27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 13, 2025
Utama Blog Laman 122

Pengasas Public Bank meninggal dunia

0

Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia pada jam 10.20 pagi, 12 Disember 2022 di usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Tan Sri Dr Teh Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Gambar The Edge Market

Beliau kemudian menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mendapat pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Mendiang berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang.

“Pemergiannya ini tentunya meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank, sektor perbankan dan juga negara.

“Saya doakan keluarga mendiang Dr Teh tabah dan kuat atas kehilangannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pilihan Editor:

Kakak ‘tour guide’ bersuara ‘best’ ketika buat pengumuman, bas persiaran macam dalam ‘flight’ semua pelancong ini rasa

0

Jika anda berada di Kuching, Sarawak, rasanya ramai yang mengenali Kak Lin, ‘tour guide’ atau pemandu pelancong yang terkenal dengan suaranya yang bukan biasa-biasa untuk membuat semua berasa terpegun.

Dalam satu video TikTok yang tular, warganet jadi terhibur dan kagum apabila melihat Kak Lin membuat pengumuman di dalam bas persiaran.

Facebook

Kak Lin yang bertugas sebagai pemandu pelancong biasa membawa para pelancong bersiar-siar di Kuching dan menceritakan sejarah negeri Sarawak dengan suaranya yang amat sedap didengar.

Dalam video TikTok itu, warganet teruja apabila kedengaran suara Kak Lin persis suara pengumuman dalam penerbangan.

Facebook

Video yang dikongsikan pengguna TikTok @fathroselan dan terus tular di Facebook dan Twitter memaparkan Kak Lin membuat pengumuman ketibaan para pelancong di Lapangan Terbang Kuching, dan memastikan agar mereka tidak meninggalkan barang milik masing-masing di dalam bas.

Suaranya yang lunak sedap didengar memang serupa macam kru kabin penerbangan.

Facebook

Maka ramai yang bertanya sama ada Kak Lin pernah bekerja dengan mana-mana syarikat penerbangan sebelum ini setelah mendengar nada suaranya yang sedap itu.

TikTok

Dan ternyata di ruangan komen, salah seorang anak buahnya mendedahkan yang Kak Lin pernah bekerja sebagai kru kabin di Malaysia Airlines (MAS). 

TikTok
TikTok

Jadi, memang patutlah Kak Lin punya bakat cemerlang mengatur alunan suara semasa membuat pengumuman tidak kira di mana tempatnya.

Facebook

Walaupun di mana Kak Lin berada, bakatnya masih berbisa kerana suaranya memang sentiasa terbaik dan sangat sedap didengar.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Wanita ini beli sebungkus 500 putik kapas, kira satu persatu dan menyedari diberikan 88 kurang

0

Pada zaman ini, ramai orang semakin mudah membeli barangan dalam talian kerana ia membantu mempercepatkan kehidupan seharian.

Namun pembeli tidak boleh memilih atau meneliti dengan cara pembelian itu, dan mungkin berisiko terdedah kepada penipuan penjual yang tidak jujur dalam perniagaan mereka.

Seorang wanita dari China baru-baru ini telah berkongsi pengalamannya selepas membeli putik kapas secara dalam talian.

Tangkap Skrin Weibo

Dalam hantarannya di Weibo, dia mendedahkan telah membeli satu peket putik kapas dan mendakwa sepatutnya ia mempunyai 500 batang di dalamnya.

Apabila wanita ini menerima pesanan putik kapas itu, dia memutuskan untuk mengiranya satu demi satu dan amat terkejut apabila mendapati kiraannya adalah sebanyak 88 batang yang kurang daripada apa yang dipesan. 

Tangkap Skrin Weibo

Dalam hantaran video yang dimuat naik di Weibo, dapat dilihat wanita ini telah menulis nombor pada setiap putik kapas yang telah dikiranya sambil meletakkannya semula ke dalam bekas yang disertakan, dengan penuh ketelitian.

Setelah mengiranya, wanita ini menyedari hanya terdapat 409 batang putik kapas yang tinggal dan bersama-sama dengan 3 yang telah dia gunakan sebelum mengira, ini bermakna jumlahnya hanya 412.

Tangkap Skrin Weibo

Wanita ini kemudian telah menghubungi penjual dan memberitahu dia telah mengira putik kapas dalam bekas bungkusan dan menerima kurang daripada apa yang dipesannya. Penjual itu memohon maaf dan membuat pembayaran balik RMB2 (RM1.20) kepadanya untuk kerugian 88 putik kapas yang kurang.

Satu tindakan yang baik untuk menyemak semula apa yang anda telah beli dalam talian dalam memastikan anda mendapat barangan berbaloi dengan pesanan. Mungkin ia kelihatan agak cerewet, tetapi ia adalah hak anda sebagai pengguna yang telah mengeluarkan wang untuk barangan yang telah dibeli.

Pilihan Editor:

Tiga penunggang motosikal cedera angkara tumpahan diesel atas jalan raya

0

Tiga penunggang motosikal termasuk seorang wanita cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka tergelincir setelah berlaku tumpahan minyak diesel di bulatan Gok Kapor di Kota Bharu pada 8 Disember.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi, seorang wanita yang berusia 42 tahun mengalami kecederaan serius telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Facebook

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, dua lagi penunggang motosikal yang berusia 28 dan 64 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.45 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya sehingga menyebabkan tiga buah motosikal tergelincir.

Facebook

Sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian telah membuat semburan air ke atas jalan raya bagi menghilangkan kesan tumpahan diesel.

Anggota bomba yang terlibat mengambil masa selama 35 minit untuk membersihkan kawasan tersebut.

Facebook

Menurut Zukeri, wanita yang cedera dihantar ke HRPZ II dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial video kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian kemalangan empat buah motosikal jatuh secara berturut-turut semasa tiba di bulatan Gok Kapor, Kota Bharu, Kelantan.

Facebook

Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan sebelum ambulans dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Penjaga bawa pulang anak penguin untuk tinggal sementara akuarium zoo diselenggara, ada kucing terkejut iri hati

0

Seorang penjaga zoo dalam hantarannya di media sosial di China berkata, “Tidak pernah terfikir pula pada suatu hari saya akan dapat membawa penguin pulang.”

Baru-baru ini, sebuah akuarium dalam zoo di Guangzhou sedang dalam proses baik pulih. Penjaga penguin di akuarium itu terpaksa membawa seekor anak penguin pulang ke rumahnya untuk tujuan penginapan sementara. “Melihat kepada penguin yang comel itu, saya teruja membawanya pulang!” katanya.

DogTime

Anak penguin ini sangat manja dan tidak mahu berenggang, lalu mengekori sahaja penjaganya seperti mana dia berada di akuarium tempatnya bekerja. 

Tidak kira ke mana penjaganya pergi dalam rumah itu, anak penguin ini akan mengekori dan mengikutnya. 

DogTime

Setelah lama bermain, penjaga itu memberikan anak penguin ikan segar kecil yang sebenarnya amat digemari oleh kucing peliharaannya. Anak penguin membuka mulut dan menelannya dalam satu gigitan.

Cara penguin memakan ikan ini memang mudah dan pantas sehinggakan penjaganya amat terhibur melihatnya.

DogTime

Tanpa disangka, adegan kasih sayang ini kebetulan dilihat oleh kucing peliharaan. Pada mulanya dia terkejut bagai tidak percaya sambil berkata di dalam hati, “Siapa dia ni makan ikan saya?” 

DogTime

Kemudian si kucing melewati mereka dengan muka menjeling secara senyap, tetapi penjaga tidak pun perasan atau mengambil serius, dan terus menumpukan untuk memberi makan ikan kepada penguin itu seperti rumahnya adalah akuarium di zoo.

DogTime

Muat naik video yang menarik perhatian warganet dengan komen lucu mereka: 

“Siapa yang membawa pulang jerung ke rumah?”

“Penguin ini hanya bertahan di tempat beku, di sini dia tahan suhu tidak bekukah?” 

“Boleh tahankah dengan suara anak penguin itu pada waktu malam?”

“Saya hanya ingin tahu sama ada penguin perlu diletakkan di dalam peti sejuk semalaman?” 

“Apabila zoo sedang diubah suai, siapa yang akan membawa pulang harimau besar ke rumah?” 

“Kucing tidak percaya boleh melihat penguin buat seumur hidupnya..” 

“Sangat comel..”

DogTime

Susah kalau ubah suai zoo macam ini, semua haiwan kena dibawa pulang. Apa pun anak penguin ini memang sangat comel, tambah lagi jika dia jinak mengalahkan kucing peliharaan.

Rasa tergugat belaian kasih sayang kawan tu..

Pilihan Editor:

Celine Dion menghidapi ‘Stiff Person Syndrome’, penyakit gangguan neurologi yang tidak boleh diubati

0

Penyanyi tersohor dunia, Celine Dion mendedahkan dirinya telah didiagnosis dengan Stiff Person Syndrome (SPS), gangguan neurologi yang jarang berlaku dengan ciri penyakit autoimun.

Bintang kelahiran Kanada Perancis itu mendedahkan kepada 5.2 juta pengikut Instagramnya yang keadaan itu membuatkan ototnya kejang tidak terkawal.

Penyakit itu juga menyebabkan dia mengalami kesukaran berjalan dan menyanyi sekali gus tidak dapat meneruskan konsert yang dirancang di United Kingdom dan Eropah pada tahun hadapan.

Gambar Reuters

“Saya sudah lama berhadapan dengan masalah kesihatan. Sememangnya sukar bagi saya untuk menghadapi cabaran ini dan bercakap tentang semua yang telah saya lalui.

“Baru-baru ini saya telah didiagnosis dengan gangguan saraf yang sangat jarang berlaku (satu dalam sejuta orang) dipanggil ‘Stiff Person Syndrome (SPS)’.

“Sementara saya masih belajar tentang keadaan yang jarang berlaku ini, kini saya tahu inilah yang menyebabkan semua punca kekejangan yang saya alami,” ujar penyanyi berusia 54 tahun itu dalam rakaman video penuh emosi.

Kekejangan yang dialami Celine telah menjejaskan setiap aspek kehidupan hariannya.

“Malangnya, kekejangan ini menjejaskan setiap aspek kehidupan seharian saya, kadang-kadang menyebabkan kesukaran apabila saya berjalan dan menghalang saya menyanyi seperti biasa.

“Sangat menyakitkan namun saya ingin memberitahu saya tidak akan bersedia untuk memulakan semula jelajah saya di Eropah pada bulan Februari depan,” jelasnya.

Celine Dion/YouTube

Pada tahun 1998, lagu balada diva itu, “My Heart Will Go On” daripada filem Titanic, memenangi anugerah Oscar untuk lagu terbaik, namun beliau bersara bernyanyi ‘selama-lamanya’ ketika mendiang suaminya, Rene Angelil bertarung dengan kanser.

Walaupun persembahannya disambung semula setahun kemudian, Celine melangkah keluar dari pentas sekali lagi pada awal 2016, berikutan kematian tragis Rene Angelil dan abangnya, Daniel Dion.

Celine Dion akhirnya kembali semula dengan album Courage pada 2019, yang menampilkan kerjasama dengan Sia, Sam Smith dan David Guetta.

Bintang itu memulakan semula konsert jelajah dunia “Courage World Tour”, namun sebahagian besarnya terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

Celine terpaksa menjadualkan semula tarikh itu pada tahun ini selepas mengalami “kekejangan otot yang teruk dan berterusan”, yang turut menangguhkan siri persembahan di Las Vegas.

Beberapa persembahan lain yang dijangka dijadualkan termasuk di Birmingham, Glasgow, Manchester dan London kini terpaksa ditolak, manakala yang lain telah dibatalkan.

Dalam pada itu, Celine menyakinkan peminatnya bahawa beliau mempunyai pasukan doktor yang hebat yang bekerja bersamanya untuk membantunya menjadi lebih baik dan anak-anaknya yang sentiasa menyokong serta memberi bantuan.

“Saya bekerja keras dengan ahli terapi perubatan setiap hari untuk membina semula kekuatan dan keupayaan, tetapi saya harus mengakui ia adalah satu perjuangan.

“Apa yang saya tahu ialah menyanyi. Ia adalah perkara yang saya lakukan sepanjang hidup dan ia adalah perkara yang paling disukai.

“Saya sangat merindui anda. Saya rindu melihat anda semua dan berada di atas pentas, membuat persembahan untuk anda.

“Saya sentiasa memberi 100 peratus apabila saya melakukan persembahan tetapi kini keadaan saya tidak mengizinkan,” ujarnya.

Tidak lagi dapat menahan sebak, penyanyi itu mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan dan menegaskan dirinya tidak mempunyai pilihan selain menumpukan perhatian kepada kesihatannya pada ketika ini dan berharap kesihatannya akan kembali pulih.

Gambar Reuters

Apa itu Stiff Person Syndrome (SPS)?

1. SPS adalah keadaan yang sangat jarang berlaku dan hanya dialami oleh satu atau dua orang dalam sejuta.

2. Menurut Institut Kebangsaan untuk Gangguan Neurologi United Kingdom, ia dicirikan oleh ketegaran otot yang berubah-ubah pada badan dan anggota badan, juga tahap kepekaan yang tinggi terhadap rangsangan seperti bunyi bising, sentuhan, dan tekanan emosi, yang boleh menyebabkan kekejangan otot.

3. Postur yang tidak normal, sering membongkok dan kaku, adalah ciri gangguan itu.

4. Orang yang mempunyai SPS boleh menjadi terlalu kurang upaya untuk berjalan atau bergerak, atau mereka takut untuk meninggalkan rumah kerana bunyi jalanan, seperti bunyi hon, boleh mencetuskan kekejangan dan jatuh.

5. Kebanyakan individu dengan SPS kerap terjatuh dan kerana mereka tidak mempunyai refleks pertahanan biasa; yang menyebabkan kecederaan boleh menjadi lebih teruk.

6. Walaupun tiada ubat untuk SPS, terdapat rawatan termasuk ubat anti-kecemasan dan pelemas otot yang boleh melambatkan perkembangannya.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

Ayah terharu bila anak perempuan bangga tonjolkan kerjayanya sebagai pekerja majlis perbandaran di sekolah

0

Ada anak yang berasa segan atau malu untuk mendedahkan kerjaya ibu bapa mereka di sekolah, tetapi semua itu bukan ukuran sekiranya didikan ibu bapa sangat baik untuk membuatkan seorang anak faham dengan erti pengorbanan dan kasih sayang yang perlu dihargai setiap hari.

Itu yang ditonjolkan oleh seorang kanak-kanak perempuan dari Perak sempena sambutan hari kanak-kanak sedunia di sekolahnya, baru-baru ini.

TikTok

Pada mulanya, seorang ayah berkongsi di TikTok yang tular mengenai kisah anak perempuannya yang berkeras mahu memakai pakaian seragam kerjaya ayah sempena sambutan hari kanak-kanak.

Si ayah, Mohd Anuar telah menyuruh anaknya, Auni untuk memilih pakaian seragam atau uniform lain yang sesuai dengan cita-citanya, tetapi Auni tetap berkeras mahu menyarungkan pakaian seragam pekerjaan ayahnya untuk diperagakan semasa acara tersebut.

TikTok

“Tema untuk hari kanak-kanak sedunia tahun ini adalah kerjaya. Saya suruh dia cari baju lain, dia pilih baju kerjaya ayah dia juga,” tulisnya di ruangan kapsyen muat naik video tersebut.

TikTok

Amat mencuri perhatian dan terus menyentuh hati apabila pakaian seragam yang dipilih oleh Auni, adalah rutin pakaian yang disarung ayahnya yang difahamkan seorang kakitangan di sebuah majlis perbandaran di Perak.

Auni yang berasa bangga menyarung seragam itu menjelaskan kepada mStar bahawa pekerjaan yang dilakukan ayahnya telah berjaya membesarkannya dengan baik. 

TikTok

Penghargaan yang ditunjukkan oleh Auni di sekolah telah menyentuh hati Anuar yang berkongsi beberapa gambar anaknya yang lengkap berpakaian sama seperti dirinya ketika bertugas.

“Alahai anak… dia kata ayah kerja ni pun bagi kami makan dan tempat tinggal,” katanya.

TikTok

Rata-rata pengguna TikTok memuji tindakan Auni yang tidak malu untuk memperagakan pakaian seragam pekerjaan ayahnya itu dan mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga:

“Bangga dengan adik.. Semoga berjaya satu hari nanti.. Amin.”

“Hormat dekat adik ni..”

“Jangan pernah malu.. Bangga ayah kamu dik.. Kami pun turut bangga kerana cara adik menyedarkan rakan-rakan sebaya betapa menghargai apa pun kerjaya ayah..”

“Semoga adik berjaya dunia akhirat, jadi anak solehah penyejuk mata penawar hati ibu ayah.. Tahniah.”

“Terbaik dik..”

“Pembakar semangat seorang ayah bila seorang anak bangga dengan kerja yang ayah lakukan, anak yang memahami pengorbanan seorang ayah..”

Sememangnya anak yang baik itu adalah anak yang memahami pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan mereka tidak kira apa pun kerjaya yang diceburi.

Pilihan Editor:

Gempa bumi magnitud 6.1 gegar Jawa Barat

0

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda Jawa Barat, Indonesia pada jam 7:50 pagi waktu tempatan pada 8 Disember 2022, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), mendorong orang ramai berdekatan pusat gempa panik meninggalkan kediaman masing-masing.

Pusat gempa kira-kira 22 kilometer dari bandar Sukabumi, pada kedalaman 104 kilometer itu tidak berpotensi mengakibatkan tsunami, menurut agensi terbabit.

Twitter

Siaran berita televisyen TVOne memaparkan orang ramai dilihat berlari meninggalkan rumah masing-masing di Sukabumi.

Gegaran turut dirasai di ibu negara, Jakarta dan kawasan persekitaran, kata saksi kepada Reuters.

Facebook

Pegawai agensi mitigasi bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, memberitahu Reuters bahawa tiada laporan kerosakan diterima setakat ini tetapi agensi berkenaan sentiasa mengawasi keadaan.

Pada bulan lalu, gempa bumi magnitud 5.6 pada kedalaman agak cetek melanda Cianjur, juga di wilayah Jawa Barat, telah mengorbankan lebih 300 mangsa dan merosakkan ribuan rumah.

Pilihan Editor:

Kucing peliharaan keluar bermain, balik rumah bawa kepala buaya

0

Seekor kucing peliharaan di Wisconsin, Amerika Syarikat memeranjatkan tuannya apabila membawa kepala buaya selepas pulang bermain di luar.

Daily Mail

Wendy Wiesehuegel tidak menyangka dia bakal menerima kejutan daripada kucingnya, ‘Burnt Toast’ yang keluar bermain di luar. Pada mulanya jiran-jiran menyangka kucing peliharaan itu membawa pulang ikan besar. Namun setelah diamati, rupa-rupanya kepala buaya!

Menurut Wiesehuegel kepada Fox 6 Milwaukee, kucingnya kelihatan begitu bangga dengan hasil tangkapan pada hari itu. “Saya membongkok, melihat dan mendapati itu bukanlah ikan tetapi buaya.”

Daily Mail

Ujar Wiesehuegel, seingatnya dia dan adik iparnya pernah ternampak buaya di tasik berdekatan dengan rumahnya beberapa hari sebelum itu. Ketika itu adik iparnya seakan tidak percaya terdapat buaya di kawasan kediaman mereka, lalu mengabaikan sahaja haiwan tersebut. Namun tidak menyangka, itulah ‘barang penemuan’ yang dibawa pulang oleh Burnt Toast.

Terkejut melihat kepala haiwan bersisik itu, Wiesehuegel terus menghubungi Tim Aspenson warden pemuliharaan Jabatan Sumber Asli untuk melaporkan kejadian itu. Difahamkan, hanya ahli biologi sahaja yang dapat mengesahkan keaslian kepala haiwan tersebut.

Aspenson berkata dia percaya kepala haiwan tersebut adalah milik seekor buaya yang mungkin panjangnya sekitar tiga kaki. Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa haiwan tersebut pada asalnya dipelihara yang kemudiannya melepaskan diri atau dilepaskan ke alam liar. Namun persoalannya, apakah yang terjadi kepada haiwan tersebut sehingga berakhir tanpa badan malah dibawa pulang oleh Burnt Toast?

Daily Mail

Melihatkan gambar kepala buaya yang tengkoraknya jelas kelihatan, mereka tidak dapat mengagak sudah berapa lama haiwan itu mati dan terapung-apung di laluan air Waukesha County. Bagi Aspenson, ia benar-benar penemuan yang ‘sangat jarang’ dan mungkin bukan yang terakhir.

Walaupun berasa teruja dengan penemuan tersebut, namun Wiesehuegel sedikit bimbang jika memang benar terdapat buaya di tasik tersebut. Katanya, apabila difikir-fikirkan semula, memang tidak selamat jika benar ada buaya, lebih-lebih lagi ketika musim panas orang ramai berenang di tasik tersebut.

Pada Julai lalu, seekor buaya ditemui di sebuah tasik di Fond du Lac County yang terletak hanya sejam di utara Waukesha County. Buaya yang ditemui oleh J&R Aquatic Animal Rescue di Long Lake tersebut dipercayai dipelihara dan melepaskan diri daripada tuannya. Mereka menempatkan buaya tersebut di sebuah tempat perlindungan supaya haiwan tersebut dapat menjalani kehidupan di alam liar seperti yang sepatutnya.

Menurut Ahli Biologi Amfibia, Roki Paloski biasanya dia hanya mendapat satu laporan setahun mengenai kewujudan buaya di Wisconsin. Kewujudan buaya bukanlah secara semula jadi kerana buaya itu bukannya berasal dari Wisconsin. “Sama ada buaya tersebut merupakan haiwan peliharaan yang melarikan diri daripada kurungan atau haiwan peliharaan yang dilepaskan ke tasik,” kata Paloski.

Pakar mengatakan tidak mungkin buaya dapat bertahan pada musim sejuk di Wisconsin kerana paling jauh mereka boleh pergi ialah Arkansas. Tambah Paloski lagi, buaya-buaya tersebut tidak seharusnya berada di situ kerana mereka bukanlah sebahagian daripada landskap semula jadi Wisconsin.

Laporan polis lain telah dibuat pada September lalu di mana seekor buaya dilihat di taman keluarga tempatan di Kewaskum. Walaupun buaya tersebut gagal dijejaki namun menurut pegawai DNR, mereka percaya ia mungkin buaya Caiman Hitam.

Mereka tidak menolak kemungkinan buaya tersebut dipelihara dan dibesarkan di dalam negara dan kemudian dilepaskan oleh pemiliknya.

Wisconsin tidak mempunyai undang-undang yang menghalang rakyatnya memiliki haiwan eksotik. Sungguhpun begitu, buaya bukanlah berasal dari situ dan kedatangannya boleh menimbulkan ancaman. Mereka juga telah mengingatkan orang ramai agar tidak seharusnya melepaskan buaya peliharaan mereka ke alam liar.

Pilihan Editor:

KKM bakal bekalkan ubat HIV secara percuma ke seluruh negara

0

KKM bakal bekalkan ubat HIV secara percuma ke seluruh negara terutama kawasan yang berisiko tinggi dalam penyebaran HIV. Rawatan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) pada amnya berkemampuan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan HIV melalui seks sebanyak kira-kira 99% apabila diambil mengikut preskripsi yang telah ditetapkan.

codeblue

Walaupun tersedia di Malaysia, namun akses kepada PrEP telah lama dihalang kerana kebimbangan atau ketakutan bahawa orang ramai akan terlibat secara aktif dalam hubungan seks tanpa kondom, yang memperlahankan usaha untuk meingkatkan PrEP dalam sektor kesihatan awam.

Percubaan awal dibuat untuk mengeluarkan PrEP adalah melalui klinik penjagaan primer swasta yang memerlukan kos, kata Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Profesor Madya Penyakit Berjangkit di Universiti Malaya.

codeblue

“Kos (di klinik swasta) berbeza antara kira-kira RM80 dan RM140 sebulan. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kami mampu memberikannya pada harga yang lebih murah,” kata Dr Raja Iskandar kepada CodeBlue pada sambutan Hari AIDS Sedunia anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan PPUM. Tambahnya, dengan kelebihan harga berkaitan dengan kerajaan, mereka boleh menawarkannya pada harga RM30.

Menurut Dr Raja Iskandar lagi, rancangan untuk menyediakan PrEP secara percuma di beberapa buah klinik kesihatan awam, atau Klinik Kesihatan, bertujuan untuk meningkatkan penggunaan ubat itu kepada kira-kira 9,000 hingga 10,000 ahli populasi utama di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 18 (klinik kesihatan) tetapi rancangannya adalah untuk meningkatkan kepada kira-kira 21 klinik kesihatan. Klinik-klinik ini sudah pun diakses oleh populasi utama iaitu orang yang hidup dengan atau berisiko HIV (PLHIV) jadi mereka telah membina hubungan baik dan kepercayaan dengan populasi berisiko.”

Kata Dr Raja Iskandar, pil PrEP boleh diambil setiap hari bagi wanita dan lelaki. Bagi wanita, mereka perlu mengambil enam hingga tujuh kali seminggu untuk dilindungi sepenuhnya. Manakala bagi lelaki pula biasanya kira-kira empat hari seminggu.

Dr Raja Iskandar juga menerangkan bahawa orang yang berisiko berkemungkinan akan diberi pilihan sama ada untuk mengambil PrEP setiap hari atau atas permintaan. Namun PrEP atas permintaan hanya ditawarkan kepada lelaki, manakala bagi wanita, mereka masih perlu mengambil PrEP setiap hari.

Jangkitan baharu HIV atau AIDS di Malaysia secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 70% dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurut Dr Norhayati, rawatan ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66% pada tahun 2021 berbanding 28% pada tahun 2015.

Walau bagaimanapun, kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini masih belum mencukupi untuk negara membendung AIDS sehingga ia tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang 2030. Ini kerana, ketidaksamaan atau “inequalities” masih menjadi penghalang kepada usaha ini.

Tambahnya lagi, “Justeru, dalam memastikan kesaksamaan dicapai, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022.

KKM

Kata Dr Norhayati lagi, perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dilaksanakan di 31 klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diperluas bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Konsep U=U (U equal to U) atau “Undetectable = Untransmittable” adalah pendekatan atau konsep penting dan terbukti berkesan dalam mengekang jangkitan HIV. ODHA yang mengambil ubat ARV mengikut jadual yang ditetapkan, boleh hidup seperti individu normal (tanpa HIV) kerana virus tidak lagi dikesan (undetectable) dan secara amnya tidak boleh menjangkiti individu lain (untransmittable).

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Dr Dinesh Mahalingam berkata, transmisi HIV secara seksual dalam kalangan golongan belia berumur 13-39 tahun membimbangkan berdasarkan peningkatan 80% bagi golongan itu.

Keratan Akhbar

Kata Dr Dinesh, strategi khusus perlu dirancang bagi menangani permasalahan tersebut serta usaha berterusan dalam meningkatkan peratusan ARV dalam kalangan pesakit, sehingga tahun lepas hanya mencapai 66% mengikut ‘HIV Testing and Treatment Cascade‘.

Menurut Dr Dinesh lagi, sekurang-kurangnya pelaburan RM10 juta hingga RM12 juta setahun diperlukan untuk merancakkan penggemblengan tenaga di peringkat akar umbi dan dapat memberikan hasil secara jangka panjang.

Katanya, MAM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip nilai-nilai kemanusiaan bahawa setiap individu tanpa mengira bangsa, kepercayaan, gender berhak hidup sihat dan bebas daripada ancaman diskriminasi dan prejudis.

Hari AIDS Sedunia telah disambut di seluruh dunia pada setiap 01 Disember. Sambutan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030. Pada masa yang sama, sambutan itu menjadi platform untuk memperbaharui komitmen dan tekad dalam usaha menangani jangkitan HIV/AIDS.

Pada tahun ini, Hari AIDS Sedunia disambut dengan teman “Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS”.

Pilihan Editor: