmat anjing-anjing tersebut tidak diperlukan.”

“Oleh itu satu pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan segera untuk kebaikan masa hadapan sebagai negara yang berkebajikan haiwan.” tulis mereka pada akhir status tersebut. Badan NGO tersebut turut menyeru orang ramai yang membuat laporan jika berlaku sebarang kekejaman haiwan di sekitar mereka.

Pihak berkuasa diharapkan agar dapat mengambil langkah yang sepatutnya dalam mewujudkan peraturan yang lebih ketat di samping penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas mereka yang terlibat.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Rayuan Timbalan PM Ukraine dijawab, Elon Musk aktifkan perkhidmatan internet satelit Starlink

0

Elon Musk membalas rayuan Timbalan Perdana Menteri Ukraine dengan nada positif, yang meminta taikun itu membantu negaranya mendapatkan akses internet satelit, walaupun setelah Rusia berjaya memusnahkan sistem telekomunikasi di Ukraine.

Pemilik syarikat gergasi angkasa lepas SpaceX itu berkata dengan jaminan, lebih banyak terminal perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink akan dihantar ke Ukraine, dan ia disahkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter

Ini susulan Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Mykhailo Fedorov merungut perkhidmatan internet terganggu teruk selepas Rusia menceroboh dan menyerang Ukraine, menerusi ciapan di Twitter.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine Mykhailo Fedorov (Gambar oleh Future Publishing/Getty Images)

“Semasa anda cuba menjajah Marikh — Rusia cuba menduduki Ukraine! Sementara roket anda berjaya mendarat dari angkasa lepas — roket Rusia menyerang orang awam Ukraine! Kami meminta anda untuk menyediakan stesen Starlink kepada Ukraine dan untuk memberitahu orang Rusia yang waras untuk berdiri,” rayu Fedorov kepada Musk.

Ciapan itu segera dibalas oleh Elon Musk dengan satu kenyataan ringkas yang cukup memberikan penyelesaian segera.

“Perkhidmatan Starlink kini aktif di Ukraine. Lebih banyak terminal dalam perjalanan,” jawab Musk.

Pengasas syarikat gergasi angkasa lepas SpaceX Elon Musk (Gambar oleh TNS)

Pemantau Internet NetBlocks berkata Ukraine menyaksikan beberapa gangguan ketara dalam perkhidmatan internet sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di negara itu, terutama di bahagian selatan dan timur di mana pertempuran paling hebat berlaku.

Selain serangan udara dan darat yang hebat dengan kemaraan Rusia, Ukraine turut mengalami serangan siber.

Laman web Kementerian Luar, Kabinet Menteri dan Parlimen Ukraine semuanya berada di luar talian selama beberapa jam pada hari Rabu berikutan serangan siber yang turut menjejaskan beberapa bank di negara itu.

Starlink adalah sistem berasaskan ruang yang telah dibina oleh SpaceX selama bertahun-tahun untuk membawa akses internet ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan liputan jalur lebar di dunia.

Gambar Hiasan / Unsplash

SpaceX yang berpangkalan di Hawthorne, California mempunyai hampir 2,000 satelit Starlink yang mengorbit Bumi pada ketinggian 547 kilometer.

Minggu lalu, satelit Elon Musk melancarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi percuma untuk menghubungkan kampung terpencil di Tonga yang terputus hubungan sejak letusan gunung berapi dan tsunami yang dahsyat pada Januari, jadi perkara yang sama boleh dilakukan dengan segera untuk rakyat Ukraine.

Satelit membolehkan sejumlah besar maklumat dipancarkan dengan cepat ke mana-mana titik di Bumi tanpa memerlukan kabel gentian optik.

“Pada 2022 teknologi moden adalah salah satu tindak balas terbaik terhadap kereta kebal, roket dan peluru berpandu. Saya telah merujuk kepada gergasi teknologi terbesar untuk menyokong sekatan kepada Persekutuan Rusia. Kami meminta mereka membantu kami menghentikan pencerobohan keterlaluan ini ke atas rakyat kami!” Mykhailo Fedorov dalam satu lagi ciapan di Twitter pada Sabtu, 26 Februari.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Turun lagi selepas 29 tahun, pendaki Gunung Kinabalu teruja menyaksikan fenomena salji yang luar biasa

0

Puluhan pendaki dan malim gunung teruja apabila dapat menyaksikan fenomena salji yang turun di Gunung Kinabalu dalam kejadian luar biasa berlaku pada jam 7.18 pagi 28 Februari.

Walaupun fenomena menakjubkan itu berlaku dalam masa yang singkat iaitu kira-kira dua minit, pengalaman itu cukup memberikan pemandangan indah ekstra dan menggembirakan buat mereka yang bertuah berada di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Facebook

Beberapa pendaki berkongsi beberapa video tular pengalaman luar biasa yang jarang berlaku itu menunjukkan hujan salji yang lembut turun dan membasahi permukaan puncak gunung berkenaan.

Seorang malim gunung dan pelatih via-ferrata, Hajiri Sulumin yang sempat merakam salji sedang turun berkata, dia sedang menunggu pendaki di Sayat-Sayat apabila fenomena itu berlaku pada jam 7.18 pagi.

Facebook

Katanya, ini adalah pengalaman kedua menyaksikan salji turun di puncak Gunung Kinabalu dan pertama kali pada tahun 2018, yang mana pada masa itu ia bukan salji tetapi hanya proses pembekuan.

Berdasarkan rekod, fenomena salji turun pernah berlaku di Gunung Kinabalu pada tahun 1975 dan kali terakhir pada tahun 1993, kata Pengurus Taman Kinabalu Justinus Guntabid kepada media.

Facebook

Menurutnya, beberapa tahun sebelum ini ada dikatakan berlaku fenomena salji yang turun tetapi ia hanya proses pembekuan di puncak gunung itu.

“Tetapi pada pagi ini, ia memang salji yang turun. Ia berlaku kira-kira 2 minit sahaja. Salji boleh dilihat dari Sayat-Sayat sehingga puncak Gunung Kinabalu di Kilometer 8.72,” jelas Justinus.

Facebook

“Suhu yang direkodkan di Panalaban antara jam 2 hingga 10 pagi tadi adalah lebih kurang 6.9 hingga 12 darjah celsius, yang mana lebih sejuk daripada biasa dan saya percaya di puncak suhunya jauh lebih sejuk berbanding di Panalaban,” katanya.

“Purata kelembapan yang direkodkan pada tempoh masa yang sama adalah 52 hingga 62 peratus dan ini bermakna ia lebih lembap daripada biasa, iaitu sekitar 70 peratus,” tambahnya.

Facebook

Maka, sejak 29 tahun pada kali terakhir fenomena salji turun di Gunung Kinabalu berlaku, mereka yang berada pada momen itu sememangnya adalah antara para pendaki dan malim gunung yang bertuah.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ramai yang takut buat ‘nasal test’ sebab sakit, pakar ENT kongsi cara betul dapatkan sampel

0

Saban hari kes Covid-19 di Malaysia mencecah puluhan ribu. Walaupun kita sudah berhati-hati, tetapi jumlah angka jangkitan wabak ini nampaknya masih tinggi. Walaupun setinggi mana pun kes yang ada orang ramai masih tetap perlu keluar- sama ada untuk bekerja mahupun untuk melakukan kerja-kerja dan aktiviti lain.

Jadi, ramai yang melakukan ujian kendiri untuk memastikan mereka tidak dijangkiti. Biasanya mereka akan menggunakan Rapid Test Kit (RTK-AG) iaitu melalui air liur atau calitan hidung bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Memandangkan ada dua cara untuk menjalankan ujian kendiri, rasanya ramai yang lebih selesa untuk menggunakan ujian air liur. Hal ini kerana jika menggunakan kaedah calitan hidung ramai yang tidak berani.

Mereka bimbang hidung mereka akan sakit atau geli ketika sampel diambil. Lihat sahaja gambar, sudah boleh buatkan ramai yang gerun! Dalam masa yang sama masih ramai juga yang tidak tahu cara mendapatkan sampel calitan hidung yang betul.

Namun, anda tidak perlu bimbang lagi kerana seorang doktor pakar bedah Hidung, Mulut & Tekak (ENT) di Australia, Dr. Eric Levi telah berkongsikan tutorial untuk mendapatkan sampel calitan hidung dengan betul di laman instagramnya.

Menurut Dr. Eric, untuk mendapatkan keputusan sampel yang betul, seharusnya sampel yang diambil ialah daripada mukus yang ada di saluran pernafasan yang berada di dalam bahagian belakang lubang hidung.

Ketika melakukan calitan hidung anda perlu menolak kapas ke bawah secara perlahan-perlahan dan menghala ke dalam lubang hidung dengan perlahan dan berhati-hati, sekitar 2 hingga 3cm ke dalam.

Setelah itu, pusingkan kapas dalam tempoh 12 ke 15 saat sebelum mengeluarkan sampel calitan tersebut.

Jika anda melakukan cara yang betul hidung anda tidak akan merasakan kesakitan. Biasanya kesakitan terjadi akibat anda menolak kapas menghala ke atas di bahagian atas hidung.

Dengan itu, sampel hanya diperolehi daripada bahagian hadapan hidung ialah sampel bulu hidung dan ianya boleh mempengaruhi keputusan sampel yang tidak tepat.

Bagi anda yang masih mempunyai tanda tanya bagaiamana cara melakukannya dengan betul, lihat sendiri video yang dikongsikan oleh Dr. Eric Levi. Semoga bermanfaat!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

https://www.instagram.com/tv/CZG34zSlbkP/?utm_medium=copy_link

Ketahui jenis ketuhar dan fungsinya, selepas ini tiada masalah lagi untuk membuat pastri sendiri

0

Ada antara kita yang mahir memasak. Sebut sahaja menu apa, sama ada makanan kampung, makanan barat atau pencuci mulut, semuanya hanya di hujung tangan mereka. Ada yang memiliki bakat, sekali ajar sudah pandai dan ada pula yang perlu membelek buku resipi atau video masakan sebelum memasak. Tidak kisahlah, apa yang penting ialah ada kemahuan.

Bagi sesetengah orang lain pula mereka lebih suka membuat makanan seperti kek, pastri atau roti. Membuat makanan-makanan seperti ini biasanya akan memberi kepuasan buat mereka lebih-lebih apabila melihat hasilnya.

Buat mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang membuat kek atau roti atau apa sahaja pastri anda mungkin sudah mahir tentang jenis-jenis ketuhar.

Bagi anda yang tidak tahu, sebenarnya di dalam pasaran terdapat pelbagai jenis ketuhar yang mempunyai fungsi yang tersendri. Jadi, sebelum beli ketahui dahulu fungsi-fungsi ketuhar supaya nanti apabila anda membakar anda tidak akan berhadapan sebarang masalah.

Jadi, jom kenali jenis ketuhar dan fungsinya!

BERIKUT ADALAH JENIS-JENIS KETUHAR & FUNGSINYA:

Tujuan Admin berkongsi tip semua ini adalah kerana ingin membantu anda yang keliru dan tidak tahu fungsi peralatan elektrik yang digunakan dalam mem’baking@cooking’.

Sebelum ini Admin pernah kongsikan tentang struktur penghasilan kek, peralatan ‘bakery’ dan bahan-bahan ‘bakery’ yang banyak digunakan. Hari ini tentang ketuhar pula.

Secara lazimnya, resepi terdapat di mana-mana sahaja yang penting kita harus belajar seni dan selok-belok membuat kuih dan juga mendapatkan tip yang penting.

Admin harap dengan tip dan panduan yang Admin kongsikan ini secara tidak langsung anda dapat “belajar” tentang selok belok peralatan bakery yang ada di rumah anda.

Ok..ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang KETUHAR. Hari ini Admin kongsikan tip dan jenis-jenis ketuhar yang berbeza.

Semoga tips ini akan mendatangkan manfaat pada anda semua.

JENIS–JENIS KETUHAR

Di dalam proses membuat kek, biskut, pastri dan roti, bukan sahaja kemahiran yang di perlukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik tetapi ketuhar juga memainkan peranan yang amat penting.

Jom kita kenali dengan rapat lagi jenis jenis ketuhar yang berbeza.

  1. KETUHAR JENIS BINA DALAM (BUILT IN OVEN)

Ketuhar jenis ini memang cukup sesuai untuk kesemua jenis pembakaran. Ianya boleh membakar roti, kek, pastri dan biskut.

Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada sesetengah ketuhar jenis begini, kepanasannya tidak begitu rata jika anda membakar 2 atau 2 tingkat (2 tier baking).

Kalau anda membakar biskut cara begini, anda harus rajin memusing dan menukarkan loyang kuih anda supaya mendapat kepanasan yang lebih rata (rotate the trays to get even baking results).

Tetapi apabila membakar kek, lebih baik jika kita membakar satu tingkat sahaja.

  1. KETUHAR YANG ADA KIPAS (OVEN WITH FAN)

Ketuhar yang mempunyai kipas bina dalam selalunya membakar biskut dan pastry dengan cukup baik kerana kipas itu memutar angin panas dengan rata jika kita membakar dua atau tiga tingkat (2 or 3 tier baking).

Tetapi apabila digunakan untuk membakar kek, kipas ini akan mengeringkan kek sedikit.

Jadi, jika ada pilihan untuk tidak membuka butang kipas atau switch off (tutup kipas) apabila membuat kek, itu adalah lebih baik (sesetengah ketuhar ada butang kipas).

Tetapi jika kita tidak boleh memilih untuk menutupnya (tiada butang kipas) adalah lebih baik jika kita kurangkan sedikit masa membakar kek itu.

Contohnya, jika kek itu memerlukan masa 45 minit untuk membakarnya di ketuhar biasa, kita kurangkan masanya dalam 5 minit lebih awal. Jika kita menggunakan ketuhar yang ada kipas ini supaya keknya tidak kering sangat.

  1. KETUHAR GELOMBANG MIKRO (MICROWAVE OVEN)

Ketuhar jenis ini adalah seperti ketuhar “2 IN 1” iaitu, ianya boleh di gunakan untuk fungsi ketuhar gelombang mikro dan juga untuk membakar biskut, brownie atau kek-kek cawan.

Ketuhar begini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Jika kita membakar kek yang agak besar, ada kalanya bahagian tengah kek tidak masak dengan betul.

Selalunya, kita lebih menggunakan fungsi ‘microwave’ nya sahaja.

Jadi bagi mereka yang suka membakar roti, pastri dan kek-kek perayaan, jenis ketuhar sebegini mungkin kurang sesuai dan kek-kek yang di bakar di microwave oven sebegini selalunya kelihatan agak pucat dan padat.

FUNGSI – FUNGSI DI KETUHAR

Apakah kelainan fungsi-fungsi yang terdapat di ketuhar? Adakah ianya boleh di gunakan untuk membakar segala macam kek dan kuih?

Mari kita tinjau kegunaan fungsi-fungsi yang berlainan ini. Kebanyakan ketuhar bina dalam (built in oven) mempunyai fungsi yang agak sama iaitu:

  1. TOP & BOTTOM HEAT

Ini cukup sesuai untuk membakar semua jenis kek, biskut, pastri dan roti.

Jika kita membakar kek yang agak besar sedikit, kita harus meletakan kek itu di bahagian agak bawah sedikit (lower rack to avoid top part of cake burnt).

Tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih sesuai jika kita meletakkannya di bahagian tengah sahaja.

  1. TOP HEAT ONLY

Ramai yang keliru apabila melihat fungsi ini. Mereka sangkakan yang ‘Top Heat’ sesuai untuk membakar kek lapis!

Sebenarnya ‘Top Heat’ ini lebih sesuai di gunakan apabila kita membakar kek keju.

Jika digunakan untuk membakar kek lapis, nanti kek lapis itu akan menjadi terlalu kering dan adakalanya garing.

  1. BOTTOM HEAT ONLY

Fungsi ‘Bottom Heat’ ini cukup sesuai jika kita ingin menggaringkan roti yang berinti seperti pizza.

Adakalanya, inti pizza itu sudah masak tetapi bahagian bawah rotinya pula masih kurang garing atau lembab.

Di sinilah kita menggunakan fungsi ‘bottom heat’ ini untuk memasakkan roti itu tanpa mengeringkan dan memasakkan inti pizza yang diatasnya itu.

  1. GRILL

Inilah fungsi utama apabila kita membakar kek lapis. Dengan menggunakan ‘grill’, setiap lapisan kek lapis kita pasti menjadi dengan cantik dan tidak menjadi kering.

Api ‘grill’ ini juga cukup sesuai jika kita ingin mengaringkan hanya bahagian atas ayam atau daging (grill effect of chicken or roast lamb/ beef) untuk sekejap sahaja.

  1. STEAM INJECTION

Tidak kesemua ketuhar ada fungsi ini.

Fungsi ini cukup sesuai jika kita ingin membakar sesetengah jenis roti seperti roti Perancis. Ianya akan menggaringkan dan meranggupkan pemukaan roti itu.

  1. SUHU (TEMPERATURE)

Setiap saiz ketuhar itu mempunyai suhu kepanasan yang berbeza. Dapatkan nasihat daripada pakar penjual sebelum membuat belian terlebih dahulu.

Semoga dengan tip yang Admin kongsikan ini anda telah mendapat ilmu yang baru untuk manfaat anda.

Tips yang telah diberikan ini, harapnya anda boleh gunakan sebaik mungkin dan berjaya menghasilkan air tangan pastri dan bakeri yang lazat untuk keluarga di rumah. Semoga berjaya!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ikuti tips cara goreng Char Kuey Teow supaya tidak lembik, kembang atau hancur, memang menjadi!

0

Ramai antara kita yang suka makan makanan yang ‘simple’, makanan yang lengkap dengan semua khasiat dan rasa tetapi tidak leceh atau sukar untuk disediakan.

Ada yang suka menikmati sepinggan nasi goreng, atau mi goreng yang cukup dengan semuanya- sayur-sayuran ada, ayam atau makanan laut pun ada. Hanya dengan sepinggan, menu lengkap boleh dinikmati tanpa perlu memasak tiga, atau empat jenis lauk.

Selain nasi goreng atau mi goreng, Char Kuey Teow juga sering menjadi pilihan ramai. Char Kuey Teow merupakan sejenis mi yang bentuknya sedikit berbeza. Ianya berbentuk lebar dan berwarna putih yang sering digorengkan dengan pelbagai bahan lain seperti sayur, telur dan makanan laut.

Namun, tidak semua orang mahir untuk memasak Char Kuey Teow yang betul-betul enak. Hal ini kerana kadang-kala tekstur mi boleh menjadi terlalu kembang atau lembik dan keadaan itu boleh menjejaskan rasa Char Kuey Teow yang sebenar.

Mungkin ada yang sudah kehabisan idea mencari sebab mengapa Char Kuey Teow yang dimasak tidak sama seperti di kedai makan. Untuk anda yang mahu tahu sebenarnya ada tips mudah yang boleh diikuti supaya Char Kuey Teow anda tidak kembang atau lembik.

Berikut adakah perkongsian seorang pengguna Facebook, Puan Yurni Emilia, yang ada berkongsi tentang cara memasak Char Kuey Teow dengan betul dan enak. Ikuti tips yang dikongsikan dan semoga Char Kuey Teow anda akan menjadi selepas ini!

Dah beberapa kali nampak ahli kumpulan ini menghadapi krisis menggoreng Kuey Teow. Di sini saya kongsikan tips asas untuk selamatkan keadaan ya…

1) Kuey Teow ‘tidak mesra’ dengan air, jadi…

Jangan basuh lama-lama. Bila basuh pastikan ianya ditos kering cepat-cepat.
Basuh pakai air paip sahaja . Bukan dengan air panas.

Membasuh Kuey Teow adalah pilihan. Sesetengah orang buat, sesetengah orang tidak. Saya pilih basuh, untuk asingkan Kuey Teow satu satu. Tak suka yang melekat.

2) Bila menggoreng, Kuey Teow sangat mesra dengan minyak. Jadi, sila letak minyak lebih sikit.

3) Nak ‘Penang style’ letaklah sedikit minyak bijan. Sikit saja sebab minyak bijan baunya kuat.

4) Kena lebihkan bahan perisa seperti sos tiram, kicap, cili boh atau tomato/cil sos. Ingat, Kuey Teow tidak mesra dengan air.

5) Tambah air apabila hanya nak buat Char Kuey Teow banjir.

6) Kalau nak tambah telur, pastikan telur tu goreng kering sikit sebelum digaulkan/kacau dengan Kuey Teow yang sedang digoreng tu.

Okay ini sajalah tips. Harapnya, dapat membantu mengurangkan insiden Kuey Teow goreng kembang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bina benteng siap-siap hadapi kemaraan air banjir, persediaan bijak tuan rumah di Pasir Puteh ini dapat tabik ramai

0

Ketika bencana banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk dengan banyak rumah yang tenggelam selepas beberapa sungai melebihi paras bahaya, kita amat bersimpati dengan nasib para mangsa yang terjejas.

Ramai yang berkongsi keadaan di kawasan-kawasan yang terjejas yang memaparkan air banjir telah naik dan memasuki rumah masing-masing.

Bagaimanapun, satu video TikTok yang tular ini menunjukkan situasi terbalik dan berlainan di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan sehingga mendatangkan rasa kagum serta pujian warganet.

Facebook

Rakaman video itu menunjukkan satu kawasan rumah penduduk yang tidak dimasuki air banjir ekoran idea tuan rumahnya yang genius.

Kelihatan dalam video itu, tuan rumah telah membuat persediaan awal dengan meletakkan benteng penghadang yang dipercayai daripada bahan beg pasir, papan kayu dan plastik tebal kalis air yang memagar seluruh kawasan rumahnya supaya air banjir yang lalu tidak memasuki rumah.

Facebook

Maka ramai yang bertanya bagaimana tuan rumah ini melakukannya sehingga dapat menghalang air banjir daripada memasuki kawasan rumahnya.

Anak kepada tuan rumah menjelaskan, sebelum ini rumah mereka pernah dinaiki air dan usaha membuat benteng penghadang banjir itu telah dilakukan pada tahun ini agar air banjir tidak dapat memasuki ke dalam rumah mereka.

Facebook

“Kami buat pagar daripada susunan kayu papan dan dibungkus dengan plastik yang tebal bagi mengelakkan air memasuki kawasan rumah,” katanya dalam ruangan komen di TikTok setelah video itu menjadi tular.

Video ini turut mendapat perhatian laman Facebook MatGeo yang sering membincangkan berkenaan isu cuaca dan geografi negara dan memuji tindakan bijak tuan rumah di Pasir Puteh itu.

Dalam hantaran itu dia berkata, salah satu kaedahnya ialah penggunaan beg pasir yang pernah disaran ketika banjir melanda Selangor pada tahun lalu.

Penggunaan beg pasir juga adalah sangat mudah, tidak rumit dan ia digunakan di seluruh dunia sejak berzaman lamanya dalam menahan kemaraan air banjir.

Facebook

“Beg pasir digunakan di seluruh dunia sejak dulu dalam menahan air banjir kerana butirnya yang berat, tindannya yang ‘grip’, dan apabila menahan air, ia menjadi lebih berat dan mencengkam antara satu sama lain atas bantuan pasir yang basah dan menghalang tiris,” kata MatGeo.

Tetapi perlulah dengan menjalankan persediaan rapi yang telah diakukan terlebih awal selepas menjangkakan bencana banjir akan berlaku lagi ketika hujan lebat tidak berhenti. 

“Pemilik rumah ini tentu sekali seorang yang peka, analitikal dan terkehadapan dalam menjangkakan apa yang cuaca akan bawakan, dalam beberapa hari yang lebih awal,” puji MatGeo.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

‘Habis dijual’, restoran Nasi Kandar milik lelaki Jepun di Tokyo jadi tumpuan sejak hari pertama pembukaan

0

Sejak dibuka kepada orang ramai awal Februari lalu, restoran nasi kandar yang diberi nama Zero Two Nasi Kandar Tokyo yang terletak 5 minit berjalan kaki dari Stesen Otemachi, Tokyo, Jepun mendapat sambutan yang memberangsangkan. Mana tidaknya, sebelum operasi harian tamat, nasi kandar telah habis dijual!

Facebook

Menurut Japanese Heart, restoran tersebut diasaskan oleh Encik Tateda, seorang rakyat Jepun yang telah jatuh hati dengan kelazatan nasi kandar ketika melawat Malaysia suatu ketika dahulu.

Encik Tateda yang turut menguruskan restoran India Selatan di Osaka, Jepun membuat keputusan untuk membuka restoran nasi kandar kerana begitu kagum dengan keenakan makanan tersebut.

Japanese Heart

Difahamkan, restoran Zero Two Nasi Kandar Tokyo menawarkan dua jenis beras iaitu:

  1. Asas: Beras bijirin panjang dan separuh beras perang digunakan. Tekstur nasi lebih rangup walaupun selepas dicampur dengan lauk-pauk. Walaupun dituangkan kari ke atasnya, pelanggan tidak akan berasa muak dengan nasi kandar tersebut.
  2. Pear Briani: Dimasak dengan menggunakan beras Basmati. Rasa Briani itu tidak begitu masin dan rasanya kekal lazat biarpun dicampur dengan lauk-pauk yang lain.

Kemudian, pelanggan boleh memilih pelbagai jenis lauk utama, kari dan ulam-ulaman dengan harga yang berpatutan. Antara lauk-pauk yang disediakan ialah:

  • Kari itik masala.
  • Kari dal goreng.
  • Sayuran bermusim (jenis sayur ditukar setiap hari).
  • Raita (salad yogurt).
  • Sos Pakuchi dan bamiseri.
  • Telur masala separuh masak.
  • Ayam panggang.
  • Hirisan daging kambing.
  • Taugeh dan bendi (diberikan percuma).

Bagi memudahkan pelanggan yang pertama kali mahu menjamah makanan terkenal Malaysia ini, pihak restoran telah menyediakan menu dengan kombinasi lauk yang cukup mengecurkan!

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat awal di Facebook rasmi Zero Two Nasi Kandar Tokyo bagaimana hendak membuat pesanan nasi kandar sebelum ke restoran.

Cara membuat pesanan nasi kandar seperti yang dicadangkan oleh restoran Zero Two Nasi Kandar Tokyo ialah:

  1. Pilih 1 daripada 2 jenis nasi yang disediakan dan saiznya (saiz M, L atau S).

  2. Pilih 3 daripada 6 pilihan lauk utama.

  3. Pilih 3 daripada 6 pilihan ulam-ulaman.

  4. Pilih 2 daripada 6 pilihan kari.

  5. Letak ‘topping’ iaitu taugeh dan bendi yang diberikan percuma.

Bagi pelanggan muslim, mereka tidak perlu ragu-ragu kerana semua bahan dan perasa yang digunakan dalam masakan nasi kandar tersebut adalah halal. Bahan-bahan masakan seperti sayur, daging dan ikan dipilih secara teliti yang diperoleh dari Semenanjung Atsumi. Selain itu, proses penyediaan memasak nasi kandar ini turut dititiberatkan oleh pengasas restoran ini apabila mereka belajar mengenai cita rasa muslim dan kaedah memasak dari muslim tempatan.

Facebook

Jika anda adalah rakyat Malaysia yang berada di Jepun ketika ini, rindu anda pada kampung halaman pasti terubat dengan kehadiran restoran nasi kandar ini. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kelazatan nasi kandar biarpun daripada air tangan orang Jepun!

Restoran Zero Two Nasi Kandar Tokyo ini dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Jika kesuntukan masa untuk makan di situ, anda boleh bungkus nasi kandar tersebut dan nikmatinya bersama yang tersayang.

Walau bagaimanapun, anda harus merancang perjalanan anda kerana katanya pada hari Sabtu dan Ahad, restoran ini menerima tempahan paling banyak berbanding hari lain.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: