Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini menjadi tular atas usahanya membantu penduduk kawasan Permatang Pauh yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual walaupun tidak lagi menjadi ahli parlimen mewakili mereka.
Dalam beberapa hantaran di media sosial, Nurul Izzah dilihat menghulurkan bantuan kepada penduduk Taman Pauh Indah, Permatang Pauh ketika menguruskan pengagihan bekalan air dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Permatang Pauh.

Sejak 2 Disember, beberapa kawasan di tiga daerah Pulau Pinang tertakluk kepada gangguan air berjadual selama 48 jam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di fasiliti rawatan air di Sungai Dua.
Nurul Izzah berkongsi beberapa hantaran Instagram Stories di akaun Instagram rasminya mengenai usaha pengagihan air itu, di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas bantuan mereka.

Instagram Stories itu kemudiannya dimuat naik semula sebagai video TikTok oleh pengguna TikTok @tinisaad0505 dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Nurul Izzah kerana mengaturkan bekalan air ke Taman Pauh Indah sambil merujuk kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu, Fawwaz Mohamad Jan.
Video TikTok itu kemudian terus tular dengan pujian diberikan kepada Nurul Izzah.

Kebanyakan komen pada video TikTok itu memuji Nurul Izzah kerana masih turun padang untuk membantu rakyat walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Salah satu komen teratas menegaskan Nurul Izzah adalah ahli parlimen terbaik di kawasan itu dan sayang sekali beliau tidak lagi mewakili mereka, manakala seorang lagi memberi komen bahawa pengundi perlu memilih Nurul Izzah semula pada pilihan raya akan datang.
Pilihan Editor: