Suatu hari, Rider Soares dan isterinya memutuskan untuk bersiar-siar ke bandar Nioaque, Brazil yang tidak jauh dari rumah mereka. Di sana, pasangan itu singgah di pusat sosial tempatan untuk menjamu selera dan merehatkan kaki mereka.
Ketika itulah Soares perasan terdapat mesin permainan anak patung atau ‘claw machine’ yang membuatnya teruja untuk mencuba.
“Setiap kali saya melihat mesin permainan claw, saya kena bermain,” kata Soares.
Soares memasukkan beberapa syiling dan mula bermain untuk mencuba nasibnya, sambil tersenyum menumpukan pandangannya kepada anak patung gajah mewah yang dia teringin antara anak patung lain yang terletak di dalam kotak kaca mesin itu.
Isteri Soares pula sambil santai-santai merakam usahanya mendapatkan anak patung gajah itu dengan menggunakan telefon pintar.
“Saya cukup bernasib baik kerana telah berjaya mendapatkan gajah itu,” kata Soares.
Tetapi itu bukan satu-satunya “hadiah” yang dimenanginya.
Alangkah terkejutnya dia apabila tiba-tiba seekor oyen sedang tertidur di dalam bekas kecil mesin claw itu dan Soares telah membangkitkannya. Apabila gajah comel jatuh tersungkur, oyen pula telah terbangun daripada lenanya.
Soares dan isterinya tidak menjangka oyen pula yang muncul secara percuma dan tanpa usaha seperti dia mahu mendapatkan gajah.
“Kami ketawa berdekah-dekah kerana oyen yang keluar bulat-bulat sambil menggeliat,” kata Soares.
“Saya seorang pencinta haiwan, jadi apabila saya melihatnya, saya tidak teragak-agak untuk merangkulnya. Dia sangat comel!”
Soares berasa gembira melihat si oyen telah memberi kejutan sebagai sebahagian hadiah dari mesin claw itu.
Pada mulanya dia fikir mungkin “hadiah” hidup yang diberikan oleh mesin permainan claw ini boleh dibawanya pulang, tetapi tidak lama kemudian didapati kucing itu sebenarnya tinggal sebagai haiwan peliharaan salah seorang pemilik perniagaan di situ.
“Sayang sekali saya tidak boleh mengadopsinya kerana dia sudah mempunyai pemilik,” kata Soares.
Nyandra Costa, yang bekerja di perniagaan itu, Ypê Auto Posto berkata kucing itu dipelihara dengan baik oleh semua kakitangan dan dia diketahui sering tidur di dalam mesin ‘claw’ itu dari semasa ke semasa.
“Namanya Garfield dan dia sangat sopan,” kata Costa.
Akhirnya, Soares hanya mampu membawa pulang anak patung gajah yang dimenanginya, tetapi, baginya, Garfield adalah hadiah sebenar yang memenangi hatinya tidak kira dia ada pemilik atau tidak.
“Dia adalah perkara terbaik yang pernah saya terima selama bermain permainan ini. Siapa boleh membayangkan kita dapat haiwan sebenar dari dalam mesin claw?” katanya sambil ketawa.
Tonton video di sini.