30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 187

Gadis Sabah bangga gayakan pakaian etnik Murut Nabai ketika majlis konvokesyen di UK

0

Tiada yang tidak bangga dengan warisan budaya sendiri. Tidak kiralah sahaja, makanan, pakaian, bahasa dan apa jua adat resam yang diturunkan sejak dahulu lagi. Sama seperti gadis dari Sabah ini yang dengan bangganya menggayakan pakaian tradisional etniknya ketika hari konvokesennya.

Nur Liyana Razali, 26, dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom, baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lalu, tular di media sosial terutama dalam kalangan netizen dari Sabah.

Nur Liyana berkata, dia mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

“Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya.

Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

Sementara itu, bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

“Sebagai orang tua, saya sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Budak lelaki tiga tahun ketagih makan selipar macam makan nasi

0

Pernah anda melihat kanak-kanak dengan tabiat pemakanan yang bukan kebiasaan tetapi memakan benda yang pelik-pelik dengan apa yang mereka nampak dan gemar seperti selipar getah. 

Baru-baru ini tular di media sosial Indonesia yang memaparkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang ketagih mengunyah selipar getah dan potongan kertas. 

Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Pipit mempunyai tabiat suka memakan selipar sejak berusia setahun, kata ibunya.

YouTube

Satu video dirakam di sebuah rumah di Jaya Sakti, Bekasi, Jawa Barat, Indonesia dan kemudian ia mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial sehingga media tempatan mengunjungi rumah kanak-kanak berkenaan, menurut CNN Indonesia.

“Memang benar anak saya suka makan selipar, dia makan seperti makan nasi. Dalam masa sebulan, Pipit boleh makan lima pasang selipar, malah kami juga akan membeli selipar lebihan buatnya,” jelas ibunya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ibu Pipit turut memaklumkan, anaknya hanya makan selipar yang bersih atau belum dipakai. Selain itu, Pipit juga makan beberapa benda lain seperti kertas dan kadbod.

“Jika kami tidak turuti permintaannya untuk makan selipar, Pipit akan mengamuk dan menangis,” ujarnya.

YouTube

Sementara itu, ibu Pipit turut memaklumkan anaknya tidak pernah mengeluh mengenai masalah penghadaman walaupun makan bahan yang tidak boleh dicerna seperti selipar dan styrofoam.

“Setakat ini, Pipit tidak mengalami masalah kesihatan. Pada mulanya kami bimbang juga dengan tabiatnya, namun Pipit tidak berdepan masalah kesihatan. Malah, semua selipar yang dimakannya dikeluarkan semula melalui najisnya,” katanya.

YouTube

Untuk pengetahuan, Pipit mempunyai penyakit dikenali Pica. 

Apa itu penyakit Pica?

Menurut theAsianparent, Pica berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud burung magpie. Ia adalah satu keadaan di mana seseorang itu makan sesuatu yang luar biasa dan tidak menentu, dan ia bukan makanan yang mempunyai nilai zat dan nutrisi.

Dianggarkan terdapat 10 hingga 30 peratus kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun mengalami masalah penyakit pica.

Walaupun penyakit pica mungkin menunjukkan kanak-kanak makan apa sahaja yang mereka nampak, namun terdapat beberapa bahan yang seolah-olah mereka makan dengan kerap iaitu tanah liat, cat kotoran, kertas pasir, sabun, batu, kaca, pasir, kapur, rambut, gam, bedak, juga termasuk selipar getah dan kertas seperti yang disukai Pipit. 

Punca-punca gangguan pica:

  • Dalam kebanyakan kes, pica terjadi disebabkan oleh kekurangan mineral atau ketidakupayaan mental.
  • Kekurangan mineral seperti zat besi.
  • Ketidakseimbangan kimia dalam otak atau kecederaan otak.
  • Tingkah laku yang cuba menarik perhatian.
  • Gangguan obsesif-kompulsif.
  • Kemiskinan.
  • Pengabaian daripada keluarga.
Gambar Hiasan / Pexels

Langkah-langkah mencegah gangguan pica:

  • Jangan biarkan tabiat tersebut berterusan.
  • Terangkan kepada anak apa yang selamat dan tidak selamat untuk dimakan.
  • Bercakap dengan anak mengenai bahan makanan dan bukan makanan.
  • Beritahu anak akibat jika makan bahan bukan makanan. 
  • Simpan barang-barang yang selalu mereka boleh mendapat dengan mudah seperti kapur, bedak, kertas dan lain-lain.
  • Pastikan mereka mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Juga menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam menangani tabiat buruk pemakanan anak-anak dengan serius bagi mengelak kemudaratan di masa hadapan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Harga melampau sebiji kubis cecah RM52, pihak berkuasa China pastikan kawalan harga berpatutan ketika perintah berkurung Shanghai

0

Ketika Shanghai diletakkan di bawah perintah berkurung dalam dua peringkat selama sembilan hari untuk menjalani ujian COVID-19, rakyat mengeluh kenaikan harga barang yang begitu tinggi sehingga kepada harga yang tidak masuk akal.

Seorang pengguna Facebook memuat naik satu gambar menunjukkan harga sebiji kubis mencecah 78.10 yuan (RM52) di pasar raya dengan kapsyen, “Bandar ditutup, harga melambung tinggi, kehidupan rakyat hampir tidak tertanggung.”

Berikutan itu, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan dan mengeluarkan kenyataan bahawa perniagaan yang didapati melakukan penyelewengan penetapan harga akan berdepan denda sehingga 3 juta yuan (RM2 juta) atau lesen perniagaan mereka dibatalkan dalam kes serius.

Facebook

Ini adalah menurut garis panduan yang dikeluarkan yang menyasarkan kenaikan harga sepanjang tempoh perintah berkurung pandemik COVID-19 di Shanghai.

Notis yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Shanghai bagi Peraturan Pasaran itu bertujuan bagi mengawal selia pasaran dan menjamin harga stabil komoditi yang berkaitan dengan kehidupan rakyat seperti sayur-sayuran, susu dan daging serta barangan pencegahan wabak seperti pelitup muka dan pembasmi kuman.

Pemeriksaan telah dipertingkatkan di pasar raya, farmasi, pasar pertanian dan pasar borong berhampiran kawasan penutupan dan platform e-dagang untuk membanteras pelanggaran harga kawalan.

Sehingga 24 Mac, tujuh kes yang melibatkan pelanggaran peraturan penetapan harga telah didedahkan di bandar ini dan sedang dalam siasatan.

Antara kes itu, pengawal selia pasaran sedang menyiasat kedai serbaneka Jepun Takashimaya di Daerah Changning, Shanghai kerana menjual kubis Cina pada harga 77.90 yuan (RM52).

Gambar SHINE

Pihak berkuasa China membahagikan penutupan Shanghai kepada dua bahagian untuk latihan pandemik COVID-19 berikutan jumlah kes terbaru varian Omicron yang semakin meningkat dengan menggunakan Sungai Huangpu yang melalui bandar itu sebagai panduan.

Bahagian timur dari sungai dan sebahagian kawasan barat akan dikenakan perintah berkurung dan ujian COVID-19 antara 28 Mac hingga 1 April. Manakala bahagian-bahagian lain akan menjalani perintah berkurung dan ujian COVID-19 antara 1 hingga 5 April.

Pengangkutan awam yang termasuk khidmat kereta sewa di daerah-daerah tersebut akan digantung semasa perintah berkurung, menurut pemerintah Shanghai.

Kenderaan yang tidak diluluskan tidak akan dibenarkan untuk berada di jalan raya.

Gambar oleh Hector Retamal / AFP

Semua firma dan kilang akan menggantung operasi atau bekerja dari rumah semasa perintah berkurung, kecuali mereka yang terlibat dalam menyediakan khidmat awam atau membekalkan makanan.

