Dua lelaki pemandu dan penunggang, yang mengekori dan menghalang ambulans ketika membawa pesakit ke hospital dalam video tular, telah ditahan polis.
Ambulans itu dilaporkan sedang membawa seorang pesakit dialisis yang terlantar ke Hospital Sri Kota di Klang pada petang 24 Mac, ketika insiden kejar-mengejar berlaku.

Kejadian berlaku di Jalan Tepi Sungai Klang apabila sebuah Toyota Hiace berwarna putih mula mengekori ambulans.
Pemandu ambulans kedengaran menegur pemandu van melalui pembesar suara ketika dia berada terlalu rapat dengan kenderaan perkhidmatan kecemasan, yang akan membahayakan penumpang dan kedua-dua kenderaan sekiranya ambulans tiba-tiba berhenti.

Namun, van putih itu tidak mengendahkan amaran ambulans malahan menyalakan lampunya.
Menyebabkan pihak ambulans memberi teguran sekali lagi melalui pembesar suara, sekiranya van itu tidak berhenti memandu secara melulu, mereka akan melaporkannya kepada pihak polis.

Ketika itulah seorang penunggang motosikal tiba-tiba datang memotong ambulans, yang berhenti di tengah jalan, dan bertindak menghalang ambulans.
Pada masa yang sama, van itu berhenti di sebelah ambulans, seolah-olah mahu menyekat dan menghalang perjalanannya.

Dalam rakaman dashcam ambulans, dapat dilihat sebaik sahaja penunggang motosikal menghampiri pemandu ambulans dan mula memaki hamun, pemandu itu dengan pantas mengundurkan kenderaan dan bergerak menjauhi suspek.
Berlaku adegan kejar-mengejar seketika sebelum penunggang motosikal itu membelok ke jalan lain.

Van putih itu terus mengekori ambulans sambil membunyikan hon dan menyalakan lampu, tetapi dia juga akhirnya beralih ke lokasi lain apabila ambulans menghampiri balai polis.
Paramedik, dan pesakit dialisis yang terlantar itu berjaya dihantar serta selamat tiba ke hospital selepas adegan yang mencemaskan itu.

Kedua-dua suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah ACP Cha Hoong Fong, berkata hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 tahun itu menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, lapor FMT.

Polis membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek pada 26 Mac, di Mahkamah Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memandu secara gopoh atau berbahaya di jalan awam, dan mengikut Seksyen 341 kanun yang sama iaitu kesalahan halangan salah.

Tidak dapat dipastikan punca mengapa kedua-dua lelaki itu bertindak terburu-buru untuk menghalang dan menahan ambulans berkenaan.
Dalam pada itu, ACP Cha Hoong Fong menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa berada di jalan raya serta memberikan keutamaan kepada ambulans yang membawa pesakit.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: