Sekiranya anda berada di kawasan sekitar Batang Kali, Goh Tong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah di Selangor, anda dinasihatkan supaya berhati-hati kerana terdapat penampakan harimau dilaporkan di sana.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 4 laporan berasingan mengenai kemunculan harimau dengan yang terbaru pada malam 2 September lalu, lapor Bernama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan dan pemantauan awal agar penduduk yang berada di kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat.
“Perhilitan sedang menjalankan siasatan berhubung harimau itu berkeliaran dengan memasang beberapa kamera bagi mengenal pasti lokasi haiwan berkenaan.”

Dikatakan, penduduk di situ pernah melihat dan mendengar seekor harimau mengaum berhampiran chalet seorang pempengaruh terkenal di Batang Kali.
Justeru, pihak polis berharap orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melakukan aktiviti di luar seperti bercucuk tanam, kegiatan perkhemahan, mendaki bukit, memasuki hutan dan sebagainya.
Selain itu, polis turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai harimau itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132.
Diharap mereka yang menuju ke sana untuk sebarang urusan supaya mengambil perhatian tentang perkara ini.