Beberapa keluarga yang tinggal di PPR Pekan Kepong dan PPR Batu Muda di Kuala Lumpur menerima lawatan dan kehadiran mengejut daripada pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan aduan penghuni berkenaan halangan di ruang awam di luar unit kediaman mereka.
Penghuni yang terlibat dan berdegil berdepan tindakan sitaan harta benda seperti meja, kerusi almari, dan lain-lain oleh pihak berkuasa DBKL di bawah Undang-Undang Kecil Perumahan Awam (Wilayah Persekutuan) 2000, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun maksima RM2,000 atau 6 bulan penjara.

Menurut seorang pegawai DBKL kepada The Star, operasi penguatkuasaan yang dinamakan Operasi Pindah Halangan akan diteruskan secara berkala, justeru beliau memberi amaran kepada penghuni supaya mengalihkan barang-barang mereka yang letakkan di suar kaki flat atau berhadapan tindakan sita selepas diarahkan dengan notis makluman untuk berbuat demikian.

“Alih keluar, atau kami akan mengeluarkannya untuk anda dan ia bukan sesuatu yang murah,” kata pegawai DBKL berkenaan.
“Selain barang bersepah menyakitkan pemandangan di laluan awam yang boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini, ada juga penghuni yang menjadikan bilik stor dan bilik riser PPR sebagai ruang simpanan peribadi mereka. Ini salah dan berbahaya. Bilik riser bertujuan untuk sistem perlindungan kebakaran yang membolehkan anggota bomba bergerak jika berlaku kebakaran,” tambah pegawai itu.

Katanya, laluan awam yang terhalang oleh pelbagai barangan boleh mendatangkan bahaya terutama ketika kecemasan seperti berlakunya kebakaran kerana halangan boleh melambatkan proses pihak bomba untuk bertindak pantas.

Tambah pegawai itu, terdapat banyak pertelingkahan antara penduduk kerana sifat mementingkan diri segelintir pihak, dan beliau berharap orang ramai akan lebih memahami dan saling bertoleransi serta menjaga kebersihan apabila berkongsi ruang awam.