“Rumah mana pula yang bertukang pagi-pagi ni? Orang nak tidur la oi!”
Ini fenomena yang biasa terjadi apabila jiran membuat pengubahsuaian rumah. Amat jarang sekali kita dimaklumkan terlebih dahulu tentang pengubahsuaian yang akan dilakukan. Tahu-tahu sahaja ada bunyi bising di awal pagi. Itu belum termasuk habuk yang berterbangan masuk ke dalam ruang rumah kita. Sudah tentu membangkitkan kemarahan kita dan tidak mustahil boleh berlaku pertikaman lidah sesama jiran.
Namun, tidak semua jiran bersikap mementingkan diri sedemikian. Ada yang berbudi bahasa dengan cara masing-masing. Contohnya seperti pengguna TikTok @spongliee ini. Sebelum mengubah suai rumah, dia dan pasangannya mengambil inisiatif dengan memberikan ‘tanda maaf’ kepada jiran agar tidak berasa terganggu apabila kerja-kerja pengubahsuaian bermula.
Dia telah membelanjakan sejumlah wang untuk mengambil hati jiran-jiran agar tidak rasa marah atau terganggu kelak. Dia menyediakan biskut dan teh uncang dan membalutnya dengan kemas seperti cenderamata.
Bukan itu sahaja, mereka turut menyelitkan sekeping nota untuk makluman jiran-jiran berkenaan perihal pengubahsuaian tersebut.
Nota tersebut berbunyi, “Kami adalah pemilik baharu bagi #12-261. Memandangkan kami akan melakukan pengubahsuaian untuk dua bulan akan datang, di sini ada sedikit biskut dan teh untuk anda nikmati semasa minum petang. Tolong menerimanya sebagai tanda maaf untuk sebarang kesulitan yang timbul.”
Menurut WOB, pasangan ini telah pun terlebih dahulu memaklumkan jiran-jiran tentang pengubahsuaian tersebut. Namun masih lagi mahu memberikan ‘tanda maaf’ agar jiran-jiran tidak berasa terganggu semasa pengubahsuaian dilakukan. “Kami tidak dapat mengelakkan bunyi bising atau sebarang kesulitan yang timbul, tetapi sedikit tanda mungkin dapat mewujudkan suasana positif.”
Selepas berpuas hati dengan pemberian ‘tanda maaf’ itu, mereka pun melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dengan hati yang lapang dan tidak bimbang akan pandangan jiran-jiran.
Selepas memuat naik video tersebut, ramai netizen yang memperkatakan tentangnya. Mereka berpendapat bahawa pasangan ini adalah jiran yang sangat baik. Tidak kurang juga, ada netizen yang mahu mengikuti jejak langkah pasangan ini sekiranya mereka mahu melakukan pengubahsuaian pada masa hadapan. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat menjaga hubungan baik sesama jiran.
Kesimpulannya, tidak salah jika kita lakukan sesuatu untuk menyenangkan hati jiran-jiran terutama jika kita perlu melakukan pengubahsuaian rumah. Pasti jiran-jiran akan berasa gembira dilayan sebegitu dan tidak terasa hati dengan bunyi bising di awal pagi. Jiran gembira, hidup kita pun akan gembira.
Biasanya orang di Malaysia bermata hitam atau coklat, tetapi seorang budak lelaki anak Orang Asli di Tapah, Perak menarik perhatian ramai apabila memiliki sepasang mata berwarna biru yang unik dan dikatakan luar biasa.
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Rafizal Baharom sering mendapat perhatian orang ramai kerana mereka terpesona melihat kecantikan matanya yang berwarna biru jernih jarang dilihat dan dia selalu diajak bergambar.
Menurut ibunya, Rafizal dikurniakan dengan sepasang mata berwarna biru memukau sejak lahir.
“Saya dan anak sulung, Rafizi juga memiliki anak mata berwarna biru, tetapi sebelah sahaja. Ramai yang bertanya adakah saya berkahwin campur dengan ‘mat saleh’ dan pelik dengan kurniaan mata seperti ini,” kata Roshayati Bahmiri, 36 tahun daripada suku Semai.
Jawapan yang biasa diberikan ibu Rafizal ketika ditanya soalan itu ialah kurniaan mata biru itu adalah anugerah Allah untuk keluarga mereka sambil menolak tanggapan ramai yang dia berkahwin campur.
Rafizal, anak bongsu daripada dua beradik itu merupakan kanak-kanak istimewa golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu.
Kanak-kanak bermata biru ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Chemor di Ipoh dan menetap di asrama dengan terpaksa berjauhan daripada keluarganya.
Roshayati berkata, usaha menghantar Rafizal ke sekolah adalah penting demi memahirkan dirinya mempelajari bahasa isyarat bagi membolehkannya untuk mudah berkomunikasi memandangkan dia perlu memperbaiki kekurangannya dari segi pertuturan dan pendengaran.
Walaupun seorang OKU, Rafizal merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolah baik dalam bidang akademik mahupun di bidang sukan apabila mewakili sekolah dalam acara lontar peluru untuk Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).
Kisah mata biru Rafizal pernah menarik tumpuan dalam hantaran Facebook Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan rata-rata warganet memuji keistimewaan dan kelebihan dimiliki anak ini.
Untuk pengetahuan, sebelum ini Daily Mail pernah melaporkan mengenai sindrom Waardenburg iaitu satu keadaan mutasi genetik yang menjejaskan pigmentasi, yang menyebabkan keadaan mata biru ini.
Sindrom Waardenburg akan membuatkan kedua-dua anak mata atau salah satu daripada penghidapnya berwarna biru. Keadaan itu juga dikatakan boleh menyebabkan penghidapnya kehilangan pendengaran.
Adakah anda percaya kepada kilauan kebiruan berlian Heart of The Ocean?
Di Sulawesi Tenggara, seorang jurugambar dari Indonesia berjaya menjejaki sekumpulan anak-anak pribumi Indonesia dengan kilauan mata yang sangat memukau!
Sindrom itu mula diperkatakan apabila seorang ahli geologi dan jurugambar dari Jakarta, Korchnoi Pasaribu merakam gambar kaum Orang Asli Buton yang menetap di Pulau Buton di tenggara Sulawesi pada 17 September 2020 dengan keadaan mata mereka yang berwarna biru.
Sindrom Waardenburg lazimnya dikesan pada setiap seorang individu daripada nisbah 42,000 orang di seluruh dunia.
Seorang murid lelaki Tahun 3 dari Pulau Pinang mendapat perhatian gurunya selepas kanak-kanak itu didapati mengheret kakinya dengan memakai kasut besar semasa dia berjalan dan sentiasa memegang seluar sekolahnya daripada terlondeh.
Melihat keadaannya ke sekolah dengan selamba memakai pakaian seragam terlalu besar buat seorang murid berbadan kecil, kerana rupa-rupanya ia diturunkan kepadanya daripada seragam sekolah pernah dipakai abangnya.
“Saya sebak, antara ramai insan kurang bernasib baik yang saya temui, dia sangat istimewa kerana dia mempunyai keazaman yang tinggi dan datang juga ke sekolah walaupun dalam keadaan yang sangat daif,” kongsi guru Pendidikan Islam sekolah rendah, Mohd Nasir Mohd Zain kepada Harian Metro.
“InsyaAllah, saya bercadang untuk mengambilnya sebagai anak angkat dan membantunya sedaya mungkin agar dia dapat meneruskan persekolahannya seperti pelajar lain,” kata guru ini.
Cikgu Mohd Nasir kemudian telah membawa kanak-kanak ini ke kedai pakaian di Kepala Batas untuk membeli pakaian seragam yang sesuai untuk murid Tahun 3.
“Air mata saya hampir menitik apabila saya melihat dia sanggup mengheret kakinya di atas lantai supaya kasutnya yang saiz terlebih besar daripada kakinya tidak terlepas sementara tangannya sentiasa memegang seluarnya bagi mengelak daripada terlondeh,” katanya.
“Saya fikir jika ia berlaku kepada anak saya atau pelajar lain, mereka mungkin malu dan tidak mahu pergi sekolah. Jadi, saya tak kisah apa orang nak cakap sebab niat saya mahu berkongsi cerita ini supaya menjadi inspirasi kepada orang lain terutama pelajar lain supaya tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk datang ke sekolah,” tambah guru itu.
Murid Tahun 3 itu dilaporkan berasal dari keluarga miskin dan mempunyai empat lagi adik beradik lelaki.
“Saya fikir dia belajar Tahun 3, dia mungkin tidak tahu apa itu perasaan malu. Bayangkan apabila dia naik ke Tahun 4, 5 atau 6, tidak mustahil dia akan berasa malu dan jika tidak bersekolah, gelap masa depannya. Jika ada sokongan moral seperti ini, saya rasa sekurang-kurangnya dapat menaikkan semangatnya untuk maju dalam pelajaran,” jelas guru itu lagi.
Cikgu Mohd Nasir berkongsi semuanya berbaloi selepas melihat raut wajah anak murid itu ketika dia menerima peralatan baharunya, menjadi sangat gembira dan semakin bersemangat untuk ke sekolah.
“Sangat memuaskan hati saya apabila melihat riak wajah gembira kanak-kanak itu, seolah-olah apa yang diimpikan telah tercapai,” katanya.
Kita juga turut gembira puas hati kerana terdapat seorang guru yang berhati mulia dan sentiasa peka untuk menyokong anak-anak muridnya supaya berjaya cerah masa depan.
Sudah lapan bulan bekas penyampai berita TV3 Zalina Azman dilaporkan hilang tetapi personaliti televisyen itu masih belum ditemui.
Polis Shah Alam menyiarkan notis kehilangan personaliti TV3 itu di laman Facebook mereka pada 18 Julai.
Polis berkata mereka sedang mencari Zalina, yang berumur 58 tahun, dengan ketinggian 158cm, dan berat kira-kira 60 kilogram. Nama penuhnya ialah Zalina Shaharah Azman.
Zalina berkulit sawo matang, bertubuh kecil dan kurus, dan tinggal di No 2, Jalan Ketiau 3/10, Seksyen 3, Shah Alam.
Anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33 tahun telah melaporkan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.
New Straits Times melaporkan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata Mikhael telah cuba menghubungi ibunya sejak 24 November untuk memaklumkan datuk pengadu dimasukkan ke hospital, tetapi beliau tidak dapat dihubungi.
“Pada 29 November, Mikhael dan bapa saudaranya melawat rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam, dan mendapati keretanya masih berada di rumah,” kata ACP Iqbal.
Menurutnya, ketika ke rumah itu yang dipercayai Zalina tinggal seorang diri, mereka mendapati ia berada dalam keadaan tidak teratur.
“Mereka menemui dompet Zalina di dalam rumah yang mengandungi MyKad, lesen memandu, kad bank dan kad kredit, wang tunai RM600 dan kunci kereta, tetapi Zalina tidak ditemui.”
ACP Iqbal menambah semua usaha untuk mengesannya telah dilakukan, tetapi beliau masih belum ditemui.
Polis kini meminta bantuan orang ramai dalam usaha mencari bekas personaliti televisyen yang pernah mengacarakan program Money Matters di TV3 itu.
Sementara itu, jiran tetangga Zalina Azman berkata kepada Bernama, wanita itu kurang dikenali dan tidak bergaul dengan mereka.
Salah seorang berkata mereka tidak mengetahui pemilik rumah berkenaan adalah seorang personaliti televisyen sehinggalah pada hari berita kehilangannya dan polis datang bertanya untuk mendapatkan maklumat.
Salah seorang sahabat Zalina, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, yang juga bekas personaliti TV3 turut merayu di Instagram agar orang ramai membantu mencari rakannya dan menggesa Zalina supaya pulang ke rumah.
“Awak di mana, Zally? Tolong pulang, pulang sahaja ke rumah,” tulisnya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Zalina digesa menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau menghubungi balai polis Seksyen 6 di talian +603-55194622.
Tarikh yang tertera sebagai “Guna Sebelum” ialah akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan. Kebiasaannya ianya digunakan untuk produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.
Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah dibuang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan.
Tarikh untuk label “Baik Sebelum” menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan. Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan. Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat kepada:
Perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair)
Warna (berubah dari yang asal)
Bau (tengit disebabkan oksidasi)
Rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan.
Sekiranya terdapat perubahan ini, maka anda seharusnya membuang terus produk ini.
Simpan di dalam peti ais (freezer atau chiller). Suhu yang rendah melambatkan proses tindak balas kimia bahan dalaman produk, juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak.
Hanya mereka yang menyayangi kucing sahaja memahami perasaan bagaimana simpati mendengar anak-anak kucing yang dibuang umpama sampah merintih-rintih minta diselamatkan.
Begitulah perasaan dan kegigihan yang ditunjukkan seorang pencinta kucing dan pengasas Rumah Kucing Ifan, Ifan Karta Sasmita yang meluangkan masa dan usahanya untuk menyelamatkan kucing-kucing terbiar.
Menerusi laman Tiktok @rumahkucingifan, pemuda yang berasal dari Sumatera Selatan, Indonesia ini berkongsi kisah bagaimana dia menyelamatkan empat ekor anak kucing berwarna putih yang cantik dan ditinggalkan untuk menjaga nyawa diri mereka sendiri di tempat pembuangan sampah di tepi jalan.
Tidak diketahui bagaimana mereka boleh berada di situ dan bagaimana pula nasib ibu mereka ketika ditinggalkan seperti sampah.
Dalam video itu, pada mulanya Ifan mendengar rintihan anak kucing di tempat pembuangan sampah dan dia pantas bertindak mengambil kesemua anak kucing itu.
“Suara tangisan empat ekor anak kucing di tempat sampah. Ternyata mereka adalah kucing ras,” kapsyen video yang dirakam Ifan di TikTok @rumahkucingifan.
Dengan rasa menyentuh hati, para pengguna TikTok dapat melihat Ifan bersama rasa kasih sayang dan bersungguh-sungguh menyelamatkan anak-anak kucing comel itu dan membawa mereka pulang.
Video TikTok yang mendapat perhatian dengan 3.4 juta tontonan itu, menerima pujian ramai sambil rata-rata mengucapkan terima kasih kepada Ifan @rumahkucingifan atas usaha murni yang telah dilakukannya untuk menyelamatkan haiwan terbiar.
Sambil ada juga yang mengecam tindakan pelaku yang membuang anak-anak kucing itu kerana terdapat individu menganggap anak kucing tidak lebih daripada sekadar sampah dan bukannya makhluk bernyawa seperti kita.
Berjuta-juta pegawai China telah disiasat dalam tempoh 10 tahun lalu di tengah-tengah kempen antirasuah Beijing.
Penyelidik China baru-baru ini membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengukur kesetiaan para pegawai kepada Parti Komunis China yang memerintah. Teknologi itu boleh menjadi alat untuk kempen antirasuah Beijing bagi memantau lebih lanjut dan membersihkan ahli-ahli Parti yang “rasuah”, menunjukkan ketakutan rejim yang semakin meningkat untuk kehilangan kuasa dan kesahan undang-undangnya.
Lebih 4.7 juta pegawai di semua peringkat telah disiasat, dikenakan pelbagai bentuk hukuman tatatertib, atau didakwa dalam tempoh 10 tahun lalu, menurut data yang dikeluarkan oleh badan pemantau tertinggi China, Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) pada 20 Jun.
Gambar oleh Andrea Verdelli/Getty Images.
Kempen antirasuah Beijing telah dimulakan pada November 2012, apabila pemimpin Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping mula-mula berkuasa.
“Rasuah politik adalah rasuah terbesar. Beberapa elemen rasuah telah membentuk kumpulan berkepentingan dengan harapan ‘mencuri kuasa daripada parti dan negara,” menurut media milik kerajaan Xinhua.
Teknologi AI tajaan negara, autoritarianisme digital
Institut Kecerdasan Buatan di Pusat Sains Kebangsaan Komprehensif Hefei di Wilayah Anhui, timur China memuat naik satu hantaran, yang mendakwa ia membangunkan teknologi yang boleh menyokong PKC secara langsung. “Rangkaian yang menakjubkan antara AI dan pembinaan PKC,” ia disebut-sebut dalam akaun WeChat rasminya pada 1 Julai, ketika ulang tahun ke-101 penubuhan PKC.
Hantaran itu termasuk video yang menunjukkan seorang lelaki berjalan ke bilik peralatan berlabel “Bar Pemikiran Politik Pintar,” kemudian duduk di hadapan komputer dengan skrin sesentuh untuk mengambil ujian. Selepas menyelesaikan ujian, markah ujian dan carta analisis muncul di paparan skrin.
Tangkap Skrin / WeChat via China Digital Times.
Ujian itu, yang disediakan untuk ahli Parti Komunis China, meliputi kandungan yang diajar di sekolah Parti, termasuk indoktrinasi politik seperti Pemikiran Xi Jinping, komunisme, sosialisme, sejarah PKC dan dasar serta peraturan semasa.
Video itu memperkenalkan peranti yang boleh menggunakan teknologi AI untuk mengekstrak ciri biometrik ahli CCP, yang antara lain termasuk ekspresi muka, elektroensefalografi dan ciri dermatologi.
Selepas mengintegrasi dan menganalisis data peribadi, ia akan menilai bagaimana seseorang itu dapat memahami kandungan yang dipelajarinya, seperti mengukur tahap penumpuan, pengiktirafan, dan penguasaan pelbagai subjek.
Peranti itu boleh “mengintegrasikan teknologi AI ke dalam kehidupan organisasi ahli CCP dengan jayanya,” kata penyelidik dalam filem pendek itu. “Kehidupan organisasi” merujuk kepada tingkah laku yang dikenakan oleh PKC kepada ahlinya, seperti membuktikan kesetiaan seseorang kepada Parti.
Pasukan penyelidik berkata reka bentuk peranti AI untuk “memantapkan PKC menjelang Kongres Parti Komunis ke-20.” Mesyuarat politik terpenting Parti itu dijangka diadakan pada akhir tahun ini, yang akan menentukan sama ada Xi Jinping boleh memperoleh penggal ketiga.
Pada masa penulisan, hantaran di WeChat itu telah ditarik keluar.
Walau bagaimanapun, ia telah dikongsi secara meluas di media sosial sebelum ia dialih keluar, mencetuskan kritikan awam terhadap penggunaan AI untuk memantau indoktrinasi ideologi, dengan beberapa mengecamnya sebagai “pencucian otak berteknologi” dan “autoritarianisme digital.”
Media yang berpangkalan di Amerika Syarikat, China Digital Times memperoleh beberapa kandungan dan video dalam hantaran itu dan menerbitkan laporan mereka pada awal bulan ini.
Menurut maklumat awam, Akademi Sains China (CAS) dan kerajaan wilayah Anhui menubuhkan institut teknologi Hefei. Institut ini diuruskan oleh Universiti Sains dan Teknologi China.
Gambar oleh STR/AFP via Getty Images.
Jutaan pegawai PKC disiasat
Bercakap pada taklimat akhbar yang diadakan oleh jabatan propaganda PKC pada 30 Jun, Wang Jianxin, pengarah jabatan publisiti CCDI, berkata dalam tempoh 10 tahun, dari Kongres ke-18 Parti hingga akhir April tahun ini, kira-kira 4.3 juta siasatan rasuah telah dijalankan dan lebih 4.7 juta pegawai korup menerima hukuman.
Ahli-ahli PKC itu dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti rasuah, hubungan dengan kumpulan penjenayah, penyalahgunaan kuasa, dan gaya hidup tidak bermoral. Laporan rasmi mengenai krisis imej PKC, dikeluarkan pada 2012 oleh Tang Jun, pengarah Pusat Penyelidikan Pengurusan Krisis Universiti Renmin China, yang mendedahkan sebanyak 95 peratus pegawai korup yang disiasat mempunyai perempuan simpanan, dan lebih 60 peratus daripada kader yang korup mempunyai “isteri kedua.”
Zhang Lei, seorang profesor undang-undang di Universiti Normal Beijing, memberitahuXinhua pada 30 Jun, terdapat empat masalah utama di kalangan kader PKC iaitu formalisme, birokrasi, hedonisme, dan ekstravaganza.
Gao Wenqian, seorang sarjana sejarah PKC, memberitahuVOA pada 28 Oktober 2016, bahawa pendekatan institusi PKC hanya boleh merawat gejala rasuah tetapi bukan puncanya, dengan menyebut monopoli kuasa satu pihak adalah punca rasuah dalam pejabat PKC.
“Jika anda [PKC] tidak memerangi rasuah daripada sistem, ia seperti melawan lalat di sekitar lubang baja. Anda tidak akan sampai ke penghujungnya; semakin banyak anda bergaduh, semakin anda tersekat. Hasilnya ialah ‘lalat sebesar harimau dan harimau sama banyak dengan lalat’,” kata Gao.
Kempen yang dikatakan anti-rasuah oleh PKC “sama dengan sebuah restoran yang berbangga mengumumkan pada tahun lalu ia telah berjaya menemui 100,000 lalat dalam pinggannya, 10,000 tikus dalam supnya, dan 50,000 cacing dalam nasinya,” tulis seorang warganet di ruangan komen The Epoch Times edisi bahasa Cina.
“Saya tertanya-tanya adakah pelanggan masih menganggap restoran ini bersih. Rasuah adalah tumit Achilles yang tidak dapat diselesaikan oleh rejim autokratik—iaitu, kumpulan berkepentingan yang sama tidak dapat mentadbir diri mereka sendiri dari dalam.”
Tangkap Skrin / WeChat via China Digital Times.
AI: Alat untuk memantau ahli PKC
Kempen teknologi pengawasan AI dan antirasuah menunjukkan PKC, yang bimbang akan kejatuhannya, akan mengenakan kawalan yang lebih ketat ke atas ahlinya, terutamanya pegawai peringkat tinggi.
Media rasmi Qiushi Magazine baru-baru ini menerbitkan ucapan yang Xi Jinping sampaikan pada seminar untuk pegawai peringkat wilayah dan menteri pada 11 Januari. Xi menegaskan Parti harus berusaha untuk menyelesaikan “kekotoran” pemikiran ideologi, gaya hidup dan organisasi dalam Parti— apa-apa sahaja yang boleh menjejaskan kuasa PKC.
Tahun lalu, Xi memberi amaran kepada ahli PKC tentang akibat keluar dari barisan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan beberapa pegawai telah berubah menjadi “jurucakap untuk pelbagai kumpulan berkepentingan, unit kuasa, dan kelas istimewa.” Xi turut menegaskan, tidak kira siapa yang mempunyai masalah, mereka harus “disiasat dan dihukum dengan tegas dan tanpa belas kasihan.”
Selain itu, dalam mesyuarat Biro Politik PKC pada 17 Jun, Xi Jinping berkata anti-rasuah adalah kempen politik utama yang “tidak mampu untuk gagal”.
Seperti yang kita tahu, jodoh, ajal, rezeki semuanya telah terlulis sejak kita di dalam kandungan ibu lagi. Apabila tiba satu peringkat umur, memang kita sering tertanya-tanya tentang bagaimana jodoh kita, siapakah jodoh yang telah diciptakan untuk kita, bilakah kita akan bertemu dengan jodoh kita itu, kayakah?cantikkah?beragamakah? Kebiasaannya orang mula mencari jodoh apabila yakin dengan kedudukan kewangan diri sendiri selain telah mempersiapkan mental dan fizikal untuk melangkah ke alam rumah tangga. Begitulah yang dilakukan juga oleh Ariff Peter, cuma caranya mencari jodoh agak unik, lain daripada kebiasaan.
Ariff telah menggunakan media sebagai medium untuk mencari jodoh. Dia telah menghasilkan poster yang berbunyi, ‘Saya sedang mencari jodoh’. Pada poster tersebut, Ariff menyatakan tentang ciri-ciri wanita yang menjadi dambaan hatinya seperti wanita yang inginkan anak ramai, pandai memasak dan bersiap sedia menjadi suri rumah dengan elaun dan hadiah yang lumayan.
Ariff juga turut melampirkan serba sedikit butiran dirinya pada poster tersebut. Ariff berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan usahawan berjaya yang menjalankan perniagaan perkhidmatan sanitasi kediaman di KL. Dia mencari calon isteri dalam kalangan wanita Islam. Jika ada wanita Islam yang berminat dengannya, bolehlah menghubungi Ariff ditalian yang tertera pada poster.
Selain membuat poster mencari jodoh, Ariff juga telah membuat iklan kepada sesiapa yang berjaya mendapatkannya jodoh, orang tersebut akan diberikan hadiah sejumlah wang tunai sebanyak RM10,000. Ariff telah berkongsikan perkara tersebut di Twitter miliknya dengan harapan ada orang yang membantunya mencari jodoh.
Usaha Ariff pada Jun lalu belum berhasil hinggalah tersebarnya video dia sedang mengagihkan poster pencarian jodohnya tular dimedia sosial. Dalam video tersebut, kelihatan Ariff sedang mengagihkan poster pencarian jodohnya kepada orang ramai yang berada dibeberapa lokasi termasuklah di dalam kereta api. Katanya, “jodoh tidak jatuh daripada langit. Aku harus bekerja keras.” Memandangkan dia sudah kehilangan ibu tercinta, jadi usaha mencari jodoh terletak dibahunya sendiri. Tambahnya lagi, “jika ibunya masih ada, pasti ibunya itu yang membantunya mencari jodoh.”
Ariff nampaknya tidak hanya mengagihkan poster kepada orang ramai. Dia bahkan telah membuat sepanduk ‘Saya sedang mencari jodoh’ dan menggantungkannya di satu kawasan.
Susulan usaha luar biasa itu, poster pencarian jodohnya telah tersebar ke Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia. Pada mulanya dia hanya mahu mencari jodoh diseluruh Malaysia tetapi tidak menyangka rezeki tersebar sampai hampir ke seluruh Asia Tenggara. Kata Ariff, “panik dibuatnya.” Dia menzahirkan rasa terima kasih kepada media tempatan dan luar negara yang mahu berkongsikan berita tentang pencarian jodohnya itu.
Ariff tidak langsung menyangka, dalam masa 3 hari dia menerima 10 ribu pencalonan yang mana lebih 5000 pencalonan diterima melalui Whatsapp, lebih 1000 pencalonan diterima melalui Tiktok dan lebih 8000 pencalonan diterima melalui Instagram.
Menurut Ariff, disebabkan pernah kecewa sebelum ini, dia tekad untuk membuat poster dan sepanduk mengenai pencarian jodohnya. Tambahan pula, dia sudah bersedia untuk berumah tangga, jadi dengan cara ini dia berharap usaha untuk mendapat jodoh itu menjadi lebih mudah. Melihatkan jumlah pencalonan yang diterimanya itu, nampaknya selepas ini Ariff akan sibuk dengan tugasan memilih calon isteri yang sesuai pula. Semoga Ariff menemui calon isteri yang terbaik buat dirinya.
Tidak dinafikan ada sesetengah orang gusar jodohnya belum tiba sementelah umurnya semakin meningkat. Sebenarnya cepat atau lambat itu bukan pengukurnya tetapi jodoh akan sampai pada kita apabila sudah tiba dan tepat masanya. Oleh itu, sebagai manusia tugas kita adalah melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya dan berdoalah agar jodoh, ajal, rezeki kita sampai dalam keadaan yang baik.
Baru-baru ini tular video seekor kucing comel merajuk apabila kek Apollonya diambil orang. Video yang dimuat naik di TikTok oleh “kimsyaf20” tersebut telah dikongsi oleh netizen hingga hampir 200 ribu kali dan hampir 70 ribu komen dapat dibaca mengenai telatah kucing tersebut.
Melalui rakaman video itu, kelihatan seekor kucing sedang memeluk erat dua pek kek Apollo sambil didukung oleh tuannya. Si perakam video mengambil satu kek Apollo daripada pelukan kucing itu.
Si kucing tersebut terdiam. Satu lagi kek Apollo yang berada dalam pelukan si kucing diambil membuatkan kucing itu mengiau beberapa kali sebagai tanda tidak suka. Si perakam mengagah untuk memberikan kek Apollo itu kepada si kucing dan si kucing cuba menyambutnya tetapi ditarik semula oleh si perakam.
Terhibur dengan telatah kucing itu, si perakam cuba mengusiknya lagi dengan mengambil kek Apollo itu semula. Si kucing mengiau lagi tanda tidak suka diperlakukan sedemikian.
Geram dengan usikan si perakam, kucing itu akhirnya merajuk! Si kucing memeluk tuannya seakan mengadu, “dia ambil kek Apollo saya!” sambil memalingkan wajahnya daripada si perakam.
Si perakam memberikan semula kek Apollo tersebut kepada si kucing. Mungkin masih rasa sebal di dada, si kucing mengambil juga kek Apollo yang dihulurkan kepadanya tetapi ia tidak sedikit pun memandang si perakam. Wajahnya masih lagi mencuka!
Si kucing terus memegang erat kek Apollonya itu dengan wajah yang menunjukkan ia tidak puas hati diperlakukan sedemikian. Kemudian, si kucing diberikan satu lagi kek Apollo.
Dengan wajah yang masih tidak puas hati, ia mengambil kek Apollo itu. Si perakam mengusap kepala si kucing dengan penuh kasih sayang. Seronok bergurau dengan si kucing.
Bagi mereka yang memelihara kucing pasti sudah faham benar dengan sikap dan tingkah laku si comel.
Mereka tahu bila kucing mereka marah atau merajuk. Betul, kucing pun tahu merajuk, bimbang dan marah dan tanda-tandanya ialah:
1. Menjauhi anda. Biasanya kucing memang suka dimanjakan. Namun, menurut Michael Rueb, seorang pakar tingkah laku kucing dan Pengurus Operasi Persatuan Perlindungan Kucing Kebangsaan, jika tiba-tiba ia menjauhi anda dalam tempoh masa yang panjang lebih daripada kebiasaan, itu menunjukkan ia marah, takut atau bimbang.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya berhadapan dengan kucing yang sedang merajuk, bimbang dan marah? Biarkan sahaja. Kucing juga perlukan masa. Ia akan kembali kepada anda apabila ia telah bersedia untuk berhadapan dengan anda.
2. Memberikan jelingan tajam kepada anda. Jika manusia menjeling kerana tidak puas hati akan sesuatu, kucing juga begitu. Malah dikatakan kucing begitu pakar dalam mengekspresikan perasaannya melalui pandangan matanya. Contohnya jika anda lewat memberi makan kepadanya. Solusinya ialah, berikan makan kepadanya mengikut jadual kebiasaan kata Kac Young, penulis The One Minute Cat Manager.
3. Menyorok di tempat tersembunyi. Menurut Amy Shojai, perunding tingkah laku kucing bertauliah, kucing yang menyorok ditempat tersembunyi adalah tanda ia takutkan anda atau pun sesuatu atau sedang bersedih. Jika kucing dalam keadaan seperti ini, biarkan sahaja kerana jika anda berkeras, ia akan menjadi semakin agresif.
4. Tidak mahu makan walaupun dihidangkan makanan kegemarannya. Kata Campbell, apabila kucing merajuk, ia mungkin kurang makan atau langsung tidak mahu makan. Tetapi jika kucing tidak makan lebih sehari atau dua hari, sila bawanya berjumpa doktor haiwan kerana mungkin ia sebenarnya sakit.
5. Membuat pelbagai jenis bunyi. Kucing yang sedang marah boleh membuat pelbagai jenis bunyi, kata Michael Rueb. Jika anda berhadapan dengan situasi seperti ini, cuba lakukan perkara-perkara yang akan mewujudkan suasana yang positif seperti memberi ia makan, mengajaknya bermain dengan permainan, mendandannya atau bercakap lembut dengannya. Percayalah, emosinya akan stabil semula.
Dalam usaha membasmi serangan tikus yang bermaharajalela di Sandakan, Majlis Bandaraya Sandakan di Sabah telah menubuhkan kiosk untuk ‘membeli’ tikus, dengan harga RM1 seekor.
Walaupun ia mungkin kelihatan seumpama idea yang bagus untuk membendung serangan tikus, setiap ‘rancangan’ itu mungkin mempunyai kelemahannya.
Mana tidaknya, seorang ahli psikologi klinikal dan pengguna Twitter Aiman Psikologi berpendapat kempen itu mungkin menjadi cara membasmi yang akan mendapat akibat buruk, walaupun niat sebenar adalah baik.
“Orang ramai mungkin membiak tikus untuk memperoleh lebih banyak ganjaran daripada kempen itu,” tulisnya.
Beliau berkata, tikus-tikus itu sepatutnya dimusnahkan tetapi disebabkan kemungkinan boleh memperoleh pendapatan lebih daripada kempen itu, bilangan tikus mungkin meningkat jika ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab memutuskan untuk menternaknya.
Menurutnya, fenomena ini secara psikologi dikenali sebagai The Cobra Effect.
Kempen ini boleh back fire sebenarnya.
Asalnya nak menggalakkan tikus diserahkan kat sini supaya dapat dibasmi, tetapi sebaliknya orang akan ternak pula sebab nak untung lebih.
— Aiman Psikologi 🇲🇾 (@AimanPsikologi) July 13, 2022
Apakah itu The Cobra Effect?
Menurut Psychology Today, ‘The Cobra Effect’ atau Kesan Cobra merujuk kepada kesan yang tidak diingini daripada insentif yang dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat atau individu.