Masihkah anda ingat bilakah kali pertama anda bertemu dengan kucing peliharaan anda? Adakah hubungan anda dan si comel itu berjalan lancar? Adakah si comel itu menyayangi anda? Selepas semua persoalan itu terjawab, sejauh manakah sebenarnya anda mengenali kucing peliharaan anda? Di sini ada 9 trivia kucing yang perlu anda ketahui untuk membina hidup bahagia bersamanya.
1. Kucing adalah haiwan yang disembah pada zaman mesir purba.
Haiwan yang disembah oleh manusia ketika itu adalah kucing. Mereka membina kediaman khas kucing di kuil, memberi makan dengan roti terbaik dan ikan nil. Bukan itu sahaja, malah orang yang mempunyai status sosial yang tinggi juga berperanan untuk menjaga kucing. Selepas kucing mati, mereka membina mumia khas untuk kucing dan mengebumikannya sama ada di tanah perkuburan keluarga manusia atau perkuburan kucing.
Tidak perlulah anda melakukan hal seperti itu, namun cukuplah dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa dan memberikannya makan makanan yang berkhasiat yang sesuai dengannya. Ini kerana, walaupun kucing tergolong dalam kumpulan karnivor, tetapi tidak bermakna semua daging sesuai untuknya. Dan jika sudah sampai ajalnya, uruskanlah bangkai kucing anda itu dengan sebaik-baiknya.
2. Kucing tidak dapat melihat dengan jelas dari jarak jauh.
Jika anda berada jauh darinya, ia tidak dapat melihat anda dengan jelas tetapi jika ada berada dekat dengannya, ia dapat melihat anda dengan jelas. Untuk makluman anda juga, kucing mempunyai penglihatan 6 hingga 8 kali lebih baik berbanding manusia ketika ia berada di tempat gelap.
3. Kerap tidur tanda si comel itu sedang membesar.
Kucing menggunakan 2/3 daripada masa hidupnya untuk tidur. Saintis mengesyaki bahawa anak kucing merembeskan sejenis hormon pertumbuhan semasa tidur. Untuk pengetahuan anda juga, kucing sebenarnya berdengkur ketika tidur dan kadang-kadang bunyinya sangat kuat. Jika anda mendengar kucing berdengkur ketika ia tidur, itu bermakna kucing itu sihat dan selamat.
4. Cara unik kucing menyapa antara satu sama lain.
Kucing juga mempunyai cara tersendiri untuk mengucapkan ‘hai’ sesama mereka. Mereka akan menyentuh hidung masing-masing dan jika mereka mempunyai hubungan yang baik, mereka akan menjilat bulu antara satu sama lain.
5. Umur kucing
Formula umur kucing ialah, 6 bulan umur kucing bersamaan dengan 10 tahun umur manusia, 1 tahun umur kucing bersamaan dengan 15 tahun umur manusia, manakala 2 tahun umur kucing bersamaan dengan 24 tahun umur manusia. Selepas berumur 2 tahun, peningkatan setiap tahun umur kucing adalah bersamaan dengan peningkatan 4 tahun umur manusia. Oleh itu, jika kucing berumur 8 tahun, itu bermaksud secara kasarnya umur manusia ialah 48 tahun.
Jangka hayat bagi kucing yang dibela ialah sekitar 12 hingga 15 tahun, manakala bagi kucing terbiar pula, umur mereka hanyalah sekitar 3 hingga 4 tahun sahaja.
Mengikut rekod, kucing tertua dunia berusia 38 tahun 3 hari yang dibernama Creme Puff.
6. Pandai panjat tetapi tidak pandai turun!
Kucing mempunyai tubuh badan yang sangat fleksibel. Postur kucing yang begitu ringan membolehkannya berlari pada kelajuan 50 kilometer per jam. Kucing juga mampu melompat 5 kali lebih tinggi daripada ketinggiannya sendiri.
Namun, sesuatu yang pelik tetapi benar mengenai kucing ialah mereka pandai panjat tetapi tidak pandai turun. Kucing kebiasaannya pandai memanjat tempat-tempat tinggi seperti almari, pokok atau rak. Tetapi mereka tidak pandai turun! Mereka akan duduk mengiau agar sesiapa yang terdengar jeritannya itu akan mengambilnya turun dari tempat tinggi.
7. Awas jika kucing anda terlalu gemuk kerana ia bukan hanya bermaksud comel tetapi obesiti!
Obesiti (rujukan PRPM: kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan) bukan masalah yang dihadapi oleh manusia sahaja tetapi turut dihadapi haiwan seperti kucing. Ya! Kucing yang terlalu gemuk bukan hanya bermaksud comel tetapi obesiti yang akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit muncul. Agak sukar sebenarnya untuk mengesan jika kucing anda menghidapi obesiti dan penyakit yang membawa maut seperti penyakit jantung pada peringkat awal.
Oleh yang demikain adalah lebih baik mencegah daripada merawat kucing anda seperti membawanya ke pemeriksaan fizikal secara berkala, menjaga pemakanannya dan mengajaknya melakukan aktiviti kecergasan yang sesuai agar berat badannya sentiasa ideal.
8. Fahami bahasa tubuhnya, suka, marah atau menyampah?
Kucing yang gembira akan menegakkan ekornya sambil mengeluarkan bunyi mendengkur manakala apabila marah, ia akan mengibaskan ekornya dengan kuat. Jika anda terlebih bergurau sehingga mendatangkan kemarahannya, anda bukan sahaja akan diterkam tetapi digigit.
Apabila anda ternampak kucing mengerdipkan matanya perlahan-lahan itu tandanya ia menunjukkan keintiman. Manakala jika kucing merenung tajam, itu menunjukkan permusuhan sedang berlaku. Jadi, jangan pandang terus ke mata kucing atau merenungnya sepanjang masa.
Selain itu, bukti kucing anda lebih pembersih dari anda ialah mereka menjilat bulu mereka 1/3 daripada masa mereka terjaga. Jadi, jika kucing menjilat anda itu bermaksud ia mahu membersihkan anda. Kucing pun menyampah jika anda kotor dan berbau busuk!
9. Kucing terbiar tidak suka jika anda terlalu gopoh untuk membawanya pulang ke rumah kerana kecomelannya.
Kucing terbiar di bandar secara amnya adalah kucing domestik yang ditinggalkan oleh tuannya yang terdahulu. Namun, mungkin juga keturunan mereka adalah “kucing terbiar generasi kedua” yang mana mereka ini jinak dengan manusia.
Walau bagaimanapun, jika anda terserempak dengan kucing terbiar yang comel, jangan gopoh untuk membawanya pulang. Anda harus memberinya ruang supaya ia selesa dengan anda.
Apa yang anda boleh lakukan ialah kerap datang menjenguknya di tempat yang ia selalu ada supaya ia kenal dengan ‘bau’ anda, bawakan ‘buah tangan’ untuknya tetapi jangan terburu-buru untuk mengusapnya. Kucing terbiar bukannya hendak memusuhi manusia tetapi mereka perlukan masa untuk membina kepercayaan terhadap anda.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: