Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, segmen perarakan dalam acara sambutan Hari Kebangsaan adalah antara yang paling dinanti.
Jika tahun lalu, kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapat perhatian sehingga tular di media sosial, tahun ini nampaknya ‘abang bomba’ tetap menjadi pujaan hati ramai.
Ia terbukti apabila kontinjen ini menerima sorakan paling gemuruh penonton yang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2023 secara langsung di Dataran Putrajaya.
Malah media sosial juga sudah mula meriah dengan gambar dan video yang dimuat naik orang ramai.
Lebih menarik, kontinjen ini lebih bersedia tahun ini apabila turut membawa bersama beberapa plakad tertulis beberapa ayat seperti “api memang panas tapi kamu semua penyejuknya”, “sayang kamu ketat-ketat” dan “abang bomba love you” sehingga membuatkan ramai yang mencair ‘merah pipi’ dan ‘jatuh hati’.
Netizen juga menyifatkan populariti kontinjen bomba bukan sekadar terletak pada faktor ‘abang-abang sado’, tetapi juga kerana gelagat mereka yang mesra dan tidak kekok melayan kehendak penonton.
“Patutlah popular tiap-tiap tahun. Rajin melayan para peminat abang dan kakak bomba semua,” kata salah seorang pengguna Twitter X.
Turut mendapat perhatian dalam sambutan hari kemerdekaan tahun ini ialah kontinjen Maxis yang membawa maskot green dinocorn gergasi, persembahan Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, anjing-anjing pengesan dari Unit K9 PDRM dan JBPM yang tampil memakai kasut serta persembahan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan.