Memiliki barangan kesayangan yang mempunyai nilai istimewa dan nostalgia tersendiri sudah pasti ada dalam setiap individu.
Biasanya ia berbentuk aset berharga atau barangan kemas yang dihadiahkan oleh orang tersayang atau kita membelinya sebagai ganjaran pencapaian diri sendiri.
Namun kisah seorang ibu yang sanggup menggadaikan gelang emas kesayangan miliknya demi keperluan dan kesejahteraan anak kesayangan amat menyentuh hati.
Menerusi video TikTok yang dikongsikan oleh seorang pengguna Nor Asiah Kamis @asiah1106, seorang wanita telah berkunjung ke kedai gajet dan elektronik miliknya untuk membeli komputer riba (laptop) buat anaknya yang sedang melanjutkan pengajian.
“Orang cakap ada jual di sini (di kedai elektronik milik Asiah), jadi mak cik datanglah dekat kedai ni nak tengok bagaimana bayarannya,” kata wanita itu.
Asiah kemudian bertanya adakah ibu ini ingin membuat pembelian secara tunai atau sebaliknya sebelum bertanya berapakah bajet untuk laptop tersebut.
“Tak tahu nak cakap macam mana, mak cik kalau boleh nak bagi gelang je dekat cik.
“Gelang ni pak cik belikan, dia beli sempena hari ulang tahun perkahwinan kami,” katanya sambil memegang gelang emasnya di pergelangan tangan.
“Sayang nak tolak, tapi yang penting anak nak belajar tak mengapalah kita berkorban. Ada duit nanti kita beli lain,” kata ibu ini sambil menangis mengenangkan gelang tangannya yang terpaksa dijual.
Melihat betapa ibu ini bergelut dan terpaksa mengorbankan barangan kesayangannya, Asiah yang mula sebak telah memintanya untuk menyimpan sahaja gelang emas itu dan menggunakannya ketika dalam situasi yang sangat-sangat memerlukan.
Sebaliknya, sebagai jalan penyelesaian masalah tersebut, Asiah mencadangkan agar ibu ini membuat pembayaran secara ansuran bulanan di kedainya dan wanita itu bersetuju.
Akhirnya, ibu ini tidak perlu menggadaikan gelang emas yang dihadiahkan oleh suaminya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang sebak dengan pengorbanan seorang ibu berkenaan. Tidak kurang ada di antara mereka yang berkongsi pengalaman pernah berada dalam situasi sama:
“Sebab tu bila dah jadi seorang ibu.. saya sanggup ikat perut demi anak-anak. Walaupun anak-anak tak pernah minta..”
“Meleleh air mata bila tengok seorang ibu berkorban demi anak.”
“Sedihnya, ibu sanggup berkorban untuk anaknya..”
“Teringat mak dulu masa arwah ayah meninggal, gelang emas yang ayah beli untuk mak, dia jual untuk tampung kami enam beranak.”
“Pernah rasa apa yang mak cik tu rasa..”
“Ibu rela berkorban tanpa berkira, tapi mengapa ada anak berkira hendak bantu mak ayah?”
Bertuah anak-anak mak cik ini, memiliki kasih sayang ibu yang sanggup berkorban apa sahaja.
Diharap mereka menjadi anak yang tidak lekang berbakti kepada ibu bapa setelah berjaya dalam pelajaran dan berkerjaya kelak.