Tuah ayam nampak di kaki, tuah kucing siapa yang tahu.
Baru-baru ini, SPCA Kota Kinabalu (KK) berbesar hati berkongsi kisah kejayaan menyelamatkan seekor kucing jalanan yang diberi nama George.
“Sesuatu yang tidak dapat kami sampaikan sepenuhnya kerana kami dibanjiri dengan permintaan setiap hari untuk menyelamatkan haiwan dan inilah pengakhiran bahagia buat George,” kongsi SPCA KK dalam satu hantaran di Facebook.
Kisahnya bermula pada April tahun ini, apabila SPCA KK menerima e-mel daripada pasangan Steven dan Niki Robinson untuk membantu mereka menyelamatkan dua ekor kucing jalanan dan terbiar di pasar Filipina, Kota Kinabalu, Sabah.
Pasangan Robinsons sekeluarga yang bercuti di Kota Kinabalu dan menginap di Hotel Le Meridien berhampiran pasar itu, pada mulanya mengambil inisiatif untuk memberi makan dan menjaga George bersama seekor lagi kucing terbiar yang mereka temui dan mula jatuh cinta.
Malangnya, pasangan Robinsons tidak mempunyai masa yang mencukupi di Kota Kinabalu untuk mengatur proses permohonan dan prosedur yang diperlukan bagi mengadopsi dua ekor kucing ini.
Sebaliknya, selepas pasangan Robinsons pulang ke negara asal di England, mereka telah menghubungi SPCA KK untuk mengetahui sama ada NGO ini boleh membantu.
Salah seorang sukarelawan SPCA berjaya menemui George, tetapi malangnya, seekor lagi kucing jalanan yang dimaksudkan tidak ditemui.
George ditemukan di pasar Filipina itu pada malam 21 April 2023. Tidak mengejutkan apabila diperiksa, George mempunyai pelbagai masalah kesihatan, tetapi pasangan Robinsons bertekad untuk mengangkatnya sebagai haiwan peliharaan.
SPCA KK kemudian memulakan proses mengembiri, memberi vaksin, merawat, dan memberi jagaan sementara untuk George, dengan bantuan Jabatan Veterinar yang murah hati.
Agensi kerajaan itu membimbing SPCA KK bagi melaksanakan proses penghantaran George ke England dengan jayanya untuk bersama pemilik baru yang tidak dapat melupakannya.
Pasangan Robinsons telah berjanji untuk memberinya rumah dan menyayangi George sehingga ke akhir hayat.
Si comel George sungguh bertuah kerana akhirnya dapat bersama dengan keluarga yang akan menjaganya dengan baik dan menyayanginya dengan sepenuh hati.
“Sila adopsi, jangan beli,” pesan SPCA di akhir hantaran Facebook mereka demi menyelamatkan haiwan terbiar.
Buat anda yang berminat untuk mengadopsi haiwan kucing atau anjing yang diselamatkan, boleh menghubungi mana-mana pusat perlindungan haiwan dalam negeri masing-masing untuk tujuan berkenaan.