Bukan semua orang menyukai buah durian lebih-lebih lagi dengan baunya yang kuat, seperti seorang pemandu bas dari Thailand ini yang mempunyai alahan kepada durian.
Gara-gara durian yang dibawa salah seorang penumpang, pemandu bas bernama Kussama Srisong mengalami sesak nafas sebelum pengsan.
Pemandu wanita itu berkongsi dalam hantaran di Facebook pada 8 September bahawa dia pada mulanya mengalami kesukaran bernafas dan akhirnya pengsan selepas penumpang membawa raja buah itu ke dalam bas yang dipandunya.
Kejadian itu telah menyebabkan keseluruhan jadual dan perjalanan bas mengalami kelewatan selepas dia dirawat di tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital tidak lama kemudian.
Dalam hantarannya itu, Srisong menjelaskan bahawa dia mengalami alahan kepada durian.
Menceritakan detik itu, Srisong pada mulanya telah mengesan seorang penumpang yang membawa buah itu ke dalam bas, dan memintanya untuk turun bersama durian itu.
Ini kerana durian adalah buah larangan dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pengangkutan awam di Thailand.
Bagaimanapun, Srisong tetap mengalami reaksi alahan yang teruk akibat terdedah kepada buah itu, apabila tiba-tiba berasa “sesak di dada dan sukar bernafas” sebelum jatuh pengsan.
Muat naik gambar menunjukkan wanita itu berbaring di atas tempat duduk di tingkat pertama bas sambil seorang wanita berjaket menjaganya.
Sementara itu, seorang lelaki lain berdiri di sebelahnya dan mengipas-ngipas bagi memberi pengudaraan yang cukup kepadanya.
Srisong mendedahkan keseluruhan insiden dia pengsan telah menyebabkan kelewatan bas yang serius.
“Apabila anda membawa durian ke dalam bas, bukan anda sahaja yang tidak dapat meneruskan perjalanan, tetapi ramai yang lain mungkin terpaksa pulang lewat kerana anda,” tulisnya.
Srisong mengakhiri hantaran itu dengan mengucapkan terima kasih kepada penyelamat yang membawanya ke hospital.
Dia juga menghargai penumpang yang menjaganya, dan penyelianya yang menghubunginya untuk memeriksa keadaannya.
Dalam hantaran pada 9 September, Srisong memberitahu yang dia semakin sihat, malah telah kembali bekerja pada hari itu.
Srisong kemudian menjelaskan kepada media Thairath mengapa dia mengalami reaksi buruk sedemikian.
“Sekiranya penumpang membawa durian ke dalam bas, mereka boleh diarahkan untuk turun segera. Tetapi baunya masih kekal,” katanya.
Wanita itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membawa apa-apa makanan dan barangan yang berbau kuat seperti durian dan ikan masin ke dalam pengangkutan awam kerana ini adalah item yang dilarang.
“Kalau hendak makan, belilah berdekatan rumah atau dengan kenderaan sendiri supaya tiada masalah,” kata Srisong.