Tiga penunggang motosikal termasuk seorang wanita cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka tergelincir setelah berlaku tumpahan minyak diesel di bulatan Gok Kapor di Kota Bharu pada 8 Disember.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi, seorang wanita yang berusia 42 tahun mengalami kecederaan serius telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, dua lagi penunggang motosikal yang berusia 28 dan 64 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.45 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya sehingga menyebabkan tiga buah motosikal tergelincir.

Sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian telah membuat semburan air ke atas jalan raya bagi menghilangkan kesan tumpahan diesel.
Anggota bomba yang terlibat mengambil masa selama 35 minit untuk membersihkan kawasan tersebut.

Menurut Zukeri, wanita yang cedera dihantar ke HRPZ II dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial video kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian kemalangan empat buah motosikal jatuh secara berturut-turut semasa tiba di bulatan Gok Kapor, Kota Bharu, Kelantan.

Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan sebelum ambulans dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: