Dalam tempoh 7 tahun, seorang lelaki berjaya mengumpul lebih RM5,000 untuk membolehkannya membeli iPhone 14 serba baharu dengan tabungan duit syiling 50 sen.
Menerusi video TikTok yang dimuat naik pada 1 September oleh pengguna @bifoty_camper, boleh dilihat lelaki itu cuba membalikkan botol air 19 liter yang diisi dengan syiling 50 sen di ruang tamunya.
“Hasil tujuh tahun menabung.. Alhamdulillah,” kapsyen dalam video itu, sambil dia bersama ahli keluarganya kelihatan mencuba pula menggunakan gergaji untuk memecahkan bekas air itu dan mengira syiling berkenaan di atas lantai.
Pengguna TikTok itu berkata, mereka berempat mengambil masa selama tiga jam untuk mengira jumlah syiling itu, yang mencecah RM5,360.
Malah lelaki yang bernama Muhammad Hafiz Abdul Hamid ini terkejut dengan jumlah simpanan dalam tabungnya.
Memberitahu mStar, Hafiz berkata dia tidak pernah menjangka akan menyimpan begitu banyak wang kerana pada mulanya hanya mengumpul syiling secara suka-suka.
“Saya mula menyimpan syiling 50 sen sejak 2016. Saya tidak mengambil inspirasi daripada sesiapa, ia hanya sebagai hobi, dan saya meneruskannya,” kata lelaki berusia 30 tahun dari Pulau Pinang itu.
Tambahnya dia mula menyimpan syiling hanya dalam mug dan bekas kerepek kentang, tetapi seiring masa berlalu dengan tahun-tahun seterusnya dan bilangan syiling pula semakin meningkat, lelaki ini memindahkannya ke dalam botol air dispenser yang besar, seperti yang dilihat dalam video TikTok itu.
“Saya hanya simpan syiling 50 sen. Kalau nak tahu, saya larang diri guna syiling 50 sen sebab saya nak simpan,” jelasnya tentang tabiat menyimpan itu.
Untuk terus mengumpul duit syiling 50 sen, Hafiz juga ada membuat servis pertukaran wang kertas kepada duit syiling daripada rakan dan keluarga.
Akhirnya, apabila botol itu sudah penuh, Hafiz berkata sudah tiba masanya untuk memecahkan simpanannya.
“Saya mengambil keputusan untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan membeli iPhone 14. Alhamdulillah, saya mampu membelinya secara tunai dan bukan secara ansuran,” kata Hafiz yang bekerja sebagai penyelia pengemasan bilik penginapan di sebuah hotel.
Tambahnya, bukan mudah untuk menukar syiling bernilai lebih RM5,000 kerana dia terpaksa pergi ke enam cawangan bank untuk mengira dan mendepositkan duit syiling itu.
Tahniah Hafiz, tabiat anda memang boleh dijadikan inspirasi kepada yang lain, kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit, dan menabung itu amalan mulia.