26.7 C
Kuala Lumpur
Monday, July 28, 2025
Utama Blog Laman 131

Ibu tunggal rider Foodpanda tiada pilihan bawa bersama anak OKU ketika bekerja, buat hati jadi pilu

0

Kehidupan itu tidak selalu seperti berjalan di taman yang indah. Bagi sesetengah orang, ketidakpastian masa depan menjadi satu perjuangan dan rencah kehidupan yang perlu diteruskan setiap hari. Seperti ibu tunggal ini yang tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja keras berbanding orang lain demi membesarkan anak perempuannya yang mengalami buta kekal.

Baru-baru ini, tular di media sosial dengan perkongsian imej menyayat hati memaparkan rider penghantaran makanan Foodpanda yang dalam perjalanan menghantar makanan di sekitar Jalan Pantai Murni, Kuala Lumpur sambil membawa seorang kanak-kanak dalam pelukannya.

Kanak-kanak itu kelihatan berada dalam keadaan selamat bersama ibunya, amat menyentuh hati sesiapa sahaja yang memerhatikannya.

Facebook

Gambar itu memaparkan rider penghantaran Foodpanda yang merupakan seorang ibu tunggal Azimah Abd Rahim berusia 37 tahun. Anak perempuannya, Nur Ainul Zahirah berusia 6 tahun seorang OKU mengalami buta kekal, lapor Utusan Malaysia.

Satu gambar menyatakan seribu perkara, dan hanya Tuhan mengetahui apa yang ibu tunggal ini alami setiap hari ketika mencari rezeki bersama anaknya demi meneruskan kehidupan. 

Ia tidak mengambil masa lama untuk gambar itu menjadi tular di Facebook dan platform media sosial lain yang berkongsi semula imej berkenaan, di mana ramai yang mendapati ia menyayat hati namun amat mengagumkan pada masa yang sama.

Gambar oleh mStar

“Rezeki halal.. Ada orang guna cara mudah dengan hidup meminta-minta. Tabik hormat dan kagum, semoga Allah memudahkan urusannya dan sentiasa dimurahkan rezeki.”

“Tengah kerja teringat anak-anak di rumah. Kita balik saja mereka serbu menumpang kasih. Adik ini sentiasa dalam pelukan si ibu. Semoga dalam rahmat Allah sentiasa.”

“Rasa sedih sangat, sebab bawa anak cari rezeki berpanas berhujan. Semoga dipermudahkan segala urusan.”

“Sangat menyentuh hati. Kasih ibu sanggup berkorban apa sahaja untuk anaknya. Bukan mudah hidup sebagai ibu tunggal.”

Gambar oleh Utusan Malaysia

Menurut Azimah kepada Utusan Malaysia, dia tiada pilihan lain sebagai ibu tunggal yang terpaksa membawa anak OKU ke mana-mana sepanjang bekerja sebagai penghantar makanan.

Katanya, anaknya bukan sahaja buta malahan seorang yang hiperaktif, jadi mencari seorang pengasuh yang sanggup menjaga anak istimewa ini bukan satu perkara yang mudah.

Ekoran fobia melihat kesan lebam pada badan anaknya ketika pernah meninggalkannya untuk dijaga pengasuh, Azimah mengambil keputusan untuk membawanya bersama ketika bekerja.

Katanya, selagi ada kudrat, dia akan membawa anaknya ke mana sahaja walaupun pernah dimarah pelanggan kerana lewat menghantar makanan.

Facebook

“Setiap hari saya akan buat 25 sehingga 30 trip penghantaran makanan, dan sepanjang tempoh itu, Nur Ainul Zahirah akan berada bersama saya,” katanya.

Azimah memberitahu dia menghantar anaknya ke Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menjalani terapi pada setiap pagi sehingga jam 12 tengah hari dan selepas mengambilnya, dia akan meneruskan kerja sehingga jam 6 petang bersama anak itu.

Sementara itu, Ustaz Ebit Lew telah menghadiahkan sebuah kereta untuk memudahkan urusan Azimah bekerja menghantar makanan dan barangan serta membawa anaknya dalam keadaan yang lebih selesa.

