“Rumah mana pula yang bertukang pagi-pagi ni? Orang nak tidur la oi!”
Ini fenomena yang biasa terjadi apabila jiran membuat pengubahsuaian rumah. Amat jarang sekali kita dimaklumkan terlebih dahulu tentang pengubahsuaian yang akan dilakukan. Tahu-tahu sahaja ada bunyi bising di awal pagi. Itu belum termasuk habuk yang berterbangan masuk ke dalam ruang rumah kita. Sudah tentu membangkitkan kemarahan kita dan tidak mustahil boleh berlaku pertikaman lidah sesama jiran.

Namun, tidak semua jiran bersikap mementingkan diri sedemikian. Ada yang berbudi bahasa dengan cara masing-masing. Contohnya seperti pengguna TikTok @spongliee ini. Sebelum mengubah suai rumah, dia dan pasangannya mengambil inisiatif dengan memberikan ‘tanda maaf’ kepada jiran agar tidak berasa terganggu apabila kerja-kerja pengubahsuaian bermula.
Dia telah membelanjakan sejumlah wang untuk mengambil hati jiran-jiran agar tidak rasa marah atau terganggu kelak. Dia menyediakan biskut dan teh uncang dan membalutnya dengan kemas seperti cenderamata.

Bukan itu sahaja, mereka turut menyelitkan sekeping nota untuk makluman jiran-jiran berkenaan perihal pengubahsuaian tersebut.
Nota tersebut berbunyi, “Kami adalah pemilik baharu bagi #12-261. Memandangkan kami akan melakukan pengubahsuaian untuk dua bulan akan datang, di sini ada sedikit biskut dan teh untuk anda nikmati semasa minum petang. Tolong menerimanya sebagai tanda maaf untuk sebarang kesulitan yang timbul.”

Menurut WOB, pasangan ini telah pun terlebih dahulu memaklumkan jiran-jiran tentang pengubahsuaian tersebut. Namun masih lagi mahu memberikan ‘tanda maaf’ agar jiran-jiran tidak berasa terganggu semasa pengubahsuaian dilakukan. “Kami tidak dapat mengelakkan bunyi bising atau sebarang kesulitan yang timbul, tetapi sedikit tanda mungkin dapat mewujudkan suasana positif.”

Selepas berpuas hati dengan pemberian ‘tanda maaf’ itu, mereka pun melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dengan hati yang lapang dan tidak bimbang akan pandangan jiran-jiran.

Selepas memuat naik video tersebut, ramai netizen yang memperkatakan tentangnya. Mereka berpendapat bahawa pasangan ini adalah jiran yang sangat baik. Tidak kurang juga, ada netizen yang mahu mengikuti jejak langkah pasangan ini sekiranya mereka mahu melakukan pengubahsuaian pada masa hadapan. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat menjaga hubungan baik sesama jiran.
Kesimpulannya, tidak salah jika kita lakukan sesuatu untuk menyenangkan hati jiran-jiran terutama jika kita perlu melakukan pengubahsuaian rumah. Pasti jiran-jiran akan berasa gembira dilayan sebegitu dan tidak terasa hati dengan bunyi bising di awal pagi. Jiran gembira, hidup kita pun akan gembira.