Chris Rock dan Will Smith mempertontonkan pertengkaran yang amat jelas ketika siaran langsung Oscar 2022.
Gurauan kasar Chris Rock menyebabkan Will Smith hilang sabar dan bertindak menampar mukanya di atas pentas Dolby Theatre, Los Angeles.
Chris Rock muncul di atas pentas untuk menyampaikan anugerah Oscar untuk dokumentari terbaik dan membuat jenaka tentang Jada-Pinkett Smith menjadi G.I. Jane kerana kepalanya yang dicukur sehingga botak.
Smith pada mulanya tersenyum tetapi mula berasa kurang senang apabila melihat riak wajah Jada yang berubah tidak selesa, kemudian naik ke pentas untuk menumbuk Rock.
Walaupun ia kelihatan seperti jenaka pada mulanya, Smith kembali ke tempat duduknya dan menjerit kepada Rock, “Jangan babitkan nama isteri saya daripada mulut (kata kesat) kamu!”
Keadaan memalukan itu membuatkan ramai penonton dalam Oscar kelihatan tergamam memikirkan sama ada ia hanya gimik atau benar-benar satu pertengkaran.
Rock kemudian berkata apa yang berlaku merupakan sejarah bagi dunia penyiaran televisyen.
“Will Smith baru tampar saya. Itu adalah momen terbaik dalam sejarah televisyen,” katanya.
Will Smith memenangi Anugerah Academy pertama dengan merangkul Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Richard Williams, bapa yang gigih yang membesarkan juara tenis dunia Venus dan Serena Williams, dalam Filem Terbaik “King Richard”.
Ketika menyampaikan ucapannya, Smith memohon maaf secara terbuka kepada penganjur Anugerah Academy serta seluruh penggiat seni berikutan tindakannya menampar Rock.
“Saya mahu meminta maaf kepada Academy, mahu minta maaf kepada semua rakan finalis Oscar 2022. Ini merupakan momen yang indah dan saya menangis bukan kerana kemenangan ini (Pelakon Lelaki Terbaik)..”
“Ini bukan soal saya memenangi anugerah,” kata Will Smith yang menerima penghormatan daripada seluruh penonton yang berdiri sambil bertepuk tangan kepadanya.
“Seni telah mengubah hidup saya. Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti Richard Williams.. Namun, cinta boleh membuatkan kamu melakukan benda yang ‘gila’..” sambung ucapannya.
Jada-Pinkett Smith mengumumkan di Instagram pada tahun lalu beliau mencukur kepalanya selepas aktres ini bergelut dengan penyakit alopecia (kehilangan rambut).
Seorang pemuda India telah menerima beberapa tawaran untuk merealisasikan impiannya menjadi anggota tentera selepas rakaman video menujukkan dia berlari pulang dari tempat kerja menjadi tular.
Video itu dirakam oleh pembuat filem India, Vinod Kapri yang menunjukkan Pradeep Mehra, pemuda berusia 19 tahun sedang berlari dalam perjalanan pulang ke rumah dan melepasi kereta Vinod yang menawarkan diri untuk memberikan tumpangan.
Tetapi Pradeep menolak tawaran itu dengan berkata dia berlari kira-kira 10 kilometer setiap malam untuk mengekalkan bentuk badannya bagi menyertai Tentera India.
Video itu kini telah menjadi tular dengan lebih enam juta tontonan di media sosial.
Ketika itu Pradeep sedang berlari pulang ke rumah selepas selesai kerja syif malam di McDonald’s bandar Noida yang terletak di pinggir Delhi apabila Vinod melihatnya.
Vinod berkata dia ingin menumpangkan Pradeep selepas melihat dia berlari dengan beg galas, memikirkan dia mungkin sedang menghadapi masalah atau dalam kecemasan.
Pembuat fiem ini merakam video dari keretanya ketika dia memandu perlahan-lahan bersama Pradeep, bertanya kepadanya beberapa soalan untuk memahami mengapa dia menolak untuk menaiki keretanya.
“Anda akan jatuh cinta dengan pemuda ini jika anda mendengar alasannya,” kata Vinod dalam perkongsian video itu di Twitter.
Pradeep tinggal di Noida bersama abangnya dan memberitahu dia berlari setiap malam selepas pulang daripada selesai bekerja kerana dia tidak mempunyai masa pada siang hari untuk bersenam.
“Rutin saya akan terjejas jika saya ikut awak,” katanya sambil tersenyum dan tanpa berhenti, dia menolak tawaran Vinod dengan sopan.
Apabila Vinod memintanya untuk makan malam bersamanya, Pradeep turut menolak dengan berkata dia perlu memasak makanan untuk abangnya yang juga bekerja syif malam.
Apabila ditanya mengapa dia tidak berlari pada waktu pagi, Pradeep berkata dia terpaksa bangun awal dan memasak sebelum bergerak ke tempat kerja.
Ibu bapanya berada negeri utara Uttarakhand dan bapanya menjaga ibu Pradeep yang sedang sakit.
Kedengaran Vinod terus menjadi kagum sambil memuji sikap gigih dan berhati mulia Pradeep lalu dia bertanya apa yang akan dilakukannya jika video ini menjadi tular.
“Siapa yang akan mengenali saya… jika ia menjadi tular, biarlah tidak mengapa, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” jawabnya sambil ketawa.
Dan memang ia menjadi tular dalam tempoh 24 jam dan mendapat perhatian ramai termasuk para pemimpin dan selebriti di India.
Leftenan Jeneral (B) Satish Dua dalam ciapannya berkata dia telah bercakap dengan pegawai kanan Tentera India mengenai tawaran kemasukan tentera dan latihan Pradeep Mehra.
Katanya banyak panggilan daripada rakan, jiran dan orang kampung setelah menonton video larian kegigihan Pradeep itu.
“Dunia tunduk dengan kerja keras,” komennya mengenai sambutan luar biasa yang diterima dalam video itu.
Kali ini, si pemberi inspirasi Pradeep Mehra memutuskan untuk berehat satu hari daripada larian hariannya dan menerima tawaran Vinod yang ingin menumpangkannya untuk pulang ke rumah.
This is PURE GOLD❤️❤️
नोएडा की सड़क पर कल रात 12 बजे मुझे ये लड़का कंधे पर बैग टांगें बहुत तेज़ दौड़ता नज़र आया
मैंने सोचा किसी परेशानी में होगा , लिफ़्ट देनी चाहिए
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) baru-baru ini berkongsi kelahiran anak Tapir Malaya betina di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungai Dusun, Selangor.
Anak Tapir Malaya yang comel itu merupakan anak kepada pasangan Tapir Malaya jantan bernama Boy dan tapir betina bernama Mala yang berada dalam pemuliharaan di PKHL Sungai Dusun.
Anak Tapir Malaya yang belum diberi nama itu dilahirkan pada Isnin, 21 Mac 2022 lalu dengan berat 8.85 kilogram. Anak tapir ini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat serta kelihatan tersangat comel.
Gambar anak Tapir Malaya bersama ibunya di muat naik PERHILITAN di laman Facebook mereka.
PERHILITAN kemudiannya membuat kemas kini mengenai si comel yang baru lahir pada Khamis, 24 Mac 2022 lalu di mana mereka berkongsi anak tapir itu sudah boleh bertatih dan mula berjalan dengan bantuan serta sokongan daripada pegawai pemuliharaan hidupan liar yang bertugas.
Spesies tapir Asia Tenggara berhabitat di Semenanjung Malaysia dan Sumatera dengan Tapir Malaya kini disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah IUCN sejak 2008. Dianggarkan hanya terdapat 2,500 spesies Tapir Malaya matang berada di alam liar.
Ancaman terbesar kepada Tapir Malaya pada masa ini adalah kehilangan dan kemusnahan habitatnya akibat penebangan hutan.
Semoga keluarga Tapir Malaya ini akan menjadi permulaan kepada generasi baru yang tabah dan berjaya mengekalkan spesiesnya daripada mengalami kepupusan.
Untuk berbuat demikian, pihak yang berwajib dan pihak berkuasa mestilah terlebih dahulu mengambil berat dalam menangani semua ancaman yang dihadapi oleh spesies ini di negara kita.
Tidak semua orang bertuah dilahirkan di dunia dengan segala kemewahan dan kesenangan hidup. Hakikatnya, ramai antara kita yang harus bersusah payah, bekerja keras untuk memastikan kelangsungan hidup. Ada juga yang bukan sahaja perlu bekerja untuk diri sendiri tetapi mereka perlu menanggung keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Bayangkan hidup dalam kemiskinan, ditambah pula dengan kesakitan atau penyakit, pasti setiap hari adalah momen yang sukar untuk dijalani. Namun, golongan seperti ini adalah mereka yang kental dan kuat di samping memiliki kesabaran yang tinggi. Apa yang mereka lalui, tidak semua orang boleh melakukannya!
Misalnya seorang pemuda India kelainan upaya ini terpaksa bekerja untuk meneruskan hidup. Walaupun memiliki kekurangan dia terus sabar dan tidak putus asa untuk berniaga di tepi jalan.
Kisah lelaki bernama Anu ini direkodkan melalui video pengembaraan seorang selebriti internet, Ted Kunchok. Melalui video tersebut Anu kelihatan sedang duduk di tepi jalan bersama barang jualannya iaitu buah oren.
Ted kemudian datang kepadanya. Apabila ditanya tentang hasil jualannya, Anu memberitahu bahawa jualannya tidak laku. Keadaan di jalan raya juga kelihatan agak sepi ketika itu menyukarkan dia untuk mendapatkan pelanggan.
Ted kemudian memutuskan untuk membantu Anu dengan membeli oren yang dijualnya. Harga untuk satu plastik oren ialah 100 Rupee (sekitar RM5.50). Mendapat pelanggan pertama pada hari itu mula membuatkan Anu berasa gembira. Ted juga senang kerana dia sememangnya suka menjadi pelanggan pertama.
Anu kemudian memberitahu bahawa dia memiliki ibu yang sakit di rumah. Mendengar kisah sedih itu membuatkan Ted bertambah simpati sehingga dia memutuskan untuk membeli kesemua buah oren tersebut dan hal itu membuatkan Anu terus tersenyum gembira. Apabila ditanya adakah kamu gembira, Anu tersenyum dan menjawab, ‘ya’.
Ted kemudian memasukkan kesemua plastik buah oren yang dibeli ke dalam beg galasnya sebelum mengeluarkan satu plastik dan menyerahkan kepada Anu. Pada mulanya Anu menolak pemberian tersebut tetapi Ted memintanya untuk menerima buah oren tersebut dan diberikan kepada ibunya nanti.
Apa yang menyentuh hati ialah apabila Anu mengambil duit yang dihulurkan dan menyetuhnya pada dahinya menunjukkan dia sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih. Sebelum pulang, Ted sempat bertanya tentang keadaan ibu bapa Anu di rumah dan dia juga menyerahkan beberapa keping wang kertas kepada Anu untuk diberikan kepada ibunya yang sakit.
Ted kemudian menawarkan untuk menghantar Anu pulang ke rumah tetapi ditolak oleh Anu. Sebelum meninggalkan Anu, Ted sempat membantu lelaki itu meletakkan meja jualannya di bawah sebuah pondok berhampiran memandangkan meja tersebut agak berat.
Apa yang dilakukan oleh Ted adalah sesuatu yang sangat mulia. Dengan mengeluarkan sedikit wangnya sudah boleh membuatkan Anu gembira sepanjang hari itu. Tidak hanya itu, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ted jauh lebih bermakna bukan sahaja buat Anu malah buat semua yang mengetahui kisah ini. Jika Ted boleh menyebarkan kebaikan dan kasih sayang kepada orang yang tidak dikenalinya, mengapa kita tidak boleh melakukan hal yang sama? Ayuh, sebarkan kebaikan!
Buat yang tidak mengenali Ted Kunchok, 27, dia merupakan seorang ‘Youtuber’ dari Tibet yang juga merupakan seorang ‘travel vlogger’ dan selebriti media sosial. Dia popular kerana membuat video pengembaraan di saluran Youtube miliknya yang ditonton jutaan orang.
Ted mula membuat video Youtube pada April 2020 dan telah berjaya menjadikan dirinya sebagai ‘influencer’ media sosial. Dia memperoleh banyak pengikut di Instagram, Facebook, dan YouTube melalui kerjanya.
Adalah menjadi misinya untuk menyebarkan kasih sayang dan sifat positif di seluruh dunia dan untuk tujuan itu dia banyak menderma dan melakukan sumbangan kepada orang miskin.
Pasti ramai yang teruja apabila kerajaan Malaysia mengumumkan untuk membuka semula sempadan negara yang telah ditutup sejak wabak Covid-19 melanda dunia. Jangan kata rakyat Malaysia, pelancong asing pastinya turut merasakan keterujaan yang sama kerana bermula 1 April ini mereka boleh melakukan pengambaraan di negara ini.
Memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, fasa ini merupakan fasa sementara sebelum negara masuk ke fasa endemik (sepenuhnya) yang mana ia tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ismail berkata keputusan itu dibuat berdasarkan fakta terkini wabak Covid-19, perbandingan keperluan pembukaan sempadan dengan negara lain serta memudahkan perjalanan pengunjung.
Oleh itu, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.
Ya, inilah berita yang ditunggu-tunggu oleh ramai tetapi sebelum itu kita perlu tahu 8 perkara penting yang perlu diambil perhatian.
Pelancong yang divaksin sepenuhnya (antarabangsa) yang datang ke Malaysia tidak perlu dikuarantin.
Dengan pembukaan sempadan, pengembara yang lengkap vaksinasi COVID-19 tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas, serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Berkuatkuasa 1 April 2022, berikut adalah prosedur pengujian dan kuarantin kepada pengembara yang tiba di Malaysia. Perincian prosedur melalui pengembaraan jalan darat akan diumumkan dalam masa terdekat.
Rakyat Malaysia bebas melancong ke negara lain yang telah membuka sempadannya.
Dalam kes ini, anda perlu membuat penyelidikan anda sendiri tentang garis panduan keselamatan Covid-19 destinasi anda, termasuk kemungkinan keperluan untuk ujian pra-berlepas, serta insurans kesihatan yang diperlukan (jika ada).
Rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dan pengembara luar tidak perlu memohon permit MyTravelPass.
Rakyat Malaysia dengan dokumen perjalanan sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Peraturan itu juga tertakluk kepada pengambara dari luar negara.
Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka, tiada kuarantin dan ujian saringan.
Jika sebelum ini Malaysia dan Singapura berjaya melaksanakan program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat berdasarkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 5th November 2021. Pelaksanaan ini tertakluk kepada syarat kemasukan lazim yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Namun, minggu lalu Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.
Jadi, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, 24 Mac lalu.
Semua rakyat Malaysia boleh melancong dalam negara, tanpa mengira status vaksinasi mereka, ke mana sahaja!
Kedai makan tidak lagi mempunyai sebarang had pada waktu operasinya.
Had waktu bagi premis perniagaan dimansuhkan. Premis boleh laksanakan waktu operasi masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis tersebut. Hal ini bermaksud, orang ramai sudah boleh makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam. Ada kedai, ada restoran yang buka selama 24 jam, itu juga dibenarkan. Tambahan lagi, peraturan baharu itu juga terpakai kepada semua premis terutamanya dalam bulan Ramadan kelak.
Rumah ibadat tidak lagi perlu menguatkuasakan langkah penjarakan sosial.
Sembahyang jemaah di masjid serta surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat agama boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Namun begitu, pelaksanaan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).
Perniagaan lain (seperti kedai runcit dan perusahaan milik persendirian) boleh beroperasi mengikut untuk waktu operasipremis masing-masing.
Jika sebelum ini kedai-kedai runcit dan kedai serbaneka dihadkan waktu operasinya tetapi kini tidak lagi. Kedai serbaneka yang mempunyai lesen operasi 24 jam sudah boleh dibuka sepanjang hari tanpa had waktu.
Semua peraturan baru ini seolah-olah membawa kita kepada ‘zaman’ sebelum Covid-19. Pasti ramai yang seronok, teruja dan tidak sabar untuk ‘melepak’ di mamak tengah-tangah malam tetapi orang ramai masih perlu memakai pelitup muka di tempat awam dan jangan lupa membuat pendaftaran kemasukan di MySejahtera.
Omega dan Swatch tampil bekerjasama dalam satu projek jam tangan yang tanpa dijangka telah mencipta tarikan kepada peminat jam tangan di Malaysia dan seluruh dunia.
Mengambil namanya daripada perkataan Swatch dan Moonwatch, koleksi pertama hasil kerjasama kedua jenama iaitu BIOCERAMIC Moon-Swatch menampilkan semula Speedmaster Moonwatch dengan sentuhan dinamik dan pilihan warna unik yang jarang dilihat peminat Omega dan Swatch, pengumpul jam tangan dan umum.
Masih mengekalkan keaslian warisan Speedmaster Moonwatch, koleksi ini mendapat inspirasi dari angkasa dengan menampilkan 11 model yang dinamakan sempena planet dalam sistem suria, dari Matahari kepada planet Pluto.
Koleksi Omega x Swatch secara rasmi telah ditampilkan kepada umum di Malaysia pada 26 Mac bermula 10.00 pagi seperti yang yang dimuat naik oleh Pavilion Kuala Lumpur di Instagram.
“Dengan harga runcit RM1,065, koleksi BIOCERAMIC Moon-Swatch tersedia secara eksklusif di Malaysia di Swatch Pavilion KL, Aras 4 mulai 26 Mac dan seterusnya,” umum mereka.
Selepas muat naik kenyataan itu, para peminat jam tangan mula beratur panjang di Pavilion KL untuk merebut peluang memiliki koleksi ini sejak malam lagi sebelum hari perasmian.
Dan barisan panjang di hadapan outlet Swatch bukan hanya berlaku di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Difahamkan perkara yang sama turut berlaku di Singapura, Taiwan dan Hong Kong serta beberapa negara lain.
Beberapa peminat jam tangan ini dari seluruh dunia berkongsi kisah mereka dengan terpaksa beratur panjang dan bersesak demi merebut peluang mendapatkan koleksi jam tangan kerjasama istimewa Omega x Swatch di media sosial.
Not really a lineup guy, thought a 6am appearance for the Omega x Swatch Moonswatch might have been good enough. I was wrong#moonswatchpic.twitter.com/j7bfTM03uO
Maka disebabkan koleksi BIOCERAMIC Moon-Swatch mendapat sambutan hebat menggalakkan tanpa dijangka, pihak Swatch telah mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan para pelanggan yang berminat untuk membeli jam tangan ini hanya dibenarkan mendapatkan satu jam tangan sahaja untuk satu orang buat masa ini.
“Kami mengingatkan anda jam tangan ini tersedia di Kedai Swatch terpilih pada minggu-minggu berikut memandangkan ia bukan edisi terhad.
“Buat sementara ini, kami mengemas kini had pembelian adalah satu jam tangan untuk satu orang sehingga pemberitahuan notis selanjutnya. Kami akan menukar had kepada dua jam tangan untuk satu orang dengan secepat mungkin,” jelas Swatch di Instagram.
Jam tangan ini menjadi tarikan kerana ia direka dalam BIOCERAMIC yang dipatenkan oleh Swatch, gabungan inovatif seramik dan plastik sumber bio yang mampan yang mula diperkenalkan pada tahun 2021.
Sebagai tambahan, setiap MoonSwatch selesai dengan pernyataan misinya sendiri dan gambaran planetnya pada penutup bateri.
Dan tarikan warna-warna menarik dan unik mengikut planet dalam sistem suria itu menyebabkan ramai orang berpusu-pusu untuk mendapatkannya dan tidak mahu ketinggalan memiliki jam tangan ini dalam koleksi.
Profesion guru bukan sekadar mendidik para pelajar supaya menjadi manusia berjaya dan berguna kepada masyarakat di masa hadapan, malahan lebih daripada itu.
Menjadi seorang guru yang sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak murid berjaya dalam pelajaran, sudah pasti ia menjadi teladan yang baik dan jasa itu bakal dikenang sampai bila-bila.
Salah seorang guru baru-baru ini menjadi tular di TikTok apabila beliau merakam dirinya sedang menjadi pengasuh kepada adik salah seorang pelajarnya yang bakal menduduki SPM, yang mana telah menarik perhatian dan menyentuh hati para netizen.
Kapsyen video itu menunjukkan guru ini sedang memegang bayi comel, “Pelajar minta izin bawa adik sebab tiada siapa yang boleh jaga dekat rumah. Lepas itu dalam kelas kakak tak dapat fokus..”
“Akhirnya cikgu ambil dia mengasuh sambil mengajar.. Senyap dan baik saja bayi ni.. Doakan pelajar saya cemerlang SPM.”
Video TikTok berdurasi 8 saat itu telah dikongsikan oleh cikgu @shukranalmasyhur yang merupakan guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Geografi.
Guru ini ingin memberitahu walaupun si kakak bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi, dia sanggup berkorban untuk mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan adiknya demi kasih sayang.
Atas sebab itu, beliau mengambil sikap toleransi selepas anak muridnya telah meminta izin membawa adiknya ke sekolah, dan beliau tidak teragak-agak untuk menjadi pengasuh buat sementara waktu, bagi membolehkan si kakak menjadi lebih fokus menelaah pelajaran.
Selepas menonton video comel di TikTok, rata-rata netizen berasa kagum dengan sikap terpuji guru ini sambil mengucapkan tahniah, terima kasih dan mendoakannya.
Masihkah anda ingat bilakah kali pertama anda bertemu dengan kucing peliharaan anda? Adakah hubungan anda dan si comel itu berjalan lancar? Adakah si comel itu menyayangi anda? Selepas semua persoalan itu terjawab, sejauh manakah sebenarnya anda mengenali kucing peliharaan anda? Di sini ada 9 trivia kucing yang perlu anda ketahui untuk membina hidup bahagia bersamanya.
1. Kucing adalah haiwan yang disembah pada zaman mesir purba.
Haiwan yang disembah oleh manusia ketika itu adalah kucing. Mereka membina kediaman khas kucing di kuil, memberi makan dengan roti terbaik dan ikan nil. Bukan itu sahaja, malah orang yang mempunyai status sosial yang tinggi juga berperanan untuk menjaga kucing. Selepas kucing mati, mereka membina mumia khas untuk kucing dan mengebumikannya sama ada di tanah perkuburan keluarga manusia atau perkuburan kucing.
Tidak perlulah anda melakukan hal seperti itu, namun cukuplah dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa dan memberikannya makan makanan yang berkhasiat yang sesuai dengannya. Ini kerana, walaupun kucing tergolong dalam kumpulan karnivor, tetapi tidak bermakna semua daging sesuai untuknya. Dan jika sudah sampai ajalnya, uruskanlah bangkai kucing anda itu dengan sebaik-baiknya.
2. Kucing tidak dapat melihat dengan jelas dari jarak jauh.
Jika anda berada jauh darinya, ia tidak dapat melihat anda dengan jelas tetapi jika ada berada dekat dengannya, ia dapat melihat anda dengan jelas. Untuk makluman anda juga, kucing mempunyai penglihatan 6 hingga 8 kali lebih baik berbanding manusia ketika ia berada di tempat gelap.
3. Kerap tidur tanda si comel itu sedang membesar.
Kucing menggunakan 2/3 daripada masa hidupnya untuk tidur. Saintis mengesyaki bahawa anak kucing merembeskan sejenis hormon pertumbuhan semasa tidur. Untuk pengetahuan anda juga, kucing sebenarnya berdengkur ketika tidur dan kadang-kadang bunyinya sangat kuat. Jika anda mendengar kucing berdengkur ketika ia tidur, itu bermakna kucing itu sihat dan selamat.
4. Cara unik kucing menyapa antara satu sama lain.
Kucing juga mempunyai cara tersendiri untuk mengucapkan ‘hai’ sesama mereka. Mereka akan menyentuh hidung masing-masing dan jika mereka mempunyai hubungan yang baik, mereka akan menjilat bulu antara satu sama lain.
Formula umur kucing ialah, 6 bulan umur kucing bersamaan dengan 10 tahun umur manusia, 1 tahun umur kucing bersamaan dengan 15 tahun umur manusia, manakala 2 tahun umur kucing bersamaan dengan 24 tahun umur manusia. Selepas berumur 2 tahun, peningkatan setiap tahun umur kucing adalah bersamaan dengan peningkatan 4 tahun umur manusia. Oleh itu, jika kucing berumur 8 tahun, itu bermaksud secara kasarnya umur manusia ialah 48 tahun.
Jangka hayat bagi kucing yang dibela ialah sekitar 12 hingga 15 tahun, manakala bagi kucing terbiar pula, umur mereka hanyalah sekitar 3 hingga 4 tahun sahaja.
Mengikut rekod, kucing tertua dunia berusia 38 tahun 3 hari yang dibernama Creme Puff.
Kucing mempunyai tubuh badan yang sangat fleksibel. Postur kucing yang begitu ringan membolehkannya berlari pada kelajuan 50 kilometer per jam. Kucing juga mampu melompat 5 kali lebih tinggi daripada ketinggiannya sendiri.
Namun, sesuatu yang pelik tetapi benar mengenai kucing ialah mereka pandai panjat tetapi tidak pandai turun. Kucing kebiasaannya pandai memanjat tempat-tempat tinggi seperti almari, pokok atau rak. Tetapi mereka tidak pandai turun! Mereka akan duduk mengiau agar sesiapa yang terdengar jeritannya itu akan mengambilnya turun dari tempat tinggi.
7. Awas jika kucing anda terlalu gemuk kerana ia bukan hanya bermaksud comel tetapi obesiti!
Obesiti (rujukan PRPM: kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan) bukan masalah yang dihadapi oleh manusia sahaja tetapi turut dihadapi haiwan seperti kucing. Ya! Kucing yang terlalu gemuk bukan hanya bermaksud comel tetapi obesiti yang akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit muncul. Agak sukar sebenarnya untuk mengesan jika kucing anda menghidapi obesiti dan penyakit yang membawa maut seperti penyakit jantung pada peringkat awal.
Oleh yang demikain adalah lebih baik mencegah daripada merawat kucing anda seperti membawanya ke pemeriksaan fizikal secara berkala, menjaga pemakanannya dan mengajaknya melakukan aktiviti kecergasan yang sesuai agar berat badannya sentiasa ideal.
8. Fahami bahasa tubuhnya, suka, marah atau menyampah?
Kucing yang gembira akan menegakkan ekornya sambil mengeluarkan bunyi mendengkur manakala apabila marah, ia akan mengibaskan ekornya dengan kuat. Jika anda terlebih bergurau sehingga mendatangkan kemarahannya, anda bukan sahaja akan diterkam tetapi digigit.
Apabila anda ternampak kucing mengerdipkan matanya perlahan-lahan itu tandanya ia menunjukkan keintiman. Manakala jika kucing merenung tajam, itu menunjukkan permusuhan sedang berlaku. Jadi, jangan pandang terus ke mata kucing atau merenungnya sepanjang masa.
Selain itu, bukti kucing anda lebih pembersih dari anda ialah mereka menjilat bulu mereka 1/3 daripada masa mereka terjaga. Jadi, jika kucing menjilat anda itu bermaksud ia mahu membersihkan anda. Kucing pun menyampah jika anda kotor dan berbau busuk!
9.Kucing terbiar tidak suka jika anda terlalu gopoh untuk membawanya pulang ke rumah kerana kecomelannya.
Kucing terbiar di bandar secara amnya adalah kucing domestik yang ditinggalkan oleh tuannya yang terdahulu. Namun, mungkin juga keturunan mereka adalah “kucing terbiar generasi kedua” yang mana mereka ini jinak dengan manusia.
Walau bagaimanapun, jika anda terserempak dengan kucing terbiar yang comel, jangan gopoh untuk membawanya pulang. Anda harus memberinya ruang supaya ia selesa dengan anda.
Apa yang anda boleh lakukan ialah kerap datang menjenguknya di tempat yang ia selalu ada supaya ia kenal dengan ‘bau’ anda, bawakan ‘buah tangan’ untuknya tetapi jangan terburu-buru untuk mengusapnya. Kucing terbiar bukannya hendak memusuhi manusia tetapi mereka perlukan masa untuk membina kepercayaan terhadap anda.
Buat pasangan telah berkahwin, sudah pasti perkara utama yang mereka inginkan adalah melahirkan zuriat dengan secepat yang mungkin. Kisah pasangan ini yang telah banyak bersabar dan akhirnya mendapat kejutan rezeki melahirkan kembar tiga boleh menjadi inspirasi buat semua.
Sepasang suami isteri dari Johor Bahru telah berkahwin selama 3 tahun dan menjalani kehidupan rumah tangga yang biasa dengan membina impian untuk mendapatkan zuriat seperti mana pasangan lain, sambil mempercayai rezeki mereka telah ditetapkan tidak mengira cepat ataupun lambat.
Namun, selepas tiga tahun menunggu dan ramai saudara mara dan kenalan mula bertanya walaupun mereka tidak tertekan, pasangan ini mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan doktor pakar, dan si suami turut berikhtiar dengan mengambil keputusan untuk berhenti merokok.
Tanpa disangka, si isteri mendapat perkhabaran gembira apabila disahkan hamil anak kembar tiga yang merupakan satu kejutan dan keajaiban buat mereka berdua.
Pasangan itu, Mohamad Safwan, 31 tahun dan isterinya Nurul Farhana, 29 tahun telah bekerja keras untuk mendapatkan cahaya mata sejak mereka berkahwin pada tahun 2018.
Sejak tahun kedua perkahwinan, mereka tidak berdiam diri dengan berikhtiar mendapatkan nasihat pakar di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memeriksa tahap kesuburan.
Mohamad Safwan berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, doktor telah mengesyorkan pasangan itu mengambil ubat, mengubah cara pemakanan dan mengamalkan tabiat gaya hidup yang sihat.
“Saya cuba dengar nasihat doktor untuk berhenti merokok, walaupun hakikatnya saya seorang perokok tegar. Usaha itu membuahkan hasil kerana tiga bulan kemudian, isteri disahkan hamil,” katanya kepada Harian Metro.
Pada mulanya, mereka menyangka Nurul Farhana hamil anak kembar kerana pada peringkat awal doktor mengesan terdapat dua janin.
Tanpa disangka keajaiban berlaku apabila seminggu sebelum Nurul Farhana bersalin, doktor menemui janin ketiga ketika pemeriksaan terakhir, yang mana merupakan satu kejutan dan berita paling menggembirakan buat pasangan ini.
“Saya dan isteri sudah membuat persiapan membeli pakaian dan kelengkapan untuk kembar, tetapi selepas mendengar berita gembira itu, kami segera pergi membeli-belah sekali lagi,”kata Mohamad Safwan.
Nurul Farhana bersalin lebih awal pada usia kandungannya tujuh bulan. Walaupun dilahirkan secara pra matang, kesemua bayi berada dalam keadaan yang sihat membuatkan pasangan ini berasa amat bersyukur.
Bayi Idlan dan Izhan ditempatkan selama 82 hari di unit rawatan intensif neonatal (NICU), manakala bayi Ilhan selama 62 hari.
Bayi kembar tiga dengan gelaran ‘The Antriplet’ ini mendapat perhatian dan tular pada bulan Oktober tahun lalu apabila bapa mereka memuat naik video kecomelan triplet ini di TikTok dan Instagram.
Mohamad Safwan berkata, “Saya harap kisah kami dapat mendorong pasangan lain untuk tidak berputus asa dan terus berusaha mendapatkan zuriat termasuk ke LPPKN, untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan pakar, dan terus berdoa serta bersangka baik dengan-Nya.”
China mengumumkan pada 24 Mac bahawa mereka telah menemui mayat manusia dan serpihan pesawat yang terhempas dengan 132 orang di dalamnya. Pada masa yang sama, rejim mengeluarkan laporan dengan butiran berkenaan mangsa, syarikat penerbangan memotong kos penyelenggaraan, dan kemungkinan sebab berlakunya nahas.
Pada hari Khamis 24 Mac, pekerja penyelamat terus mencari mangsa yang mungkin terselamat. Dalam hujan, penyelamat menemui serpihan pesawat di ladang petani kira-kira 6.2 batu (10 kilometer) dari tapak pesawat itu terjunam dan terhempas ke lurah pergunungan. Mereka kemudian memutuskan untuk meluaskan kawasan pencarian.
Pada 21 Mac, penerbangan MU5735, sebuah pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh China Eastern Airlines, sedang dalam perjalanan dari bandar Kunming di barat daya China ke bandar Guangzhou di tenggara China, membawa 123 penumpang dan 9 anak kapal. Kira-kira jam 2.20 petang waktu tempatan, pesawat itu dalam penerbangan pada ketinggian kira-kira 29,100 kaki apabila ia tiba-tiba terbang menjunam ke kawasan pergunungan terpencil di Wuzhou, Guangxi.
Pasukan pencari dan menyelamat di lokasi nahas pesawat China Eastern Airlines Boeing 737-800NG yang membawa 132 orang termasuk kru penerbangan pada 22 Mac 2022 di Tengxian, Wuzhou, Wilayah Guangxi. (Gambar oleh VCG/VCG /Getty Images)
Menjelang jam 4:00 petang pada 24 Mac, pasukan itu telah menemui 21 bahagian mayat mangsa dan 183 serpihan pesawat. Mereka tidak menemui mana-mana mangsa yang terselamat mahupun mayat yang lengkap, memusnahkan harapan ahli keluarga yang menunggu berita tentang orang tersayang, menurut pengumuman rejim.
Serpihan itu termasuk bilah enjin, bahagian turbin, sisa tiang enjin, penstabil mendatar kiri dan kanan, penggerak autopilot aileron, sisa sayap, separa sayap dan modul pelepasan kecemasan kokpit.
Pada 23 Mac, penyelamat menemui perakam suara kokpit (CVR), satu daripada dua perakam penerbangan dalam kotak hitam yang merekodkan perbualan antara juruterbang, pembantu juruterbang dan pusat kawalan trafik udara, dan bunyi pemberitahuan yang dibuat oleh kapal terbang semasa penerbangan.
Zhu Tao, pengarah Pejabat Keselamatan Penerbangan di Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), berkata dalam sidang akhbar pada 23 Mac bahawa CVR itu “rosak teruk dari segi rupa” tetapi “agak lengkap”, unit simpanan perakam telah rosak dan unit itu dihantar ke Beijing untuk penyahkodan.
Kotak hitam kedua, perakam data penerbangan (FDR), masih belum ditemui semasa sidang media.
Petugas penyelamat menjalankan kerja-kerja pencarian di lokasi China Eastern Airlines MU5375 terhempas pada 21 Mac di Wuzhou, Wilayah Guangxi, pada 24 Mac 2022. (Gambar oleh NOEL CELIS/AFP/Getty Images)
Penapisan
Kemalangan penerbangan MU5735 adalah bencana pesawat terburuk di China dalam lebih sedekad. Selepas nahas itu, program TV, akhbar dan laman web berita kendalian kerajaan China menumpukan kepada penglibatan para pegawai dan kerja keras pasukan penyelamat.
Hanya beberapa media China melaporkan siapa mangsa, dan pemahaman mereka tentang kemungkinan punca nahas. Tetapi kebanyakan laporan ini telah dialih keluar daripada internet China, dan netizen tidak dibenarkan menyiarkan atau mengulas dalam platform media sosial.
Senarai nama kru penerbangan MU5735 telah disiarkan di platform media sosial, sejurus selepas kemalangan itu. Senarai itu segera dialih keluar dan beberapa netizen yang berkongsi siaran itu mendapati akaun mereka telah digantung.
Phoenix TV yang pro-Beijing berpangkalan di Hong Kong menyiarkan artikel di laman webnya pada 22 Mac, di mana orang dalam Lin Ping memperkenalkan maklumat peribadi tentang juruterbang dan pegawai keselamatan pengangkutan MU5735.
“Nama kapten ialah Yang Hongda, seorang lelaki muda dari keluarga kaya,” laporan itu memetik Lin, dan berkata bapa Yang juga adalah seorang juruterbang, yang pernah bekerja untuk China Eastern Airlines tetapi bekerja untuk syarikat penerbangan lain sekarang.
“Pembantu juruterbang Zhang Zhengping ialah kapten ‘lima bintang’. Ramai juruterbang yang belajar daripadanya adalah juruterbang berpangkat tinggi di China,” tambah Lin. “Lu Kai, pegawai keselamatan pengangkutan berada dalam kedudukan ini selama lebih 10 hari.”
Juruterbang ketiga, Ni Gongtao, berada di dalam pesawat sebagai pelatih. Dia seorang juruterbang muda berusia 20-an dan telah bekerja untuk syarikat penerbangan itu selama tiga tahun.
Gambar oleh CNS/AFP via Getty Images
Laporan Phoenix TV mengesahkan nama-nama dalam senarai kru penerbangan yang dialih keluar daripada internet, dan telah disiarkan semula secara meluas oleh media di tanah besar China. Walau bagaimanapun, artikel yang disiarkan semula ini telah dialih keluar dari internet dalam masa beberapa jam. Warga di China tidak lagi boleh membaca artikel itu kerana Great FireWall rejim tidak membenarkan pengguna internet bebas melayari laman web.
China Eastern Airlines mengumumkan waktu penerbangan tiga juruterbang itu tanpa menyebut nama mereka pada sidang media 23 Mac. Menurut syarikat penerbangan, Yang memperoleh 6,709 jam penerbangan, Zhang mempunyai 31,769 jam penerbangan, dan Ni telah terbang 556 jam. Syarikat penerbangan itu menekankan dalam sidang media bahawa ketiga-tiga juruterbang sihat dan mempunyai keluarga yang harmoni. Syarikat penerbangan tidak mengatakan apa-apa tentang mengapa Zhang yang berpengalaman adalah pembantu juruterbang dan bukannya kapten.
Malah laporan media kerajaan telah dialih keluar dari maklumat dalam internet China.
Pada 22 Mac, majalah People (dimiliki oleh People’s Press) menerbitkan artikel yang panjang mengenai penumpang dalam MU5735, termasuk seorang lelaki yang baru berkahwin, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang merancang untuk belajar di sekolah menengah di Britain pada musim gugur ini, seorang jurulatih perniagaan pertengahan umur yang mempunyai tiga anak, enam ahli keluarga yang merancang untuk menghadiri pengebumian di Guangzhou, dan seorang akauntan yang baru sahaja menamatkan kerja pengauditan di Kunming.
Artikel itu telah dialih keluar beberapa jam selepas ia diterbitkan.
Gambar oleh NOEL CELIS/AFP /Getty Images
Kumpulan artikel yang dialih keluar adalah berkaitan dengan operasi penyelenggaraan China Eastern Airlines. Pada 21 Mac, satu siri artikel memetik pengumuman syarikat penerbangan sebelum ini bahawa syarikat penerbangan itu mengendalikan 752 pesawat penerbangan pada akhir Februari, dan telah mengurangkan bajet penyelenggaraan dan menurunkan berat pesawat untuk menjimatkan petrol dan pengurangan kos.
Pada Oktober 2019, China Eastern Airlines membaiki ‘pickle fork’ pesawat Boeing 737 NG, komponen yang menghubungkan struktur sayap, gear pendaratan dan fiuslaj, dan bukannya menghantarnya kembali kepada Boeing. Pada masa itu, syarikat penerbangan berbangga dengan kemahiran mekaniknya yang terpaksa mencari penyelesaian alternatif untuk memasang alat ganti baharu kerana mereka tidak mempunyai alatan yang sesuai.
Pada 21 Mac, pengulas hal ehwal China di luar China mempersoalkan sama ada syarikat penerbangan itu menggunakan alat ganti pilihan dan alat ganti daripada pesawat lain yang boleh membahayakan keselamatan pesawat.
Pada 24 Mac, China Eastern mengalih keluar artikel dan video promosi lama, dan menyatakan pesawat Boeing 737 NG dengan ‘pickle fork’ yang dibaiki telah bersara pada September 2020, dan pesawat yang terhempas itu hanya berusia 6.8 tahun.