30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 9, 2026
Utama Blog Laman 187

Doktor kongsi kisah sedih anak terpaksa menanggung penderitaan akibat kedegilan seorang bapa.

0

Boleh dikatakan semua orang sudah tahu bahana rokok. Tiada siapa yang dapat membuktikan bahawa rokok baik untuk kesihatan. Namun begitu, masih ada yang terus merokok dan menganggap ia adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Tidak hanya itu, ada juga yang tetap berdegil dengan merokok di tempat kawasan larangan merokok. Malah, yang lebih teruk lagi apabila ada orang yang merokok di hadapan orang lain terutama kanak-kanak!

Kanak-kanak yang sering terdedah dengan asap rokok berdepan risiko menghidap pelbagai penyakit seperti jangkitan paru-paru, asma dan masalah pendengaran. Tidak hanya itu, daya fikiran mereka juga boleh menjadi lembap akibat asap rokok.

Baru-baru ini seorang doktor, Dr Daya Nanda, berkongsi pengalamannya ketika berhadapan dengan kejadian di mana pesakitnya tidak dapat diselamatkan akibat asap rokok bapanya. Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua terutama mereka yang selalu merokok di hadapan kanak-kanak…

Menurut Dr Daya Nandan, dia telah mengeluarkan (discharge) seorang pesakit kanak-kanak yang menghidap asma selepas dia memberi rawatan kepada pesakit tersebut. Selepas menerima rawatan, kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan sihat dan paru-parunya kelihatan baik.

Namun, selepas beberapa jam keluar dari hospital, pesakit tersebut dibawa semula ke hospital dan keadaan ini mengundang kemarahan si bapa. Lelaki tersebut juga mengatakan bahawa Dr Daya adalah doktor yang bodoh kerana anaknya diserang asma selepas dikeluarkan.

Keadaan itu membuatkan Dr Daya mula berfikir apa sebenarnya yang tidak kena. Dia kemudian dapat menghidu bau rokok yang keluar daripada nafas lelaki tersebut dan dia mula tahu akan apa sebenarnya yang berlaku.

“Adakah anda menghisap rokok di hadapan anak anda selepas saya mengeluarkannya?” tanya Dr Daya dalam kekecewaan. Lelaki itu terkedu dan nampak terkejut dengan pertanyaan itu. Isterinya yang berada di situ mengangguk dalam keadaan malu kerana dia tahu kejadian seperti itu bukan pertama kali terjadi.

Dr Daya kemudian menyakinkan pasangan tersebut untuk memasukkan semula anaknya ke hospital tetapi si bapa menolak dengan memberi alasan. Walaupun ada pihak atasan yang datang membantu Dr Daya, lelaki itu tetap berkeras untuk tidak memasukkan anaknya ke hospital dengan mengatakan “saya lebih tahu anak saya dari doktor.” Lelaki itu kemudian membawa anaknya meninggalkan hospital.

Beberapa hari kemudian semasa bertugas di syif malam, Dr Daya menerima panggilan dari zon merah. Dia bergegas ke sana dan mula melakukan ‘chest compressions’ ke atas seorang pesakit yang tidak sedarkan diri sementara rakannya pula mengambil ‘adrenaline’ untuk menyedarkan pesakit tersebut. Malangnya usaha mereka tidak berhasil…

Melihat apa yang berlaku, ibu bapa pesakit terus menangis. Rupa-rupanya mereka adalah ibu bapa kepada kanak-kanak asma yang pernah mendapatkan rawatan di situ. Mereka jugalah yang berkeras tidak mahu anak mereka dimasukkan ke hospital dan kini anak mereka tidak dapat diselamatkan.

Itulah kejadian tragis yang tidak mungkin dilupakan oleh Dr Daya. Katanya lagi, rokok boleh membunuh. Jika anda (perokok) tidak takut untuk mati, rokok boleh meragut nyawa orang yang ada di sekeliling mereka.

Apa yang berlaku memang menyedihkan. Kanak-kanak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa asap rokok bapa sendiri, sangat tidak patut!

Buat perokok di luar sana, sudah tiba masanya untuk anda berhenti merokok. Ya, perkara ini bukan mudah tetapi berusaha lah!

Mungkin masih ramai yang tidak tahu mengapa rokok berbahaya kepada tubuh. Tahukah anda bahawa terdapat 7000 bahan kimia di dalam rokok dan sebanyak 70 bahan boleh menjadi punca kepada kanser? Berikut adalah antara kandungan bahan yang terdapat di dalam rokok dan kesannya kepada tubuh:

  1. Nikotin

Kajian menunjukkan nikotin adalah penggalak pertumbuhan kanser. Nikotin secara amnya akan merangsang pengeluaran dopamin dalam otak. Dopamin adalah hormon yang menyebabkan seseorang untuk merasa gembira dan teruja.

Dopamin akan melatih otak kita untuk mengulang pengambilan nikotin. Setiap kali kita menghisap rokok, otak kita akan mengeluarkan hormon dopamin. Jadi semakin lama seseorang itu menghisap rokok, semakin sukar dia meninggalkannya dan terus bergantung kepadanya. Antara simptom-simptom yang akan dialami ialah:

  • Rasa keinginan yang kuat untuk merokok
  • ​Kerisauan​
  • Cepat marah
  • Kemurungan
  • Rasa kekosongan
  • Tidak dapat menumpukan perhatian

Kesan nikotin terhadap badan

  • Merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko penyempitan saluran darah.
  • Menyebabkan pening kepala.
  • Gangguan kepada sistem pencernaan.
  • Menyebabkan ulser perut.
  1. Tar

Terdapat sekitar 60 bahan kimia yang dijumpai dalam tar adalah bersifat karsinogen (punca kanser). Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan menghasilkan permukaan yang melekit pada dinding dalaman paru-paru. Hal ini akan menyebabkan kanser dan penyakit kronik pernafasan.

Tar juga boleh menyebabkan paru-paru menjadi hitam. Bahan ini bukan sahaja menyebabkan penyakit pada paru-paru, ia juga boleh menyebabkan kanser mulut, kerosakan gigi dan penampilan diri yang kurang baik.

  1. Karbon Monoksida

Apabila Karbon Monoksida memasuki saluran darah, oksigen akan bercantum dengan gas ini sekali gus menyekat oksigen daripada diserap ke dalam sel-sel tubuh. Antara simptom-simptom keracunan karbon monoksida ialah:

  • Mudah letih
  • Pening kepala
  • Loya dan muntah
  • Kekeliruan
  1. Arsenik

Kajian menunjukkan bahawa walaupun dalam jumlah yang sedikit, Arsenik boleh menyebabkan kematian akibat sekatan saluran darah dan penyakit jantung.

Arsenik boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser seperti:

  • Kanser paru-paru
  • Kanser kulit
  • Kanser pundi kencing
  • Kanser hati
  • Kanser buah pinggang
  1. Formaldehid

Ia merupakan gas yang tiada warna tapi mempunyai bau yang kuat. Antara kesan apabila seseorang terdedah kepada formaldehid ialah:

  • Mata berair
  • Kepedihan pada mata, hidung dan tekak
  • Batuk
  • Nafas berbunyi seperti wisel
  • Kegatalan kulit
  • Kanser hidung akibat penggunaan rokok dalam tempoh yang panjang
  1. Plumbum

Pendedahan pada plumbum boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada otak dan sel darah merah.

  1. Benzena

Benzena mengurangkan sel darah merah dan merosakkan sum-sum tulang dan boleh membuatkan perokok menghidapi penyakit Anemia. Anemia merupakan penyakit di mana sel darah merah berkurangan.

Kekurangan sel darah merah akan menyebabkan kekurangan oksigen yang dihantar kepada sel. Benzena juga dikaitan dengan Leukemia Myelogenous Akut, ia merupakan kanser sel darah putih.

  1. Kadmium

Kadmium mampu merosakkan paru-paru, buah pinggang, hati dan sel darah merah. Kadmium juga merupakan bahan karsinogen. Antara gejala keracunan kadmium ialah:

  • Loya dan muntah
  • Cirit birit
  • Kekejangan otot
  • Gangguan deria
  • Kegagalan buah pinggang
  1. Hidrogen Sianida (Hydrogen Cyanide)

Hidrogen Sianida adalah sejenis gas yang akan menghalang sel-sel dalam tubuh badan daripada menggunakan oksigen. Oksigen adalah komponen yang penting untuk sel-sel berfungsi. Tanpa oksigen, sel-sel dalam tubuh badan akan mula mati. Kadar hidrogen Sianida dalam sebatang rokok adalah dalam lingkungan 10 – 400 mikrogram.

  1. Aseton

Aseton adalah cecair yang mempunyai bau yang kuat dan senang terbakar. Aseton boleh dijumpai pada pokok dan tumbuh-tumbuhan, malah tubuh badan kita menghasilkan Aseton apabila kita mengamalkan diet rendah lemak.

Dalam kadar sederhana, Aseton mampu membuat iritasi pada hidung, tekak, paru-paru dan mata. Selain itu, Aseton boleh menyebabkan pening kepala, peningkatan degupan jantung, loya dan muntah.

Dalam kadar tinggi, Aseton pula boleh menyebabkan koma. Bagi golongan wanita, mereka boleh mengalami haid yang tidak teratur. Aseton akan menyebabkan kulit pada dinding mulut rosak. Kerosakkan pada dinding mulut yang berulang akan menyebabkan anda cenderung untuk mendapat kanser mulut.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bayaran Fasa 1 BKM 2022 bermula 28 Mac

0

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran Fasa 1 dikreditkan mulai 28 Mac, melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2 bilion.

Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada 20 Mac berkata 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima, merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA

“Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, tarikh pembayaran akan bermula 28 Mac sehingga 8 April dan akan terus dikreditkan ke akaun bank.

“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), pembayaran akan dibuat bermula 30 Mac melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN),” kata Perdana Menteri.

Untuk pembayaran secara tunai, penerima wajib membawa kad pengenalan dan hadir ke cawangan BSN. Hanya wakil yang didaftarkan sahaja yang dibenarkan untuk mewakilkan penerima bagi BKM tunai.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA

Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP (prosedur operasi standard) dari semasa ke semasa.

BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Pembayaran Fasa 1 bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut Ramadan.

Kelayakan penerima BKM 2022

Permohonan BKM yang layak menerima bayaran BKM 2022 Fasa 1 adalah merujuk kepada Permohonan BKM 2022 yang berstatus Lulus dan melepasi semakan verifikasi kelayakan.

Pastikan anda semak terlebih dahulu status anda. Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 (Isnin) melalui pautan: 

https://bkm.hasil.gov.my.

Sekiranya anda berstatus LULUS, ia akan memaparkan jumlah keseluruhan bayaran BKM 2022.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA

Dan jika berstatus TIDAK LULUS, ia akan memaparkan status “TIDAK LULUS PERMOHONAN” berserta alasan tidak lulus permohonan (dengan kod dan keterangan)

Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang layak, Perdana Menteri berkata tempoh permohonan rayuan akan dibuka selama sebulan mulai 2 Mei ini.

Proses ini bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mereka mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jumlah dan kadar bayaran Fasa 1 BKM 2022: 

  • Isi rumah B40: RM300
  • Isi rumah M40: RM200 (1-2 anak), dan RM300 (3 anak dan ke atas)
  • Bujang dan Ibu Bapa Tunggal tiada anak: RM200
  • Bujang dan Ibu Bapa Tunggal tiada anak 60 Tahun ke atas: RM150

Jadual pembayaran di bawah menerangkan dengan lebih jelas kadar pembayaran Fasa 1 hingga Fasa 4 berserta amaun tambahan bagi mereka yang layak.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA

“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” kata Perdana Menteri.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Kerana cinta, lelaki ini sanggup mendayung dari Thailand ke India untuk berjumpa isteri

0

Pasti ramai yang masih ingat dengan insiden yang berlaku di anugerah Oscars baru-baru ini dimana aktor terkenal Hollywood, Will Smith menampar seorang pelakon komedi, Chris Rock kerana gurauannya yang agak keterlaluan. Insiden itu bermula apabila Rock mempersendakan imej isteri Smith, Jada Pinkett yang tiada rambut.

“Jada, saya sayangkan kamu. Tak sabar tunggu G.I. Jane 2,” kata Rock di atas pentas. Tindakan Rock yang dianggap keterlaluan dan tidak disenangi Smith.

“Jangan babitkan nama isteri saya!” jerit Smith dari tempat duduknya sebelum dia naik ke atas pentas dan menampar Rock. Tidak lama selepas itu, Smith menyampaikan ucapan selepas menang trofi Pelakon Terbaik dalam anugerah itu. Antara kata-katanya yang meninggalkan kesan kepada ramai ialah apabila dia memberitahu bahawa “cinta boleh membuatkan kamu melakukan hal-hal yang gila.”

Kata-kata ini memang ada benarnya, terutama buat mereka yang merasakan perasaan itu tidak kira kepada siapa- keluarga, pasangan, teman atau sesiapa sahaja. Misalnya apa yang dilakukan oleh seorang lelaki Vietnam ini yang boleh dikatakan agak ‘gila’ juga. Namun, demi isteri tercinta lautan sanggup diredahinya.

Seorang lelaki warga Vietnam ditemui mendayung di dalam bot getah di Lautan Andaman, 80 km di luar pesisir pantai. Lelaki bernama Ho Hoang Hung itu dikatakan mahu memulakan perjalanan sejauh hampir 2,000 km dari Thailand ke India untuk bertemu isterinya di Mumbai.

Dia dikatakan tidak memiliki sistem navigasi yang baik dan tidak juga memiliki bekalan air bersih dan makanan yang mencukupi. Walau bagaimanapun nasibnya masih baik apabila dia diselamatkan oleh Tentera Laut Thailand pada 23 Mac 2022, selepas menghabiskan 18 hari di laut.

Hung memberitahu Tentera Laut Thailand bahawa dia terpaksa melakukan perjalanan berbahaya kerana dia tidak dapat bertemu isterinya selama dua tahun kerana sekatan akibat wabak Covid-9.

Lelaki berusia 37 tahun itu tiba di lapangan terbang Suvarnabhumi di Thailand dari Vietnam pada 2 Mac, dengan harapan untuk menaiki penerbangan ke India. Bagaimanapun, dia tidak mendapatkan visa. Dia kemudian menaiki bas ke Phuket di mana dia mendapatkan bot getah dan pada 5 Mac lalu dia memutuskan untuk mendayung bot tersebut hingga ke pantai India.

Dengan hanya mendayung dia sebenarnya hanya mampu mendayung sekitar 80 km dari tanah besar Thailand sebelum dia dikesan oleh bot nelayan yang melaporkannya kepada pihak berkuasa akhirnya menyelamatkannya.

Tentera Laut Thailand menyiarkan insiden itu di laman Facebook mereka. Kisah tersebut kemudian telah menjadi tular di internet. Semasa berkongsi gambar Hung, Tentera Laut Thailand berkata, “Tidak kira betapa besar lautan ia tidak dapat menghalang cinta sejati lelaki ini.”

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Saintis temui mikroplastik dalam darah manusia buat kali pertama

0

Penyelidik Belanda baru-baru mendedahkan mereka menemui mikroplastik dalam darah manusia buat kali pertama, menerusi satu kajian yang diterbitkan dalam Environment International.

Penemuan yang mengejutkan itu menyebabkan pakar mempersoalkan kesan mikroplastik yang terdapat dalam darah kita, yang menimbulkan kebimbangan zarah-zarah kecil ini mungkin menuju ke organ kita, dan jika itu sudah berlaku, apa yang seterusnya?

Mikroplastik ialah zarah kecil plastik yang berukuran kurang dari 0.0007 milimeter – hasil daripada pecahan barangan yang lebih besar. Sebagai contoh, apabila membuka atau menutup botol plastik, kita sebenarnya melepaskan serpihan kecil plastik ke udara. Bahkan ketika berjalan-jalan dengan pakaian dengan sifat plastik di dalamnya akan menyebarkan mikroplastik berada di persekitaran.

Gambar Reuters

Kajian ke atas 22 sukarelawan dan penderma darah yang sihat, menunjukkan hampir 80 peratus peserta mempunyai mikroplastik dalam darah mereka. Separuh daripada sampel darah yang diambil menunjukkan kehadiran plastik PET, yang biasanya digunakan untuk membuat botol plastik, manakala lebih daripada satu pertiga dalam kalangan peserta mempunyai kesan polistirena yang biasa digunakan dalam pembungkusan makanan.

Menurut Profesor Dick Vethaak, pakar ekotoksikologi di Vrije Universiteit Amsterdam, ini adalah buat kali pertama saintis dapat mengesan dan mengukur mikroplastik dalam darah manusia.

“Ini adalah bukti kita mempunyai plastik dalam badan kita dan ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Prof Vethaak kepada AFP, yang menimbulkan kebimbangan mengenai potensi kesan mikroplastik ke atas tubuh manusia.

Gambar Hiasan /Unsplash

“Ke mana ia pergi dalam badan anda? Bolehkah ia disingkirkan? Dikumuhkan? Atau adakah ia disimpan dalam organ tertentu, mungkin terkumpul, atau adakah ia mampu melepasi halangan darah-otak?” soalnya.

Para penyelidik berpendapat mikroplastik boleh mempunyai pelbagai laluan masuk ke dalam badan kita, termasuk tetapi tidak terhad kepada udara yang kita sedut, air atau makanan yang kita makan, serta produk harian lain yang mungkin kita gunakan, seperti ubat gigi, glos bibir, bahkan dakwat tatu.

Profesor Vethaak juga berpendapat mungkin terdapat jenis mikroplastik lain yang mungkin lebih besar, yang tidak dapat dikesan, kerana semuanya bergantung pada diameter jarum yang mereka gunakan. Jadi jika terdapat zarah yang lebih besar dalam darah, para penyelidik tidak akan dapat mengambilnya melalui picagari mereka.

Gambar Hiasan / Pixabay

Walaupun lebih banyak kajian lagi yang perlu dilakukan, para penyelidik berpendapat ia juga agak munasabah untuk zarah plastik kecil diangkut ke organ kita melalui aliran darah.

Menurut Alice Horton, saintis pencemaran antropogenik di Pusat Oseanografi Kebangsaan Britain, kajian itu memberikan lebih daripada cukup bukti bahawa terdapat mikroplastik yang mengalir di dalam darah kita.

“Kajian ini menyumbang kepada bukti bahawa zarah plastik bukan sahaja meresap ke seluruh alam sekitar, tetapi juga meresap ke dalam tubuh badan kita,” katanya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Pakar lain, seperti Fay Couceiro di Universiti Portsmouth, percaya saiz sampel kecil kajian itu tidak seharusnya menghalang orang ramai daripada menerima fakta untuk menyatakan penemuan itu cukup teguh bagi menahan sebarang jenis penelitian lebih rapi.

Satu kajian baru-baru ini mendapati mikroplastik boleh melekat pada membran sel darah merah dan mungkin mengehadkan keupayaannya untuk mengangkut oksigen. Zarah plastik itu juga telah ditemui dalam placenta wanita hamil, dan pada tikus hamil melalui paru-paru dengan cepat ke dalam jantung, otak dan organ lain dalam janin.

Gambar Hiasan / Pixabay

Kertas kajian yang diterbitkan hasil penulisan bersama Profesor Vethaak itu turut menilai risiko kanser dan membuat kesimpulan, “Penyelidikan yang lebih terperinci tentang bagaimana plastik mikro dan nano mempengaruhi struktur dan proses tubuh manusia, dan bagaimana ia boleh mengubah sel serta mendorong karsinogenesis, amat diperlukan, terutamanya memandangkan peningkatan eksponen dalam pengeluaran plastik. Masalah ini semakin mendesak hari demi hari.”

Hakikat bahawa mikroplastik telah ditemui dalam darah kita tidak sepatutnya mengejutkan, memandangkan zarah plastik kecil ini telah ditemui di bahagian paling dalam Bumi – Jurang Mariana dan di titik tertinggi di Bumi – Gunung Everest.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Isu jantung dikesan beberapa bulan selepas vaksinasi COVID-19: Kajian

0

Keabnormalan jantung dikesan dalam beberapa bulan selepas remaja mendapatkan vaksinasi COVID-19, menurut satu kajian.

Penyelidik di Hospital Kanak-Kanak Seattle menyemak beberapa kes pesakit di bawah 18 tahun yang telah ke hospital kerana mengadu sakit dada dan paras troponin serum yang tinggi, dua penanda utama keradangan jantung, dalam masa seminggu selepas mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer.

Walaupun 35 pesakit memenuhi kriteria, 19 dikecualikan atas pelbagai sebab, termasuk menerima rawatan di negeri lain selepas lawatan awal. Pengimejan jantung bagi baki 16 pesakit, dilakukan tiga hingga lapan bulan selepas mereka pertama kali diperiksa, menunjukkan 11 pesakit mengalami peningkatan gadolinium lewat yang berterusan, kelainan jantung, walaupun pada tahap yang lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

Petugas kesihatan menyediakan vaksin Pfizer (Gambar oleh ROBYN BECK/AFP/Getty Images)

Pengimejan susulan juga mendedahkan ‘global longitudinal strain’ yang tidak normal, ukuran fungsi jantung, dalam tiga perempat daripada pesakit, dengan sedikit perubahan daripada pemeriksaan awal, serta ukuran pengepaman darah yang “bertambah baik dengan ketara” dan tiada isu ‘regional wall motion’ dikesan, satu lagi kelainan.

Penyelidik berkata walaupun simptom “bersifat sementara dan kebanyakan pesakit kelihatan bertindak balas terhadap rawatan,” kajian itu menunjukkan “penemuan abnormal yang berterusan,” dengan menyatakan peningkatan gadolinium lewat dikenali sebagai penunjuk kecederaan jantung dan dikaitkan dengan prognosis yang lebih buruk dalam pesakit dengan ‘myocarditis’ tipikal.

Penemuan itu “menimbulkan kebimbangan untuk kesan jangka panjang yang berpotensi,” tulis mereka, sambil menambah mereka merancang untuk mengulangi pengimejan dalam satu tahun selepas vaksin untuk menilai sama ada masalah itu masih ada.

Penemuan itu diterbitkan selepas semakan dalam The Journal of Pediatrics. Para penyelidik berkata tiada pembiayaan diterima untuk kertas itu.

Pfizer dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak memberi respons atas pemintaan mendapatkan komen.

Dr. Anish Koka, pakar kardiologi yang tidak terlibat dengan kajian itu, berkata ia mencadangkan 60 hingga 70 peratus remaja yang mendapat ‘myocarditis’ daripada vaksin COVID-19 mungkin ditinggalkan dengan parut di jantung mereka.

“Sudah tentu, kanak-kanak yang mengalami sakit dada cukup teruk untuk mendapatkan rawatan perubatan perlu sekurang-kurangnya memastikan mereka mendapat MRI susulan,” katanya kepada The Epoch Times dalam mesej di Twitter, sambil menambah penemuan itu “sepatutnya mempunyai implikasi yang jelas untuk perbincangan mengenai vaksin, terutamanya untuk remaja lelaki yang berisiko tinggi … dan pastinya untuk mandat vaksin.”

Vaksin COVID-19 Pfizer dan Moderna, kedua-duanya dibina dengan teknologi mRNA, telah dikaitkan dengan beberapa bentuk keradangan jantung, termasuk ‘myocarditis’ dan ‘pericarditis’, menurut data dari beberapa negara.

Gambar Hiasan / Pixabay

Keadaan ini dilihat pada kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam kalangan remaja, terutamanya remaja lelaki, menurut data yang dilaporkan kepada CDC Amerika Syarikat. Kumpulan yang paling berisiko ialah lelaki berusia 16 dan 17 tahun, yang telah melaporkan kadar 69 setiap satu juta selepas dos kedua siri utama dua dos Pfizer di Amerika Syarikat. Masalah mengenainya mungkin kurang dilaporkan.

Keradangan jantung sering akan mengakibatkan individu sesak nafas, dengan sakit dada dan gejala lain. Ramai pesakit dimasukkan ke hospital, dan bilangan kecil kematian telah dilaporkan.

Tinjauan yang dijalankan di kalangan beberapa remaja yang keadaannya dilaporkan kepada CDC sekurang-kurangnya 90 hari selepas mereka mula-mula mengalami gejala mendapati kira-kira separuh masih mengalami sekurang-kurangnya satu gejala, seperti sakit dada.

Kira-kira 4 dalam 10 pesakit masih menjalani sekatan senaman selepas beberapa bulan mengalami keradangan, tinjauan selari dengan penyedia penjagaan kesihatan pesakit mendapati.

Para penyedia penjagaan kesihatan juga mendedahkan pengimejan jantung yang dilakukan beberapa bulan selepas gejala muncul masih menunjukkan keabnormalan bagi sesetengah pesakit, dengan peningkatan gadolinium lewat adalah yang paling kerap.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Jangan picit semut Charlie kerana toksinnya sangat beracun dan berbahaya kepada kulit

0

Mungkin ramai yang kenal dengan semut ‘Charlie’ tetapi masih ada yang tidak tahu betapa bahayanya semut jenis ini. Percaya atau tidak, anda mungkin pernah menjadi mangsa kepada semut ini tanpa disedari. Pernahkah anda berasa kulit anda berasa sakit tiba-tiba, kemudian menjadi merah dan terasa panas seperti melecur? Tidak hanya itu, tidak lama kemudian anda kemudian berasa gatal atau pedih.

Kesakitan itu tidak terhenti di situ kerana selepas beberapa hari kulit akan melepuh dan muncul lah gelembung-gelembung seperti jerawat yang mengandungi cecair atau nanah di dalamnya. Jika anda pernah melalui semua itu, ada kemungkinan anda telah terkena semut Charlie.

Baru-baru ini seorang netizen dari Pulau Pinang, Jamie Chin, telah memuat naik sebuah status di Facebook yang memberi amaran kepada orang ramai tentang semut Charlie yang semakin banyak terutama ketika cuaca panas.

Jamie mengingatkan pengikutnya tentang kewujudan semut Charlie dan menggalakkan orang ramai untuk mengetahui tentang semut ini dan cara untuk mengelakkannya.

“Cuaca sangat panas akhir-akhir ini, itulah waktu kemuncak untuk semut Charlie keluar,” tulisnya.

“Semua orang harus mengingatkan anak-anak mereka bahawa jika mereka melihat semut ini, JANGAN pernah memicit semut ini dengan tangan!”

Dia meminta orang ramai untuk tidak memandang rendah akan kesan buruk yang boleh dibawa oleh semut ini. Menurutnya lagi, semut Charlie sering bersembunyi di tempat-tempat seperti pancuran mandian, singki, pakaian dan langsir.

Memandangkan ia adalah sesuatu yang serius, berikut adalah perkara yang perlu anda tahu tentang semut Charlie:

Nama lain semut ini ialah ‘Rove Beetle’. Ia juga dikenali dengan “Charlie Ants” di negara barat. Di Malaysia, ia juga dikenali dengan nama “semut kayap”.

Serangga ini biasanya mempunyai badan berbelang hitam dan jingga. Semut Charlie dewasa boleh hidup selama beberapa bulan dan boleh melahirkan dua sehingga tiga generasi setahun.

Habitat serangga ini adalah di kawasan yang mempunyai takungan air seperti di kawasan paya, kawasan pertanian yang mempunyai tali air dan kawasan sawah padi.

Selain itu, semut ini boleh dijumpai di kawasan rumah kerana ia tertarik kepada lampu dan cahaya yang terang kawasan kediaman tersebut. Ia juga boleh terbang secara berkumpulan pada waktu malam, terutamanya selepas kejadian hujan lebat dan banjir, di mana ia bermigrasi ke tempat yang lebih kering.

Biasanya kecederaan yang disebabkan oleh serangga Charlie ini berlaku di kawasan penanaman padi seperti di negeri-negeri bahagian utara semenanjung Malaysia serta di Sarawak dan Sabah.

Menurut penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), serangga ini boleh ditemui di India, Pakistan, Sri Lanka, Iran, Iraq, dan di seluruh Asia Tenggara. Hal ini kerana serangga ini hidup di habitat lembap seperti ladang tanaman, tebing sungai, longkang, kolam dan tasik.

Serangga ini boleh membiak dalam kuantiti yang banyak dalam cuaca panas dan lembap. Walau bagaimanapun, penyelidik mendapati bahawa serangga ini sebenarnya membawa kebaikan dalam pertanian kerana ia boleh memakan serangga dan perosak lain di sawah padi.

Namun begitu, keadaan boleh menjadi buruk apabila semut ini mula membiak dengan banyak. Mereka boleh ‘menyerang’ rumah-rumah penduduk terutama yang berhampiran dengan kawasan pertanian.

Serangga ini dikatakan selalu tertarik kepada lampu pendarfluor jadi mereka akan sering menyerang bangunan yang terang benderang. Apa yang paling mengejutkan, semut ini tidak menggigit atau menyengat sebaliknya, hanya mereka berbahaya apabila manusia cuba membunuhnya. Hal ini kerana ketika itulah mereka mengeluarkan toksin yang dipanggil Paederin yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit manusia jika bersentuhan.

Oleh itu, sekiranya tidak dibersihkan serta merta, toksin ini akan terus disebarkan sehingga menyebabkan kesan keradangan di beberapa tempat lain kulit. Sekiranya toksin ini terkena mata, ia mungkin menyebabkan kebutaan sementara dan kesakitan yang perit.

Apakah yang patut dilakukan sekiranya terkena toksin semut Charlie?

Pastikan cairan itu dibersihkan dengan air dan sabun. Toksin Paderin ini menyerap kulit manusia dengan lambat. Oleh itu, pembersihan segera akan dapat mengurangkan kesan lebih buruk ke atas kulit. Kesan pada kulit daripada toksin ini mungkin kelihatan 12 sehingga 36 jam selepas pendedahan, bermula dengan ruam merah yang sakit yang kemudiannya melepuh dan bernanah.

Keradangan kulit disebabkan oleh serangga ini dinamakan paederus dermatitis. Toksin ini juga boleh menyebabkan keradangan pada mata (conjunctivitis).

Langkah pengawalan dan pencegahan semuat Charlie:

  • Matikan atau kurangkan pencahayaan di dalam rumah dan tutup semua pintu dan tingkap dengan berhati-hati pada waktu malam. Lindungi rumah anda dengan menutup tingkap dengan menggunakan jaringan penghalang.
  • Gunakan kelambu, semburan serangga aerosol, atau perangkap gam untuk menangkap dan membunuh semut ini.
  • Jika serangga ini hinggap di badan anda, jangan cuba untuk picit atau bunuhnya. Tiupkannya kemudian bunuh dengan racun semburan.
  • Jika semut Charlie mati pada kulit anda, basuh kawasan yang terdedah dengan sabun dan air. secepat mungkin. Jangan sentuh mata anda!
  • Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika anda mengalami reaksi kulit yang teruk selepas terkena serangga ini.
  • Kurangkan pendedahan kepada serangga ini dengan menggunakan pakaian berlengan panjang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Gadis Sabah bangga gayakan pakaian etnik Murut Nabai ketika majlis konvokesyen di UK

0

Tiada yang tidak bangga dengan warisan budaya sendiri. Tidak kiralah sahaja, makanan, pakaian, bahasa dan apa jua adat resam yang diturunkan sejak dahulu lagi. Sama seperti gadis dari Sabah ini yang dengan bangganya menggayakan pakaian tradisional etniknya ketika hari konvokesennya.

Nur Liyana Razali, 26, dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom, baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lalu, tular di media sosial terutama dalam kalangan netizen dari Sabah.

Nur Liyana berkata, dia mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

“Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya.

Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

Sementara itu, bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

“Sebagai orang tua, saya sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Budak lelaki tiga tahun ketagih makan selipar macam makan nasi

0

Pernah anda melihat kanak-kanak dengan tabiat pemakanan yang bukan kebiasaan tetapi memakan benda yang pelik-pelik dengan apa yang mereka nampak dan gemar seperti selipar getah. 

Baru-baru ini tular di media sosial Indonesia yang memaparkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang ketagih mengunyah selipar getah dan potongan kertas. 

Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Pipit mempunyai tabiat suka memakan selipar sejak berusia setahun, kata ibunya.

YouTube

Satu video dirakam di sebuah rumah di Jaya Sakti, Bekasi, Jawa Barat, Indonesia dan kemudian ia mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial sehingga media tempatan mengunjungi rumah kanak-kanak berkenaan, menurut CNN Indonesia.

“Memang benar anak saya suka makan selipar, dia makan seperti makan nasi. Dalam masa sebulan, Pipit boleh makan lima pasang selipar, malah kami juga akan membeli selipar lebihan buatnya,” jelas ibunya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ibu Pipit turut memaklumkan, anaknya hanya makan selipar yang bersih atau belum dipakai. Selain itu, Pipit juga makan beberapa benda lain seperti kertas dan kadbod.

“Jika kami tidak turuti permintaannya untuk makan selipar, Pipit akan mengamuk dan menangis,” ujarnya.

YouTube

Sementara itu, ibu Pipit turut memaklumkan anaknya tidak pernah mengeluh mengenai masalah penghadaman walaupun makan bahan yang tidak boleh dicerna seperti selipar dan styrofoam.

“Setakat ini, Pipit tidak mengalami masalah kesihatan. Pada mulanya kami bimbang juga dengan tabiatnya, namun Pipit tidak berdepan masalah kesihatan. Malah, semua selipar yang dimakannya dikeluarkan semula melalui najisnya,” katanya.

YouTube

Untuk pengetahuan, Pipit mempunyai penyakit dikenali Pica. 

Apa itu penyakit Pica?

Menurut theAsianparent, Pica berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud burung magpie. Ia adalah satu keadaan di mana seseorang itu makan sesuatu yang luar biasa dan tidak menentu, dan ia bukan makanan yang mempunyai nilai zat dan nutrisi.

Dianggarkan terdapat 10 hingga 30 peratus kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun mengalami masalah penyakit pica.

Walaupun penyakit pica mungkin menunjukkan kanak-kanak makan apa sahaja yang mereka nampak, namun terdapat beberapa bahan yang seolah-olah mereka makan dengan kerap iaitu tanah liat, cat kotoran, kertas pasir, sabun, batu, kaca, pasir, kapur, rambut, gam, bedak, juga termasuk selipar getah dan kertas seperti yang disukai Pipit. 

Punca-punca gangguan pica:

  • Dalam kebanyakan kes, pica terjadi disebabkan oleh kekurangan mineral atau ketidakupayaan mental.
  • Kekurangan mineral seperti zat besi.
  • Ketidakseimbangan kimia dalam otak atau kecederaan otak.
  • Tingkah laku yang cuba menarik perhatian.
  • Gangguan obsesif-kompulsif.
  • Kemiskinan.
  • Pengabaian daripada keluarga.
Gambar Hiasan / Pexels

Langkah-langkah mencegah gangguan pica:

  • Jangan biarkan tabiat tersebut berterusan.
  • Terangkan kepada anak apa yang selamat dan tidak selamat untuk dimakan.
  • Bercakap dengan anak mengenai bahan makanan dan bukan makanan.
  • Beritahu anak akibat jika makan bahan bukan makanan. 
  • Simpan barang-barang yang selalu mereka boleh mendapat dengan mudah seperti kapur, bedak, kertas dan lain-lain.
  • Pastikan mereka mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Juga menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam menangani tabiat buruk pemakanan anak-anak dengan serius bagi mengelak kemudaratan di masa hadapan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Harga melampau sebiji kubis cecah RM52, pihak berkuasa China pastikan kawalan harga berpatutan ketika perintah berkurung Shanghai

0

Ketika Shanghai diletakkan di bawah perintah berkurung dalam dua peringkat selama sembilan hari untuk menjalani ujian COVID-19, rakyat mengeluh kenaikan harga barang yang begitu tinggi sehingga kepada harga yang tidak masuk akal.

Seorang pengguna Facebook memuat naik satu gambar menunjukkan harga sebiji kubis mencecah 78.10 yuan (RM52) di pasar raya dengan kapsyen, “Bandar ditutup, harga melambung tinggi, kehidupan rakyat hampir tidak tertanggung.”

Berikutan itu, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan dan mengeluarkan kenyataan bahawa perniagaan yang didapati melakukan penyelewengan penetapan harga akan berdepan denda sehingga 3 juta yuan (RM2 juta) atau lesen perniagaan mereka dibatalkan dalam kes serius.

Facebook

Ini adalah menurut garis panduan yang dikeluarkan yang menyasarkan kenaikan harga sepanjang tempoh perintah berkurung pandemik COVID-19 di Shanghai.

Notis yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Shanghai bagi Peraturan Pasaran itu bertujuan bagi mengawal selia pasaran dan menjamin harga stabil komoditi yang berkaitan dengan kehidupan rakyat seperti sayur-sayuran, susu dan daging serta barangan pencegahan wabak seperti pelitup muka dan pembasmi kuman.

Pemeriksaan telah dipertingkatkan di pasar raya, farmasi, pasar pertanian dan pasar borong berhampiran kawasan penutupan dan platform e-dagang untuk membanteras pelanggaran harga kawalan.

Sehingga 24 Mac, tujuh kes yang melibatkan pelanggaran peraturan penetapan harga telah didedahkan di bandar ini dan sedang dalam siasatan.

Antara kes itu, pengawal selia pasaran sedang menyiasat kedai serbaneka Jepun Takashimaya di Daerah Changning, Shanghai kerana menjual kubis Cina pada harga 77.90 yuan (RM52).

Gambar SHINE

Pihak berkuasa China membahagikan penutupan Shanghai kepada dua bahagian untuk latihan pandemik COVID-19 berikutan jumlah kes terbaru varian Omicron yang semakin meningkat dengan menggunakan Sungai Huangpu yang melalui bandar itu sebagai panduan.

Bahagian timur dari sungai dan sebahagian kawasan barat akan dikenakan perintah berkurung dan ujian COVID-19 antara 28 Mac hingga 1 April. Manakala bahagian-bahagian lain akan menjalani perintah berkurung dan ujian COVID-19 antara 1 hingga 5 April.

Pengangkutan awam yang termasuk khidmat kereta sewa di daerah-daerah tersebut akan digantung semasa perintah berkurung, menurut pemerintah Shanghai.

Kenderaan yang tidak diluluskan tidak akan dibenarkan untuk berada di jalan raya.

Gambar oleh Hector Retamal / AFP

Semua firma dan kilang akan menggantung operasi atau bekerja dari rumah semasa perintah berkurung, kecuali mereka yang terlibat dalam menyediakan khidmat awam atau membekalkan makanan.

“Masyarakat awam digesa untuk menyokong, memahami dan bekerjasama dalam usaha pencegahan dan kawalan epidemik negara ini, dan menyertai ujian asid nukleik dengan baik dan teratur,” kata pemerintah.

Shanghai berdepan lonjakan kes baru COVID-19 selama hampir sebulan dan pada 27 Mac, metropolitan itu mencatatkan jumlah kes harian yang tertinggi sejak penularan pertama di China beransur pulih.

Sebanyak 2,631 kes baru tidak bergejala dilaporkan yang merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah kes baru yang tidak bergejala di China, dengan 47 kes baru yang bergejala.

Gambar oleh RFI

Meskipun jumlah kes di Shanghai agak sederhana berbanding standard dunia sejagat, metropolitan dengan 26 juta penduduk itu sudah dijadikan tempat ujian strategi “sifar COVID” di China yang sedang cuba mengawal varian Omicron yang mudah berjangkit.

Sebelum ini, pihak berkuasa di Shanghai menolak untuk mengadakan perintah berkurung yang meluas bagi mengelak gangguan terhadap ekonomi dan memilih pendekatan yang bersasar dan berfasa, dengan memastikan setiap estet perumahan diuji satu demi satu.

Lebih 14 juta penduduk Shanghai telah menjalani ujian antigen, menurut Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai pada 27 Mac.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dua lelaki ditahan polis selepas mengekori ambulans yang membawa seorang pesakit ke hospital di Klang

0

Dua lelaki pemandu dan penunggang, yang mengekori dan menghalang ambulans ketika membawa pesakit ke hospital dalam video tular, telah ditahan polis.

Ambulans itu dilaporkan sedang membawa seorang pesakit dialisis yang terlantar ke Hospital Sri Kota di Klang pada petang 24 Mac, ketika insiden kejar-mengejar berlaku.

Facebook

Kejadian berlaku di Jalan Tepi Sungai Klang apabila sebuah Toyota Hiace berwarna putih mula mengekori ambulans.

Pemandu ambulans kedengaran menegur pemandu van melalui pembesar suara ketika dia berada terlalu rapat dengan kenderaan perkhidmatan kecemasan, yang akan membahayakan penumpang dan kedua-dua kenderaan sekiranya ambulans tiba-tiba berhenti.

Facebook

Namun, van putih itu tidak mengendahkan amaran ambulans malahan menyalakan lampunya.

Menyebabkan pihak ambulans memberi teguran sekali lagi melalui pembesar suara, sekiranya van itu tidak berhenti memandu secara melulu, mereka akan melaporkannya kepada pihak polis.

Facebook

Ketika itulah seorang penunggang motosikal tiba-tiba datang memotong ambulans, yang berhenti di tengah jalan, dan bertindak menghalang ambulans.

Pada masa yang sama, van itu berhenti di sebelah ambulans, seolah-olah mahu menyekat dan menghalang perjalanannya.

Facebook

Dalam rakaman dashcam ambulans, dapat dilihat sebaik sahaja penunggang motosikal menghampiri pemandu ambulans dan mula memaki hamun, pemandu itu dengan pantas mengundurkan kenderaan dan bergerak menjauhi suspek.

Berlaku adegan kejar-mengejar seketika sebelum penunggang motosikal itu membelok ke jalan lain.

Facebook

Van putih itu terus mengekori ambulans sambil membunyikan hon dan menyalakan lampu, tetapi dia juga akhirnya beralih ke lokasi lain apabila ambulans menghampiri balai polis.

Paramedik, dan pesakit dialisis yang terlantar itu berjaya dihantar serta selamat tiba ke hospital selepas adegan yang mencemaskan itu.

Facebook

Kedua-dua suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah ACP Cha Hoong Fong, berkata hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 tahun itu menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, lapor FMT.

Facebook

Polis membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek pada 26 Mac, di Mahkamah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memandu secara gopoh atau berbahaya di jalan awam, dan mengikut Seksyen 341 kanun yang sama iaitu kesalahan halangan salah.

Facebook

Tidak dapat dipastikan punca mengapa kedua-dua lelaki itu bertindak terburu-buru untuk menghalang dan menahan ambulans berkenaan.

Dalam pada itu, ACP Cha Hoong Fong menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa berada di jalan raya serta memberikan keutamaan kepada ambulans yang membawa pesakit.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: