25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 136

Wanita tidak dikenali minta izin peluk mak cik sedang seronok makan tengah hari bersama keluarga, hati sentap bila dia mula menangis

0

Masa pantas berlalu tanpa disedari dan semakin kita merasakan diri itu sudah tua, begitu jugalah semakin tua ibu bapa kita.

Anak yang baik akan selalu berkata, saat menghabiskan masa bersama ibu bapa tersayang yang sudah tua adalah amat bermakna dan memori itu sungguh bernilai.

Seorang wanita dikenali Anis Ramli, baru-baru ini berkongsi bagaimana dia sedang makan tengah hari bersama ibu bapanya di Sri Karak, PJ Old Town apabila seorang wanita tidak dikenali menghampiri mereka.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Ibu sedang menikmati makan tengah hari sambil kami memesan hidangan kegemarannya (kari kepala ikan),” tulis Anis dalam satu hantaran di LinkedIn.

Ketika mereka sedang menjamu selera, seorang wanita menghampiri mereka dan memulakan perbualan.

“Mak cik, saya seronok sangat tengok mak cik makan. Memang seronok makan ah,” kata wanita itu kepada ibu Anis sambil tersenyum.

“Ya, ya. Makanannya sedap. Itulah sebabnya saya suka..” jawab ibu Anis sambil tersenyum.

“Bagus, bagus.. Mak cik. Maaf..” Wanita itu berhenti seketika dan tiba-tiba bertanya, “Boleh saya peluk mak cik?”

Wajah yang terkejut tetapi tetap tenang, ibu Anis menjawab, “Sudah tentu, boleh.”

Wanita itu kemudian memeluk ibu Anis dan mula menangis.

Facebook

“Ibu saya berumur 93 tahun,” katanya sambil teresak-esak.

“Dia tidak boleh makan. Hanya makan melalui tiub. Sebab itu saya seronok melihat mak cik menikmati makanan dan mak cik berselera makan. Saya teringat ibu saya,” kata wanita itu sambil terus menangis.

“Ibu memeluknya dengan erat. Pada masa itu, Malaysia kembali pulih..” tulis Anis.

Hantaran itu menerima perhatian lebih 7,700 warganet ketika beratus-ratus curahan komen yang sebak dengan kisah pelukan erat melegakan emosi antara dua orang saling tidak mengenali ini.

Facebook

“Menitiskan air mata ketika membaca. Saya faham perasaan itu. Mengimbas kembali ketika arwah ibu masih ada. Ketika menjaga dia.”

“Anda dirahmati dan sangat bertuah kerana mempunyai ibu yang sihat, dan dia amat gembira ketika keluar bersama anda. Semoga ibu anda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan, kasih sayang dan kebahagiaan.”

“Air mata saya mengalir mencurah-curah. Tidak boleh ditahan. Saya merasakan kesakitannya.”

Gambar ini dan kisah disebaliknya untuk mengingatkan kita supaya sentiasa menghargai kehadiran ibu bapa dan menghormati orang tua lain selagi mereka masih ada.

Pilihan Editor:

Anggota polis Kota Malang bersujud, memohon kemaafan ekoran tragedi berdarah Kanjurah

0

Lebih kurang 100 anggota polis Kota Malang yang dipimpin oleh ketuanya, Budi Hermanto telah bersujud sebagai tanda memohon kemaafan ekoran tragedi berdarah Kanjurah, Malang, Jawa Timur yang berlaku awal Oktober ini. Tindakan itu dilakukan ketika mereka sedang menjalani perhimpunan taklimat pagi di dataran Markas Kepolisan Resor Malang Kota pada Isnin lalu.

KOMPAS

Menurut Budi Hermanto, mereka melakukannya untuk memohon keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa disamping berharap agar keluarga mangsa juga turut memaafkan mereka.

Bagi Reza Indragiri Amriel, pakar psikologi forensik dan pemerhati polis, dia mengharapkan permohonan maaf tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan keyakinan serta mampu menjadi penawar luka ekoran kematian 131 orang di Stadium Kanjuran tersebut.

Tambah Reza lagi, tindakan polis Kota Malang tersebut serupa dengan tindakan simpati yang dilakukan oleh anggota polis di Amerika Syarikat yang melulut sebagai tanda maaf selepas kematian seorang warga minoriti kulit hitam, George Flyod pada 25 Mei 2020. Kematian George Flyod telah menyebabkan rakyat Amerika Syarikat melakukan demonstrasi hingga mencetuskan rusuhan di beberapa bandar di Amerika Syarikat.

Menurut Reza, tindakan memohon maaf dan kekesalan yang dizahirkan oleh anggota polis sangat penting sebagai tanda mereka turut berduka atas kehilangan orang tersayang. Ini kerana, jika dibandingkan dengan tindakan jenayah dan perilaku yang mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk diselesaikan, luka dalaman rakyat mengenai peristiwa ini pasti tidak akan sembuh dalam masa yang singkat.

Reza juga berharap anggota polis bukan sekadar memohon maaf tetapi turut membaiki diri agar serius melakukan perubahan dalaman.

MAKASSAR

Selain mangsa korban yang terdiri daripada penonton, dua orang anggota polis turut terkorban dalam kejadian di Stadium Kanjurah tersebut. Anggota polis berkenaan ialah Briptu Fajar Yoyok Pujiono dan Bripka Andik Purwanto dipercayai meninggal dunia akibat terhimpit di pintu keluar stadium.

Enam orang suspek yang dinamakan oleh Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo ialah Akhmad Hadian Lukita (Pengarah LIB), Abdul Harris (Pengerusi Panpel), Suko Sutrisno (Pegawai Keselamatan), Wahyu SS (Ketua Ops Polis Malang), H (Brimob Polda Jatim) dan BSA (Kasat Samapta Polres Malang).

Kepada keluarga mangsa, takziah kami ucapkan. Kami juga berharap agar kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi.

Pilihan Editor:

Agong ada kuasa untuk isytihar darurat dan tangguh PRU15 sekiranya berlaku banjir teruk: Penganalisis

0

Susulan pembubaran parlimen pada 10 Oktober, ramai tertanya-tanya bilakah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diumumkan kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini mendedahkan PRU15 berkemungkinan akan diadakan pada pertengahan November, iaitu sebelum musim banjir, namun kita tidak boleh terlalu pasti untuk meramal kuasa Maha Esa kerana bencana alam boleh melanda pada bila-bila masa.

Jadi bagaimana sekiranya banjir berlaku semasa PRU15? Bolehkah peristiwa bersejarah itu ditunda ke tarikh lain?

Gambar Majoriti

Sin Chew melaporkan penganalisis pilihan raya percaya sekiranya banjir teruk berlaku semasa PRU15, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat dan menangguhkan tarikh Pilihan Raya Umum.

Penganalisis pilihan raya dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, sekiranya berlaku banjir semasa PRU15, maka proses pengundian di seluruh negara berkemungkinan besar akan ditangguhkan.

“Saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelakkan pilihan raya diadakan semasa waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman kita semasa COVID-19, di mana beberapa PRK walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan Tuanku, PRK ditangguhkan kerana krisis kesihatan,” katanya kepada Astro Awani.

“Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan, Tuanku boleh membuat keputusan sedemikian,” tambahnya lagi.

Gambar FMT

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis yang lebih optimis dengan perkara itu, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata penangguhan PRU15 akibat banjir tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, pengundian mungkin ditangguhkan di kawasan yang berlaku banjir teruk.

“Mana-mana kawasan yang sering dilanda banjir, seperti di Kelantan dan Terengganu, pengundian di seluruh negeri mungkin ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya banjir berlaku di sesuatu kawasan dan menjejaskan proses pengundian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan segera melaporkan bencana itu kepada Yang di-Pertuan Agong, dan baginda kemudian mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada pilihan raya itu akan ditangguhkan ke tarikh lain apabila keadaan bertambah baik.

Pilihan Editor:

Usaha gigih demi menipu! Pelajar undang-undang ukir jawapan prosedur jenayah pada 11 pen dan profesor dedahkannya selepas 10 tahun

0

Yolanda de Lucchi, seorang profesor undang-undang di Universiti Malaga di Sepanyol, baru-baru ini memuat naik gambar di Twitter yang mendedahkan 11 pen mata bola yang dirampas daripada seorang pelajar yang ditangkap menipu dalam peperiksaan undang-undang 10 tahun lalu.