“Masyarakat awam digesa untuk menyokong, memahami dan bekerjasama dalam usaha pencegahan dan kawalan epidemik negara ini, dan menyertai ujian asid nukleik dengan baik dan teratur,” kata pemerintah.

Shanghai berdepan lonjakan kes baru COVID-19 selama hampir sebulan dan pada 27 Mac, metropolitan itu mencatatkan jumlah kes harian yang tertinggi sejak penularan pertama di China beransur pulih.

Sebanyak 2,631 kes baru tidak bergejala dilaporkan yang merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah kes baru yang tidak bergejala di China, dengan 47 kes baru yang bergejala.

Gambar oleh RFI

Meskipun jumlah kes di Shanghai agak sederhana berbanding standard dunia sejagat, metropolitan dengan 26 juta penduduk itu sudah dijadikan tempat ujian strategi “sifar COVID” di China yang sedang cuba mengawal varian Omicron yang mudah berjangkit.

Sebelum ini, pihak berkuasa di Shanghai menolak untuk mengadakan perintah berkurung yang meluas bagi mengelak gangguan terhadap ekonomi dan memilih pendekatan yang bersasar dan berfasa, dengan memastikan setiap estet perumahan diuji satu demi satu.

Lebih 14 juta penduduk Shanghai telah menjalani ujian antigen, menurut Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai pada 27 Mac.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dua lelaki ditahan polis selepas mengekori ambulans yang membawa seorang pesakit ke hospital di Klang

0

Dua lelaki pemandu dan penunggang, yang mengekori dan menghalang ambulans ketika membawa pesakit ke hospital dalam video tular, telah ditahan polis.

Ambulans itu dilaporkan sedang membawa seorang pesakit dialisis yang terlantar ke Hospital Sri Kota di Klang pada petang 24 Mac, ketika insiden kejar-mengejar berlaku.

Facebook

Kejadian berlaku di Jalan Tepi Sungai Klang apabila sebuah Toyota Hiace berwarna putih mula mengekori ambulans.

Pemandu ambulans kedengaran menegur pemandu van melalui pembesar suara ketika dia berada terlalu rapat dengan kenderaan perkhidmatan kecemasan, yang akan membahayakan penumpang dan kedua-dua kenderaan sekiranya ambulans tiba-tiba berhenti.

Facebook

Namun, van putih itu tidak mengendahkan amaran ambulans malahan menyalakan lampunya.

Menyebabkan pihak ambulans memberi teguran sekali lagi melalui pembesar suara, sekiranya van itu tidak berhenti memandu secara melulu, mereka akan melaporkannya kepada pihak polis.

Facebook

Ketika itulah seorang penunggang motosikal tiba-tiba datang memotong ambulans, yang berhenti di tengah jalan, dan bertindak menghalang ambulans.

Pada masa yang sama, van itu berhenti di sebelah ambulans, seolah-olah mahu menyekat dan menghalang perjalanannya.

Facebook

Dalam rakaman dashcam ambulans, dapat dilihat sebaik sahaja penunggang motosikal menghampiri pemandu ambulans dan mula memaki hamun, pemandu itu dengan pantas mengundurkan kenderaan dan bergerak menjauhi suspek.

Berlaku adegan kejar-mengejar seketika sebelum penunggang motosikal itu membelok ke jalan lain.

Facebook

Van putih itu terus mengekori ambulans sambil membunyikan hon dan menyalakan lampu, tetapi dia juga akhirnya beralih ke lokasi lain apabila ambulans menghampiri balai polis.

Paramedik, dan pesakit dialisis yang terlantar itu berjaya dihantar serta selamat tiba ke hospital selepas adegan yang mencemaskan itu.

Facebook

Kedua-dua suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah ACP Cha Hoong Fong, berkata hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 tahun itu menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, lapor FMT.

Facebook

Polis membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek pada 26 Mac, di Mahkamah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memandu secara gopoh atau berbahaya di jalan awam, dan mengikut Seksyen 341 kanun yang sama iaitu kesalahan halangan salah.

Facebook

Tidak dapat dipastikan punca mengapa kedua-dua lelaki itu bertindak terburu-buru untuk menghalang dan menahan ambulans berkenaan.

Dalam pada itu, ACP Cha Hoong Fong menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa berada di jalan raya serta memberikan keutamaan kepada ambulans yang membawa pesakit.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Miliki wajah mirip DS Vida, pelari dari Perancis ini curi perhatian rakyat Malaysia

0

Apabila muncul temasya sukan yang besar kita mula lah dilihatkan dengan pelbagai atlet di seluruh dunia. Tidak kira acara apa atau temasya sukan apa, ia adalah sangat mengujakan untuk melihat mereka bertanding demi negara masing-masing. Kadang-kadang rasa seronok dan teruja berada di depan TV melihat mereka melebihi atlet itu sendiri pula.

Selain melihat kebolehan mereka, ramai juga yang membanding-bandingkan raut wajah atlet dengan orang di sekeliling yang mereka kenali. Ada yang mirip artis Korea, ada yang mirip penyanyi Hollywood dan ada juga yang mirip Datuk Seri Vida!

Mungkin benar kata orang, di dunia ini terdapat tujuh orang yang mirip seperti kita. Kalau tidak berjumpa di negara sendiri, mungkin mereka berada di benua lain. Hanya masa yang akan menentukan bila kita akan ‘berjumpa’ dengan mereka.

Baru-baru ini tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang atlet lari pecut wanita yang memiliki wajah seiras dengan usahawan kosmetik terkenal, Dato Seri Vida. Memiliki wajah yang sangat mirip dengan Dato Seri Vida membuatkan kewujudan atlet itu mula mencuri tumpuan ramai.

Menerusi video tersebut, kelihatan sedang berlangsungnya acara lari pecut antara beberapa buah negara yang sedang bersiaran langsung. Buat yang mungkin tidak kenal dengan atlet tersebut, beliau merupakan atlet dari Perancis yang bernama Cindy Billaud dan pernah mewakili negaranya dalam sukan Olimpik Rio 2016 lalu.

Apa yang paling mencuit hati ialah apabila melihat gaya muncung bibirnya yang turut sama dengan Dato Seri Vida. Rupa-rupanya ramai juga netizen yang perasan akan hal itu sehingga ada yang mengatakan ‘style’ cium antara Billaud dan Dato Seri Vida adalah sama!

Sehingga kini video berkenaan telah ditonton lebih daripada 345 ribu kali dan menerima lebih daripada 20 ribu ‘like’. Rata-rata netizen yang menonton video tersebut turut terhibur dan bersetuju atlet tersebut adalah ‘kembar’ kepada Dato Seri Vida.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Cara betul untuk pasang dan buka cangkuk ‘S’ pada gelang emas supaya tidak rosak

0

Wanita dan barang kemas memang tidak boleh dipisahkan. Tipulah jika ada yang mengatakan mereka tidak suka akan emas. Walaupun mungkin ramai yang tidak suka menggunakan emas atas alasan tersendiri tetapi memandangkan emas mempunyai nilai dan harga yang kukuh, ia tetap menjadi pilihan golongan wanita.

Emas yang dimiliki bukan sahaja boleh digunakan sebagai perhiasan tetapi ia juga merupakan aset yang sangat berharga. Apa yang menariknya emas juga merupakan aset yang lebih kukuh berbanding wang kertas. Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengumpul emas dalam pelbagai bentuk yang dijadikan aset untuk digunakan bila-bila masa sahaja.

Antara emas yang digemari oleh kaum wanita pastinya gelang, rantai dan cincin. Namun, apa yang sering menghantui mereka ialah ada sesetengah rantai atau gelang yang sukar untuk dipakai dan dijaga terutama barang kemas yang mempunyai cangkuk ‘S’ di hujungnya.

Sebenarnya ramai yang mempunyai masalah setiap kali memasang atau membuka cangkuk ini. Ianya boleh dikatakan agak sukar untuk dibuka jadi si pemakai memang perlu berhati-hati ketika membukanya. Kalau tidak berhati-hati ada kemungkinan cangkuk tersebut boleh rosak dan harga rantai atau gelang tersebut boleh jatuh.

Jadi, apa kata kalau kita belajar cara membuka dan memasang cangkuk ‘S’ dengan betul. Berikut adalah perkongsian seorang netizen di laman TikTok, Mexsu Empire, tentang cara memasang cangkuk ‘S’ dengan betul:

CARA BETUL PASANG CANGKUK ‘S’ GELANG EMAS.

Customer’ selalu datang repair cangkuk dah bengkok macam ini. Sampai ada yang patah.

Cangkuk bertindih macam ni adalah punca cangkuk bengkok dan patah.

Orang ingat bila tindih macam ini, rantai tangan akan lebih selamat. Tapi bila tindih macam ni cangkuk lagi senang patah dan senang tercicir.

JANGAN LAKUKAN CARA INI PADA CANGKUK RANTAI ATAU GELANG!

Jangan buka cangkuk ke atas macam ini. Jangan tindih cangkuk macam ni.

Jangan biasakan buat macam ni sebab itu rantai korang rosak.

TIPS BETUL PASANG CANGKUK EMAS JENIS ‘S’!

Meh saya ajar kawan-kawan cara yang betul.

  1. Buka cangkuk ke depan bukan ke atas.
  2. Bila tutup cangkuk pastikan dia rata dan tak bertindih.

Barulah rantai tak rosak.

Mudah rupa-rupanya untuk membuka cangkuk ini. Lihat seperti agak ‘complicated’ tetapi tidaklah sesukar mana. Buat anda yang sebelum ini bimbang cangkuk akan patah atau bengkok, boleh ikuti tips ini untuk menyelesaikan masalah anda.

Harapnya perkongsian ini dapat memberi bermanfaat buat golongan wanita terutama mereka yang berhadapan masalah berkenaan dengan cangkuk jenis ini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Will Smith tampar Chris Rock di pentas Oscar selepas jenaka Jada-Pinkett Smith, mohon maaf dalam ucapan Pelakon Lelaki Terbaik

0

Chris Rock dan Will Smith mempertontonkan pertengkaran yang amat jelas ketika siaran langsung Oscar 2022. 

Gurauan kasar Chris Rock menyebabkan Will Smith hilang sabar dan bertindak menampar mukanya di atas pentas Dolby Theatre, Los Angeles.

Chris Rock muncul di atas pentas untuk menyampaikan anugerah Oscar untuk dokumentari terbaik dan membuat jenaka tentang Jada-Pinkett Smith menjadi G.I. Jane kerana kepalanya yang dicukur sehingga botak.

Facebook

Smith pada mulanya tersenyum tetapi mula berasa kurang senang apabila melihat riak wajah Jada yang berubah tidak selesa, kemudian naik ke pentas untuk menumbuk Rock.

Walaupun ia kelihatan seperti jenaka pada mulanya, Smith kembali ke tempat duduknya dan menjerit kepada Rock, “Jangan babitkan nama isteri saya daripada mulut (kata kesat) kamu!”

Keadaan memalukan itu membuatkan ramai penonton dalam Oscar kelihatan tergamam memikirkan sama ada ia hanya gimik atau benar-benar satu pertengkaran.

Facebook

Rock kemudian berkata apa yang berlaku merupakan sejarah bagi dunia penyiaran televisyen.

“Will Smith baru tampar saya. Itu adalah momen terbaik dalam sejarah televisyen,” katanya.

Will Smith memenangi Anugerah Academy pertama dengan merangkul Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Richard Williams, bapa yang gigih yang membesarkan juara tenis dunia Venus dan Serena Williams, dalam Filem Terbaik “King Richard”.

Twitter

Ketika menyampaikan ucapannya, Smith memohon maaf secara terbuka kepada penganjur Anugerah Academy serta seluruh penggiat seni berikutan tindakannya menampar Rock.

“Saya mahu meminta maaf kepada Academy, mahu minta maaf kepada semua rakan finalis Oscar 2022. Ini merupakan momen yang indah dan saya menangis bukan kerana kemenangan ini (Pelakon Lelaki Terbaik)..”

“Ini bukan soal saya memenangi anugerah,” kata Will Smith yang menerima penghormatan daripada seluruh penonton yang berdiri sambil bertepuk tangan kepadanya.

Facebook

“Seni telah mengubah hidup saya. Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti Richard Williams.. Namun, cinta boleh membuatkan kamu melakukan benda yang ‘gila’..” sambung ucapannya.

Jada-Pinkett Smith mengumumkan di Instagram pada tahun lalu beliau mencukur kepalanya selepas aktres ini bergelut dengan penyakit alopecia (kehilangan rambut).

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Larian malam hari calon tentera India yang tular ini terus menjadi inspirasi

0

Seorang pemuda India telah menerima beberapa tawaran untuk merealisasikan impiannya menjadi anggota tentera selepas rakaman video menujukkan dia berlari pulang dari tempat kerja menjadi tular.

Video itu dirakam oleh pembuat filem India, Vinod Kapri yang menunjukkan Pradeep Mehra, pemuda berusia 19 tahun sedang berlari dalam perjalanan pulang ke rumah dan melepasi kereta Vinod yang menawarkan diri untuk memberikan tumpangan.

Twitter

Tetapi Pradeep menolak tawaran itu dengan berkata dia berlari kira-kira 10 kilometer setiap malam untuk mengekalkan bentuk badannya bagi menyertai Tentera India.

Video itu kini telah menjadi tular dengan lebih enam juta tontonan di media sosial.

Ketika itu Pradeep sedang berlari pulang ke rumah selepas selesai kerja syif malam di McDonald’s bandar Noida yang terletak di pinggir Delhi apabila Vinod melihatnya.

Twitter

Vinod berkata dia ingin menumpangkan Pradeep selepas melihat dia berlari dengan beg galas, memikirkan dia mungkin sedang menghadapi masalah atau dalam kecemasan.

Pembuat fiem ini merakam video dari keretanya ketika dia memandu perlahan-lahan bersama Pradeep, bertanya kepadanya beberapa soalan untuk memahami mengapa dia menolak untuk menaiki keretanya.

“Anda akan jatuh cinta dengan pemuda ini jika anda mendengar alasannya,” kata Vinod dalam perkongsian video itu di Twitter.

Twitter

Pradeep tinggal di Noida bersama abangnya dan memberitahu dia berlari setiap malam selepas pulang daripada selesai bekerja kerana dia tidak mempunyai masa pada siang hari untuk bersenam.

“Rutin saya akan terjejas jika saya ikut awak,” katanya sambil tersenyum dan tanpa berhenti, dia menolak tawaran Vinod dengan sopan.

Apabila Vinod memintanya untuk makan malam bersamanya, Pradeep turut menolak dengan berkata dia perlu memasak makanan untuk abangnya yang juga bekerja syif malam.

Twitter

Apabila ditanya mengapa dia tidak berlari pada waktu pagi, Pradeep  berkata dia terpaksa bangun awal dan memasak sebelum bergerak ke tempat kerja.

Ibu bapanya berada negeri utara Uttarakhand dan bapanya menjaga ibu Pradeep yang sedang sakit.

Kedengaran Vinod terus menjadi kagum sambil memuji sikap gigih dan berhati mulia Pradeep lalu dia bertanya apa yang akan dilakukannya jika video ini menjadi tular.

Twitter

“Siapa yang akan mengenali saya… jika ia menjadi tular, biarlah tidak mengapa, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” jawabnya sambil ketawa.

Dan memang ia menjadi tular dalam tempoh 24 jam dan mendapat perhatian ramai termasuk para pemimpin dan selebriti di India.

Leftenan Jeneral (B) Satish Dua dalam ciapannya berkata dia telah bercakap dengan pegawai kanan Tentera India mengenai tawaran kemasukan tentera dan latihan Pradeep Mehra.

Twitter

Jurucakap parti pembangkang Samajwadi berkata mereka bersedia untuk membiayai pendidikan Pradeep serta membiayai bil hospital ibunya.

Yang lain berkata video yang memberi inspirasi itu juga mencerminkan ‘keadaan mendesak’ pencari kerja di kalangan anak muda di India.

Vinod Kapri kemudian telah kembali ke McDonald’s Noida untuk bertemu dengan Pradeep sebaik sahaja dia selesai bekerja.

Twitter

Katanya banyak panggilan daripada rakan, jiran dan orang kampung setelah menonton video larian kegigihan Pradeep itu.

“Dunia tunduk dengan kerja keras,” komennya mengenai sambutan luar biasa yang diterima dalam video itu.

Kali ini, si pemberi inspirasi Pradeep Mehra memutuskan untuk berehat satu hari daripada larian hariannya dan menerima tawaran Vinod yang ingin menumpangkannya untuk pulang ke rumah.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Tapir Malaya baru lahir yang comel memulakan langkah pertamanya di PKHL Sungai Dusun

0

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) baru-baru ini berkongsi kelahiran anak Tapir Malaya betina di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungai Dusun, Selangor. 

Anak Tapir Malaya yang comel itu merupakan anak kepada pasangan Tapir Malaya jantan bernama Boy dan tapir betina bernama Mala yang berada dalam pemuliharaan di PKHL Sungai Dusun.

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia / Facebook

Anak Tapir Malaya yang belum diberi nama itu dilahirkan pada Isnin, 21 Mac 2022 lalu dengan berat 8.85 kilogram. Anak tapir ini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat serta kelihatan tersangat comel. 

Gambar anak Tapir Malaya bersama ibunya di muat naik PERHILITAN di laman Facebook mereka.

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia / Facebook

PERHILITAN kemudiannya membuat kemas kini mengenai si comel yang baru lahir pada Khamis, 24 Mac 2022 lalu di mana mereka berkongsi anak tapir itu sudah boleh bertatih dan mula berjalan dengan bantuan serta sokongan daripada pegawai pemuliharaan hidupan liar yang bertugas. 

Spesies tapir Asia Tenggara berhabitat di Semenanjung Malaysia dan Sumatera dengan Tapir Malaya kini disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah IUCN sejak 2008. Dianggarkan hanya terdapat 2,500 spesies Tapir Malaya matang berada di alam liar.

Ancaman terbesar kepada Tapir Malaya pada masa ini adalah kehilangan dan kemusnahan habitatnya akibat penebangan hutan. 

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia / Facebook

Semoga keluarga Tapir Malaya ini akan menjadi permulaan kepada generasi baru yang tabah dan berjaya mengekalkan spesiesnya daripada mengalami kepupusan. 

Untuk berbuat demikian, pihak yang berwajib dan pihak berkuasa mestilah terlebih dahulu mengambil berat dalam menangani semua ancaman yang dihadapi oleh spesies ini di negara kita.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Lihat lelaki kelainan upaya jual buah tepi jalan bagi ibunya yang sakit, selebriti ini tampil hulurkan bantuan

0

Tidak semua orang bertuah dilahirkan di dunia dengan segala kemewahan dan kesenangan hidup. Hakikatnya, ramai antara kita yang harus bersusah payah, bekerja keras untuk memastikan kelangsungan hidup. Ada juga yang bukan sahaja perlu bekerja untuk diri sendiri tetapi mereka perlu menanggung keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

Bayangkan hidup dalam kemiskinan, ditambah pula dengan kesakitan atau penyakit, pasti setiap hari adalah momen yang sukar untuk dijalani. Namun, golongan seperti ini adalah mereka yang kental dan kuat di samping memiliki kesabaran yang tinggi. Apa yang mereka lalui, tidak semua orang boleh melakukannya!

Misalnya seorang pemuda India kelainan upaya ini terpaksa bekerja untuk meneruskan hidup. Walaupun memiliki kekurangan dia terus sabar dan tidak putus asa untuk berniaga di tepi jalan.

Kisah lelaki bernama Anu ini direkodkan melalui video pengembaraan seorang selebriti internet, Ted Kunchok. Melalui video tersebut Anu kelihatan sedang duduk di tepi jalan bersama barang jualannya iaitu buah oren.

Ted kemudian datang kepadanya. Apabila ditanya tentang hasil jualannya, Anu memberitahu bahawa jualannya tidak laku. Keadaan di jalan raya juga kelihatan agak sepi ketika itu menyukarkan dia untuk mendapatkan pelanggan.

Ted kemudian memutuskan untuk membantu Anu dengan membeli oren yang dijualnya. Harga untuk satu plastik oren ialah 100 Rupee (sekitar RM5.50). Mendapat pelanggan pertama pada hari itu mula membuatkan Anu berasa gembira. Ted juga senang kerana dia sememangnya suka menjadi pelanggan pertama.

Anu kemudian memberitahu bahawa dia memiliki ibu yang sakit di rumah. Mendengar kisah sedih itu membuatkan Ted bertambah simpati sehingga dia memutuskan untuk membeli kesemua buah oren tersebut dan hal itu membuatkan Anu terus tersenyum gembira. Apabila ditanya adakah kamu gembira, Anu tersenyum dan menjawab, ‘ya’.

Ted kemudian memasukkan kesemua plastik buah oren yang dibeli ke dalam beg galasnya sebelum mengeluarkan satu plastik dan menyerahkan kepada Anu. Pada mulanya Anu menolak pemberian tersebut tetapi Ted memintanya untuk menerima buah oren tersebut dan diberikan kepada ibunya nanti.

Apa yang menyentuh hati ialah apabila Anu mengambil duit yang dihulurkan dan menyetuhnya pada dahinya menunjukkan dia sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih. Sebelum pulang, Ted sempat bertanya tentang keadaan ibu bapa Anu di rumah dan dia juga menyerahkan beberapa keping wang kertas kepada Anu untuk diberikan kepada ibunya yang sakit.

Ted kemudian menawarkan untuk menghantar Anu pulang ke rumah tetapi ditolak oleh Anu. Sebelum meninggalkan Anu, Ted sempat membantu lelaki itu meletakkan meja jualannya di bawah sebuah pondok berhampiran memandangkan meja tersebut agak berat.

Apa yang dilakukan oleh Ted adalah sesuatu yang sangat mulia. Dengan mengeluarkan sedikit wangnya sudah boleh membuatkan Anu gembira sepanjang hari itu. Tidak hanya itu, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ted jauh lebih bermakna bukan sahaja buat Anu malah buat semua yang mengetahui kisah ini. Jika Ted boleh menyebarkan kebaikan dan kasih sayang kepada orang yang tidak dikenalinya, mengapa kita tidak boleh melakukan hal yang sama? Ayuh, sebarkan kebaikan!

Buat yang tidak mengenali Ted Kunchok, 27, dia merupakan seorang ‘Youtuber’ dari Tibet yang juga merupakan seorang ‘travel vlogger’ dan selebriti media sosial. Dia popular kerana membuat video pengembaraan di saluran Youtube miliknya yang ditonton jutaan orang.

Ted mula membuat video Youtube pada April 2020 dan telah berjaya menjadikan dirinya sebagai ‘influencer’ media sosial. Dia memperoleh banyak pengikut di Instagram, Facebook, dan YouTube melalui kerjanya.

Adalah menjadi misinya untuk menyebarkan kasih sayang dan sifat positif di seluruh dunia dan untuk tujuan itu dia banyak menderma dan melakukan sumbangan kepada orang miskin.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: