Pam minyak tradisional yang perlu dipusing menggunakan tangan untuk menyedut bahan api itu ke balang sebelum dimasukkan ke dalam tangki kereta atau motosikal.
Cara mengepam minyak yang menjadi salah satu daya tarikan buat mereka yang berkunjung ke kawasan pedalaman atau luar bandar, walaupun ia menjadi perkara kebiasaan kerana stesen minyak jenis itu sudah lama beroperasi.

Secara tradisional, perkhidmatan mengisi minyak kenderaan ini dikendalikan di dalam sebuah kedai kayu yang bersaiz agak kecil untuk urusan jual beli petrol.
Sehingga ada yang menjadi tarikan pelancong atau orang luar setiap kali berkunjung ke luar bandar.

Ada yang begitu teruja untuk melihat cara pengendalian pam minyak yang disifatkan cukup klasik khususnya pada pandangan generasi muda yang julung kali menemuinya.

Kebanyakan mereka akan mengambil gambar dan merekodkan video untuk dimuat ke aplikasi sosial seperti TikTok dan Instagram.
Kaedah mengisi petrol ini agak berbeza dengan stesen minyak canggih dan moden kerana ia perlu dipam menggunakan tangan bagi menyedut petrol dari tong simpanan mengikut isipadu yang diinginkan.

Setelah penuh, petrol berkenaan akan disalurkan ke tangki kereta atau motosikal dengan menggunakan paip getah.
Walaupun perniagaan dijalankan secara tradisional, petrol yang dijual kepada pelanggan adalah mengikut harga semasa sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jadi, kita tidak perlu terkejut apabila terjumpa pam minyak jenis ini di kawasan luar bandar khususnya di Kelantan, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Agak seronok juga melihatnya kerana lokasi pam minyak tradisional mampu menjadi daya tarikan para pelancong dan anak bandar yang jarang-jarang ke luar bandar.