Betapa kuat dan tabahnya hati ibu ini melalui liku-liku kehidupan demi membesarkan anaknya.

Pilihan Editor:

Bapa diselaputi jelaga arang batu tidak mengecewakan anak lelakinya sebagai penyokong bola keranjang bersama sebaik syif kerja berakhir

0

Seorang bapa berdedikasi yang bekerja sebagai pelombong arang batu di Kentucky dilihat berada dalam kalangan penyokong permainan bola keranjang bersama anak lelakinya, masih memakai pakaian kerja yang berjelaga. Gambar menyentuh hati yang kini menjadi tular.

Pada 22 Oktober, Micheal Joe McGuire menghadiri permainan bola keranjang lelaki tahunan Blue-White Universiti Kentucky di Arena Wayarles Appalachian bersama isterinya, Mollie dan anak lelaki mereka. Permainan itu merupakan satu acara mengutip dana yang diadakan untuk mangsa yang telah terjejas banjir di timur Kentucky.

Facebook

Salah seorang penonton, Sue Kinneer, terserempak dengan Micheal, lelaki comot berjelaga tetapi amat mulia hatinya yang duduk di bangku penonton dengan pakaian kerjanya, lantas merakam satu gambar dan berkongsinya di Facebook.

“Saya tidak tahu siapa lelaki ini tetapi saya akan mengundi untuknya sebagai ‘bapa terbaik tahun ini’,” tulisnya. “Dia jelas baru selesai dari bekerja dan membawa anak lelakinya terus ke permainan Blue-White!”

Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh jurulatih bola keranjang Universiti Kentucky John Calipari. Sempena meraikan etika kerja dan nilai kekeluargaan Micheal, dia menulis: “Impian keluarga saya di Amerika bermula di lombong arang batu Clarksburg, WV, jadi gambar ini sungguh tepat mewakilinya… Saya mempunyai tiket untuk dia dan keluarganya di Rupp untuk dilayan sebagai VIP!”

Gambar ihsan Mollie McGuire / Facebook

Keluarga McGuires rupa-rupanya sudah biasa bergelut antara pekerjaan Micheal dan masa bersama keluarga. Tiga hari selepas permainan, Mollie menggunakan laman Facebooknya sendiri untuk menjawab perhatian media.

Mollie dalam hantarannya, “Kami sama seperti keluarga lain di Eastern KY, ini adalah petang dan malam biasa buat kami bila mana kami telah mempunyai rancangan tetapi dia terpaksa bekerja lewat.”

Suaminya bekerja di Excel Mining sehingga jam 5 petang dan permainan bermula pada jam 6 petang, kata Mollie. Tetapi Micheal, yang sering kehilangan acara itu kerana kerja, menelefon terlebih dahulu untuk memberitahu isteri dan anaknya yang dia tidak akan mengecewakan mereka dan akan bertemu di gelanggang itu.

Gambar ihsan Mollie McGuire / Facebook

“Suami saya memilih pekerjaan ini untuk menyara keluarga kami supaya saya boleh berada di rumah untuk membesarkan anak-anak kami yang hebat. Jadi, jika ada sebarang peluang, dia akan kata dia boleh berada di sana, tidak kira betapa penat atau kotornya dia,” kata Mollie.

Tidak pernah terlintas di fikiran Mollie mahupun Micheal bahawa ketika sedang menghadiri permainan itu dalam pakaian seragam akan menarik perhatian ramai.

Mereka sekeluarga berterima kasih atas rasa kasih sayang, perhatian dan sokongan untuk Micheal, juga buat seluruh pelombong arang batu di mana sahaja mereka berada. Pasti akan terdapat ‘pelbagai memori’ bermakna semasa kunjungan VIP mereka di Rupp Arena kelak, kata Mollie McGuire.

Pilihan Editor:

Influencer ini diarah pegawai imigresen untuk gunting ‘sambungan’ bulu matanya ketika memperbaharui pasport, nasib baik sempat siap

0

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, proses memperbaharui pasport di pejabat imigresen Malaysia diketahui sangat tidak menentu kerana pegawai imigresen biasanya sangat mengambil berat tentang penampilan seseorang ketika mengambil gambar pasport.

Biasalah apabila seseorang itu perlu bersolek ringkas, tiada tudung berwarna cerah, tiada aksesori, tiada kanta lekap berwarna, tiada topi atau cermin mata yang mewah, rambut ditarik ke belakang untuk menunjukkan telinga dan pelbagai lagi.

TikTok

Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin diminta untuk mengikat rambut mereka dengan lebih kemas, menanggalkan topi atau cermin mata mereka. Tetapi untuk meminta seseorang memotong sambungan bulu mata mereka kerana ia terlalu panjang nampaknya macam melampaulah pula..

Baru-baru ini, influencer kacukan Malaysia-Perancis, Maddy Breteche-Lo pergi untuk memperbaharui pasport Malaysianya, dan dia tidak menyangka yang ia boleh menjadi satu adegan drama.

TikTok

Pegawai imigresen berkata sambungan bulu matanya terlalu panjang dan ia perlu dipotong.

“Ini solekan saya”, Maddy, yang menetap di Singapura, berkata dalam TikTok terbarunya yang memperincikan pengalamannya memperbaharui pasport Malaysia sambil mempamerkan solekannya yang sangat ringkas.

TikTok

Maddy menjelaskan dia sedar bahawa pegawai itu ‘agak pelik tentang seseorang memakai solekan’, tetapi tidak percaya yang mereka akan menegur ke tahap untuk memintanya memotong sambungan bulu mata.

“Mereka melihat wajah saya sekali dan mereka macam rasa ‘sambungan bulu mata anda terlalu panjang’,” katanya dalam nada yang agak berang.

TikTok

Kemudian, mereka memberinya pilihan sama ada memotong bulu mata dengan gunting atau kembali pada hari lain, yang akhirnya Maddy memilih untuk akur menggunting sambungan bulu matanya walaupun terpaksa kerana penerbangannya adalah pada keesokan hari.

“Mereka macam kata, ‘Kamu potong sendiri lah’, kemudian saya pun macam, ‘Kemudian saya potong lah’,” katanya dalam video TikTok yang tular itu.

TikTok

Selepas memotong sambungan bulu matanya, Maddy kedengaran bertanya kepada pegawai imigresen jika mereka rasa ia sudah baik dan tiada masalah sekarang.

Pegawai imigresen itu turut bertanya jika Maddy memakai kanta lekap.

TikTok

“Mereka bertanya jika saya memakai kanta lekap dan saya cakap ‘ya’, mereka kemudian meminta saya menanggalkan kanta lekap itu tetapi saya tidak boleh berbuat demikian kerana saya rabun teruk mencecah 1200, saya kemudian buktikan yang kanta lekap itu tidak berwarna dan mereka teruskan sahaja,” katanya.

Nasib baik pasport itu sempat siap tiada lagi masalah walaupun macam ada drama sikit. Syukurlah tu…

Pilihan Editor:

Tabah dan setia menguruskan suami yang hilang ingatan, wanita ini dikagumi netizen

0

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang boleh dikatakan mengenai Puan Zainab Zainun yang begitu tabah menjaga suaminya, Encik Zul yang hilang ingatan selepas 24 hari koma akibat komplikasi pembedahan. Banyak perkara yang tidak diingati Encik Zul termasuklah mengenai dirinya yang sudah berkahwin dan anak bongsunya yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

Menurut Puan Zainab, Encik Zul hilang ingatan sejak Mei 2022. Dia pasrah dengan takdir Ilahi dan terus setia di sisi suaminya. Ada masanya Encik Zul lupa siapakah Puan Zainab yang sebenarnya. Setiap kali disoal, Puan Zainab akan menunjukkan kad nikah mereka sebagai bukti yang mereka memang suami isteri.

Selain lupa mengenai hakikat dirinya sudah berkahwin, Encik Zul juga lupa mengenai anak bongsunya yang telah meninggal dunia pada 2019. Ini kerana ada masanya, dia bertanyakan Puan Zainab “Adib, mana?”.

Pada mulanya Puan Zainab cuba mereka cerita mengenai keberadaan Adib kerana dia tidak mahu suaminya itu bersedih. Namun apabila kerap ditanya, Puan Zainab akhirnya memberitahu Encik Zul bahawa anak mereka telah pun meninggal dunia.

Menurut Puan Zainab, pada dua tahun pertama Adib meninggal dunia, mereka tidak menyebut langsung tentang perkara tersebut. Masing-masing cuba untuk melupakan kenangan pahit dengan cara tersendiri. Malah dikatakan pada waktu itu Encik Zul sentiasa memberi kata-kata semangat pada Puan Zainab agar kuat dan tabah menghadapi kehilangan anak mereka. Namun semuanya berubah selepas Encik Zul hilang ingatan.

Menurut Puan Zainab lagi, Encik Zul ibarat kain putih, dia mengajar suaminya bermula dengan kosong termasuklah perihal ibadah dan lain-lain. Puan Zainab juga turut mengingatkan Encik Zul mengenai dua orang anak mereka iaitu Atirah dan Amirul.

Rata-rata netizen begitu kagum dengan semangat Puan Zainab yang banyak berkorban untuk keluarganya. Mereka mengatakan Puan Zainab ialah isteri dan ibu yang tabah dan kuat. Mereka turut mendoakan agar Encik Zul pulih seperti biasa.

Puan Zainab turut berkongsi video ringkas mengenai memori mereka sekeluarga sebelum anak bongsunya meninggal dunia dan sebelum Encik Zul diuji dengan hilang ingatan.

Kami mendoakan agar Puan Zainab terus kuat menghadapi ujian ini dan semoga Encik Zul sembuh seperti sedia kala.

Pilihan Editor:

Lelaki ini memperingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barangan peribadi di dalam kereta yang ditinggalkan di tempat parkir

0

Hujung Oktober lalu, @irfannhaziq diuji dengan kerosakan harta benda apabila kereta miliknya yang diparkir di Suria KLCC dipecahkan.

Menurut @irfannhaziq, dia tertinggalkan beg baju dan susu anaknya di tempat duduk belakang. Melihatkan keadaan kereta yang bersepah itu, pasti orang yang memecahkan cermin pintu belakang keretanya cuba mencari barang berharga. Namun mujurlah tiada barang-barang berharga di dalam beg tersebut.

Ekoran kejadian tersebut @irfannhaziq mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barangan peribadi di dalam kereta yang ditinggalkan di tempat parkir. Walaupun tempat parkir tersebut berbayar namun tiada yang dapat menjamin keselamatan kenderaan anda.

Menerusi tinjauan di ruang komen Twitter tersebut, terdapat pengunjung lain yang mengalami nasib yang sama. Malah lebih malang lagi, laptop milik syarikat pengunjung tersebut hilang. Pengunjung tersebut sudah pun membuat laporan polis.

Peringatan ringkas buat semua pembaca.

Berdasarkan pengalaman orang yang pernah mencuri, pencuri sebenarnya hanya memerlukan 20 saat sahaja untuk menyelesaikan urusan mereka. 20 saat tersebut boleh jadi ketika anda keluar daripada kereta untuk membeli pisang goreng, membayar duit minyak kereta, membeli surat khabar dan lain-lain. Dalam 20 saat tersebut, pencuri mampu melarikan pemain DVD, beg tangan, laptop, dan lain-lain barangan yang dilihat berharga.

Oleh yang demikian, anda perlulah berwaspada dengan keadaan kereta anda sebelum anda meninggalkannya. Berikut adalah tips yang boleh anda ikuti demi meminimumkan kemungkinan kenderaan anda dicuri atau dipecahkan.

PEXELS
  1. Parkir kenderaan di tempat terang dan elakkan memakir kenderaan di kawasan gelap atau tiada lampu jalan. Pencuri tidak akan meletakkan dirinya dalam keadaan tidak selamat. Kenderaan di tempat terang tidak akan menjadi sasarannya.
  2. Gunakan bar pengunci stereng. Pencuri tidak mahu membazirkan masa untuk mencuri kenderaan yang dipasang bar pengunci stereng. Mereka akan mencari sasaran lain.
  3. Simpan barang di dalam but kereta. Pencuri tidak mahu melakukan kecurian yang memakan masa. Jadi, simpanlah barang-barang berharga anda di dalam but kereta anda.
  4. Jangan tinggalkan wang kecil atau dompet kosong di dalam kenderaan. Pencuri yang terdesak tidak kisah dengan jumlah wang yang terlihat dalam kenderaan anda walaupun hanya RM2.50. Baginya, itu tetap duit. Dompet yang kosong pula menjadi tarikan kepada pencuri. Modus operandi pencuri untuk mencuri ialah pecah, ambil, periksa dan buang. Jangan kerana RM2.50 atau dompet kosong, anda kerugian beratus ringgit untuk menggantikan cermin kenderaan yang pecah.

Semoga kita semua terhindar daripada kerosakan harta benda.

Pilihan Editor:

Selesai bantu baiki kereta keluarga India yang rosak, pasangan Melayu baik hati jemput mereka bertandang ke rumah untuk menjamu selera

0

Rakyat Malaysia mungkin antara insan paling baik yang pernah anda temui di dunia kerana apabila seseorang berada dalam kesukaran, mereka akan berusaha untuk membantu tanpa mengira apa sahaja bangsa atau agama anda.

Contohnya apabila sepasang suami isteri Melayu yang tidak keberatan untuk bekerja keras ketika membantu keluarga India ini selepas kereta mereka tiba-tiba rosak di tepi jalan.

Facebook

Laman Facebook VIRAL PERAK berkongsi insiden yang berlaku di Changkat Jering, Perak itu seperti yang diceritakan oleh samini_unicorn.

Mereka menulis, “Kereta kami rosak di Changkat Jering tadi. Nasib baik ada Pak Cik yang baik hati membantu kami membaiki kenderaan tersebut, kebetulan ia berlaku tidak jauh dari rumahnya. 

Facebook

“Kemudian, Pak Cik dan isterinya mengajak kami berkunjung ke rumah mereka untuk menikmati jamuan buah rambutan, sempena perayaan Deepavali.”

Mereka terus berkongsi rasa terhutang budi dan berterima kasih atas kebaikan hati pasangan suami isteri itu.

Facebook

“Terima kasih banyak-banyak, Pak Cik. Anda telah menjadi salah seorang yang memberi inspirasi kepada semua, termasuk kami, tanpa mengira bangsa atau agama,” tambahnya.

Facebook

Perkara baik seperti inilah yang benar-benar menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia sejati.

Sentiasa ikhlas membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira apa pun latar belakang kita.

Pilihan Editor:

Imej matahari yang dicerap NASA seakan tersenyum ceria ini mungkin membawa amaran kepada bumi

0

Imej matahari yang dicerap oleh NASA penghujung Oktober lalu memperlihatkan seolah-olah bintang tersebut sedang tersenyum ceria. Namun difahamkan disebalik ‘keceriaan’ tersebut mungkin membawa amaran kepada bumi.

NASASun

Menurut NASA, tompok-tompok gelap pada matahari itu sebenarnya adalah lubang koronal di mana angin solar kencang memancar ke angkasa lepas.

Lubang koronal tidak sepanas kawasan sekeliling dan tidak sepadat menjadikannya kawasan yang lebih gelap. Ia boleh muncul di permukaan suria bila-bila masa sahaja.

Melalui lubang koronal ini, angin suria atau zarah bercas dilepaskan pada kelajuan lebih daripada 1 juta batu sejam (1.6 juta kilometer sejam). Angin tersebut cukup kuat untuk sampai ke Bumi. Biarpun medan magnet Bumi bertindak sebagai perisai untuk memesongkan aktiviti angin suria, namun ia boleh mengganggu atmosfera.

Menurut NASA pada tahun 2016, lubang koronal ini penting untuk memahami persekitaran angkasa di sekeliling bumi di mana angkasawan mengembara.

Para sainitis mengkaji aliran angin suria yang pantas ini kerana kadang-kadang ia berinteraksi dengan medan magnet bumi, mencipta ribut geomanet yang boleh mendedahkan satelit kepada radiasi dan mengganggu isyarat komunikasi.

Rutin Balai Cerap Dinamik Solar NASA (Solar Dynamics Observatory, SDO) adalah mencerap imej dan memantau aktiviti matahari secara berterusan. Dilancarkan pada tahun 2010, ia merupakan sebahagian daripada Program Hidup Dengan Bintang agensi angkasa yang bertujuan untuk menganalisis bagaimana aktiviti suria memberi kesan kepada Bumi dan ruang antara Bumi dan bintang lain.

Pilihan Editor:

“Dunia indah semangat belaka..” Rider terus riang terpaksa menahan percikan air hujan ketika sedang menghantar makanan

0

Rider penghantaran makanan terkenal dengan keazaman mereka untuk mengubah keadaan menjadi positif ketika menerima cabaran pekerjaan, termasuk tidak pernah teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan pada bila-bila masa diperlukan.

Baru-baru ini, video seorang rider penghantar makanan yang sedang bertugas dalam keadaan mengharungi hujan lebat telah menjadi tular di platform media sosial.

TikTok

Dalam rakaman video TikTok@jeffry_169, rider itu kelihatan riang menari dan menggerak-gerakkan badannya ketika terkena percikan air daripada beberapa kenderaan yang lalu di hadapannya di sebuah lokasi lampu isyarat.

TikTok

Walaupun disimbah air oleh hampir setiap kenderaan yang lalu di hadapannya, rider itu kelihatan bertekad untuk tidak membiarkan apa-apa pun merosakkan harinya dan dia kelihatan kekal positif walaupun sedang berhadapan cuaca buruk.

Rider itu dipuji kerana semangat dan keazamannya untuk kekal bertenang ketika menjalankan tugasnya yang penuh dengan cabaran.

TikTok

Walaupun kebanyakan daripada kita mungkin akan menjadi berang jika terus disimbah dengan air hujan yang kotor dan sejuk, rider penghantar makanan itu kelihatan bertekad untuk tidak membiarkan apa-apa pun merosakkan harinya.

Sebaliknya dia kreatif menukar suasana pedih itu sebagai satu hiburan buat dirinya, walaupun dalam hati kita semua amat kasihan melihat cabaran dan kesukaran yang terpaksa dilalui rider ini dalam melaksanakan tugasnya.

TikTok

Video tular yang menerima komen memuji dan penghargaan dalam pelbagai rasa daripada warganet:

Twitter

Semoga sentiasa murah rezeki adik penghantar makanan ini. 

Twitter

Juga bertimbang rasalah kita semua untuk menghargai pekerjaan rider penghantar makanan yang sanggup berkorban mengharungi pelbagai cabaran demi mengenyangkan perut kita.

Pilihan Editor:

Ibu menderita kanser di China ini berkeras memasak hidangan terakhir buat anak lelakinya sebelum meninggal dunia

0

Kasih sayang seorang ibu tidak pernah bersyarat. Sebuah kisah menyayat hati di China baru-baru ini menggambarkan dengan sempurna betapa kasih sayang seorang ibu itu adalah sahih tidak pernah bersyarat.

Seorang lelaki memuat naik video pendek yang memaparkan ibunya sedang memasak di dapur. Memasak selalunya adalah perkara biasa para ibu lakukan untuk anak-anaknya, tetapi kisah di sebalik video pendek itu merupakan perkara yang boleh meluluhkan hati.

Katanya, “Itu adalah hidangan terakhir air tangan ibu saya..”

YouTube

Anak lelaki itu mendedahkan ibunya disahkan menghidap kanser sejak Februari tahun ini, dan akibat kemoterapi, ibunya kelihatan amat letih dan selalu tidak sihat. Tetapi keadaannya itu tidak pernah menghalangnya daripada terus bekerja keras di dapur.

Ibu ini menyedari kehidupannya berada dalam detik yang dipinjam dengan hanya menunggu masa sebelum kematiannya. Jadi dia menghabiskan saat-saat terakhir dalam hidupnya untuk menyediakan hidangan terakhir buat anak lelaki kesayangannya. Anak ini tahu betapa teguh hati seorang wanita dalam diri ibunya.

YouTube

“Ibu saya seorang yang kuat. Dia tidak pernah berkata apa-apa walaupun sedang berada dalam kesakitan, dan ibu sentiasa cuba untuk menjadi kuat dan tabah di hadapan saya,” kata lelaki ini.

Ketika video berkenaan dirakam, anak lelaki itu berada di ruang tamu. Dia tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir ketika memerhatikan ibunya memasak hidangan terakhir.

“Selepas selesai memasak, ibu mengalami sesak nafas dan dia mengambil rehat yang panjang,” katanya.

YouTube

Hidangan itu amat lazat seperti biasa, seperti yang diberitahu oleh anaknya, dan dia menghabiskan kesemuanya tanpa sisa. Sin Chew melaporkan ibu lelaki ini meninggal dunia pada pertengahan Oktober.

Hidangan terakhir berkenaan, katanya adalah hidangan paling lazat dan saat menikmati hidangan itu akan kekal di dalam hatinya buat selama-lamanya.

Jika anda masih bersama ibu dan bapa, luangkan lebih banyak masa berkualiti bersama mereka. Dan kasih sayang seorang ibu itu tidak pernah ada gantinya.

Pilihan Editor:

Lelaki sengaja pijak kolam rangoli Deepavali dan perakam video direman tiga hari

0

Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan video tular yang memaparkan seorang lelaki memijak dengan sengaja untuk mencemarkan kolam rangoli, corak hiasan bertuah agama Hindu sempena perayaan Deepavali di sebuah hospital swasta di Selangor.

Kedua-dua suspek yang berusia 20-an dan 30-an itu hadir ke ibu pejabat polis daerah Klang Utara bagi merakam keterangan mereka pada jam 11.00 malam Ahad, 30 Oktober, yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Vijay Rao Samachulu.

Kedua-duanya telah direman selama tiga hari.

Twitter

Penahanan itu berikutan video aksi kedua-dua mereka yang tular di media sosial pada hujung minggu, menunjukkan seorang kakitangan Hospital Pakar KPJ Klang yang memakai baju Melayu dan bersongkok berjalan di atas kolam rangoli itu dengan niat yang disengajakan.

Tindakan lelaki itu telah menyebabkan kemarahan orang ramai dan insiden disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan, yang menimbulkan perasaan permusuhan dan kebencian dengan menghina agama.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun, dan tidak lebih dari lima tahun.

Sementara itu, Hospital Pakar KPJ Klang mengeluarkan kenyataan pada 30 Oktober bahawa pihak mereka telah menggantung tugas kedua-dua kakitangan di Hospital Pakar KPJ Klang ekoran tindakan tidak profesional mereka dalam insiden itu dan akan menjalankan siasatan dalaman.

Twitter

KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam satu kenyataan pada 31 Oktober telah memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya buat masyarakat India susulan tindakan tidak bermoral kakitangannya itu.

“Kami ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat India, berhubung video yang telah tular berkenaan insiden di salah sebuah hospital kami.”

“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami.”

Twitter

“Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan mereka telah digantung tugas sementara menunggu siasatan lanjut,” lapor FMT.

Sementara itu, individu terbabit yang membuat kolam rangoli dalam insiden berkenaan dan bekerja di hospital yang sama, melahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka.

Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Malay Mail, beliau mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang menyuarakan isu dan mengecam tindakan salah berkenaan, tanpa mengira bangsa dan agama, serta menyeru semua pihak kekal mengamalkan kehidupan yang aman dan bersatu padu.\

Pilihan Editor: