PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia dan akan menghantar nota bantahan kepada China.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Peta Standard China Edisi 2023 itu yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.
Tegasnya, Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Infografik oleh BH
“Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
“Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia. Malaysia berpandangan isu Laut China Selatan adalah isu yang kompleks dan sensitif.
“Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” katanya.
Susulan kenyataan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata nota bantahan akan dihantar kepada China kerana ia sudah menjadi amalan Malaysia dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.
Malaysia TIDAK mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan (LCS), seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim Malaysia. Peta ini sama sekali tidak mengikat Malaysia. Isu LCS perlu dibincang dengan lebih rasional dan aman. pic.twitter.com/IOEhJjvSkC
“Jadi berdasarkan kenyataan yang sudah dibuat, kita akan ambil tindakan lanjut termasuk menghantar nota bantahan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada 31 Ogos.
Media pada 29 Ogos melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.
Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.
Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Wisma Putra memaklumkan, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efektif.
“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya.
Peta Standard China Edisi 2023 (Kementerian Sumber Asli China)
Sebelum ini, Berita Harian memetik geostrategis merangkap Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Prof Dr Azmi Hassan, dilaporkan berkata China tidak mempunyai asas undang-undang antarabangsa untuk meletakkan kawasan Malaysia, khususnya perairan Sabah dan Sarawak dalam daerah kekuasaannya seperti digambarkan menerusi Peta Standard China Edisi 2023.
Beliau turut menyifatkan tindakan China itu bukan sesuatu yang baharu atau mengejutkan kerana peta yang terkini itu diambil daripada kedudukan Nine Dash Line (Sembilan Garis Putus) kerana China mendakwa 90 peratus Laut China Selatan itu adalah milik mereka.
Pakar undang-undang maritim antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, pula menyarankan Malaysia segera membuat bantahan terhadap tindakan China itu, selain mengeluarkan peta baharu negara kerana yang terakhir dibuat adalah pada 1979.
Biasa sebagai ibu bapa, anak-anak tahu diri disayangi bila mereka dipeluk cium dan selalu menerima ucapan kata-kata menandakan kasih sayang.
Bezanya, anak-anak lebih spontan mendapatkan ibu untuk menyatakan kasih sayang mereka, tetapi buat seorang bapa, mereka lebih selesa mengekspresikan kasih sayang secara diam-diam.
Itulah yang dapat kita saksikan menerusi sebuah video tular hasil perkongsian di Twitter.
Video tersebut pada mulanya memaparkan sepasang suami isteri memberikan kejutan hadiah hari lahir kepada anak perempuan mereka.
Kelihatan anak perempuan itu yang baru pulang dari sekolah berasa pelik kerana ibunya tiba-tiba merakamkan momen tersebut, lalu terkejut apabila melihat sebuah basikal baru di dalam biliknya.
Pada mulanya, anak ini menyangka ibunya yang membelikan basikal tersebut namun selepas mendapat tahu ianya dibelikan oleh bapanya, dia terus berlari ke arah bapa itu untuk mengucapkan terima kasih.
“Yay! Terima kasih papa..” teriaknya dengan riang gembira.
Bapa mana yang tidak gembira sampai terus jadi sebak apabila melihat anak perempuannya mengukir senyuman bahagia di hadapan mata selepas mendapat hadiah yang diidamkannya.
Ada pelbagai cara makan roti untuk menikmati keenakan rasa roti itu.
Contohnya yang ditunjukkan oleh murid perempuan sekolah rendah ini, yang bermula dengan memakan semua kulit roti dan kemudian terakhir barulah memakan intinya yang menyelerakan.
Tular dalam paparan sebuah video TikTok yang dikongsi oleh @azwakiyotbeyo yang memerhatikan seorang budak perempuan memakan roti Gardenia berkrim perisa jagung dengan cara tersendiri.
Gelagatnya tanpa disedari telah mencuri tumpuan.
Dia memakan roti krim berperisa semacam memakan jagung sebenar, dan caranya itu membuat kita semua terasa lapar dan teringin untuk memakan roti krim sepertinya.
Video TikTok itu terus tular dengan meraih lebih 3.8 juta tontonan yang rata-rata netizen menyatakan mereka berasa terhibur melihat gelagat adik comel itu.
Bolehlah kalau hendak cuba cara makan roti jagung macam ini, memang berselera ada rasa jagung sebenar.
Sebuah keluarga yang sedang menjamu selera di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka berdepan detik cemas dan dilaporkan mengalami kecederaan pada hujung minggu lalu apabila seorang remaja merempuh mereka dengan Toyota Avanza milik ibunya.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.43 petang Sabtu, 26 Ogos, apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun secara tidak sengaja tertekan pedal minyak semasa cuba menghidupkan kenderaan pelbagai guna (MPV) ibunya, lapor Bernama.
Tindakan itu telah menyebabkan Toyota Avanza berkenaan berundur secara tiba-tiba menuju ke medan selera, berlanggar dengan Proton Suprima S yang diparkir bersebelahan, sebelum merempuh para pelanggan yang sedang menjamu selera di belakangnya, menurut Ketua polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit.
Kira-kira 11 pelanggan, sebahagian daripada mereka kanak-kanak, sedang menikmati makanan di medan selera berkenaan apabila kenderaan itu merempuh mereka.
Walaupun beberapa pelanggan mengalami kecederaan, namun tiada sesiapa yang membuat laporan polis setakat ini, lapor New Straits Times.
Klip rakaman CCTV menunjukkan Toyota Avanza bergerak secara mengundur ketika ia memasuki medan selera, di mana beberapa keluarga sedang duduk dan makan.
Remaja berkenaan tidak mengalami cedera dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas remaja lelaki berusia 16 tahun itu diarahkan ibunya untuk memanaskan enjin kenderaan, menurut Christopher.
“Remaja itu bagaimanapun menekan pedal minyak apabila telah mengubah gear kepada mengundur, menyebabkan MPV itu terlajak undur secara mengejut dan merempuh pelanggan yang sedang menjamu selera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Avanza terlajak undur rempuh medan selera, lokasi di Tanjung Kling.
Tular video menyentuh hati di TikTok baru-baru ini yang memaparkan seorang guru prihatin dan ketabahan murid orang kelainan upaya (OKU) untuk menamatkan larian 100 meter di trek mendapat perhatian ramai.
Dikongsi oleh pengguna TikTok @faridkamaruddin18, video berdurasi 48 saat itu telah mendapat lebih 635,000 tontonan di platform berkenaan.
Dalam video yang dirakam di sebuah stadium, kelihatan sekumpulan pelajar sekolah mengambil bahagian dalam larian trek 100 meter. Acara tersebut merupakan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023.
Salah seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu adalah seorang yang kudung kaki kirinya, dan berlari dengan bantuan tongkat ketiak bersama rakan-rakannya yang lain.
Walaupun berada dalam keadaan kurang upaya, pelajar itu tabah dan terus berlari, dengan berazam untuk menamatkan perlumbaan seperti rakan-rakannya yang lain.
Di pertengahan larian, pelajar itu boleh dilihat bergelut untuk mengekalkan rentak dan ketika itulah gurunya memberi sokongan kepadanya dari tepi trek.
Guru ini kemudian berlari bersama pelajarnya itu sambil memberinya kata-kata semangat dan memotivasinya untuk menamatkan perlumbaan.
Sementara itu, pelajar OKU berkenaan, Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11 tahun yang dihubungi Harian Metro berkata, meskipun menjadi peserta terakhir yang sampai ke garisan penamat, namun dia bersemangat kerana mendapat dorongan gurunya, Cikgu Intan Zulaikha Jusoh.
“Lega dan tak sangka apabila dapat juga ke garisan penamat. Gembira rasanya terutama apabila cikgu datang peluk dan ucap tahniah kepada saya,” kata anak yatim ini yang kudung kaki kiri sejak 2015 akibat jangkitan kuman.
Seorang pemilik rumah di Atlanta, Georgia, berasa bosan dan sedih memerhatikan pekerja penghantaran melempar bungkusan yang dipesan ke pintu rumahnya dengan tanpa rasa bertanggungjawab.
Semacam barangan yang dibelinya tidak pernah bernilai.
Walaupun hatinya agak sakit dan mahu menegur mereka, dia mendapat idea untuk membalasnya dengan menggunakan kebaikan bagi mengatasi perkara tersebut.
Pengguna Instagram @OrangeKing26 pada mulanya merakam video yang tular dan memuat naiknya di laman media sosial itu dengan menunjukkan beberapa klip pekerja penghantaran yang tertekan telah melambung bungkusan ke arah pintu hadapan rumahnya.
“Saya ada isu dengan pekerja UPS dan FedEx yang membuang bungkusan saya apabila mereka menghantarnya dan ia kelihatan sangat mengecewakan melihat wajah mereka menghantar bungkusan saya,” katanya.
“Jadi daripada memadam api dengan api, saya memutuskan untuk melakukan sesuatu yang baik untuk mereka dengan menunjukkan saya lebih memahami situasi yang dihadapi…dan ia berjaya,” kata @OrangeKing26.
Lelaki ini telah meletakkan kotak bekalan berisi air sejuk dan keropok di anjung rumahnya supaya mereka boleh mengambilnya secara percuma.
Dengan harapan semua pekerja penghantaran itu dapat mengisi semula emosi mereka yang lesu dengan semangat kegembiraan dan ia terus menjadi segar dengan sedikit oleh-oleh yang diberinya, selepas terpaksa bekerja dalam keadaan cuaca yang panas.
Keadaan serta-merta berubah selepas itu, bila mereka tidak lagi marah-marah malahan lebih ceria semasa menghantar bungkusan apabila mendapat air sejuk dan keropok percuma.
Memang tidak rugi apabila seseorang melakukan kebaikan terhadap seorang yang lain, walaupun kadangkala orang itu sebelum ini telah menyakitkan hati kita.
Memandangkan hari ini ramai anak muda yang masih bersekolah berebut-rebut memilih untuk menjadi pencipta kandungan atau “content creator” sehingga ada yang membuat keputusan untuk mengabaikan pembelajaran, Khairul Aming telah menitipkan sedikit pesanan berguna.
Ketika dianugerahkan Creator Of The Year TikTok Awards Malaysia 2023 dalam majlis gemilang yang berlangsung pada 27 Ogos, pempengaruh media sosial itu menyeru golongan muda untuk meneruskan pembelajaran walaupun mempunyai cita-cita menjadi pencipta kandungan.
Pemenang yang dinobatkan dalam kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023, Khairul Aming (KA) atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata untuk kekal menjadi relevan, “content creator” mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak.
“Saya nak ambil kesempatan ini untuk bagi satu ucapan kepada anak-anak muda di luar sana, yang nak jadi content creator, adik-adik yang masih bersekolah teruskan pembelajaran.
“Walaupun awak nak jadi content creator, awak kena ingat jadi content creator ini bukan sekadar untuk viral.
“Untuk relevan lama dalam industri awak perlukan banyak pengetahuan, critical thinking, problem solving, ada adab, ada common sense.
“Jadi habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus yang boleh majukan negara kita Malaysia,” pesannya.
Nasihat Khairul Aming kemudiannya mendapat reaksi yang positif dalam kalangan warganet terutama peminatnya, yang sentiasa menyokong pempengaruh itu.
Mereka turut menyifatkan Khairul Aming adalah pencipta kandungan yang layak dan patut dicontohi oleh golongan muda pada masa kini.
Sebelum itu, jutawan Sambal Nyet yang berusia 31 tahun ini meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyokongnya selama lapan tahun.
Dalam ucapan itu, Khairul Aming yang terkenal dengan kandungan memasak berasa sebak memenangi anugerah tersebut, yang berharap arwah ayahnya dapat menyaksikan momen tersebut.
“Terima kasih kepada mak saya, arwah ayah saya, team Sambal Nyet dan anda semua yang menyokong saya lapan tahun yang lepas.
“Saya harap sangat arwah ayah saya boleh tengok saya malam ini, saya dah kerja keras selama lapan tahun,” katanya dengan nada sebak.
Terima kasih kepada anda semua yang memilih KA untuk Creator of The Year TikTok Awards 2023. Thanks to you guys yang support my career selama ni. I owe you a lot 🙏🏻 pic.twitter.com/OgoridpJYL
Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyerah diri kepada pihak berkuasa di Penjara Fulton County di Atlanta, Georgia, pada 24 Ogos kira-kira jam 7:36 malam waktu tempatan. Beliau dibebaskan dengan bon jaminan AS$200,000 (RM929,800) kira-kira 20 minit selepas melalui prosedur pentadbiran, termasuk diambil cap jari dan gambar untuk syot wajah (mug shot), yang pertama kali dilakukan terhadap seorang Presiden Amerika Syarikat.
Jet peribadinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta pada jam 7:03 malam, selepas itu 13 kenderaan bermotor membawanya ke penjara yang terkenal berbahaya melalui lebuh raya yang diberi laluan lalu lintas oleh polis tempatan.
Trump mempunyai masa sehingga tengah hari pada 25 Ogos untuk menetapkan dirinya mengikut prosedur undang-undang bagi mengelak tangkapan dilakukan selepas Peguam Daerah Fulton, Fani Willis mendakwanya bersama 18 rakan sekutunya yang lain dengan pertuduhan jenayah, termasuk mengatur konspirasi dalam usahanya untuk mencabar keputusan rasmi pilihan raya 2020.
Bekas Presiden Donald Trump semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta Hartsfield-Jackson selepas menyerah diri di Penjara Fulton County, Atlanta pada 24 Ogos 2023. (Gambar oleh Joe Raedle / Getty Images)
Pertuduhan pada 14 Ogos mendakwa bahawa strategi yang dirangka oleh beberapa peguam yang menasihati Presiden Trump untuk mengatur senarai alternatif pemilih di beberapa negeri dan dengan itu menangguhkan pengiraan undi pemilih adalah satu usaha jenayah.
Selepas keluar dari kemudahan penjara, bekas Presiden Trump dibawa terus ke lapangan terbang sekali lagi, di mana beliau bercakap secara ringkas kepada media.
“Apa yang berlaku di sini adalah fitnah keadilan, kami tidak melakukan kesalahan, saya tidak melakukan kesalahan. Dan semua orang mengetahuinya. Saya tidak pernah mendapat sokongan seperti itu. Dan itu juga berlaku dengan yang lain,” katanya merujuk kepada tiga lagi dakwaan yang dihadapinya.
Bekas Presiden Donald Trump dibebaskan dengan bon jaminan pada 24 Ogos 2023. (Gambar oleh Fulton County Sheriff’s Office)
Penyokong Trump berhimpun di pintu masuk Penjara Fulton County
Beliau kemudian mengkritik pendakwaan berkenaan sebagai taktik lawan politiknya untuk menggagalkan pencalonannya pada pemilihan Presiden 2024.
“Apa yang mereka lakukan adalah campur tangan pilihan raya. Mereka cuba campur tangan dalam pilihan raya,” katanya. “Tidak pernah ada perkara seperti ini berlaku dalam negara kita sebelum ini. Ini cara mereka berkempen.”
Kebanyakan defendan dalam kes itu sudah menyerah diri, termasuk bekas Datuk Bandar New York Rudy Giuliani, yang juga bekas peguam Presiden Trump; Mark Meadows, bekas ahli kongres dan ketua kakitangan kepada Presiden Trump; peguam John Eastman, Kenneth Chesebro, Sidney Powell, dan Ray Smith III; pemilih ganti Cathleen Latham dan David Shafer; dan pegawai bon jaminan Georgia Scott Hall.
Semua telah dibebaskan dengan bon, kecuali Harrison Floyd, bekas ketua Black Voices untuk Trump. Rekod penjara menunjukkan beliau tidak menghantar bon jaminan dan dengan itu kekal di dalam tahanan.
Pintu masuk Penjara Fulton County, Atlanta dikawal rapi pada 24 Ogos 2023. (Gambar oleh Madalina Vasiliu / The Epoch Times)
“Kelihatan saya seperti baru pulang dari Berlin Timur, bukan Amerika,” komen Giuliani dalam podcast selepas pulang dari Atlanta.
Beliau menggelar pendakwaan itu sebagai “tragedi dan ketidakadilan Amerika yang hebat” yang akan berulang jika tidak diperlakukan dengan kewajaran.
“Dalam satu tempoh masa, kami telah membenarkan rejim Biden dan penyangak yang mengawal parti itu untuk memusnahkan sistem keadilan Amerika kami,” kata Giuliani.
“Ia adalah percanggahan sepenuhnya dan mengelirukan rakyat untuk mengatakan kita mempunyai keadilan di Amerika. Kita tiada keadilan.”
Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan Jim Jordan (R-Ohio) melancarkan siasatan terhadap pendakwaan pada 24 Ogos, meminta dokumen daripada Peguam Daerah Fani Willis, termasuk sebarang komunikasi mengenai kes itu dengan pentadbiran Presiden Biden.
“Pertuduhan dan pendakwaan anda melibatkan kepentingan persekutuan yang besar, dan keadaan persekitaran tindakan anda menimbulkan kebimbangan serius sama ada ia bermotifkan politik,” surat Rep. Jordan kepada peguam daerah (pdf) memetik.
Sen. Colton Moore dari Republikan Georgia telah menggesa sidang khas Senat negeri untuk menyiasat tindakan Fani Willis.
“200,000 orang yang saya wakili, yang bekerja keras setiap hari untuk wang cukai mereka, mereka tidak mahu wang cukai mereka membiayai Peguam Daerah korup Fani Willis ini,” katanya dalam video 24 Ogos yang disiarkan di X (Twitter).
“Kami, sebagai badan perundangan, saya sebagai senator, kami mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Kami mempunyai tugas perlembagaan untuk memberikan pengawasan terhadap pegawai eksekutif dan kehakiman,” katanya.
Pemindahan Persekutuan
Fani Willis mulanya mencadangkan tarikh perbicaraan pada 4 Mac, jadual yang sangat mencabar untuk kes sebesar ini, menurut beberapa peguam. Tarikhnya jatuh kira-kira seminggu sebelum GOP Georgia dan hanya sehari sebelum pilihan raya utama “Super Tuesday” di 16 negeri.
Defendan Jeffrey Clark, bekas pegawai Jabatan Kehakiman dalam pentadbiran Trump, menentang tarikh perbicaraan dalam pemfailan mahkamah.
Kenneth Chesebro, sebaliknya, memfailkan permintaan untuk perbicaraan segera, dan selepas itu Fani Willis mencadangkan tarikh perbicaraan dipindahkan pada 23 Oktober.
Tidak dapat dipastikan bagaimana garis masa yang disegerakan itu boleh menjadi kenyataan, bagaimanapun, memandangkan undang-undang kes itu sendiri adalah rumit.
“Chesebro akan bersedia untuk meneruskan perbicaraan untuk apa jua tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah,” kata peguamnya, Scott Grubman kepada The Epoch Times.
Mark Meadows ketika di Rumah Putih, Washingston pada 21 Oktober 2020. (Gambar Tasos Katopodis / Getty Images)
Mark Meadows, Jeffrey Clark, Rudy Giuliani, dan David Shafer, yang juga bekas pengerusi Parti Republikan Georgia, telah meminta supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah persekutuan atas alasan bahawa mereka bertindak “di bawah warna” pejabat persekutuan dan oleh itu kes tidak sepatutnya dibicarakan oleh mahkamah negeri. Jika sekurang-kurangnya satu daripada permohonan berjaya, keseluruhan kes akan dipindahkan ke mahkamah persekutuan.
Permohonan Meadows dijadualkan untuk perbicaraan pada 25 Ogos di hadapan Hakim Daerah Steve Jones. Hakim Persekutuan menolak usul Meadows pada 24 Ogos supaya pindahan itu dibenarkan walaupun sebelum perbicaraan.
Permohonan yang berjaya untuk pemindahan mahkamah biasanya diterjemahkan kepada penolakan pertuduhan untuk defendan tertentu kerana justifikasi untuk pemindahan juga boleh digunakan untuk mempertikaikan kekebalan persekutuan—pegawai persekutuan tidak boleh didakwa atas perkara yang telah mereka lakukan sebagai sebahagian daripada tugas mereka, jelas seorang peguam bela kepada The Epoch Times. Selepas mengetepikan sedemikian, hakim persekutuan boleh memutuskan untuk mengembalikan baki kes itu kembali ke mahkamah negeri.
Penyokong di luar
Ratusan orang awam, kebanyakannya media dan penyokong Trump, mula berkumpul pada pagi 24 Ogos ketika menjangkakan ketibaannya di penjara, yang dipagari penghadang polis.
Trump mengesahkan masa ketibaannya pada awal hari itu dalam hantaran di Truth Social, platform media sosialnya.
“Maafkan saya, saya perlu mula bersedia untuk menuju ke Atlanta, Georgia, di mana Pembunuhan dan Jenayah Kekerasan yang lain telah mencapai tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini, untuk DITAHAN oleh Peguam Daerah Haluan Kiri Radikal, Fani Willis, untuk PANGGILAN TELEFON SEMPURNA, dan mempunyai keberanian untuk mencabar PILIHANRAYA YANG DIPALSU & DICURI,” katanya, merujuk kepada sebahagian daripada dakwaan yang menetapkan jenayah kepada panggilan telefonnya pada 2 Januari 2021 dengan Setiausaha Negeri Georgia Brad Raffensperger.
Ratusan penyokong Trump dan wakil media berkumpul di hadapan Penjara Fulton County di Atlanta pada 24 Ogos 2023. (Gambar oleh Madalina Vasiliu / The Epoch Times)
Kandungan panggilan itu secara selektif dibocorkan kepada media untuk mencipta naratif bahawa Trump meminta Raffensperger untuk “mencari” undi yang mencukupi untuk membatalkan pilihan raya.
Apabila transkrip panggilan itu dikeluarkan, ternyata Trump mendakwa bahawa ratusan ribu undi telah dibuang secara tidak sah di negeri itu, khususnya di Fulton County, dan menggesa Raffensperger untuk menyiasat dakwaan penipuan.
“Mengapa anda tidak mahu mencari jawapan yang betul?” soalnya.
Beberapa kali semasa perbualan, Trump menyatakan beliau hanya perlu mengenal pasti kira-kira 11,000 undi tidak sah kerana itu adalah margin di mana beliau kehilangan negeri.
“Jika anda menyemak dengan Fulton County, anda akan mendapat ratusan ribu kerana mereka membuang undi ke Fulton County dan daerah lain di sebelahnya.
“Jadi apa yang kita mahu buat di sini kawan-kawan? Saya hanya perlukan 11,000 undi. Sahabat, saya perlukan 11,000 undi. Berlaku adillah. Anda tahu kami sudah mempunyainya,” katanya.
Pertuduhan lain
Kebanyakan perlakuan sama yang disasarkan oleh Fani Willis juga tertakluk kepada pertuduhan persekutuan yang difailkan terhadap Trump oleh peguam khas Jack Smith di Washington, dengan tarikh perbicaraan seawal Januari.
Bekas Presiden Trump juga menghadapi tarikh perbicaraan pada Mac 2024 untuk pertuduhan negeri yang dibawa ke atasnya di New York atas dakwaan catatan simpan kira palsu dan satu lagi perbicaraan ditetapkan pada Mei untuk kes persekutuan yang dibicarakan di Florida oleh Jack Smith yang melibatkan pengekalan dokumen pertahanan negara oleh Presiden ke-45 itu semasa beliau memegang jawatan.
Bekas Presiden Donald Trump bercakap kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta Hartsfield-Jackson selepas menyerah diri di Penjara Fulton County, Atlanta pada 24 Ogos 2023. (Gambar oleh Joe Raedle / Getty Images)
Trump telah mengecam semua pertuduhan itu sebagai bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengganggu pencalonannya untuk pemilihan semula pada 2024.
Beliau telah berulang kali menegaskan bahawa bilangan undiannya telah bertambah baik walaupun terdapat beberapa timbunan pendakwaan.
“Ini menjadikan ia kelihatan lebih tidak masuk akal. Terdapat empat dakwaan dan mungkin lebih banyak lagi. Saya tidak tahu, orang-orang ini gila,” kata Trump kepada hos rancangan bual bicara Tucker Carlson dalam wawancara 23 Ogos.
Bual bicara itu, berjalan serentak dengan debat presiden GOP pertama, yang dilangkau oleh Trump, dengan memperoleh lebih daripada 230 juta tontonan di Twitter X.
KOTA KINABALU: Sabah buat julung kali akan menyambut Hari Sabah pada 31 Ogos ini bagi memperingati hari negeri itu menjadi negara merdeka 60 tahun lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata sambutan sulung Hari Sabah akan diadakan di Tambunan pada jam 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan di Kota Kinabalu pada sebelah pagi.
Menurutnya, Kabinet Negeri membuat keputusan itu pada mesyuaratnya minggu lalu dan telah memilih Tambunan sebagai tuan rumah untuk sambutan julung kali ini.
“Kabinet juga telah memutuskan bahawa sambutan untuk menandakan peristiwa bersejarah penting Sabah akan disambut setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan dalam kalangan daerah,” katanya dalam satu kenyataan.
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya.
Berdasarkan sejarah, Sabah diberi kebebasan oleh British untuk pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963.
Tarikh berkenaan serentak dengan ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam, selepas mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.
Gambar NST
Sabah kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Daerah Tambunan terletak di bahagian pedalaman Sabah, kira-kira 75 kilometer ke tenggara Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Sarawak turut mengisytiharkan hari kemerdekaannya pada setiap 22 Julai.
TOKYO: Jepun mengumumkan pada 22 Ogos akan mula melepaskan lebih 1 juta tan metrik air radioaktif yang dirawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima yang rosak ke Lautan Pasifik mulai 24 Ogos, biarkan rancangan itu mendapat kecaman hebat oleh China, Hong Kong, Macau dan Korea Selatan.
Pelan itu, yang diluluskan dua tahun lalu oleh kerajaan Jepun sebagai penting untuk menyahtauliah loji yang dikendalikan oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco), juga telah menerima kritikan daripada kumpulan nelayan tempatan kerana bimbang akan kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.
Loji nuklear Daiichi Fukushima akan mula melepaskan air radioaktif yang dirawat ke Lautan Pasifik mulai 24 Ogos 2023 mendapat kritikan antarabangsa. (Gambar BBC)
“Saya menjangkakan pelepasan air akan bermula pada 24 Ogos, keadaan cuaca mengizinkan,” kata Perdana Menteri Fumio Kishida.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan berkata mereka telah memenangi “darjah persefahaman” daripada industri perikanan berhubung pelepasan air radioaktif ke Lautan Pasifik, walaupun kumpulan nelayan berkata mereka masih bimbang kemusnahan reputasi akan menjejaskan mata pencarian mereka.
Air yang dirawat itu pada permulaannya akan dilepaskan dalam bahagian yang lebih kecil dengan pemeriksaan tambahan, dan pelepasan pertama berjumlah 7,800 meter padu dalam tempoh kira-kira 17 hari bermula 24 Ogos, kata Tepco.
Air itu akan mengandungi kira-kira 190 becquerel (Bq) tritium seliter, di bawah had air minuman yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 10,000 becquerel seliter, menurut Tepco. Becquerel (Bq) ialah unit sistem antarabangsa bagi mengukur tahap radioaktif.
Bantahan rakyat Jepun menyeru pembatalan rancangan pelepasan air loji nuklear Fukushima di hadapan Kediaman Perdana Menteri di Tokyo pada 22 Ogos 2023. (Gambar BBC)
Jepun telah mengatakan bahawa pelepasan air adalah selamat. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear PBB, memberi penerangan mengenai rancangan itu pada bulan Julai, dengan mengatakan ia memenuhi piawaian antarabangsa dan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah “sedikit” atau “boleh diabaikan.”
Kira-kira 56 peratus dalam tinjauan yang dijalankan oleh penyiar Jepun FNN pada hujung minggu lalu berkata mereka menyokong pelepasan itu, manakala 37 peratus menentang.
“IAEA dan banyak negara lain berkata ia selamat, jadi saya percaya perkara ini. Tetapi nelayan menghadapi begitu banyak masalah, jadi kerajaan Jepun perlu melakukan sesuatu untuk meyakinkan mereka,” kata pekerja NGO berusia 77 tahun, Hiroko Hashimoto.
Kesangsian luar negara
Aktivis alam sekitar Korea Selatan mengadakan protes membantah kerajaan Jepun melepaskan air radioaktif loji nuklear Fukushima yang dirawat ke Lautan Pasifik. (Gambar AFP)
Walaupun terdapat jaminan, beberapa negara jiran juga menyatakan kesangsian mereka terhadap tahap keselamatan rancangan itu, dengan Beijing menjadi pengkritik yang terbesar.
Jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata China amat bimbang tentang keputusan itu dan telah mengambil langkah dengan mengemukakan aduan rasmi.
Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee menyifatkan pelepasan itu “tidak bertanggungjawab” dan berkata wilayah itu akan “segera mengaktifkan” kawalan import ke atas makanan laut Jepun termasuk dari ibu negara Tokyo dan Fukushima mulai 24 Ogos.
Larangan sama turut akan dilaksanakan oleh Macau, yang meliputi makanan laut hidup, sejuk beku dan kering, serta garam laut dan rumpai laut.
Korea Selatan berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Ogos berkata mereka tidak melihat masalah dalam aspek saintifik atau teknikal rancangan itu, tetapi tidak semestinya bersetuju atau menyokongnya.
Perkara itu memerlukan Presiden Yoon Suk Yeol untuk mencapai keseimbangan ketika beliau mencari hubungan yang lebih baik dengan Jepun sambil mempertaruhkan tindak balas pengguna di negara sendiri.
Di sebalik kegelisahan luar negara, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata beliau percaya “pemahaman yang tepat” mengenai perkara itu sedang menular dalam masyarakat antarabangsa.
Nelayan di jeti perikanan Matsukawaura di Soma, yang berada berhampiran loji nuklear Daiichi Fukushima, Jepun sedang menyediakan persiapan ke laut. (Gambar Kyodo via Reuters)
Jepun berkata ia akan mengeluarkan kebanyakan unsur radioaktif dari air kecuali tritium, iaitu isotop hidrogen yang mesti dicairkan kerana ia sukar ditapis.
“Loji janakuasa nuklear di seluruh dunia telah mengeluarkan air yang mengandungi tritium secara rutin selama lebih 60 tahun tanpa membahayakan manusia atau alam sekitar, kebanyakannya berada pada tahap yang lebih tinggi daripada 22 TBq setahun yang dirancang untuk Fukushima,” kata Tony Irwin, Profesor Madya Kehormat dari Universiti Kebangsaan Australia.
Seorang pegawai Jepun berkata keputusan ujian pertama air laut selepas pelepasan mungkin dikeluarkan kepada awam pada awal September. Jepun juga akan menguji spesies ikan di perairan berhampiran loji itu, dan akan mengemukakan keputusan ujian tersedia di laman web kementerian pertanian.