Siapa sangka rumah kayu usang yang biasanya dilihat tidak terurus mampu mengubah tanggapan anda terhadap kehidupan keluarga miskin.
Walau hanya sebuah bilik kecil yang berdindingkan papan, tetapi keadaannya begitu kemas, rapi dan teratur serta dihias cantik dengan warna kesukaan penghuni bilik itu iaitu merah jambu.

“Rumah paling miskin saya lawati dan buat saya menangis,” kata aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi menerusi hantaran di Facebook menunjukkan betapa dia menjadi kagum dengan keadaan bilik kecil itu.
Berkongsi pengalaman, Syed Azmi berkata, perkara itu menarik perhatiannya ketika melakukan lawatan ke rumah-rumah asnaf di Kelantan, apabila mewakili NGO, Persatuan Untuk Anak Kita (PUAK Payong).
“Setiap kali saya melawat rumah asnaf, fokus kami adalah kebajikan kanak-kanak. Jadi, bilik tidur kanak-kanak adalah salah satu keutamaan kami terutamanya tempat mereka belajar dalam rumah.
“Dalam banyak-banyak rumah, bilik ini memang mencuri perhatian saya,” katanya kepada mStar.

Menurut Syed Azmi, rumah itu dihuni oleh pasangan suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka.
Menurutnya, ketua keluarga itu mencari rezeki sebagai pemandu lori dan isterinya merupakan suri rumah.
“Gaji dan upah tidak menentu. Ada tiga anak perempuan yang semuanya masih bersekolah. Memang keluarga ini cukup makan dan sekolah saja.
“Keluarga ini tiada hutang atau pinjam mana-mana. Makan sekadar apa yang perlu tapi tak adalah sampai ada hari yang tak makan langsung. Cuma tak mewah,” katanya.

Mengenai kesusahan keluarga ini, kata Syed Azmi, mereka perlu membeli air untuk minum dan rumah sering dimasuki air setiap kali banjir berlaku.
“Kenapa saya cakap keluarga ini paling susah? Sebab mereka ada air perigi tapi berbau dan tidak sesuai untuk diminum.
“Tingkat bawah sentiasa dilanda banjir. Mak ayah duduk di tingkat bawah yang tak ada apa-apa perabot. Semua dindingnya comot akibat kesan banjir setiap tahun,” jelasnya.
Syed Azmi berkata, rumah keluarga itu mempunyai loteng yang dibuat pembahagi hanya untuk tiga anak perempuan mereka duduk dan belajar.

“Lampu pun mereka tarik dari bawah ke atas dan waktu malam je pasang.
“Nampak sangat keluarga ni mengutamakan persekolahan dan kebersihan. Tak perlu diungkapkan dengan kata kata, tengok rumah pun dah tahu,” katanya.
Walaupun baru darjah dua, kata Syed Azmi anak bongsu pasangan itu menghias biliknya sendiri dengan cantik.
“Dalam 10 rumah yang saya pergi, ini yang paling miskin tapi ramai tak nampak miskin itu sebab nak bandingkan dengan rumah-rumah lain yang mereka lihat.

“Mak dia cerita anak bongsunya memang kreatif dan cuba berjimat-cermat untuk menghias bilik selain disediakan oleh keluarganya,” katanya.
Syed Azmi berkongsi mengenai bilik kanak-kanak berusia lapan tahun yang cantik dan kemas itu kerana mahu menunjukkan bahawa kemiskinan bukan bermakna sesebuah rumah itu perlu nampak kotor dan daif.
Malah kata Syed Azmi, dia mendapati banyak rumah yang tidak daif meskipun penghuninya sekeluarga menjalani kehidupan yang serba kekurangan dan mengalami kekangan kewangan.

“Dari segi kewangan mereka adalah rendah dan komitmen keluarga tinggi, menyebabkan keluarga ini tersepit.
“Tapi walaupun miskin, kebersihan dijaga dengan baik. Tandas bersih walaupun ada yang mengalami masalah air. Ada adab dan tatasusila yang baik. Malah di rumah mereka ada bacaan di dinding seperti doa dan kata-kata semangat,” kata Syed Azmi yang mengambilnya sebagai satu iktibar.