Omega dan Swatch tampil bekerjasama dalam satu projek jam tangan yang tanpa dijangka telah mencipta tarikan kepada peminat jam tangan di Malaysia dan seluruh dunia.
Mengambil namanya daripada perkataan Swatch dan Moonwatch, koleksi pertama hasil kerjasama kedua jenama iaitu BIOCERAMIC Moon-Swatch menampilkan semula Speedmaster Moonwatch dengan sentuhan dinamik dan pilihan warna unik yang jarang dilihat peminat Omega dan Swatch, pengumpul jam tangan dan umum.
Masih mengekalkan keaslian warisan Speedmaster Moonwatch, koleksi ini mendapat inspirasi dari angkasa dengan menampilkan 11 model yang dinamakan sempena planet dalam sistem suria, dari Matahari kepada planet Pluto.
Koleksi Omega x Swatch secara rasmi telah ditampilkan kepada umum di Malaysia pada 26 Mac bermula 10.00 pagi seperti yang yang dimuat naik oleh Pavilion Kuala Lumpur di Instagram.
“Dengan harga runcit RM1,065, koleksi BIOCERAMIC Moon-Swatch tersedia secara eksklusif di Malaysia di Swatch Pavilion KL, Aras 4 mulai 26 Mac dan seterusnya,” umum mereka.
Selepas muat naik kenyataan itu, para peminat jam tangan mula beratur panjang di Pavilion KL untuk merebut peluang memiliki koleksi ini sejak malam lagi sebelum hari perasmian.
Dan barisan panjang di hadapan outlet Swatch bukan hanya berlaku di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Difahamkan perkara yang sama turut berlaku di Singapura, Taiwan dan Hong Kong serta beberapa negara lain.
Beberapa peminat jam tangan ini dari seluruh dunia berkongsi kisah mereka dengan terpaksa beratur panjang dan bersesak demi merebut peluang mendapatkan koleksi jam tangan kerjasama istimewa Omega x Swatch di media sosial.
Maka disebabkan koleksi BIOCERAMIC Moon-Swatch mendapat sambutan hebat menggalakkan tanpa dijangka, pihak Swatch telah mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan para pelanggan yang berminat untuk membeli jam tangan ini hanya dibenarkan mendapatkan satu jam tangan sahaja untuk satu orang buat masa ini.
“Kami mengingatkan anda jam tangan ini tersedia di Kedai Swatch terpilih pada minggu-minggu berikut memandangkan ia bukan edisi terhad.
“Buat sementara ini, kami mengemas kini had pembelian adalah satu jam tangan untuk satu orang sehingga pemberitahuan notis selanjutnya. Kami akan menukar had kepada dua jam tangan untuk satu orang dengan secepat mungkin,” jelas Swatch di Instagram.
Jam tangan ini menjadi tarikan kerana ia direka dalam BIOCERAMIC yang dipatenkan oleh Swatch, gabungan inovatif seramik dan plastik sumber bio yang mampan yang mula diperkenalkan pada tahun 2021.
Sebagai tambahan, setiap MoonSwatch selesai dengan pernyataan misinya sendiri dan gambaran planetnya pada penutup bateri.
Dan tarikan warna-warna menarik dan unik mengikut planet dalam sistem suria itu menyebabkan ramai orang berpusu-pusu untuk mendapatkannya dan tidak mahu ketinggalan memiliki jam tangan ini dalam koleksi.
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: