Imej matahari yang dicerap oleh NASA penghujung Oktober lalu memperlihatkan seolah-olah bintang tersebut sedang tersenyum ceria. Namun difahamkan disebalik ‘keceriaan’ tersebut mungkin membawa amaran kepada bumi.
Menurut NASA, tompok-tompok gelap pada matahari itu sebenarnya adalah lubang koronal di mana angin solar kencang memancar ke angkasa lepas.
Lubang koronal tidak sepanas kawasan sekeliling dan tidak sepadat menjadikannya kawasan yang lebih gelap. Ia boleh muncul di permukaan suria bila-bila masa sahaja.
Melalui lubang koronal ini, angin suria atau zarah bercas dilepaskan pada kelajuan lebih daripada 1 juta batu sejam (1.6 juta kilometer sejam). Angin tersebut cukup kuat untuk sampai ke Bumi. Biarpun medan magnet Bumi bertindak sebagai perisai untuk memesongkan aktiviti angin suria, namun ia boleh mengganggu atmosfera.
Menurut NASA pada tahun 2016, lubang koronal ini penting untuk memahami persekitaran angkasa di sekeliling bumi di mana angkasawan mengembara.
Para sainitis mengkaji aliran angin suria yang pantas ini kerana kadang-kadang ia berinteraksi dengan medan magnet bumi, mencipta ribut geomanet yang boleh mendedahkan satelit kepada radiasi dan mengganggu isyarat komunikasi.
Rutin Balai Cerap Dinamik Solar NASA (Solar Dynamics Observatory, SDO) adalah mencerap imej dan memantau aktiviti matahari secara berterusan. Dilancarkan pada tahun 2010, ia merupakan sebahagian daripada Program Hidup Dengan Bintang agensi angkasa yang bertujuan untuk menganalisis bagaimana aktiviti suria memberi kesan kepada Bumi dan ruang antara Bumi dan bintang lain.
Pilihan Editor: