29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 16, 2025
Utama Blog Laman 68

Api menyambar akibat hos tong gas alami kebocoran, ibu muda melecur teruk

0

Malang tidak berbau, begitulah nasib yang menimpa seorang ibu muda yang mengalami kecederaan apabila melecur hampir 7 peratus di bahagian anggota badan akibat hos atau saluran gas yang bocor.

Kakak mangsa berkongsi kejadian malang berkenaan menerusi hantarannya di Facebook dan memohon doa orang ramai agar adiknya yang hamil 7 bulan untuk segera sembuh.

Sambil menasihatkan kepada semua agar lebih berhati-hati untuk menjaga keselamatan serta memastikan tidak lupa untuk memeriksa tong gas LPG di rumah masing-masing sentiasa berada dalam keadaan baik.

Facebook

“Doakan adik kami Hatikah Zainoddin kuat dalam menempuhi tempoh penyembuhan luka dari kesan terbakar..adik sis ni mengandung 7 bulan..doktor cakap..dia seorang yang kuat..kesan terbakar pada tangan dan kaki dia 7%..dengan ubat tahan sakit tak boleh makan..hanya boleh makan panadol sahaja..bisa pedih jangan cakap..sis dengan dia dari awal ..dari dia masuk red zone sampai sekarang..tadi baru dressing kali ke-2..kulit mati dan gelembung-gelembung semua doktor dah buang..dari hitam jadi pink..betapa pedih tengok..sis sendiri tak kuat nak tengok.

Facebook

“Punca kejadian…hos gas bocor… mungkin tak perasan (lepas ni kena rajin check kalau boleh tong gas letak luar lagi elok)…benda nak jadi…gas pulak dalam kabinet..sebab tu penah dengar bomba bagi tahu…bahayanya gas dalam kabinet sebab pengudaraan terhad.

“Masa kejadian dia nak rebus ayam bagi anak-anak bulus makan.. ada perasan api kecil..dia kuatkan..sekali tengah nak kuatkan..api sambar dari bawah …pintu kabinet pun sampai terbuka…lengan sampai siku..paha sampai bawah..rambut habis terbakar…memang masa awal-awal bawa dia ke kecemasan kesian sangat..dengan bawa perut… tak pernah lagi terjadi dalam family… Alhamdulillah Allah lindung lagi dia suami isteri..suaminya tak teruk sangat macam dia.

Facebook

“Sekarang ni dia tengah trauma nak balik rumah sendiri.. tak nak…duduk la rumah adik nombor dua..Sebelum ni kalau kakak-kakak nak makan apa-apa dia masakan..anak-anak buah minta je nak makan apa..dia buatkan..lepas ni entah bila la dia nak masak lagi… takpelah..janji sihat…doktor dan misi semua cakap dia kuat..semua kesian..sebab dia tengah sarat…doakan dia kuat yer.. Ujian kita berbeza-beza..”

Facebook

Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

Berikut adalah panduan keselamatan silinder gas di dapur yang disyorkan Petronas:

  • Pastikan jarak antara silinder gas dengan alat memasak antara 1 ke 1.5 meter. Alat memasak perlu diletakkan lebih tinggi dari silinder.
  • Jangan simpan silinder gas di tempat tertutup dan tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.
  • Bau pelik atau busuk daripada silinder gas bermakna ada kebocoran. Tutup semua punca api dan jangan gunakan peralatan elektrik.
  • Guna air sabun untuk mengesan kebocoran gas. Jika terdapat buih, bermakna ada kebocoran berlaku. Buka alat atur gas dan alihkan silinder ke tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.
  • Nyalakan api sebelum menghidupkan alat memasak.
  • Sentiasa pastikan pengudaraan yang baik dan jangan tinggalkan ketika sedang memasak.
  • Tutup peralatan memasak dan buka injap alat atur gas jika tidak digunakan.
Facebook

Apa yang perlu dan tidak perlu anda dilakukan:

  • Pastikan tong gas memasak sentiasa dalam keadaan tegak dengan injapnya di atas. Jangan baringkan tong gas anda.
  • Buka pintu atau tingkap semasa memasak untuk pengaliran udara.
  • Jangan letakkan kuali panas atau benda panas yang lain di atas tong gas memasak.
  • Jauhkan kedudukan langsir daripada dapur memasak.
  • Jangan tinggalkan apa yang anda tengah masak tanpa pengawasan.
  • Jika anda ingin meninggalkan rumah untuk satu jangkamasa yang panjang, matikan kepala gas.
  • Pastikan kedudukan dapur memasak anda lebih tinggi dari tong gas.
  • Sebelum memasang kepala gas, pastikan ada gelung getah dalam injap tong gas.
Facebook

Cara mengesan kebocoran gas:

  • Jika anda terhidu bau gas itu bermakna terdapat kebocoran gas.
  • Sesetengah serangga sukakan bau gas dan mereka akan mengerumuni kawasan yang terdapat kebocoran gas.
  • Dalam sesetengah keadaan, anda juga akan dapat mendengar bunyi berdesir menandakan terdapat kebocoran gas.
  • Cara terbaik mengesan kebocoran gas pada saluran gas atau sambungan alat atur gas ialah dengan menggunakan air sabun dan perhatikan jika kelihatan buih sabun pada tempat bocor berkenaan.

Pam minyak tradisional jadi tarikan golongan muda dan orang bandar yang tidak pernah melihatnya

0

Pam minyak tradisional yang perlu dipusing menggunakan tangan untuk menyedut bahan api itu ke balang sebelum dimasukkan ke dalam tangki kereta atau motosikal.

Cara mengepam minyak yang menjadi salah satu daya tarikan buat mereka yang berkunjung ke kawasan pedalaman atau luar bandar, walaupun ia menjadi perkara kebiasaan kerana stesen minyak jenis itu sudah lama beroperasi.

Facebook

Secara tradisional, perkhidmatan mengisi minyak kenderaan ini dikendalikan di dalam sebuah kedai kayu yang bersaiz agak kecil untuk urusan jual beli petrol.

Sehingga ada yang menjadi tarikan pelancong atau orang luar setiap kali berkunjung ke luar bandar.

Facebook

Ada yang begitu teruja untuk melihat cara pengendalian pam minyak yang disifatkan cukup klasik khususnya pada pandangan generasi muda yang julung kali menemuinya.

Facebook

Kebanyakan mereka akan mengambil gambar dan merekodkan video untuk dimuat ke aplikasi sosial seperti TikTok dan Instagram.

Kaedah mengisi petrol ini agak berbeza dengan stesen minyak canggih dan moden kerana ia perlu dipam menggunakan tangan bagi menyedut petrol dari tong simpanan mengikut isipadu yang diinginkan.

Facebook

Setelah penuh, petrol berkenaan akan disalurkan ke tangki kereta atau motosikal dengan menggunakan paip getah.

Walaupun perniagaan dijalankan secara tradisional, petrol yang dijual kepada pelanggan adalah mengikut harga semasa sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Facebook

Jadi, kita tidak perlu terkejut apabila terjumpa pam minyak jenis ini di kawasan luar bandar khususnya di Kelantan, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Agak seronok juga melihatnya kerana lokasi pam minyak tradisional mampu menjadi daya tarikan para pelancong dan anak bandar yang jarang-jarang ke luar bandar.

Pemilik kedai sebak bila dapat tahu ibu ini sanggup gadai gelang emas demi membeli laptop anak kesayangan

0

Memiliki barangan kesayangan yang mempunyai nilai istimewa dan nostalgia tersendiri sudah pasti ada dalam setiap individu.

Biasanya ia berbentuk aset berharga atau barangan kemas yang dihadiahkan oleh orang tersayang atau kita membelinya sebagai ganjaran pencapaian diri sendiri.

Namun kisah seorang ibu yang sanggup menggadaikan gelang emas kesayangan miliknya demi keperluan dan kesejahteraan anak kesayangan amat menyentuh hati.

TikTok

Menerusi video TikTok yang dikongsikan oleh seorang pengguna Nor Asiah Kamis @asiah1106, seorang wanita telah berkunjung ke kedai gajet dan elektronik miliknya untuk membeli komputer riba (laptop) buat anaknya yang sedang melanjutkan pengajian.

“Orang cakap ada jual di sini (di kedai elektronik milik Asiah), jadi mak cik datanglah dekat kedai ni nak tengok bagaimana bayarannya,” kata wanita itu.

Asiah kemudian bertanya adakah ibu ini ingin membuat pembelian secara tunai atau sebaliknya sebelum bertanya berapakah bajet untuk laptop tersebut.

TikTok

“Tak tahu nak cakap macam mana, mak cik kalau boleh nak bagi gelang je dekat cik.

“Gelang ni pak cik belikan, dia beli sempena hari ulang tahun perkahwinan kami,” katanya sambil memegang gelang emasnya di pergelangan tangan.

“Sayang nak tolak, tapi yang penting anak nak belajar tak mengapalah kita berkorban. Ada duit nanti kita beli lain,” kata ibu ini sambil menangis mengenangkan gelang tangannya yang terpaksa dijual.

TikTok

Melihat betapa ibu ini bergelut dan terpaksa mengorbankan barangan kesayangannya, Asiah yang mula sebak telah memintanya untuk menyimpan sahaja gelang emas itu dan menggunakannya ketika dalam situasi yang sangat-sangat memerlukan.

Sebaliknya, sebagai jalan penyelesaian masalah tersebut, Asiah mencadangkan agar ibu ini membuat pembayaran secara ansuran bulanan di kedainya dan wanita itu bersetuju.

Akhirnya, ibu ini tidak perlu menggadaikan gelang emas yang dihadiahkan oleh suaminya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

TikTok

Menjengah di ruangan komen, ramai yang sebak dengan pengorbanan seorang ibu berkenaan. Tidak kurang ada di antara mereka yang berkongsi pengalaman pernah berada dalam situasi sama:

“Sebab tu bila dah jadi seorang ibu.. saya sanggup ikat perut demi anak-anak. Walaupun anak-anak tak pernah minta..”

“Meleleh air mata bila tengok seorang ibu berkorban demi anak.”

“Sedihnya, ibu sanggup berkorban untuk anaknya..”

“Teringat mak dulu masa arwah ayah meninggal, gelang emas yang ayah beli untuk mak, dia jual untuk tampung kami enam beranak.”

“Pernah rasa apa yang mak cik tu rasa..”

“Ibu rela berkorban tanpa berkira, tapi mengapa ada anak berkira hendak bantu mak ayah?”

TikTok

Bertuah anak-anak mak cik ini, memiliki kasih sayang ibu yang sanggup berkorban apa sahaja.

Diharap mereka menjadi anak yang tidak lekang berbakti kepada ibu bapa setelah berjaya dalam pelajaran dan berkerjaya kelak.

Cuba resipi apam mekar undang ketawa dengan komen lucu, ada berkongsi ‘cara menjadi’ lain kali mungkin tiada lagi rupa kerang mutiara

0

Ramai tukang masak pro yang berkata cara membuat kuih tradisional apam sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk disediakan. 

Menyebabkan ramai tukang masak yang biasa-biasa terinspirasi telah mencuba dan bertanya mengapa kuih apam yang mereka hasilkan tidak menjadi, atau tidak pernah menjadi walaupun telah cuba membuatnya berkali-kali dan nampak buruk sahaja kejadiannya.

Seperti hasil tangan apam mekar yang disediakan oleh seorang pengguna Facebook dikenali Jiehah Alias dalam muat naik gambar di Facebook Group Resipi Kuih Muih, dengan kapsyennya yang mengundang komen melucukan:

Facebook

“Saya nak tanya.. Kenapa apam mekar saya pecah macam ni ye? Tak pecah belah atas, kelakar pulak kejadian.. Minta tips ye sifu first time buat ni..” 

Gambar apam mekar rupa kejadian lain daripada yang lain itu mula tular dan mendapat perhatian netizen dengan pelbagai komen lucu mereka:

Facebook
Facebook
Facebook

Disamping ramai juga yang berkongsi cara menghasilkan apam mekar yang cantik, gebu dan lembut dengan resipi serta cara penyediaan yang betul.

“Api kena kuat, adunan tidak boleh cair..”

Facebook
Facebook

Berikut adalah resipi apam mekar yang anda boleh cuba membuatnya untuk rupa cantik dan gebu hasil perkongsian Opah Mas Cotek.

Facebook

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji telur A
  • 100 gm gula pasir
  • 125 gm tepung gandum
  • 100ml susu segar
  • 1 sudu teh ovalette
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • Pewarna yang disukai secukupnya
Facebook

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan ( kecuali pewarna) di dalam mangkuk adunan.

2. Pukul guna kelajuan tinggi anggaran 10 minit sehingga adunan menjadi kembang dan gebu.

3. Ambil sedikit adunan dan warnakan ikut warna kegemaran. Ketepikan.

4. Ambil acuan apam. Jika tiada, guna acuan lompang pun boleh. Susun cawan kertas di dalamnya.

Facebook

5. Sudukan atau picit adunan asal (adunan yang tidak diwarnakan) hingga memenuhi 1/2 cawan kertas.

6. Kemudian sudukan atau picit pula adunan berwarna. Isi hingga penuh acuan.( lebih mudah jika guna piping bag)

Facebook

7. Panaskan kukusan. Kukus Apam Mekar guna api besar selama 15 minit.

8. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

NOTA:

Lapik penutup kukusan menggunakan aluminium foil atau kain supaya air tidak menitis di atas apam.

Untuk 1 adunan ini, akan dapat 15 biji apam (mungkin berbeza ikut saiz acuan).

Facebook

Yang penting anda jangan pernah berputus asa. Selamat mencuba sehingga berjaya!

PDRM terima 4 laporan penampakan harimau sekitar Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu, orang awam diminta berwaspada

0

Sekiranya anda berada di kawasan sekitar Batang Kali, Goh Tong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah di Selangor, anda dinasihatkan supaya berhati-hati kerana terdapat penampakan harimau dilaporkan di sana.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 4 laporan berasingan mengenai kemunculan harimau dengan yang terbaru pada malam 2 September lalu, lapor Bernama.

@bernamadotcom / Twitter X

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan dan pemantauan awal agar penduduk yang berada di kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

“Perhilitan sedang menjalankan siasatan berhubung harimau itu berkeliaran dengan memasang beberapa kamera bagi mengenal pasti lokasi haiwan berkenaan.”

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Dikatakan, penduduk di situ pernah melihat dan mendengar seekor harimau mengaum berhampiran chalet seorang pempengaruh terkenal di Batang Kali.

Justeru, pihak polis berharap orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melakukan aktiviti di luar seperti bercucuk tanam, kegiatan perkhemahan, mendaki bukit, memasuki hutan dan sebagainya.

Selain itu, polis turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai harimau itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132.

Diharap mereka yang menuju ke sana untuk sebarang urusan supaya mengambil perhatian tentang perkara ini.

PM Anwar ucap tahniah kepada Presiden baharu Singapura

0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada bekas Menteri Kanan Singapura Tharman Shanmugaratnam yang telah memenangi pilihan raya Presiden Singapura, pada 1 September lalu.

“Tahniah kepada bekas Menteri Kanan Singapura, Tharman Shanmugaratnam yang telah memenangi pilihan raya Presiden Republik Singapura pada 1 September 2023,” katanya dalam hantaran rasmi di Twitter X.

Presiden Republik Singapura yang baharu Tharman Shanmugaratnam. (Gambar Reuters)

PM Anwar juga berdoa agar hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura terus utuh dalam semangat kekeluargaan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, sambil menambah bahawa beliau berharap Singapura akan terus maju di bawah kepimpinan Presiden baharu, Tharman Shanmugaratnam.

“Selamat maju jaya kepada Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden Republik Singapura yang baharu!” ucap Anwar.

Tharman Shanmugaratnam memenangi pilihan raya Presiden dengan menerima 70.4 peratus undi.

Beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Singapura antara 2011 dan 2019, dan Menteri Kanan dalam kabinet dari 2019 hingga 2023.

Bekas jaguh badminton negara Goh Liu Ying sambut kelahiran anak sulung pada Hari Merdeka

0

Sempena Hari Kebangsaan, selain sambutan di seluruh negara, berita yang sering menarik perhatian ialah tentang bilangan bayi yang dilahirkan pada hari istimewa itu.

Pada tahun ini, Pahang mencatatkan 15 kelahiran, manakala Terengganu 36, dan Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur mencatatkan kelahiran 19 bayi 31 Ogos, lapor New Straits Times.

Antara ibu bertuah yang melahirkan cahaya mata pada 31 Ogos, ialah Goh Liu Ying, bekas jaguh badminton dan pemain beregu campuran negara.

@gohliuying/Instagram

“Selamat datang ke dunia baru, bayi Merdeka. Saya anak Malaysia,” tulis Goh dalam hantaran di Instagram dan Facebook.

Difahamkan, ibu kelahiran Melaka itu bersalin di sebuah hospital swasta di Cheras. Beliau tidak mendedahkan nama anak sulungnya, tetapi gambar Instagram membayangkan beliau selamat melahirkan cahaya mata lelaki berdasarkan belon huruf berwarna biru di dalam bilik hospital berkenaan.

Goh Liu Ying melahirkan cahaya mata pertamanya pada tanggal 31 Ogos selepas mengumumkan persaraannya pada Januari lalu.

Bekas atlet berusia 34 tahun itu mengumumkan perkahwinan dan kehamilannya pada April.

@gohliuying/Instagram

Sebelum bersara, Goh Liu Ying menghabiskan sebahagian besar kerjayanya bermain dalam kejohanan dunia bersama pasangan beregu, Chan Peng Soon.

Selepas mereka berpisah tahun lalu, Goh terus bermain dengan Ong Yew Sin dan Soong Joo Ven, tetapi tidak dapat menunjukkan keserasian, lapor Stadium Astro.

Pada 2016, pasangan beregu campuran Goh dan Chan memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio de Janeiro. Pasangan itu memenangi Kejohanan Thailand Masters dan Terbuka New Zealand pada tahun 2019, menjadikan mereka pasangan beregu campuran Malaysia paling berjaya setakat ini.

Bernas umum kenaikan harga beras putih import sebanyak 36 peratus

0

KUALA LUMPUR: Harga beras putih import dinaikkan kepada RM3,200, meningkat 36 peratus daripada RM2,350 per tan metrik berkuatkuasa 1 September, umum Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Bernas dalam satu kenyataan berkata pelarasan harga bagi beras putih import di gudang seluruh negara adalah sejajar dengan harga global semasa bagi beras putih import.

“Bernas berdepan separuh pertama tahun yang mencabar berikutan faktor yang tidak dapat diramalkan seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik di rantau ini.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Faktor-faktor tersebut secara kolektif meninggalkan kesan ketara dalam pasaran dagangan global, kemudian ditambah dengan larangan eksport beras putih oleh India,” jelasnya.

Bernas terus menyerap kenaikan harga beras putih import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu dan selepas mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini,” katanya.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi dan pihak berkuasa berkaitan serta rakan perdagangan antarabangsa untuk memastikan bekalan beras yang stabil untuk Malaysia.

“Kami juga mengambil langkah sewajarnya untuk menambah baik dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk. Ini adalah peranan kami sebagai penjaga pintu tunggal untuk padi dan beras negara,” menurut kenyataan itu.

Gambar FMT

Pada 20 Julai, India, pengeksport beras terbesar dunia, mengharamkan penghantaran beras putih bukan basmati untuk mengekalkan harga domestik pada paras selesa menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada awal 2024.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan pada 2 September berkata, pihak pengilang padi telah bersetuju memberikan tambahan bekalan beras putih tempatan di pasaran tempatan sebanyak 20 peratus melalui Bernas.

Katanya, Bernas akan memberikan kuota tambahan itu kepada pemborong-pemborong Bumiputera.

“KPKM berharap dengan langkah intervensi ini, bekalan pasaran BPT akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT di pasaran,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, harga BPT kekal pada harga kawalan RM2.60/kg sejak 2008 dan ianya adalah harga terendah di rantau ini,” katanya.

Pada 20 Julai lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca yang dikatakan tidak sesuai telah merencatkan pertubuhan padi, sekali gus berlaku kekurangan beras tempatan.

Rumah usang tapi bersih terurus, keluarga ini buktikan kemiskinan bukan alasan untuk jadi pemalas dan pengotor

0

Siapa sangka rumah kayu usang yang biasanya dilihat tidak terurus mampu mengubah tanggapan anda terhadap kehidupan keluarga miskin.

Walau hanya sebuah bilik kecil yang berdindingkan papan, tetapi keadaannya begitu kemas, rapi dan teratur serta dihias cantik dengan warna kesukaan penghuni bilik itu iaitu merah jambu.

Syed Azmi / Facebook

“Rumah paling miskin saya lawati dan buat saya menangis,” kata aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi menerusi hantaran di Facebook menunjukkan betapa dia menjadi kagum dengan keadaan bilik kecil itu.

Berkongsi pengalaman, Syed Azmi berkata, perkara itu menarik perhatiannya ketika melakukan lawatan ke rumah-rumah asnaf di Kelantan, apabila mewakili NGO, Persatuan Untuk Anak Kita (PUAK Payong).

“Setiap kali saya melawat rumah asnaf, fokus kami adalah kebajikan kanak-kanak. Jadi, bilik tidur kanak-kanak adalah salah satu keutamaan kami terutamanya tempat mereka belajar dalam rumah.

“Dalam banyak-banyak rumah, bilik ini memang mencuri perhatian saya,” katanya kepada mStar.

Syed Azmi / Facebook

Menurut Syed Azmi, rumah itu dihuni oleh pasangan suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka.

Menurutnya, ketua keluarga itu mencari rezeki sebagai pemandu lori dan isterinya merupakan suri rumah.

“Gaji dan upah tidak menentu. Ada tiga anak perempuan yang semuanya masih bersekolah. Memang keluarga ini cukup makan dan sekolah saja.

“Keluarga ini tiada hutang atau pinjam mana-mana. Makan sekadar apa yang perlu tapi tak adalah sampai ada hari yang tak makan langsung. Cuma tak mewah,” katanya.

Syed Azmi / Facebook

Mengenai kesusahan keluarga ini, kata Syed Azmi, mereka perlu membeli air untuk minum dan rumah sering dimasuki air setiap kali banjir berlaku.

“Kenapa saya cakap keluarga ini paling susah? Sebab mereka ada air perigi tapi berbau dan tidak sesuai untuk diminum.

“Tingkat bawah sentiasa dilanda banjir. Mak ayah duduk di tingkat bawah yang tak ada apa-apa perabot. Semua dindingnya comot akibat kesan banjir setiap tahun,” jelasnya.

Syed Azmi berkata, rumah keluarga itu mempunyai loteng yang dibuat pembahagi hanya untuk tiga anak perempuan mereka duduk dan belajar.

Syed Azmi / Facebook

“Lampu pun mereka tarik dari bawah ke atas dan waktu malam je pasang.

“Nampak sangat keluarga ni mengutamakan persekolahan dan kebersihan. Tak perlu diungkapkan dengan kata kata, tengok rumah pun dah tahu,” katanya.

Walaupun baru darjah dua, kata Syed Azmi anak bongsu pasangan itu menghias biliknya sendiri dengan cantik.

“Dalam 10 rumah yang saya pergi, ini yang paling miskin tapi ramai tak nampak miskin itu sebab nak bandingkan dengan rumah-rumah lain yang mereka lihat.

Syed Azmi / Facebook

“Mak dia cerita anak bongsunya memang kreatif dan cuba berjimat-cermat untuk menghias bilik selain disediakan oleh keluarganya,” katanya.

Syed Azmi berkongsi mengenai bilik kanak-kanak berusia lapan tahun yang cantik dan kemas itu kerana mahu menunjukkan bahawa kemiskinan bukan bermakna sesebuah rumah itu perlu nampak kotor dan daif.

Malah kata Syed Azmi, dia mendapati banyak rumah yang tidak daif meskipun penghuninya sekeluarga menjalani kehidupan yang serba kekurangan dan mengalami kekangan kewangan.

Syed Azmi / Facebook

“Dari segi kewangan mereka adalah rendah dan komitmen keluarga tinggi, menyebabkan keluarga ini tersepit.

“Tapi walaupun miskin, kebersihan dijaga dengan baik. Tandas bersih walaupun ada yang mengalami masalah air. Ada adab dan tatasusila yang baik. Malah di rumah mereka ada bacaan di dinding seperti doa dan kata-kata semangat,” kata Syed Azmi yang mengambilnya sebagai satu iktibar.

Abang bomba tetap jadi pujaan Hari Merdeka, tambah plakad “love you” buat ramai cair hati

0

Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, segmen perarakan dalam acara sambutan Hari Kebangsaan adalah antara yang paling dinanti.

Jika tahun lalu, kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapat perhatian sehingga tular di media sosial, tahun ini nampaknya ‘abang bomba’ tetap menjadi pujaan hati ramai.

@kpkt_gov/Twitter

Ia terbukti apabila kontinjen ini menerima sorakan paling gemuruh penonton yang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2023 secara langsung di Dataran Putrajaya.

Malah media sosial juga sudah mula meriah dengan gambar dan video yang dimuat naik orang ramai.

Lebih menarik, kontinjen ini lebih bersedia tahun ini apabila turut membawa bersama beberapa plakad tertulis beberapa ayat seperti “api memang panas tapi kamu semua penyejuknya”, “sayang kamu ketat-ketat” dan “abang bomba love you” sehingga membuatkan ramai yang mencair ‘merah pipi’ dan ‘jatuh hati’.

Netizen juga menyifatkan populariti kontinjen bomba bukan sekadar terletak pada faktor ‘abang-abang sado’, tetapi juga kerana gelagat mereka yang mesra dan tidak kekok melayan kehendak penonton.

“Patutlah popular tiap-tiap tahun. Rajin melayan para peminat abang dan kakak bomba semua,” kata salah seorang pengguna Twitter X.

Turut mendapat perhatian dalam sambutan hari kemerdekaan tahun ini ialah kontinjen Maxis yang membawa maskot green dinocorn gergasi, persembahan Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, anjing-anjing pengesan dari Unit K9 PDRM dan JBPM yang tampil memakai kasut serta persembahan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan.