31.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 30, 2025
Utama Blog Laman 65

Lelaki beri ganjaran diri sendiri dengan beli iPhone 14 apabila berjaya menabung syiling 50 sen selama 7 tahun

0

Dalam tempoh 7 tahun, seorang lelaki berjaya mengumpul lebih RM5,000 untuk membolehkannya membeli iPhone 14 serba baharu dengan tabungan duit syiling 50 sen.

Menerusi video TikTok yang dimuat naik pada 1 September oleh pengguna @bifoty_camper, boleh dilihat lelaki itu cuba membalikkan botol air 19 liter yang diisi dengan syiling 50 sen di ruang tamunya. 

TikTok

“Hasil tujuh tahun menabung.. Alhamdulillah,” kapsyen dalam video itu, sambil dia bersama ahli keluarganya kelihatan mencuba pula menggunakan gergaji untuk memecahkan bekas air itu dan mengira syiling berkenaan di atas lantai.

Pengguna TikTok itu berkata, mereka berempat mengambil masa selama tiga jam untuk mengira jumlah syiling itu, yang mencecah RM5,360.

TikTok

Malah lelaki yang bernama Muhammad Hafiz Abdul Hamid ini terkejut dengan jumlah simpanan dalam tabungnya.

Memberitahu mStar, Hafiz berkata dia tidak pernah menjangka akan menyimpan begitu banyak wang kerana pada mulanya hanya mengumpul syiling secara suka-suka.

TikTok

“Saya mula menyimpan syiling 50 sen sejak 2016. Saya tidak mengambil inspirasi daripada sesiapa, ia hanya sebagai hobi, dan saya meneruskannya,” kata lelaki berusia 30 tahun dari Pulau Pinang itu.

Tambahnya dia mula menyimpan syiling hanya dalam mug dan bekas kerepek kentang, tetapi seiring masa berlalu dengan tahun-tahun seterusnya dan bilangan syiling pula semakin meningkat, lelaki ini memindahkannya ke dalam botol air dispenser yang besar, seperti yang dilihat dalam video TikTok itu.

TikTok

“Saya hanya simpan syiling 50 sen. Kalau nak tahu, saya larang diri guna syiling 50 sen sebab saya nak simpan,” jelasnya tentang tabiat menyimpan itu.

Untuk terus mengumpul duit syiling 50 sen, Hafiz juga ada membuat servis pertukaran wang kertas kepada duit syiling daripada rakan dan keluarga.

TikTok

Akhirnya, apabila botol itu sudah penuh, Hafiz berkata sudah tiba masanya untuk memecahkan simpanannya.

“Saya mengambil keputusan untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan membeli iPhone 14. Alhamdulillah, saya mampu membelinya secara tunai dan bukan secara ansuran,” kata Hafiz yang bekerja sebagai penyelia pengemasan bilik penginapan di sebuah hotel.

TikTok

Tambahnya, bukan mudah untuk menukar syiling bernilai lebih RM5,000 kerana dia terpaksa pergi ke enam cawangan bank untuk mengira dan mendepositkan duit syiling itu.

Tahniah Hafiz, tabiat anda memang boleh dijadikan inspirasi kepada yang lain, kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit, dan menabung itu amalan mulia.

Kucing jalanan di Kota Kinabalu akhirnya temui rumah kekal di England apabila pelancong Inggeris mengadopsinya

0

Tuah ayam nampak di kaki, tuah kucing siapa yang tahu.

Baru-baru ini, SPCA Kota Kinabalu (KK) berbesar hati berkongsi kisah kejayaan menyelamatkan seekor kucing jalanan yang diberi nama George.

“Sesuatu yang tidak dapat kami sampaikan sepenuhnya kerana kami dibanjiri dengan permintaan setiap hari untuk menyelamatkan haiwan dan inilah pengakhiran bahagia buat George,” kongsi SPCA KK dalam satu hantaran di Facebook.

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Kisahnya bermula pada April tahun ini, apabila SPCA KK menerima e-mel daripada pasangan Steven dan Niki Robinson untuk membantu mereka menyelamatkan dua ekor kucing jalanan dan terbiar di pasar Filipina, Kota Kinabalu, Sabah.

Pasangan Robinsons sekeluarga yang bercuti di Kota Kinabalu dan menginap di Hotel Le Meridien berhampiran pasar itu, pada mulanya mengambil inisiatif untuk memberi makan dan menjaga George bersama seekor lagi kucing terbiar yang mereka temui dan mula jatuh cinta.

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Malangnya, pasangan Robinsons tidak mempunyai masa yang mencukupi di Kota Kinabalu untuk mengatur proses permohonan dan prosedur yang diperlukan bagi mengadopsi dua ekor kucing ini. 

Sebaliknya, selepas pasangan Robinsons pulang ke negara asal di England, mereka telah menghubungi SPCA KK untuk mengetahui sama ada NGO ini boleh membantu. 

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Salah seorang sukarelawan SPCA berjaya menemui George, tetapi malangnya, seekor lagi kucing jalanan yang dimaksudkan tidak ditemui.

George ditemukan di pasar Filipina itu pada malam 21 April 2023. Tidak mengejutkan apabila diperiksa, George mempunyai pelbagai masalah kesihatan, tetapi pasangan Robinsons bertekad untuk mengangkatnya sebagai haiwan peliharaan. 

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

SPCA KK kemudian memulakan proses mengembiri, memberi vaksin, merawat, dan memberi jagaan sementara untuk George, dengan bantuan Jabatan Veterinar yang murah hati.

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Agensi kerajaan itu membimbing SPCA KK bagi melaksanakan proses penghantaran George ke England dengan jayanya untuk bersama pemilik baru yang tidak dapat melupakannya.

Pasangan Robinsons telah berjanji untuk memberinya rumah dan menyayangi George sehingga ke akhir hayat.

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Si comel George sungguh bertuah kerana akhirnya dapat bersama dengan keluarga yang akan menjaganya dengan baik dan menyayanginya dengan sepenuh hati.

“Sila adopsi, jangan beli,” pesan SPCA di akhir hantaran Facebook mereka demi menyelamatkan haiwan terbiar.

SPCA Kota Kinabalu / Facebook

Buat anda yang berminat untuk mengadopsi haiwan kucing atau anjing yang diselamatkan, boleh menghubungi mana-mana pusat perlindungan haiwan dalam negeri masing-masing untuk tujuan berkenaan.

Budak perempuan negara seberang suap makanan kepada rakan sekelasnya yang OKU dengan penuh kasih sayang mencairkan hati dunia

0

Seorang murid perempuan dari Indonesia memenangi hati dunia selepas dia dirakam sedang memberi makan kepada rakannya yang kelainan upaya, dengan apa yang dikatakan netizen seluruh dunia sebagai salah satu interaksi penuh kasih sayang paling asli yang pernah mereka lihat.

Aksi budak perempuan itu telah menjadi tular di luar negara selepas ia dikongsi melalui platform British, LADbible.

LADbible / Facebook

Mereka menulis, “Murid perempuan menyuap makanan tengah hari kepada rakan sekelasnya yang kelainan upaya. Gadis kecil ini mempunyai hati dan jiwa paling baik.”

Detik kasih sayang itu telah dirakam di Sulawesi Selatan, Indonesia.

LADbible / Facebook

Dalam video itu, kanak-kanak perempuan dikenali Marwa yang berusia 7 tahun, boleh dilihat memberi makan kepada budak lelaki yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang bernama Rizki.

Marwa dan Rizki dilihat duduk bersama di atas lantai kaki lima di sekolah mereka ketika waktu rehat.

LADbible / Facebook

Marwa dikatakan memilih untuk berkongsi makanan tengah harinya dan menyuapkan makanan itu kepada Rizki kerana dia tidak membawa bekalnya sendiri.

Kelihatan ada satu ketika, kedua-duanya bergelak ketawa di antara satu sama lain ketika Marwa ternampak mi tergantung keluar dari mulut Rizki semasa dia sedang makan.

Keakraban Marwa dan Rizki dengan interaksi mereka telah mencairkan hati semua.

LADbible / Facebook

Marwa juga dikatakan sering membantu memudahkan urusan Rizki dalam perjalanan pergi dan balik sekolah, serta di dalam bilik darjah tempat mereka menjadi rakan baik yang duduk semeja.

Persahabatan indah dengan hati tulus ikhlas yang jarang-jarang kita dapat lihat pada hari ini.

Tonton video di sini.

Lelaki main mesin ‘claw’ tidak sangka berjaya menang anak patung gajah comel bersama ‘hadiah percuma oyen’ luar jangkaan

0

Suatu hari, Rider Soares dan isterinya memutuskan untuk bersiar-siar ke bandar Nioaque, Brazil yang tidak jauh dari rumah mereka. Di sana, pasangan itu singgah di pusat sosial tempatan untuk menjamu selera dan merehatkan kaki mereka.

Ketika itulah Soares perasan terdapat mesin permainan anak patung atau ‘claw machine’ yang membuatnya teruja untuk mencuba.

“Setiap kali saya melihat mesin permainan claw, saya kena bermain,” kata Soares.

Rider Soares / Facebook / Storyful Viral

Soares memasukkan beberapa syiling dan mula bermain untuk mencuba nasibnya, sambil tersenyum menumpukan pandangannya kepada anak patung gajah mewah yang dia teringin antara anak patung lain yang terletak di dalam kotak kaca mesin itu. 

Isteri Soares pula sambil santai-santai merakam usahanya mendapatkan anak patung gajah itu dengan menggunakan telefon pintar.

“Saya cukup bernasib baik kerana telah berjaya mendapatkan gajah itu,” kata Soares.

Tetapi itu bukan satu-satunya “hadiah” yang dimenanginya.

Rider Soares / Facebook / Storyful Viral

Alangkah terkejutnya dia apabila tiba-tiba seekor oyen sedang tertidur di dalam bekas kecil mesin claw itu dan Soares telah membangkitkannya. Apabila gajah comel jatuh tersungkur, oyen pula telah terbangun daripada lenanya.

Soares dan isterinya tidak menjangka oyen pula yang muncul secara percuma dan tanpa usaha seperti dia mahu mendapatkan gajah.

“Kami ketawa berdekah-dekah kerana oyen yang keluar bulat-bulat sambil menggeliat,” kata Soares. 

Rider Soares / Facebook / Storyful Viral

“Saya seorang pencinta haiwan, jadi apabila saya melihatnya, saya tidak teragak-agak untuk merangkulnya. Dia sangat comel!”

Soares berasa gembira melihat si oyen telah memberi kejutan sebagai sebahagian hadiah dari mesin claw itu.

Pada mulanya dia fikir mungkin “hadiah” hidup yang diberikan oleh mesin permainan claw ini boleh dibawanya pulang, tetapi tidak lama kemudian didapati kucing itu sebenarnya tinggal sebagai haiwan peliharaan salah seorang pemilik perniagaan di situ.

Rider Soares / Facebook / Storyful Viral

“Sayang sekali saya tidak boleh mengadopsinya kerana dia sudah mempunyai pemilik,” kata Soares.

Nyandra Costa, yang bekerja di perniagaan itu, Ypê Auto Posto berkata kucing itu dipelihara dengan baik oleh semua kakitangan dan dia diketahui sering tidur di dalam mesin ‘claw’ itu dari semasa ke semasa.

“Namanya Garfield dan dia sangat sopan,” kata Costa.

Rider Soares / Facebook / Storyful Viral

Akhirnya, Soares hanya mampu membawa pulang anak patung gajah yang dimenanginya, tetapi, baginya, Garfield adalah hadiah sebenar yang memenangi hatinya tidak kira dia ada pemilik atau tidak.

“Dia adalah perkara terbaik yang pernah saya terima selama bermain permainan ini. Siapa boleh membayangkan kita dapat haiwan sebenar dari dalam mesin claw?” katanya sambil ketawa.

Tonton video di sini.

Farid Kamil umum bakal rujuk semula Diana Danielle secepat mungkin

0

Semua mengetahui mereka sudah sah bercerai talak satu pada 10 Ogos yang lalu, namun kelibat mesra Diana Daniella dan Farid Kamil sejak beberapa hari lalu telah mencetuskan tanda tanya. 

Pasangan itu menerusi laporan media mengumumkan bakal rujuk semula dan akan kembali bersama sebagai suami isteri.

Dalam acara hiburan Karnival Mega Suria yang bertempat di Petaling Jaya, Farid dan Diana menjadi topik perbualan hangat warganet selepas tampil bersama menghadiri acara itu.

Instagram

Diana menegaskan kepada Astro Gempak, semua perkara perlu mengikut proses yang ditetapkan dan dia tidak berada dalam fasa tergesa-gesa.

Tambah Diana, mereka tidak pernah berhenti berdoa begitu juga anak-anak yang mahukan mereka bersatu kembali, selain tidak mengetahui yang ini merupakan pengakhirannya kerana setiap hal telah ditentukan oleh Allah SWT.

Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor selepas 11 tahun usia perkahwinan.

Instagram

Sebelum itu, Diana telah memfailkan tuntutan cerai di mahkamah dengan Diana seakan nekad untuk bercerai seolah-olah sudah tawar hati.

Meskipun beberapa tawaran perdamaian telah diberikan oleh Farid Kamil, semuanya telah menemui kegagalan selepas Diana menolaknya.

Pengumuman rujuk semula tersebut disambut penuh syukur oleh para peminat dengan mendoakan agar jodoh pasangan selebriti itu berpanjangan dan semakin kuat demi anak-anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora.

Pemandu bas pengsan akibat tidak tahan bau durian yang dibawa penumpang

0

Bukan semua orang menyukai buah durian lebih-lebih lagi dengan baunya yang kuat, seperti seorang pemandu bas dari Thailand ini yang mempunyai alahan kepada durian.

Gara-gara durian yang dibawa salah seorang penumpang, pemandu bas bernama Kussama Srisong mengalami sesak nafas sebelum pengsan.

Pemandu wanita itu berkongsi dalam hantaran di Facebook pada 8 September bahawa dia pada mulanya mengalami kesukaran bernafas dan akhirnya pengsan selepas penumpang membawa raja buah itu ke dalam bas yang dipandunya.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Kejadian itu telah menyebabkan keseluruhan jadual dan perjalanan bas mengalami kelewatan selepas dia dirawat di tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital tidak lama kemudian.

Dalam hantarannya itu, Srisong menjelaskan bahawa dia mengalami alahan kepada durian.

Menceritakan detik itu, Srisong pada mulanya telah mengesan seorang penumpang yang membawa buah itu ke dalam bas, dan memintanya untuk turun bersama durian itu.

Ini kerana durian adalah buah larangan dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam di Thailand.

Bagaimanapun, Srisong tetap mengalami reaksi alahan yang teruk akibat terdedah kepada buah itu, apabila tiba-tiba berasa “sesak di dada dan sukar bernafas” sebelum jatuh pengsan.

Muat naik gambar menunjukkan wanita itu berbaring di atas tempat duduk di tingkat pertama bas sambil seorang wanita berjaket menjaganya.

Sementara itu, seorang lelaki lain berdiri di sebelahnya dan mengipas-ngipas bagi memberi pengudaraan yang cukup kepadanya.

Facebook

Srisong mendedahkan keseluruhan insiden dia pengsan telah menyebabkan kelewatan bas yang serius.

“Apabila anda membawa durian ke dalam bas, bukan anda sahaja yang tidak dapat meneruskan perjalanan, tetapi ramai yang lain mungkin terpaksa pulang lewat kerana anda,” tulisnya.

Srisong mengakhiri hantaran itu dengan mengucapkan terima kasih kepada penyelamat yang membawanya ke hospital.

Dia juga menghargai penumpang yang menjaganya, dan penyelianya yang menghubunginya untuk memeriksa keadaannya.

Dalam hantaran pada 9 September, Srisong memberitahu yang dia semakin sihat, malah telah kembali bekerja pada hari itu.

Srisong kemudian menjelaskan kepada media Thairath mengapa dia mengalami reaksi buruk sedemikian.

“Sekiranya penumpang membawa durian ke dalam bas, mereka boleh diarahkan untuk turun segera. Tetapi baunya masih kekal,” katanya.

Wanita itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membawa apa-apa makanan dan barangan yang berbau kuat seperti durian dan ikan masin ke dalam pengangkutan awam kerana ini adalah item yang dilarang.

“Kalau hendak makan, belilah berdekatan rumah atau dengan kenderaan sendiri supaya tiada masalah,” kata Srisong.

Tulisan jururawat ini kekal kemas dan cantik walaupun menulis dengan cara unik gaya terbalik

0

Apabila memperkatakan tentang seni dan gaya menulis, setiap individu mempunyai cara mereka yang tersendiri mengikut keselesaan masing-masing.

Kebiasaan bagi mereka yang bertangan kanan, buku akan ditegakkan untuk tulisan nampak kemas dan cantik, dan bagi mereka yang kidal, buku atau kertas akan disengetkan, malahan ada yang diterbalikkan dengan gaya yang sangat unik.

Seperti yang dipaparkan oleh seorang jururawat ini yang mewakili sebahagian daripada mereka yang bertangan kidal (hanya terdapat 8 hingga 15% dalam populasi dunia).

Facebook

Agak menarik untuk diperhatikan apabila sudahlah jururawat ini kidal yang memang unik, ditambah pula beliau boleh menghasilkan tulisan yang cantik dan kemas dalam keadaan terbalik. 

Menerusi video yang dikongsikan oleh Einafaizal di TikTok, kelihatan jururawat berkenaan sedang menulis.

Facebook

Kebolehannya menulis secara terbalik dengan pantas dan lancar agak memukau pandangan. Bukan itu sahaja, tulisannya juga dilihat agak kemas dan cantik.

“Buku terbalik tu, berapa tahun dah tegur tapi macam ni juga gayanya,” tulis Einafaizal pada kapsyen video tersebut.

Facebook

Video yang mendapat perhatian ramai apabila mereka memuji kelebihan dan keunikan yang ada pada jururawat itu, malahan tidak kurang juga yang berpendapat hanya golongan kidal sahaja yang memiliki bakat berkenaan.

Facebook

“Macam saya tulis ni. Hanya orang kidal sahaja yang boleh buat macam ni.”

“Kalau tak silap, kebanyakan saya jumpa jenis tulis macam ni semua kidal..”

“Unik, saya pun kidal juga, tapi senget jelah bukunya..”

“Tulis terbalik pun tulisan cantik.”

Tonton video di sini.

Kena jangkitan mulut, wanita kongsi padah cuba ‘tester gincu’ di kedai farmasi terus ke bibir dan bukannya di tangan

0

Bila ke pusat membeli-belah, kedai farmasi memang disukai oleh kaum wanita.

Tambah bila Guardian atau Watson buat jualan murah, memang ramai yang menyerbu untuk membeli kosmetik dan produk kecantikan kulit. 

Almaklum produk kecantikan sedang murah, mestilah bahagian tester akan sibuk sikit dengan mereka yang mahu menguji sesuai atau tidak produknya sebelum membeli. 

Twitter

Baru-baru ini, tular sebuah video di Twitter yang memaparkan seorang wanita yang berada di Watson dengan selambanya mencuba tester gincu di bibir tanpa peka ia dipenuhi kuman.

Dan tanpa menyangka wanita ini telah terkena jangkitan di mulut selepas mencuba gincu itu terus ke bibir.

Twitter

Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang wanita sedang mencuba gincu yang ingin dibeli di kedai farmasi terkenal tersebut.

Wanita ini kemudian menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan sepertinya kerana faktor kebersihan. 

Kadangkala ada pelanggan yang berpenyakit mencuba gincu tersebut dan boleh berjangkit ke orang lain.

Twitter

Seperti yang dialami oleh wanita tersebut setelah mengambil tester gincu yang terus diratakan ke bibir sendiri mengakibatkan dia terkena jangkitan mulut.

“Dekat area tepi bibir. Mula mula gatal pastu tak lama jadi luka-luka kecil pastu merebak area bibir lain then bengkak, yang kena mesti akan rasa tak sihat nak demam and pening,” katanya.

Mujurlah kini mulut wanita itu telah kembali pulih dan normal.

Twitter

Tidak tahu pula selama ini ramai saja rasanya yang tahu ‘tester gincu’, ‘foundation’, ‘concealer’ dan lain-lain itu patut disapu di bahagian tangan sahaja, sebab itu menjadi asas menjaga kebersihan.

Apa-apa pun bagi mereka yang belum tahu, ‘tester lipstick’ tidak boleh diletak terus ke bibir kerana memang terdapat banyak kuman dan bakteria di situ.

Silap-silap orang lain ada penyakit serius, tidak pasal-pasal kita pula dijangkitinya.

Siang bekerja pejabat, malam hari pemuda gigih ini jadi barista berniaga kopi dari but Honda CRV milik keluarganya

0

Seorang pekerja Mohamad Hazreel Mazlan yang bertugas di sebuah syarikat perdagangan pada siang hari, menjadi barista dan pemilik kedai kopi pada waktu malam demi menjana pendapatan tambahan.

Hazreel memulakan perniagaannya dengan modal yang agak kecil sambil menjadikan kereta Honda CRV milik keluarganya menjadi kafe DIY.

Sebelum membuka Lujayn’s Coffee di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, Hazreel merupakan pemandu e-hailing sambilan.

Gambar Bernama

Menurut Bernama, Hazreel membelanjakan kira-kira RM15,000 untuk membeli mesin pembuat kopi, mesin espresso, mesin pengisar kopi, dan generator kecil untuk memulakan perniagaannya.

“Memandangkan ini kereta keluarga, saya tidak dapat mengubah suai rak dalam but… Saya terpaksa memilih sesuatu yang boleh dialihkan, sebab itu saya mendapatkan palet kayu, yang mudah untuk saya masuk dan keluarkan dari dalam but dan untuk mudah membersihkan ruang itu juga,” kongsinya.

Inspirasi untuk membuka kafe mudah alih but keretanya datang selepas Hazreel bertemu dengan pengusaha Kopi Rumah, yang turut menggunakan keretanya sebagai platform perniagaan.

Gambar Bernama

“Saya pernah pergi café hopping, dan ketika itulah saya bertemu dengan pemilik Kopi Rumah, yang menjual kopi dari but keretanya.

“Saya kemudiannya memulakan penyelidikan dan mencari perniagaan sama yang beroperasi di seluruh Malaysia. Saya juga bermalam di lokasi tertentu untuk mengkaji bagaimana mereka mengendalikan perniagaan dari but kereta mereka,” kata Hazreel.

Dengan dorongan daripada rakan-rakannya dan petua berharga daripada pemilik Kopi Rumah, Hazreel memulakan perniagaan kopinya selepas mempelajari teknik membuat pelbagai jenis kopi daripada video YouTube dan bahan bacaan.

Hazreel berkata pendapatan yang diperoleh daripada kedainya akan digunakan untuk membiayai perkahwinannya.

Gambar Bernama

“Sebenarnya, jumlah jualannya sukar ditentukan. Adakalanya, kami menjual sehingga 20 cawan, dan ada kalanya kami menjual kurang daripada 10 cawan kerana kami beroperasi dengan masa yang terhad hanya empat jam pada waktu malam.

“Saya menjalankan perniagaan hanya untuk mendapatkan wang tambahan bagi perkahwinan kami,” kata Hazreel.

Anda yang berminat merasai keenakan kopi Lujayn’s Coffee boleh berkunjung ke alamat ini:

Berhampiran Myride Bespoke Wangsa Setia

Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati

53300 Kuala Lumpur.

Waktu perniagaan:

8 malam – 12 pagi (Selasa – Ahad)

Pempengaruh kejutkan penunggang p-hailing dengan motosikal serba baru menggantikan yang disita JPJ

0

TikTok terbaru memaparkan seorang penunggang p-hailing yang dilihat berjalan di tepi jalan raya selepas motosikalnya dirampas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendapat perhatian ramai di media sosial.

Dalam video berdurasi 17 saat itu, penunggang itu boleh dilihat menggalas beg penghantaran makanan di belakangnya ketika berjalan di tepi jalan raya. Kamera turut merakam barisan motosikal yang diletakkan di tepi jalan raya, bersama pegawai JPJ yang mengawasi mereka.

TikTok

Menurut lokasi yang ditandakan dalam video itu, kejadian berlaku di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, dan kemudiannya disahkan sebagai operasi sekatan jalan raya rutin.

Menyentuh hati ramai setelah video TikTok itu dimuat naik sejak 12 September lalu, ramai menyatakan rasa bersimpati dengan nasib penunggang p-hailing itu tanpa mengetahui kisah sebenar di sebalik mengapa motosikalnya terpaksa disita tanpa budi bicara.

Sehinggakan kisah penunggang p-hailing berkenaan mendapat perhatian pempengaruh dan pencipta kandungan Aisar Khaledd. 

TikTok

Beliau akhirnya menemui penunggang berkenaan yang bernama Muhammad Shahrul untuk memberinya kejutan dan membantunya.

Muhammad Shahrul dikunjungi Aisar di rumahnya di Sepang yang mendokumentasikan detik pertemuan dan kejutan itu di TikTok.

Aisar bertanyakan kepada Shahrul tentang apa yang berlaku. Shahrul berkata dia ditahan dalam sekatan jalan raya semasa sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di sekitar Salak Tinggi dan Nilai. Menceritakan keadaannya sambil menangis, Shahrul berkata, cukai jalan dan insurans bagi motosikalnya telah tamat tempoh sehingga memerlukannya untuk menyerahkan kunci dan motosikal itu kepada pegawai JPJ yang menjalankan tugas.

TikTok

Berharap dapat membantu Shahrul, Aisar berkata dia mempunyai kejutan untuknya. Ketika membawanya ke kedai motosikal, Aisar mendedahkan dia telah membeli motosikal serba baharu untuk Shahrul. Dengan rasa sendu, Shahrul memeluk dan mengucapkan terima kasih kepada Aisar kerana telah bersusah payah membantunya.

“Ini rezeki abang, ini untuk abang,” kata Aisar kepada Shahrul.

TikTok

Pada penghujung TikTok, Aisar turut menghulurkan sedikit wang kepada Shahrul sebelum mengiringinya pulang untuk meneruskan kerjanya sebagai penghantar makanan Foodpanda.

Menerima pujian yang luar biasa atas kebaikan hatinya, video Aisar telah menerima lebih 10 juta tontonan di TikTok.

“Semoga saudara Aisar dan Shahrul dipermudahkan segala urusan, dan dimurahkan rezeki,” komen seorang pengguna TikTok.

Pengguna lain turut memuji Aisar dengan mengatakan seseorang tidak memerlukan banyak perkataan untuk berbuat baik kepada seseorang yang lain.

“Terus sebarkan kebaikan, Aisar. Teruskan membawa senyuman kepada lebih ramai orang dan membawa manfaat kepada kehidupan mereka,” komen pempengaruh Adrian Edy.

TikTok

Sambil terharu dan berterima kasih atas kebaikan Aisar, Shahrul mengaku bertanggungjawab sepenuhnya apabila motosikalnya mempunyai cukai jalan yang tamat tempoh dan tiada insurans selama 7 bulan.

Ketika menjelaskannya kepada Harian Metro, Shahrul berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di Jalan Persiaran Negeri di Nilai itu sememangnya sering menjadi lokasi sekatan jalan raya rutin oleh pihak JPJ.

“Saya mengaku salah kerana cukai jalan motosikal saya telah tamat tempoh dan saya tidak mempunyai insurans. Oleh itu, saya bersetuju dan menyerah sahaja dengan mereka, saya berikan kunci dan motosikal saya disita,” kata Shahrul.

Shahrul menepis segala khabar angin di media sosial yang mencadangkan dia terpaksa berjalan sejauh empat kilometer tanpa arah, sebaliknya berkata dia berjalan kaki ke lokasi lain dan tidak lama selepas itu telah meminta salah seorang rakannya datang menjemputnya dan meneruskan penghantaran.

TikTok

Bapa kepada dua anak berusia 26 tahun itu berkata dia tidak menyangka video itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.

Di sebalik rezeki yang dikurniakan, Shahrul terus terang menyatakan betapa ujian ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki sebagai penunggang p-hailing, kerana ia antara sumber pendapatan baginya menambah pendapatan untuk menyara keluarga.

“Sebenarnya saya ada kerja hakiki cuma cari rezeki sebagai penunggang p-hailing sejak lebih setahun lalu untuk menambah pendapatan, apa yang berlaku tidak melemahkan semangat saya,” katanya.

TikTok

“Saya tidak menjangkakan semua ini dan saya sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya selepas menonton video itu. Saya akui bahawa ia adalah salah saya, tetapi saya juga mengambil ini sebagai pengajaran di masa hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, dalam satu kenyataan pada 13 September memaklumkan cukai jalan motosikal yang ditunggang Muhammad Shahrul didapati telah tamat tempoh sejak bulan Februari lalu, selain tiada insurans.

Menurutnya, tindakan JPJ menyita motosikal-motosikal berkenaan adalah atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain kerana tidak dilindungi insurans.