11 pen mata bola digunakan sebagai satu kaedah gila untuk meniru apabila pelajar berkenaan mengukir jawapan undang-undang prosedur jenayah Sepanyol pada pen itu yang mencetuskan perbincangan hangat warganet.

Le Monde melaporkan Profesor Yolanda baru-baru ini memuat naik gambar di Twitter menunjukkan 11 pen mata bola khas. Dapat dilihat dengan jelas pen mata bola ini sangat berbeza, dengan corak putih padat di permukaan, yang mana teknik meniru dan menipu itu amat hebat mempesonakan.

Twitter

Bekas pelajar ini memang seorang yang gigih memperuntukkan masa dan kemahiran untuk mengukir jawapan demi menipu!

Yolanda menjelaskan ia adalah ‘koleksi’ yang ditemuinya semasa sedang membersihkan laci di pejabatnya, dan pen itu dirampas daripada pelajarnya 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika sedang mengawas peperiksaan, dia mendapati seorang pelajar telah mengukir undang-undang kanun prosedur jenayah Sepanyol pada 11 pen mata bola, lalu bertindak merampas ‘nota ringkas untuk menipu’ ini dan meletakkannya ke dalam laci. 

Yolanda baru-baru ini menemui semula pen unik berkenaan setelah sekian lama dan mengimbas kembali insiden menarik itu lalu mengambil keputusan untuk berkongsi gambarnya di Twitter dengan kapsyen, “Prosedur jenayah tersembunyi dalam pen mata bola, ini adalah satu bentuk seni!”

Twitter

Selepas gambar itu didedahkan, ia serta-merta menarik lebih 250,000 pengguna Twitter, bahkan seorang rakan kepada bekas pelajar yang menipu itu tampil dan mengakui ada kaitan dengan insiden. 

Rakan itu memuat naik satu lagi gambar yang menunjukkan beberapa pen mata bola lain dengan ‘modus operandi yang sama’, mendakwa pelajar itu mempunyai beberapa pen serupa.

“Rakan saya menggunakan jarum untuk mengukir pen itu dan menulis semua seksyen dan kes pada pen. Untuk rujukan mudah, dia meletakkan permulaan setiap bab dengan urutan di sebelah pen jenama BIC, dan juga pen itu diisi dengan dakwat hitam sehingga ke bahagian atas supaya dia boleh merujuk jawapan itu dengan cepat. Ia adalah karya seni yang sempurna!” jelasnya.

Twitter

Selepas melihat kaedah penipuan yang unik ini, ramai warganet yang berasa lucu memberi komen:

“Pelajar ini mesti menyelesaikan tugas suci dengan hati bermaruah.” 

“Masa dan tenaga untuk membuat helaian curang ini boleh menghafal klausa dan autoriti, bukan?”

“Memang gila, ia adalah satu persembahan seni di tahap lain..”

Pelajar berkenaan yang ditahan Profesor Yolanda kerana menipu dan gagal dalam peperiksaan kanun prosedur jenayah pada tahun itu difahamkan telah menamatkan pengajian ijazah undang-undang, dan kini berjaya menjadi seorang peguam.

Pilihan Editor:

Hujan berterusan di Sarawak cetus banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan

0

Sarawak mula merasai kesan cuaca buruk akibat musim peralihan monsun seperti yang diramalkan MetMalaysia.

Hujan yang berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Miri dan Sibu ditenggelami air dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Facebook

Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Peninjau akibat hujan lebat.

Manakala di Jalan Kampung Kejapil menghala ke Beraya, tanah runtuh yang besar telah menyebabkan keseluruhan jalan runtuh berikutan tanah mendak akibat hujan lebat berterusan.

Facebook

Di Miri, kawasan terjejas banjir ialah Kampung Subak, Kampung Tiris, Kampung Pintasan, Kampung Dagang dan Kampung Hunai di Bekenu di mana paras air meningkat kira-kira 3 ke 4 kaki.

Facebook

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, paras air tidak menunjukkan tanda surut.

“Bagaimanapun, rutin harian masih dapat dijalankan seperti biasa dan keadaan masih selamat dan terkawal,” katanya.

Facebook

Beberapa video yang dimuat naik pengguna Facebook menunjukkan beberapa jalan raya dinaiki air banjir yang deras menyebabkan kenderaan yang melalui terpaksa bergerak perlahan.

Facebook

Manakala di Sibu, paras air banjir dilaporkan sedalam kira-kira 2 hingga 4 kaki.

Menurut Kapten Pejabat Pertahanan Awam Daerah Sibu (PA) Frankie John Jawan, air pasang dan air dari hulu Sungai Rajang menjadi faktor yang menyebabkan beberapa kawasan rendah di Sibu dinaiki air.

Facebook

Setiap tahun, semua sudah sedia maklum bahawa musim peralihan monsun akan berlaku dan hujan lebat berterusan yang turun di beberapa negeri di Malaysia memberi petanda bahawa musim itu semakin hampir dan rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Pilihan Editor:

Isteri asyik mengadu penat, rupanya ada sindrom ‘Sleep Debt’

0

Menguruskan rumah tangga bukan tugas yang mudah terutama buat isteri yang turut bergelar wanita berkerjaya. Seorang isteri yang baik perlu memfokus dan mendedikasikan kehidupan kepada suami dan anak-anak di rumah, walaupun selepas keletihan bertugas di luar.

Walaupun seorang wanita itu tidak memiliki kerjaya, tugas sebagai suri rumah tangga juga amat mencabar kerana ‘pekerjaan’ ini tidak akan pernah selesai.

Maka, tidak hairanlah jika si isteri mengadu keletihan pada setiap hari dan anda sebagai suami, jangan terkejut hendak memarahi. Dr. Redza Zainol berkongsi di Twitter dengan menyatakan ia adalah kesan dari kekurangan jumlah tidur yang kronik di mana ia dipanggil sebagai sindrom ‘Sleep Debt’. 

Gambar Hiasan / Pexels

Jangan pandang remeh pada aduan isteri kerana ia akan memudaratkan jika masalah ini berterusan dan tidak ditangani segera.

Ikuti perkongsian Dr. Redza Zainol mengenai ‘Sleep Debt’:

Lepas solat Subuh, isteri saya datang mengadu.

“Penatnya hari ni..”

Dalam hati saya, eh kan baru bangun pagi. Takkan dah penat. Sepanjang hari itu, 3-4 kali dia mengadu penat. Malam tu, saya senaraikan rutin harian isteri dari pagi sampai ke malam.

Bila saya kira-kira, baru saya tersedar. Rupa-rupanya, setiap hari isteri saya cuma tidur 5 jam saja sehari. Ya Allah, lalainya saya selama ni. Patutlah dia asyik mengadu penat.

Jumlah jam kita tidur ni umpama meletak duit di dalam akaun bank.

Setiap kali kita tak dapat tidur yang cukup, “duit” tu akan ditarik keluar dari akaun kita. Kalau hari-hari tak cukup tidur, lama-lama akan jadi kosong akaun bank kita tu.

Pada waktu ni, barulah kita akan nampak kesan dari kekurangan tidur yang kronik.

Gambar Hiasan / Pexels

Ia dipanggil sebagai “Sleep Debt”!

Isteri yang begini akan selalu ada paras hormon kortisol yang tinggi dalam darah. Hormon kortisol ini ialah hormon stress. Lagi tinggi paras hormon kortisol, isteri mudah jadi pemarah, murung hingga ada yang rasa nak bunuh diri.

Isteri begini juga berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat tertidur semasa memandu.

Dari segi perubatan, boleh juga menaikkan risiko mengidap diabetes, lemah daya imun badan dan darah tinggi. Jangan buat main-main dengan ‘Sleep Debt’ ni kawan-kawan.

Seorang dewasa memerlukan 7.1 jam tidur yang cukup untuk setiap malam

Mengikut National Sleep Foundation, orang dewasa memerlukan 7.1 jam setiap malam untuk rasa cergas dan bertenaga pada keesokan hari.

Tetapi 70 peratus daripada kita,tidak mencapai jumlah jam itu. Hakikatnya, ramai daripada kita ini bekerja dari pagi hingga ke petang.

Ada isteri bangun seawal pukul 4.30 pagi. Terus ke dapur untuk masak, pinggan dibasuh, sambil tu sempat lagi dia basuh dan ampai baju.

Habis kerja petang, berlari ke pasaraya.

Sampai saja ke rumah, suami isteri sama-sama bersilat uruskan anak mandi dan makan. Tau-tau dah Isyak tapi rutin harian belum siap juga.

Isteri-isteri yang tak cukup tidur setiap hari ni sebenarnya sedang mengumpul ‘Sleep Debt’ tanpa sedar.

Perlu ganti 4 hari untuk pulih jika kurang tidur 1 jam sehari!

Mengikut satu kajian pada tahun 2016, Sleep Debt tidak dapat diselesaikan dengan 1 hari tidur yang lama. Kajian ini mengatakan kita perlu sehingga 4 hari untuk pulih sepenuhnya jika kekurangan tidur sebanyak 1 jam sehari.

Dahsyat kesan ‘Sleep Debt’ ni.

Gambar Hiasan / Pexels

Jadi suami kena hati-hati. Kita fikir kita dah buat macam-macam kerja di rumah, jadi dapatlah kurangkan beban kerja isteri. Tapi kita terlupa yang kita suami isteri kena ada tidur yang cukup.

Hujung minggu, ada suami yang nampak isteri macam malas sebab tidur saja. Tidak ramai yang faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang ada ‘Sleep Debt’ yang sangat banyak.

Percayalah, bila isteri diberi peluang tidur yang cukup, dialah yang paling ceria dan mudah menurut kata antara semua, selepas kembali segar.

Semoga perkongsian Dr Redza Zainol ini memberi bermanfaat.

Pilihan Editor:

Hanya guna tiga bahan, jom buat sendiri serbuk asam boi

0

Makan buah-buahan macam jambu dan mangga memang menjilat jari bila ditaburkan dengan serbuk asam boi. Rasa masam-masam manis yang buat semua orang terliur.

Hendak dapatkan serbuk asam boi sebenarnya mudah sahaja bila anda biasa membeli di kedai dan pasaraya, tetapi pada kali ini, apa kata anda cuba membuatnya sendiri di rumah.

Caranya membuatnya senang sahaja kerana hanya menggunakan tiga bahan, dan sambil itu anda pun boleh berjimat. Ikuti perkongsian Puan Siti Khadijah di laman Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN) seperti berikut:

Facebook

Resipi serbuk asam boi

Bahan-bahan:

  • Asam boi
  • Gula pasir
  • Serbuk buah plum
Facebook

Cara-cara penyediaan:

1. Asingkan biji daripada asam boi.

Facebook

2. Kisar halus (pengisar kering). Letak dalam satu bekas.

Facebook

3. Kisar gula dan serbuk plum. Kisar halus juga.

Facebook

4. Satukan dengan asam boi yang sudah di kisar tadi. Gaul sebati.

Facebook

5. Masukkan dalam satu bekas dan selepas itu goncang-goncangkankan tiga bahan tadi. 

Serbuk asam boi siap!

Facebook

Tidak perlu tambah garam sebab asam boi sudah ada rasa masin. Boleh rasa dahulu jika terasa hendak tambah garam.

Jika hendak rasa manis lagi boleh tambah gula. Hendak masin lagi boleh tambah garam. Boleh agak-agak ikut selera masing-masing. 

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi apam nasi jadi gebu lembut, buat sendiri hasilnya serupa macam selalu beli

0

Di rumah selalu ada lebihan nasi, jadi hari ini teringin hendak buat apam nasi. Cara membuat apam nasi itu sebenarnya ringkas dan mudah sahaja jika anda tahu tekniknya.

Selalu juga ramai yang mengadu hasilnya tidak menjadi, dengan kata apam kecut dan bantat atau tak naik menggebu kejadiannya macam yang kita selalu beli dekat luar. 

Jadi sebenarnya orang kata mudah saja hendak buat, tetapi setelah beberapa kali percubaan dan tidak menjadi juga, maka ramai yang berputus asa.

Facebook

Perkongsian oleh pengguna Facebook Janna Hanie ini mungkin boleh menjadi panduan untuk anda yang sudah berputus asa tidak dapat buat apam nasi gebu gebas seperti yang diharapkan, kerana menurut Janna ada satu bahan sebenarnya yang anda perlu elak untuk letak.

Ikuti resipi untuk dapatkan apam nasi gebu:

Facebook

Bahan-bahan:

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula (kalau tidak suka manis, boleh kurangkan)
  • 1 cawan air
  • 1 sudu makan yis (separuh peket yis kering)

Cara membuat:

1. Kisar nasi, gula, air sampai halus.

2. Kemudian campur dengan tepung gandum, tepung beras dan yis. Gaul sebati.

3. Perap adunan sampai naik sekali ganda baru masukkan dalam acuan dan kukus (Janna perap 1 jam sahaja).

4. Jika hendak hasil apam yang gebu dan pecah, kukus guna api besar.

Facebook

Tips dapatkan apam nasi yang cantik

  • Acuan jangan sapu minyak.
  • Isi adunan penuh acuan.
  • Kukus 10 minit (acuan kecil), kalau acuan besar (kukus lebih sikit masa dalam 15 hingga 20 minit).
Facebook

Ingat jangan putus asa, buat apam nasi kena sampai jadi. Bila sudah jadi akan selalu hendak buat lagi. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi lassi daripada orang Nepal, minuman kesegaran untuk menenangkan perut dan minda

0

Lassi adalah minuman yang berasaskan yogurt untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas. Dikatakan berasal dari Punjab dan Multan di India, minuman kesegaran ini boleh diambil pada waktu sarapan atau makan tengah hari. Jika pada awal kemunculan lassi ini hanyalah bancuhan yogurt dan gula atau garam tetapi kini resipinya telah dipelbagaikan. Seorang pengguna Twitter berkongsi resipi asal lassi yang diperoleh daripada orang Nepal.

Bahan-bahan:

  • Yogurt – 250 gram
  • Susu – 250 gram
  • Gula pasir – 2 sudu makan
  • Jus lemon – 2 sudu teh

Cara membuat lassi:

Campurkan semua bahan dan kacau sehingga sebati. Minuman lassi sedia untuk diminum.

Memang mudah hendak buat minuman ini, tidak sampai lima minit pun sudah siap.

PEXELS

Untuk pengetahuan anda, lassi juga boleh dirujuk sebagai ‘smoothie kuno’ kerana ia merupakan smoothie yogurt pertama di dunia yang asalnya adalah campuran buah-buahan dan rempah tulen.

Pada masa kini, perisa lassi telah dipelbagaikan dan anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Antara perisa lassi yang digemari orang ramai pada masa kini ialah:

  • Lassi Mangga – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah mangga segar (boleh juga menggantikan buah mangga segar dengan serbuk mangga).
  • Lassi Oren – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah oren segar (boleh juga menggantikan buah oren segar dengan jus oren).
  • Lassi Betik – campuran yogurt, air dan buah betik (boleh tambahkan madu jika anda suka).
  • Lassi Strawberi – campuran yogurt, air dan buah strawberi segar.
PEXELS

Lassi ini dikatakan mampu memberi ketenangan pada perut dan minda.

Antara kebaikan lain meminum lassi pada kesihatan ialah:

  • Menguatkan otot badan kerana lassi kaya dengan protein.
  • Menguatkan tulang dan gigi kerana lassi kaya dengan kalsium.
  • Melancarkan sistem penghadaman.
  • Mampu mengurangkan tahap kolestrol dalam badan.

Ternyata lassi ini bukan sekadar minuman yang enak dan lazat tetapi ia mampu menyegarkan dan menyihatkan badan.

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Parlimen bubar, negara ditadbir kerajaan sementara

0

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang 10 Oktober 2022.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Twitter

Negara kini ditadbir oleh kerajaan sementara dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Beliau berkata, tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

“Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Fathi berkata, antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Berikutan itu, beliau berkata, Perdana Menteri dan ahli Kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

Selain itu, Muhammad Fathi berkata, kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik ketika tempoh berkempen dalam PRU.

Bagi Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

Pilihan Editor: