25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 123

Kucing peliharaan keluar bermain, balik rumah bawa kepala buaya

0

Seekor kucing peliharaan di Wisconsin, Amerika Syarikat memeranjatkan tuannya apabila membawa kepala buaya selepas pulang bermain di luar.

Daily Mail

Wendy Wiesehuegel tidak menyangka dia bakal menerima kejutan daripada kucingnya, ‘Burnt Toast’ yang keluar bermain di luar. Pada mulanya jiran-jiran menyangka kucing peliharaan itu membawa pulang ikan besar. Namun setelah diamati, rupa-rupanya kepala buaya!

Menurut Wiesehuegel kepada Fox 6 Milwaukee, kucingnya kelihatan begitu bangga dengan hasil tangkapan pada hari itu. “Saya membongkok, melihat dan mendapati itu bukanlah ikan tetapi buaya.”

Daily Mail

Ujar Wiesehuegel, seingatnya dia dan adik iparnya pernah ternampak buaya di tasik berdekatan dengan rumahnya beberapa hari sebelum itu. Ketika itu adik iparnya seakan tidak percaya terdapat buaya di kawasan kediaman mereka, lalu mengabaikan sahaja haiwan tersebut. Namun tidak menyangka, itulah ‘barang penemuan’ yang dibawa pulang oleh Burnt Toast.

Terkejut melihat kepala haiwan bersisik itu, Wiesehuegel terus menghubungi Tim Aspenson warden pemuliharaan Jabatan Sumber Asli untuk melaporkan kejadian itu. Difahamkan, hanya ahli biologi sahaja yang dapat mengesahkan keaslian kepala haiwan tersebut.

Aspenson berkata dia percaya kepala haiwan tersebut adalah milik seekor buaya yang mungkin panjangnya sekitar tiga kaki. Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa haiwan tersebut pada asalnya dipelihara yang kemudiannya melepaskan diri atau dilepaskan ke alam liar. Namun persoalannya, apakah yang terjadi kepada haiwan tersebut sehingga berakhir tanpa badan malah dibawa pulang oleh Burnt Toast?

Daily Mail

Melihatkan gambar kepala buaya yang tengkoraknya jelas kelihatan, mereka tidak dapat mengagak sudah berapa lama haiwan itu mati dan terapung-apung di laluan air Waukesha County. Bagi Aspenson, ia benar-benar penemuan yang ‘sangat jarang’ dan mungkin bukan yang terakhir.

Walaupun berasa teruja dengan penemuan tersebut, namun Wiesehuegel sedikit bimbang jika memang benar terdapat buaya di tasik tersebut. Katanya, apabila difikir-fikirkan semula, memang tidak selamat jika benar ada buaya, lebih-lebih lagi ketika musim panas orang ramai berenang di tasik tersebut.

Pada Julai lalu, seekor buaya ditemui di sebuah tasik di Fond du Lac County yang terletak hanya sejam di utara Waukesha County. Buaya yang ditemui oleh J&R Aquatic Animal Rescue di Long Lake tersebut dipercayai dipelihara dan melepaskan diri daripada tuannya. Mereka menempatkan buaya tersebut di sebuah tempat perlindungan supaya haiwan tersebut dapat menjalani kehidupan di alam liar seperti yang sepatutnya.

Menurut Ahli Biologi Amfibia, Roki Paloski biasanya dia hanya mendapat satu laporan setahun mengenai kewujudan buaya di Wisconsin. Kewujudan buaya bukanlah secara semula jadi kerana buaya itu bukannya berasal dari Wisconsin. “Sama ada buaya tersebut merupakan haiwan peliharaan yang melarikan diri daripada kurungan atau haiwan peliharaan yang dilepaskan ke tasik,” kata Paloski.

Pakar mengatakan tidak mungkin buaya dapat bertahan pada musim sejuk di Wisconsin kerana paling jauh mereka boleh pergi ialah Arkansas. Tambah Paloski lagi, buaya-buaya tersebut tidak seharusnya berada di situ kerana mereka bukanlah sebahagian daripada landskap semula jadi Wisconsin.

Laporan polis lain telah dibuat pada September lalu di mana seekor buaya dilihat di taman keluarga tempatan di Kewaskum. Walaupun buaya tersebut gagal dijejaki namun menurut pegawai DNR, mereka percaya ia mungkin buaya Caiman Hitam.

Mereka tidak menolak kemungkinan buaya tersebut dipelihara dan dibesarkan di dalam negara dan kemudian dilepaskan oleh pemiliknya.

Wisconsin tidak mempunyai undang-undang yang menghalang rakyatnya memiliki haiwan eksotik. Sungguhpun begitu, buaya bukanlah berasal dari situ dan kedatangannya boleh menimbulkan ancaman. Mereka juga telah mengingatkan orang ramai agar tidak seharusnya melepaskan buaya peliharaan mereka ke alam liar.

Pilihan Editor:

KKM bakal bekalkan ubat HIV secara percuma ke seluruh negara

0

KKM bakal bekalkan ubat HIV secara percuma ke seluruh negara terutama kawasan yang berisiko tinggi dalam penyebaran HIV. Rawatan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) pada amnya berkemampuan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan HIV melalui seks sebanyak kira-kira 99% apabila diambil mengikut preskripsi yang telah ditetapkan.

codeblue

Walaupun tersedia di Malaysia, namun akses kepada PrEP telah lama dihalang kerana kebimbangan atau ketakutan bahawa orang ramai akan terlibat secara aktif dalam hubungan seks tanpa kondom, yang memperlahankan usaha untuk meingkatkan PrEP dalam sektor kesihatan awam.

Percubaan awal dibuat untuk mengeluarkan PrEP adalah melalui klinik penjagaan primer swasta yang memerlukan kos, kata Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Profesor Madya Penyakit Berjangkit di Universiti Malaya.

codeblue

“Kos (di klinik swasta) berbeza antara kira-kira RM80 dan RM140 sebulan. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kami mampu memberikannya pada harga yang lebih murah,” kata Dr Raja Iskandar kepada CodeBlue pada sambutan Hari AIDS Sedunia anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan PPUM. Tambahnya, dengan kelebihan harga berkaitan dengan kerajaan, mereka boleh menawarkannya pada harga RM30.

Menurut Dr Raja Iskandar lagi, rancangan untuk menyediakan PrEP secara percuma di beberapa buah klinik kesihatan awam, atau Klinik Kesihatan, bertujuan untuk meningkatkan penggunaan ubat itu kepada kira-kira 9,000 hingga 10,000 ahli populasi utama di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 18 (klinik kesihatan) tetapi rancangannya adalah untuk meningkatkan kepada kira-kira 21 klinik kesihatan. Klinik-klinik ini sudah pun diakses oleh populasi utama iaitu orang yang hidup dengan atau berisiko HIV (PLHIV) jadi mereka telah membina hubungan baik dan kepercayaan dengan populasi berisiko.”

Kata Dr Raja Iskandar, pil PrEP boleh diambil setiap hari bagi wanita dan lelaki. Bagi wanita, mereka perlu mengambil enam hingga tujuh kali seminggu untuk dilindungi sepenuhnya. Manakala bagi lelaki pula biasanya kira-kira empat hari seminggu.

Dr Raja Iskandar juga menerangkan bahawa orang yang berisiko berkemungkinan akan diberi pilihan sama ada untuk mengambil PrEP setiap hari atau atas permintaan. Namun PrEP atas permintaan hanya ditawarkan kepada lelaki, manakala bagi wanita, mereka masih perlu mengambil PrEP setiap hari.

Jangkitan baharu HIV atau AIDS di Malaysia secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 70% dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurut Dr Norhayati, rawatan ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66% pada tahun 2021 berbanding 28% pada tahun 2015.

Walau bagaimanapun, kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini masih belum mencukupi untuk negara membendung AIDS sehingga ia tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang 2030. Ini kerana, ketidaksamaan atau “inequalities” masih menjadi penghalang kepada usaha ini.

Tambahnya lagi, “Justeru, dalam memastikan kesaksamaan dicapai, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022.

KKM

Kata Dr Norhayati lagi, perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dilaksanakan di 31 klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diperluas bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Konsep U=U (U equal to U) atau “Undetectable = Untransmittable” adalah pendekatan atau konsep penting dan terbukti berkesan dalam mengekang jangkitan HIV. ODHA yang mengambil ubat ARV mengikut jadual yang ditetapkan, boleh hidup seperti individu normal (tanpa HIV) kerana virus tidak lagi dikesan (undetectable) dan secara amnya tidak boleh menjangkiti individu lain (untransmittable).

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Dr Dinesh Mahalingam berkata, transmisi HIV secara seksual dalam kalangan golongan belia berumur 13-39 tahun membimbangkan berdasarkan peningkatan 80% bagi golongan itu.

Keratan Akhbar

Kata Dr Dinesh, strategi khusus perlu dirancang bagi menangani permasalahan tersebut serta usaha berterusan dalam meningkatkan peratusan ARV dalam kalangan pesakit, sehingga tahun lepas hanya mencapai 66% mengikut ‘HIV Testing and Treatment Cascade‘.

Menurut Dr Dinesh lagi, sekurang-kurangnya pelaburan RM10 juta hingga RM12 juta setahun diperlukan untuk merancakkan penggemblengan tenaga di peringkat akar umbi dan dapat memberikan hasil secara jangka panjang.

Katanya, MAM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip nilai-nilai kemanusiaan bahawa setiap individu tanpa mengira bangsa, kepercayaan, gender berhak hidup sihat dan bebas daripada ancaman diskriminasi dan prejudis.

Hari AIDS Sedunia telah disambut di seluruh dunia pada setiap 01 Disember. Sambutan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030. Pada masa yang sama, sambutan itu menjadi platform untuk memperbaharui komitmen dan tekad dalam usaha menangani jangkitan HIV/AIDS.

Pada tahun ini, Hari AIDS Sedunia disambut dengan teman “Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS”.

Pilihan Editor:

Pengantin menyesal buat pinjaman peribadi RM40 ribu demi penuhi permintaan ibu bapa

0

Demi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang, sepasang pengantin akur membuat pinjaman peribadi berjumlah RM40 ribu. Sungguhpun begitu, beberapa bulan selepas majlis perkahwinan berlalu pasangan pengantin menyesal dengan pinjaman yang dibuat itu.

PEXELS

Menerusi Twitter akaun @ConfessTweetMY, seorang wanita yang baru enam bulan berkahwin meluahkan rasa sedih dan kesal dengan apa yang menimpanya. Katanya, sebelum majlis perkahwinan diadakan, ibu bapanya memaksa dia dan tunangnya (pada ketika itu) untuk membuat pinjaman peribadi.

Menurut wanita yang meminta pentadbir menyembunyikan profil dirinya, suaminya itu hanya bekerja sebagai kerani manakala dia hanyalah pekerja kontrak kerajaan.

Wanita tersebut pernah mencadangkan kepada ibu bapanya untuk mengadakan majlis yang sederhana sahaja disebabkan kekangan kewangan. Namun ibu bapanya tetap mendesaknya untuk mengadakan majlis yang gah dengan alasan ramai saudara-mara dan kawan-kawan yang akan dijemput nanti.


PEXELS

Selain itu, ibu bapanya seolah tidak yakin yang suaminya mampu menjaga dirinya selepas berkahwin. Ini kerana mereka melihat si lelaki tidak mahu berbelanja lebih untuk berkahwin dengan anaknya.

Selepas membuat pengiraan, mereka mendapati lebih kurang 1000 orang yang akan dijemput. Ibu bapa wanita itu juga mahu majlis perkahwinan diadakan di hotel. Bukan itu sahaja, ibu bapa tersebut turut mencadangkan agar anak perempuannya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40 ribu untuk majlis perkahwinannya.

Dipendekkan cerita, suami wanita itu membuat pinjaman dan majlis pun berlangsung dengan meriahnya. Ibu bapa wanita tersebut berasa gembira kerana ramai tetamu yang hadir dan memuji-muji tentang kemeriahan majlis perkahwinan tersebut.

PEXELS

Namun, selepas beberapa bulan berkahwin wanita itu berkata dia dan suaminya bertungkus lumus menyelesaikan hutang pinjaman peribadi tersebut. Selepas suaminya pulang bekerja, dia akan menyambung pekerjaan sebagai penghantar makanan pula. Sementara wanita itu membuat jualan atas talian.

Pasangan pengantin tersebut begitu menyesal kerana membuat pinjaman peribadi tersebut. Ini kerana mereka terpaksa berkorban masa dan tenaga dan bukannya hidup tenang seperti pasangan pengantin yang lain.

PEXELS

Buat bakal pengantin di luar sana, anda haruslah bijak merancang agar tidak terbeban dengan hutang selepas majlis perkahwinan. Fikirkan semasak-masaknya sebelum anda mengambil apa juga keputusan agar tidak wujud istilah pengantin menyesal di kemudian hari.

Berikut adalah 6 panduan untuk menjimatkan perbelanjaan perkahwinan:

  1. Berpada-padalah dalam pemberian mas kahwin. Dicadangkan agar anda menurut sahaja nilai mahar seperti yang telah ditetapkan mengikut negeri masing-masing.
  2. Berbincang dengan pasangan untuk saling meminimumkan perbelanjaan hantaran.
  3. Dapatkan busana pengantin dengan kos yang paling minimum. Lewat ini ramai pasangan pengantin yang memilih konsep ‘bersederhana’ untuk busana pengantin mereka.
  4. Tidak dinafikan mekap memang penting untuk menaikkan seri pengantin. Mungkin anda boleh mekap sendiri atau upah sahaja kawan-kawan yang pandai mekap. Tetapi jika anda berjaya dapatkan perkhidmatan MUA dengan kadar yang rendah, itu bonus untuk anda.
  5. Majlis perkahwinan, kad jemputan, katering dan buah tangan untuk tetamu: Sebaik-baiknya anda bersama keluarga masing-masing duduk berbincang dan capai kata sepakat untuk menjayakan perkahwinan tersebut berdasarkan kewangan masing-masing. Janganlah sampai bergolok-bergadai hanya untuk mendapat pujian dan menarik perhatian tetamu yang akan datang. Jika perlu, minimumkan jumlah tetamu yang akan dijemput kerana ia akan memberi kesan pada perbelanjaan perkahwinan secara keseluruhannya.
  6. Perkhidmatan jurugambar memang diperlukan untuk merakam momen indah sepanjang majlis perkahwinan. Kebelakangan ini banyak kes yang terjadi di mana terdapat jurugambar yang menipu pengantin. Sudahlah upahnya mahal, kualiti gambar yang terhasil pula sangat rendah hingga menyakitkan hati. Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilih perkhidmatan jurugambar. Atau mungkin anda upah sahaja adik-beradik, saudara-mara atau kawan-kawan yang mahir mengambil gambar dan mampu memberikan hasil yang menakjubkan.
PEXELS

Memang benar setiap pasangan pengantin mahukan majlis yang akan diingati sampai bila-bila. Namun harus diingatkan untuk mengukur baju dibadan masing-masing agar tiada sesalan selepas berlangsungnya majlis perkahwinan nanti.

Pilihan Editor:

“Tidak mahu jadi jurutera doktor, mahu jadi Perdana Menteri,” Kagum tengok si cilik 6 tahun petah bahasa Inggeris kalah orang dewasa

0

Seorang bapa menunjukkan anak lelakinya yang berusia 6 tahun sangat petah bercakap. Walaupun mereka sekeluarga hidup berjauhan, setiap kali berkumpul, anak ini begitu menghiburkan hatinya apabila mereka berkongsi banyak perkara menarik tentang kehidupan.

Semasa PRU15 lalu, anak lelakinya mendedahkan yang apabila dewasa, dia tidak mahu menjadi seorang jurutera atau doktor seperti ibu bapanya, tetapi mahu menjadi Perdana Menteri, yang membuatkan bapanya terkedu.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat Fateh Affan, kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun sedang menjamu selera di sebuah restoran, rancak bersembang dengan bapanya mengenai sepupunya Maryam dalam bahasa Inggeris yang fasih.

TikTok

Bapanya, Fazrul Azreen Nazri, 34 tahun, memuat naik video itu menerusi aplikasi TikTok dan menerima lebih 700,000 tontonan dalam tempoh singkat. Warganet begitu memuji kefasihan bertutur bahasa Inggeris Fateh.

Menurut jurutera itu, dia sendiri kagum dengan kebolehan anaknya yang mampu berfikir dan bercakap dengan petah seperti orang dewasa.

“Dia telah didedahkan dengan bahasa Inggeris sejak kecil. Dengan saya, dia bercakap Inggeris, dengan ibunya, dia bercakap bahasa Melayu. Kami mahu dia tahu kedua-dua bahasa,” kata Fazrul.

“Cuma cara dia fikir saya tak boleh kawal. Saya baca komen di TikTok dan ada orang kata dia bercakap macam orang dewasa. Lenggok dia bercakap pun saya tak boleh kawal. Dia betul-betul boleh berfikir macam orang dewasa,” tambahnya.

Menurut Fazrul dengan adanya YouTube, anak lelakinya menonton kartun dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang telah banyak mempengaruhi percakapannya dalam bahasa Inggeris.

Kata Fazrul lagi, Fateh peminat kismis dan jika ditawarkan makanan ringan, dia selalunya menolak.

“Sehingga hari ini dia masih minum susu, cuma tanpa botol. Biasanya orang dewasa berhenti memberi susu kepada anak apabila dia berumur tiga tahun, dan kemudian mula memberinya Milo. Tetapi Fateh masih minum susu,” katanya.

“Dia juga suka kismis. Pagi-pagi dia akan minta kismis. Orang makan mi untuk sarapan. Dia pula bawa kismis ke sekolah. Jangan bagi dia makanan ringan, dia tak suka,” jelasnya.

“Saya perasan macam tu. Saya bagi jajan, keropok atau gula-gula, dan dia tidak berminat,” kata Fazrul.

TikTok

Fazrul, seorang jurutera, berkahwin dengan isterinya Doktor Hamizah Hamzah, 34 tahun pada 2015.

Mengenai video yang menarik perhatian itu, Fazrul berkata dia jarang berkongsi hal peribadi di media sosial, tetapi atas rasa sayang seorang bapa terhadap anaknya, dia mengambil keputusan untuk memuat naik telatah anaknya itu di TikTok.

Fazrul berkata kepada mStar, dia kini bekerja di Pengerang, Johor, manakala anaknya tinggal bersama isterinya yang bekerja di Langkawi, Kedah.

“Saya dan isteri menjalinkan hubungan jarak jauh. Setiap kali pulang ke rumah, saya akan meluangkan masa bersama anak. Saya akan keluar berdua dengannya dan mendengar apa sahaja yang dia mahu katakan.”

“Disebabkan ini, dia akan lebih berani meluahkan perasaan. Fateh juga banyak bercakap, dia tidak suka diam.

Gambar mStar

“Walaupun saya tinggal jauh dari keluarga saya, saya percaya Tuhan itu Maha Adil dan Dia tidak akan memberikan semua. Jadi saya kena terima takdir dengan hati terbuka. Saya rasa pengorbanan seperti ini demi keluarga amat berbaloi,” kata Fazrul.

“Yang penting sentiasa berhubung setiap hari, dan kemudian apabila kita bertemu, ketepikan semua kerja dan gajet, utamakan anak dan isteri,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai Fateh, Fazrul berkata anaknya yang kini berada di tadika meminati subjek sains dan sejarah.

Malah, dia menyebut anaknya turut menyatakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri selepas melihat Fazrul sentiasa menonton berita semasa Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

“Fateh tak nak jadi doktor macam mak dia sebab dia kata kerja doktor sibuk. Dia tak nak jadi jurutera macam saya. Dia kata saya selalu kerja di luar.”

“Apabila saya balik selepas PRU15, saya asyik mengikuti berita pelantikan Perdana Menteri baharu, dan dia tidak berpuas hati apabila melihat saya asyik dengan berita itu, jadi saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepadanya apa itu Perdana Menteri.”

Gambar mStar

“Sejak itu, dia asyik bercakap tentang Perdana Menteri sahaja dan mahu menjadi Perdana Menteri bila besar. Dia sangat minat sains, mungkin ia diwarisi daripada saya dan isteri. Dia juga suka mendengar kisah sejarah,” jelas bapa ini.

Ramai warganet meninggalkan mesej melahirkan rasa kagum dan mendoakan keluarga ini selepas berkongsi mengenai adik Fateh Affan yang bijak.

“Saya sangat gembira dan bersyukur. Ramai juga yang mendoakan Fateh dan itulah yang membuatkan saya paling tersentuh,” katanya.

Pilihan Editor:

Rancak bersembang di atas jalan raya, penunggang motosikal dikecam akibatkan kemalangan dengan penunggang lain

0

Pada 4 Disember, tular satu video kemalangan di Facebook yang melibatkan penunggang motosikal yang cuai ketika berada di atas jalan raya.

Video itu diambil dari kamera papan pemuka sebuah kereta dan menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal sedang ‘berkuasa di jalan raya’ sambil rancak bersembang membincangkan hal dunia.

Seorang penunggang motosikal yang lain dan tidak terlibat dalam kumpulan itu dilihat menunggang perlahan di belakang mereka.

Facebook

Penunggang motosikal yang berseorangan itu mahu memotong mereka tetapi tidak berjaya dalam percubaannya dan mengakibatkan kemalangan dengan motosikal lain dalam kumpulan itu.

Kedua-dua mereka telah bergesel dan terjatuh daripada motosikal masing-masing lalu berguling di atas jalan raya akibat rempuhan. 

Facebook

Kemalangan yang berlaku itu kelihatan amat menyakitkan tetapi tahap kecederaan mereka tidak dapat dipastikan.

Video berkenaan telah mendapat perhatian warganet yang rata-rata mengecam sekumpulan penunggang motosikal yang bersikap mementingkan diri sendiri dengan menguasai jalan raya sambil bersembang, yang jelas mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Facebook

“Apabila berlaku kemalangan, mereka baru hendak bawa ke tepi. Jika tidak, memang kesudah berada di tengah jalan sambil bersembang. Saya tidak suka mereka yang menunggang motosikal seperti ini, seolah-olah jalan itu milik ibu bapa mereka. Jika mereka ditimpa kemalangan, saya tiada rasa simpati kerana mereka tidak peka semasa menunggang motosikal,” kata seorang warganet.

“Saya juga menunggang motosikal setiap hari tetapi mereka adalah penunggang motosikal paling teruk kerana membuka kedai kopi di atas jalan raya. Mereka fikir macam hebat perangai apabila berbual sambil menunggang. Saya pernah tegur orang macam ni, sambil hulur duit minta mereka pergi sembang di kedai mamak,” kongsi yang lain.

Facebook

Harap mereka yang terbabit dalam kemalangan ini hanya mengalami kecederaan ringan dan didoakan semoga cepat sembuh. Juga berhati-hati di jalan raya, kerana jalan raya itu bukan tempat bersembang.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Seorang lelaki nyaris terkelar leher akibat terkena lilitan benang layang-layang atas jalan raya ketika menunggang motosikal

0

Seorang lelaki nyaris terkelar di leher akibat terkena benang layang-layang ketika menunggang motosikal di Batu Pahat, Johor.

Dalam hantaran Facebook oleh pengguna Edmund Seow, leher bapanya cedera dan hampir dijerut ketika berada di jalan raya. 

“Apabila saya pulang ke rumah, bapa saya, yang baru selesai mandi dan keluar bilik air sambil menunjuk ke arah lehernya: Tengok!” tulisnya.

Facebook

Setelah melihat lebih dekat, Edmund dan ahli keluarga lain menyedari betapa teruknya kecederaan itu.

“Sebentar tadi, ketika saya menunggang motosikal setelah pulang dari Rivercity Business Park, tiba-tiba sesuatu melilit leher saya dan saya tidak dapat bergerak ke hadapan, saya hampir terjatuh di tepi jalan!” kata bapa Edmund menjelaskan insiden itu.

“Selepas itu, saya melihat sekumpulan kanak-kanak menerbangkan layang-layang, dan ada tali layang-layang melilit leher saya! Jika saya bawa motosikal lebih laju, seluruh kepala saya mungkin akan terpenggal!” tambahnya.

Facebook

Bapa Edmund kemudian menegur kanak-kanak itu dan meminta mereka untuk tidak menerbangkan layang-layang di tepi jalan, atau mereka mungkin secara tidak sengaja boleh membunuh seseorang.

Edmund turut meluahkan kekecewaannya, “Tidak semua tapak kosong boleh dijadikan taman permainan, apatah lagi di tepi jalan! Hari ini bapa saya hanya tercedera, siapa yang akan bertanggungjawab jika sesuatu yang tidak diingini berlaku?!”

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Habis seluruh muka dan badan menjadi hitam kerana dakwat, rupa-rupanya kanak-kanak ini mahu tiru rupa emoji..

0

Kanak-kanak adalah antara golongan yang mudah terpengaruh. Kalau boleh apa sahaja yang mereka tonton pasti mereka mahu menirunya. Buktinya, masih ramai kanak-kanak permpuan suka memakai gaun Elsa seperti di dalam animasi Frozen.

Oleh kerana terpengaruh selepas melihat sebuah emoji seorang kanak-kanak telah ‘memandikan’ dirinya dengan dakwat berwarna hitam.

Kisah lucu tersebut telah diceritakan oleh ibu kepada kanak-kanak itu di laman Facebook miliknya.

Bersama status tersebut turut disertakan dengan video jelas yang menunjukkan si kecil itu berlumuran dengan dakwat berwarna hitam. Bayangkan hanya kerana ingin menjadi seperti emoji, si kecil ini sanggup bermandi dengan dakwat. Semua sanggup dilakukan asalkan dia boleh menjadi seperti emoji tersebut!

Sehingga kini video tersebut telah meraih perhatian umum dengan tontonan lebih daripada 6.8 juta kali di laman sosial itu.

Pilihan Editor:

Nurul Izzah terima pujian ketika menggerakkan bantuan kepada penduduk Permatang Pauh yang mengalami gangguan bekalan air

0

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini menjadi tular atas usahanya membantu penduduk kawasan Permatang Pauh yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual walaupun tidak lagi menjadi ahli parlimen mewakili mereka. 

Dalam beberapa hantaran di media sosial, Nurul Izzah dilihat menghulurkan bantuan kepada penduduk Taman Pauh Indah, Permatang Pauh ketika menguruskan pengagihan bekalan air dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Permatang Pauh.

Instagram

Sejak 2 Disember, beberapa kawasan di tiga daerah Pulau Pinang tertakluk kepada gangguan air berjadual selama 48 jam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di fasiliti rawatan air di Sungai Dua. 

Nurul Izzah berkongsi beberapa hantaran Instagram Stories di akaun Instagram rasminya mengenai usaha pengagihan air itu, di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas bantuan mereka.

Instagram

Instagram Stories itu kemudiannya dimuat naik semula sebagai video TikTok oleh pengguna TikTok @tinisaad0505 dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Nurul Izzah kerana mengaturkan bekalan air ke Taman Pauh Indah sambil merujuk kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu, Fawwaz Mohamad Jan.

Video TikTok itu kemudian terus tular dengan pujian diberikan kepada Nurul Izzah.

TikTok

Kebanyakan komen pada video TikTok itu memuji Nurul Izzah kerana masih turun padang untuk membantu rakyat walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh. 

Salah satu komen teratas menegaskan Nurul Izzah adalah ahli parlimen terbaik di kawasan itu dan sayang sekali beliau tidak lagi mewakili mereka, manakala seorang lagi memberi komen bahawa pengundi perlu memilih Nurul Izzah semula pada pilihan raya akan datang.

Pilihan Editor:

Pelajar China di Australia lancarkan protes menentang kezaliman PKC

0

Pelajar China di Australia lancarkan protes menentang kezaliman Parti Komunis China (PKC). “Xi Jinping, berundur! PKC, berundur!. Beri saya kebebasan atau bunuh sahaja saya!”. Itu antara slogan tidak puas hati oleh lebih 100 orang pelajar China terhadap PKC.

Lebih 100 pelajar China menganjurkan protes untuk menentang dasar “Zero-COVID” PKC dan pemerintahan diktator di Dewan Perbandaran, Sydney, pada 28 Nov. 2022. (Ling Xiao/ Epoch Times)

Pada penghujung November lalu, mereka berkumpul di hadapan Dewan Perbandaran, Sydney untuk membantah dasar melampau “Sifar-Covid” dan pemerintahan diktator Parti Komunis China (PKC).

Berang dengan kematian sekurang-kurangnya 10 orang di ibu kota Xinjiang, Urumqi, protes besar-besaran tercetus di seluruh China kemudian tersebar dengan pantas ke luar negara. Menurut orang China daripada latar belakang berbeza, ini adalah peristiwa yang tidak pernah dilihat sejak demonstrasi yang dipimpin oleh pelajar dilakukan di Dataran Tiananmen, Beijing pada tahun 1989.

Pelajar China di Sydney memegang lilin sebagai tanda penghormatan untuk mangsa kejadian kebakaran Urumqi. Kegagalan petugas keselamatan ke tempat kejadian hingga menyebabkan pangsapuri tersebut terbakar selama berjam-jam adalah berpunca daripada sekatan pergerakan di seluruh kawasan kediaman demi membendung penularan Covid-19 yang dijalankan oleh PKC.

Beberapa orang mengangkat papan tanda jalan yang meniru papan tanda jalan di “Jalan Urumqi”, Shanghai sebagai solidariti dengan penunjuk perasaan Shanghai.


Lebih 100 pelajar China menganjurkan protes untuk menentang dasar “Zero-COVID” PKC dan pemerintahan diktator di Dewan Perbandaran, Sydney, pada 28 Nov. 2022. (Ling Xiao/ Epoch Times)

Ada juga di antara mereka yang memakai kostum Winnie The Pooh untuk mengejek Xi Jinping, ketua PKC, dan menyanyikan lagu “Do you hear the people sing” secara berselang-seli.

Manakala yang lain menghulurkan kertas putih dan slogan kepada orang yang lalu lalang. Antara slogan protes tersebut ialah:

Pelajar China di luar negara: PKC memang menipu.

Menurut seorang pelajar China yang menghadiri perhimpunan tersebut dan bercakap dengan menggunakan nama samaran Baishun, dia terkejut dengan kejadian kebakaran di pangsapuri Urumqi. Ini kerana menurutnya kejadian tersebut sebenarnya boleh dielakkan. Tambahan pula, kes seorang wanita di Kota Xi’an yang mengalami keguguran telah membuatkan dia sedar tentang sifat rejim komunis China.

“PKC menggunakan virus ini untuk mengawal rakyat mereka dan dunia. (Virus itu) hanyalah alat. PKC memang menipu, menganiaya semua orang baik dan meninggalkan semua orang jahat. Saya benar-benar kecewa dengan Parti. Saya berharap suatu hari nanti negara kita akan menjadi demokratik dan liberal,” katanya kepada The Epoch Times.

“Saya sayangkan negara saya. Saya sayangkan China. Saya berharap PKC akan tumbang juga sama ada cepat atau lambat.”

Baishun mengatakan bahawa dia telah pun meninggalkan PKC. Dia sangat berterima kasih kepada The Epoch Times kerana menyediakan platform untuk dia meluahkan perasaannya.

Seorang penunjuk perasaan memegang slogan. (Ling Xiao/The Epoch Times)

Pelajar China yang lain, Jack memberitahu The Epoch Times bahawa PKC adalah kerajaan totalitarian yang ditakdirkan tumbang dan kejadian di Urumqi hanyalah permulaan. Jack sendiri telah menjadi penyokong demokrasi sejak rang undang-undang anti-ekstradisi Hong Kong dilancarkan pada tahun 2019. (rujukan PRPM: totalitarian berkaitan dgn sistem pemerin­tahan yang dikuasai oleh seorang atau satu parti politik sahaja dan kewujudan parti-parti pembangkang yang lain tidak dibenarkan.)

Pelajar China Jack (nama samaran) memegang slogan. (Li Zhaohui/The Epoch Times)

Orang China Australia: Mengubah Pandangan Terhadap Pelajar China.

Warganegara China Australia, Daxiong berkata, itu adalah kali pertama dia melihat terlalu ramai pelajar China berhimpun untuk protes, menunding jari mereka terus ke arah PKC. “Dulu saya fikir orang China tidak ambil tindakan, tapi nampaknya sekarang dah ada sikit,” katanya.

Selain itu, Andy Cai, seorang penduduk Australia dari Tanah Besar China yang telah menetap di Hong Kong selama bertahun-tahun berkata, “Ini adalah kali pertama saya melihat begitu ramai pelajar China luar negara menentang kezaliman dan diktator sejak kejadian pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen pada tahun 1989.”

“Saya berasa mereka sangat berani. Pada masa lalu, (mereka yang menghadiri) aktiviti ini semuanya adalah usahawan di Hong Kong, atau beberapa kumpulan individu seperti Falun Gong atau kumpulan Tibet, tetapi kali ini, ramai anak muda yang tampil ke hadapan, sangat menyentuh hati.”

Andy Cai, seorang penduduk Australia dari tanah besar China memegang papan tanda. (Li Zhaohui/The Epoch Times)

Aktivis Pro-Demokrasi: Gembira Melihat Mahasiswa Bangkit.

Robert, seorang aktivis veteran pro-demokrasi di Sydney, berkata protes di China kali ini disebabkan oleh dasar “Sifar- Covid”, yang berbeza daripada protes pada 4 june 1989 apabila pelajar pada mulanya menyeru demokrasi dan kebebasan.

Walau bagaimanapun, dia mendapati bahawa orang China sedikit demi sedikit menyedari kepentingan demokrasi dalam proses itu.

“Kali ini, orang ramai sedar bahawa jika tiada demokrasi, kerajaan boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Dia tidak perlu bercakap dengan anda terlebih dahulu sebelum menumbangkan anda,” kata Robert kepada The Epoch Times.

“Orang ramai tidak memahaminya sebelum ini. Mereka fikir demokrasi bukanlah sesuatu yang praktikal yang boleh memberi manfaat. Namun kali ini ternyata demokrasi sebenarnya bermanfaat.”

Seorang penunjuk perasaan berpakaian seperti Winnie the Pooh sebagai ejekan terhadap Xi Jinping. (Ling Xiao/The Epoch Times)

Dalam perhimpunan itu, Sun Baoqiang, seorang penulis di Pusat Pena China Bebas berkata PKC telah hilang kewarasan. “Sungguh mengerikan apabila sekumpulan kecil orang mengawal lebih daripada satu bilion kehidupan orang”.


Seorang penunjuk perasaan berpakaian seperti kakitangan pencegahan wabak di China. (Li Zhao Hui/The Epoch Times)

Sun, yang telah bertahun-tahun membela Beijing berkata disebabkan sekatan maklumat di China, ramai pelajar China pada masa kini tidak tahu tentang Pembunuhan Beramai-ramai Dataran Tiananmen yang berlaku pada tahun 1989.

“Namun hari ini adalah pentanda yang benar-benar baik di mana pelajar telah bangkit. Saya berharap ia boleh membangkitkan tindakan.”

Pilihan Editor:

Pintu gelangsar rumah selalu tersekat atau susah tarik, senang sahaja cara selesai dengan ketatkan skru longgar

0

Antara masalah yang selalu berlaku dengan pintu rumah yang pakai jenis gelangsar atau ‘sliding’ adalah ia kadangkala tersekat dan susah untuk ditarik atau ditolak.

Bagi mengatasi masalah yang biasa dihadapi penghuni kediaman dengan pintu jenis begini, apa kata anda ikuti perkongsian pengguna TikTok Jason_jezi.

Rupa-rupanya senang sahaja untuk selesaikan masalah pintu gelangsar tersekat ini.

TikTok

Menurut Jason, masalah pintu gelangsar susah ditarik atau ditolak berlaku kerana skru pintu menjadi longgar yang mengakibatkan pintu gelangsar menjadi turun.

TikTok

Sebagai jalan penyelesaiannya, lakukan perkara berikut:

1.Cari lubang skru di bahagian bawah pintu gelangsar dan kemudian ketatkan dengan menggunakan pemutar skru.

TikTok

2.Apabila sudah diketatkan, pintu yang turun tadi akan naik semula. Selesai masalah pintu susah hendak ditarik.

TikTok

3.Selain itu, pintu gelangsar boleh jadi tersekat-sekat kerana terdapat kekotoran seperti pasir pada ‘rail’.

TikTok

Cara menyelesaikannya, anda ambil kain pengelap dan lap untuk membersihkan semua kekotoran yang berada di bawahnya.

Masalah pintu gelangsar tersekat pun selesai. Semoga perkongsian Jason memberi manfaat.

Pilihan Editor: