30.1 C
Kuala Lumpur
Monday, July 28, 2025
Utama Blog Laman 61

Buat komen ‘body shaming’ pada 2020, pempengaruh kekal bayar ganti rugi RM100,000

0

Pengaruh media sosial, Eira Aziera atau nama sebenar Noorazira Pissal gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM100,000 kerana buli siber dan membuat kata kesat berhubung isu ‘body shaming’ ke atas seorang pesuruhjaya sumpah wanita di Facebook Live in 2020.

Keputusan sebulat suara yang dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mendapati rayuan Eira Aziera tidak mempunyai sebarang merit, lapor Bernama.

“Selepas mempertimbangkan segala hujahan, kami bersetuju Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan kenyataan yang dibuat perayu (Eira Aziera) adalah fitnah. Perkataan-perkataan yang diucapkan adalah jelas dan tiada keperluan untuk memanggil pakar.

Gambar Hiasan / Pexels

“Berdasarkan rekod-rekod rayuan yang diteliti, elemen-elemen (fitnah) lain juga telah dibuktikan. Sehubungan itu, kami sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan perayu berhubung liabiliti,” kata panel itu.

Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Eira Aziera yang didakwa memfitnah dan menghina bentuk fizikalnya yang disamakan dengan haiwan.

Pada 13 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan.

Mahkamah Tinggi itu memutuskan demikian setelah perbicaraan penuh dijalankan lima hari bermula 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak.

Pempengaruh media sosial Eira Aziera

Sebelum ini, media melaporkan Suharnizan telah membuat komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.

Suharnizan mendakwa kata-kata kesat defendan telah tular di media sosial serta telah dimuat naik, antaranya di Facebook ‘Makcik Bawang Channel’ dan ‘Makcik Kiah Channel’ yang mempunyai ribuan pengikut.

Akibat kata-kata yang dikeluarkan oleh defendan, reputasi plaintif telah tercemar selain beliau mengalami tekanan perasaan, trauma, kemurungan dan hilang keyakinan diri.

‘Body shaming’ adalah satu kesalahan, jadi berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa komen yang akan membuat seseorang berasa buruk dan anda boleh didakwa kerananya.

Sabri Yunus dan Angeline Tan selamat bergelar suami isteri

0

Pelakon pengarah Sabri Yunus dan aktres Angeline Tan selamat melangsungkan pernikahan pada 14 Oktober.

Pasangan itu dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.

Pada majlis ringkas itu, Sabri, 62 tahun, menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas. 

Gambar NST TV

Pasangan itu tampil menggayakan persalinan sedondon rona putih, yang disaksikan dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Majlis pernikahan Sabri dan Angeline turut disiarkan melalui siaran langsung Facebook (FB) dan tular.

“Kami sudah lama kenal sejak 1992 lagi. Hubungan kami memang rapat sebagai kawan, malah kami membahasakan diri pun sebagai abang dan adik. Selepas agak lama berhubung, PKP merapatkan hubungan kami,” menurut Sabri kepada Harian Metro.

Angeline Tan, 56 tahun, memeluk Islam pada 26 September lalu dan memilih nama Ardini sebagai nama Islamnya.

Sabri dan Angeline digandingkan buat kali pertama menerusi drama Pak Din KK pada 1992. Ketika itu, Angeline menganggapnya sebagai guru dalam lakonan.

Gambar Harian Metro

Mereka kemudian meraih populariti menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dalam sitkom itu, Sabri Yunus menggalas watak Wan Ismail Golok, manakala Angeline sebagai Lucy.

Sabri telah lama menduda sejak pemergian isteri Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

Rumput padang Stadium Bukit Jalil tidak kukuh akibat kurang terdedah kepada cahaya matahari – PSM

0

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan bahawa keadaan tompok rumput di padang Stadium Nasional Bukit Jalil terjadi disebabkan oleh kurang pendedahan kepada cahaya matahari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, rumput “Zeon Zoysia” di kawasan tersebut tidak dapat menyerap sumber matahari dengan baik sekali gus melambatkan proses tumbesaran rumput tersebut.

Susulan kurang terdedah kepada cahaya matahari, PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi membantu merangsang pertumbuhan rumput tersebut.

@HRHJohorII/X

“PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu. Namun, ia tetap tidak tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi,” jelas kenyataan PSM tersebut.

Walau bagaimanapun, PSM optimis bahawa perkara itu dapat diatasi sepenuhnya menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia.

Sebagai tambahan, PSM mendedahkan tempoh standard bagi penyediaan secara rapi bagi rumput padang sepatutnya mengambil masa sehingga 12 bulan.

Bagaimanapun, PSM hanya diberi tempoh sekitar lapan bulan bagi melakukan persediaan tersebut.

Selain itu, PSM turut menjelaskan keadaan hujan sepanjang minggu lepas juga tidak dapat membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu.

“Disebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM masih berpuas hati dengan sistem perparitan yang baharu bagi padang tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, PSM turut sempat mengucapkan ucapan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya dan peminat bola sepak yang hadir dalam perlawanan malam 14 Oktober.

PSM juga memaklumkan dalam tempoh satu bulan akan datang, mereka akan memastikan keadaan padang lengkap sepenuhnya menjelang kelayakan Piala Dunia.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberi maklum balasnya berkenaan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Padang itu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia (rumput) kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim.

“Tetapi pasukan kebangsaan hendak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak stadium.

“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT,” kata TMJ.

Menurut TMJ lagi, perkara berkenaan sudah pun disebut semasa majlis penyerahan padang yang berlangsung pada Khamis, 12 Oktober.

“Semalam semasa majlis penyerahan padang saya cakap kepada semua yang padang ini perlu lebih masa kerana akar dia belum kuat.

“Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan,” kata TMJ.

Berbaloi ‘siram pokok padi’, rajin main ‘game’ di Lazada boleh dapat beras percuma

0

Ketika ramai dalam kalangan kita mengeluh hari ini susah juga untuk mendapat beras tempatan di pasaran, rupanya main ‘game’ di platform e-dagang boleh dapat beras, dan ia percuma pula begitu.

Pengguna Facebook, Raudzah Arippin berkongsi suaminya Idzwan memanfaatkan permainan di platform e-dagang Lazada untuk mendapat beras di ‘Lazland’ yang perlu rajin diusahakan oleh mereka yang berminat.

Facebook

Katanya sudah kali ketiga sebungkus beras 1 kg dihantar ke rumah, yang terbaru pada 10 Oktober lalu atas nama suaminya.

“Sebelum ini, hairan juga suami beli beras. Sebab di rumah ni, yang beli beras, angkut beras dan yang masak beras semuanya Kok Odah.

“Idzwan kata, beras tu hadiah dia menang main game di Lazada. Yahoo. Main game pun boleh dapat beras. Lain macam,” tulisnya.

Facebook

Hantaran Raudzah telah mendapat perhatian lebih 20,000 warganet. Katanya tidak timbul soal beras putih tempatan atau import.

“Janji beras percuma,” katanya.

Beberapa individu lain turut mengakui berbaloi ‘siram pokok padi’ di Lazada.

Facebook

Ada antara mereka yang sudah menerima kira-kira 15 kg beras dengan setiap kampit seberat 1 kg.

Ditanya oleh mereka yang bimbang menerima beras plastik, Raudzah berkata, “Bolehlah cuba tanam padi dulu, rajin-rajin siram. Nanti dapatlah satu pek beras sekilo untuk dicuba.

“Berasnya elok. Setakat ni saya dah masak, dah makan. Rupanya sama saja, jadi nasi macam daripada beras yang kita beli di kedai.

“Tak nampak beza pada rasa atau tekstur yang pelik dan mencurigakan pada beras atau nasi tu,” katanya.

Tambahnya jika rasa beras itu palsu, tidak perlu main ‘game’ di Lazada. Senang sahaja..

Facebook

Anda perlu memuat turun aplikasi Lazada untuk bermain permainan ini di Lazland, dengan klik “Free Rice”.

Facebook

Apa yang perlu anda lakukan hanya duduk kena rajin menyiram tanaman padi setiap hari.

Dapatkan air tambahan dari misi atau rajin menjemput kawan.

Facebook

Selepas selesai misi, anda akan mendapat beras percuma yang akan dihantar ke rumah.

Facebook

Catatan: Proses menyiram 15 pokok untuk mendapatkan 1kg beras mungkin mengambil masa lebih sebulan jika anda tidak menjemput rakan atau membeli-belah di Lazada secara kerap.

Muat turun aplikasi Lazada sekarang untuk berpeluang bermain ‘game’ ini dan diharapkan anda menang beras percuma!

Selamat Maju Jaya!

Ringkasan intipati Belanjawan 2024

0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada jam 4 petang Jumaat, 13 Oktober 2023.

Ia adalah belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan PMX Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

@jpmgov_/ X

Ringkasan tema dan peruntukan Belanjawan 2024 adalah seperti berikut:

Tema 

Ekonomi MADANI, Memperkasa Rakyat 

Matlamat induk Belanjawan 2024:

1.Tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan.

2.Penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan.

3.Peningkatan darjat hidup rakyat.

Peruntukan Belanjawan

  • RM 393.8 bilion (Belanjawan tertinggi Malaysia) 

Perincian peruntukan Belanjawan 2024 

Belanja mengurus

  • RM 303.8 bilion 

Belanja pembangunan 

  • RM 90 bilion 

Simpanan luar jangka 

  • RM 2 bilion
Infografik Bernama

Fokus kandungan intipati Belanjawan 2024 

1. Kenaikan Kadar Cukai Perkhidmatan (SST) 

Cukai perkhidmatan akan dinaikkan kepada 8% daripada kadar masa kini iaitu 6%. Peningkatan ini terkecuali bagi sektor makanan dan minuman, parkir kereta, logistik dan telekomunikasi. Cukai ini juga akan diperluas kepada sektor baru. 

2. Pengenalan Cukai Barang Bernilai Tinggi 

Sebanyak 5% – 10% cukai akan dikenakan kepada barang-barang bernilai tinggi seperti barang kemas, jam tangan dan lain-lain.

3. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 

  • Peruntukan STR bagi tahun 2024 akan ditingkatkan kepada RM 10 bilion berbanding RM 8 bilion pada tahun 2023. 
  • Kadar maksimum STR akan dinaikkan kepada RM 3,700 berbanding RM 3,100 sebelum ini.
  • Bagi golongan belia pula, kadar minimum STR juga meningkat daripada RM350 kepada RM500 ringgit. 
  • Bayaran maksimum kali pertama STR untuk tahun 2024 akan dinaikkan kepada RM 500 berbanding RM 300 tahun sebelumnya, dan dijangka akan disalurkan pada Februari 2024 sebelum Ramadan.
  • Permohonan baharu STR 2024 akan dibuka seawal November 2023.

4. Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 

Penerima STR akan menerima RM 100 sebulan (kredit dalam myKad) untuk tempoh 12 bulan bagi pembelian barang-barang asas di kedai runcit.

5. Rebat bil elektrik dan pengecualian deposit akaun bil elektrik

Isi rumah miskin tegar akan mendapat sebanyak RM 40 rebat elektrik sebulan serta pengecualian deposit akaun bil elektrik. 

6. Kenaikan berperingkat harga diesel 

Bagi menangani ketirisan subsidi diesel dan penyeludupan, harga diesel akan dinaikkan secara berperingkat dan subsidi bersasar akan diperkenalkan.

7. Diskaun PTPTN 

Diskaun bayaran balik PTPTN bermula 14 Oktober 2023 – 31 Mac 2024 mengikut kadar berikut: 

Pertama: Diskaun 10%, bagi bayaran penuh hutang 

Kedua: Diskaun 10%, bagi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah hutang dalam satu bayaran

Ketiga: Diskaun 15% bagi bayaran potongan gaji atau debit berjadual.

8. Bonus penjawat awam dan pesara kerajaan 

Bayaran insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam akan diberikan kepada penjawat awam sebanyak:

  • RM 2,000, kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk juga kepada lantikan kontrak.
  • RM 1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
  • Bagi pesara kerajaan pula, RM 1,000 akan diberikan termasuk kepada veteran berpencen serta tidak berpencen.

Bayaran ini akan disalurkan secara sekali gus pada akhir Februari, menjelang Ramadan tahun 2024. 

9. Skim galakan penggunaan motosikal elektrik.

Golongan yang berpendapatan bawah RM 120,000 setahun layak mendapat rebat sebanyak RM 2,400 bagi pembelian motosikal elektrik. 

10. Bayaran ujian memandu 

Bagi tahun 2024, bayaran bagi ujian memandu lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu akan ditanggung kerajaan.

Infografik Bernama

11. Subsidi pembelian tiket penerbangan siswa (FLYsiswa)  

Program FLYsiswa yang telah diperkenalkan tahun ini akan diteruskan untuk memberi manfaat kepada hampir 60,000 pelajar dari golongan kurang mampu.

12. Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 

Akaun fleksibel KWSP akan diperkenalkan. Akaun yang berbeza ini memudahkan akses ahli kepada simpanan pada bila-bila masa. 

13. Pengenalan Cukai Keuntungan Modal 

Pelupusan saham syarikat yang tidak disenaraikan akan dikenakan cukai sebanyak 10% mulai 1 Mac 2024.

14. Portal Fraud Kebangsaan (NFP) 

Sebuah portal yang bertujuan untuk menangani kes penipuan dan penipuan atas talian akan dilancarkan. Portal NFP ini akan mempercepat proses pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana. 

15. Tahun Melawat Malaysia 

Bagi merancakkan pelancongan Malaysia, Tahun Melawat Malaysia akan dilaksanakan semula pada tahun 2026. 

16. Ganjaran aktiviti kesukarelawanan 

Sebanyak RM 500 akan diberikan sebagai ganjaran kepada belia yang melakukan aktiviti kesukarelawanan di badan-badan berdaftar oleh kerajaan. 

17. Pelepasan cukai yuran kursus peningkatan diri

Pelepasan cukai sebanyak RM2,000 sehingga tahun taksiran 2026 akan diberikan bagi yuran kursus peningkatan kemahiran dan kemajuan diri. 

18. Yuran pendaftaran kemasukan universiti awam 

Bermula 2024, had yuran pendaftaran ditetapkan tidak melebihi RM1,500 selari dengan nilai pemberian wang pendahuluan PTPTN. 

Selain itu, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. 

19. Penerusan Pas My50 

Pas My50 akan diteruskan bagi perkhidmatan bas dan rel PRASARANA. 

20. Skim MySalam 

Pelaksanaan Skim MySalam akan diteruskan lagi bagi tempoh dua tahun.

MYAirline umum penggantungan operasi berkuat kuasa serta-merta

0

MYAirline menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta bermula 6 pagi 12 Oktober 2023 sehingga ke satu tarikh diberitahu kelak, yang disebabkan “cabaran kewangan yang ketara”.

Menurut syarikat penerbangan tambang murah berkenaan, pihaknya telah “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi 12 Oktober.

Facebook

Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, pihaknya telah menyediakan talian penting dan saluran khusus untuk membantu pengguna yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline.

Dilaporkan pada Ahad, Rayner Teo telah meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) MYAirline berkuat kuasa 7 Oktober atas sebab kesihatan.

Ketua Pegawai Operasi Stuart Cross kemudiannya mengambil alih tanggungjawab sebagai CEO sementara.

MYAirline sebelum ini berkata, operasinya kekal “teguh”, dan syarikat itu berada pada peringkat lanjut untuk memuktamadkan “perkongsian strategik”.

Facebook

Tidak lama kemudian, menurut sumber, syarikat penerbangan itu dijangka mengalu-alukan pemilik baharu, seorang usahawan tempatan, yang akan menyuntik lebih banyak dana.

“Kami telah mengadakan sesi dialog awam bersama pemilik baharu itu, dan butirannya kini sedang dihalusi,” kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan, menurut laporan FMT

Pada Oktober tahun lalu, dilaporkan bahawa firma swasta Zillion Wealth dan Trillion Cove Holdings – kedua-duanya milik ahli perniagaan tempatan Goh Hwan Hua – masing-masing mempunyai kepentingan sebanyak 88% dan 10% dalam MYAirline.

Baki 2% saham dimiliki Rayner Teo, yang sebelum ini bersama AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah milik Tony Fernandes.

Facebook

MYAirline, yang sebelum ini menyifatkan model perniagaannya sebagai “ultra kos rendah”, bermula dengan menjalankan penerbangan domestik dari Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Pada Jun, Bangkok menjadi destinasi penerbangan antarabangsanya yang pertama, tiba di lapangan terbang Suvarnabhumi and Don Mueang.

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata seramai 125,000 penumpang yang membuat tempahan awal sehingga Mac 2024 telah terjejas susulan penggantungan operasi MYAirline.

Menurut Anthony Loke, tiket tempahan awal berkenaan membabitkan nilai lebih RM20 juta, dan kementeriannya akan memikirkan kaedah dalam memastikan semua penumpang yang terjejas mendapat bayaran balik.

Ibu terima kejutan sambutan hari jadi di tempat kerja daripada anak lelakinya sentuh hati ramai

0

Ada pelbagai cara untuk menggembirakan hari dan hati seorang ibu dengan kenangan indah tidak dapat dilupakan serta mungkin tidak ternilai harganya dengan wang ringgit.

Selalunya, mereka tidak banyak bertanya walaupun sentiasa berusaha gigih demi membesarkan kita dengan hari-harinya tanpa banyak mengeluh.

Baru-baru ini, seorang pemuda berkongsi telah memberi kejutan hari jadi kepada ibunya di tempat kerja sempena hari lahirnya. 

TikTok

Sambutan dengan kek hari jadi bersama beberapa rakan baik adalah semua yang dia perlukan untuk menjayakan kejutan itu. 

Pengguna TikTok @madikemadi meraikan hari jadi ibunya dengan harapan untuk memberinya kenangan bermakna serta menghargai pengorbanan membesarkannya.

TikTok

Ibunya, yang bekerja di rangkaian makanan segera KFC sedang melayan pelanggan yang memerlukan bantuan di kiosk tempahan sendiri. Pelanggan yang merupakan salah seorang rakan Madi dan ia juga antara plot dalam kejutan sambutan hari jadi itu.

Kehadiran Madi bersama kek hari jadi di tangannya serta-merta mengukir senyuman di wajah ibunya, dan tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraannya.

TikTok

Madi memotong sekeping kek untuk ibunya sebelum rakan-rakannya berkumpul dan duduk di meja di mana semua berkongsi meraikan hari jadi itu sambil menjamu selera.

Menurut Madi, ibunya telah bekerja selama 9 tahun di KFC yang terletak Bandar Seri Putra, Bangi.

TikTok

Klip TikTok Madi menjadi tular dengan ramai netizen tersentuh hati apabila gerakan kecil itu menggembirakan hati ibunya dan semua memujinya kerana menjadi anak yang baik.

“Saya pula yang sebak. Ibunya masih gigih bekerja, nasib baik ada anak yang menghargai.”

“Saya sangat bangga melihat anak muda macam ni.”

Bertuah ibu Madi kerana membesarkan anak yang baik dan sentiasa menghargai.

Taruh nyawa demi selamatkan anak wanita buta yang terjatuh ke landasan kereta api, keberanian lelaki ini terima pujian dan anugerah

0

Mayur Shelke menerima pujian dan digelar wira sebenar yang berani mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Pada hari kejadian, kanak-kanak itu sedang memimpin ibunya yang buta apabila secara tiba-tiba dia telah terjatuh ke landasan kereta api di Stesen Keretapi Vangani di Thane, India.

Rakaman CCTV menunjukkan budak lelaki itu berjalan di sepanjang platform bersama ibunya yang OKU cacat penglihatan.

Facebook

Ketika mereka menghampiri trek untuk melihat kereta api yang akan tiba, budak lelaki itu tiba-tiba terjatuh dari platform.

Ibunya kelihatan terpinga-pinga dan terkejut sambil tercari-cari anaknya ketika kereta api dilihat semakin menghampiri dan kanak-kanak itu menjerit cuba bergegas keluar dari landasan.

Facebook

Namun syukur, jeritan cemas kedua ibu dan anak ini didengari pekerja kereta api Mayur Shelke yang kemudian melihat budak itu telah terjatuh ke landasan, dan tanpa berfikir panjang dengan pantas berlari ke arahnya.

Sambil memecut menuruni trek, dia segera merangkul budak itu dan menolaknya semula ke atas platform.

Facebook

Lelaki itu kemudian berjaya menarik dirinya ke platform beberapa saat sebelum kereta api berlalu laju, lantas dengan penuh kesyukuran telah menyelamatkan mereka berdua daripada kejadian membabitkan nyawa yang tidak diingini.

Mereka dibawa pergi ke tempat yang selamat oleh orang ramai yang turut berlari ke platform itu untuk membantu.

Facebook

Mujur, tiada siapa yang cedera dalam kejadian hampir tragis itu.

Kisah Mayur Shelke menjadi wira telah mendapat perhatian Kementerian Keretapi India kerana keberaniannya. Insiden itu berlaku beberapa tahun lalu, tetapi telah menjadi tular semula pada bulan Mac tahun ini selepas bekas pemain kriket India VVS Laxman memuat naik rakaman CCTV itu di platform X.

Facebook

Kementerian Keretapi India telah mengumumkan hadiah wang tunai untuk Mayur kerana keberaniannya, namun dia telah mendermakan sebahagian daripadanya untuk pendidikan kanak-kanak itu.

Facebook

“Saya mendapat tahu bahawa budak itu dari latar belakang miskin dan mereka tidak mampu untuk memberinya pendidikan. Memandangkan saya menyelamatkan budak itu, saya memutuskan untuk menderma separuh daripada wang anugerah untuk masa depannya yang cerah,” kata Mayur Shelke.

Tonton video di sini.

Rai awal rasa sudah menang, atlet luncur kasut roda Korea Selatan tewas 0.01 saat kepada Taiwan di Sukan Asia

0

Atlet berkumpulan Korea Selatan dalam acara luncur kasut roda 3 kilometer (km) terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sebaik tamat perlumbaan akhir yang mencuri perhatian di temasya Sukan Asia 2023.

Pelumba akhir, Jung Cheol-won dilaporkan tewas dengan perbezaan masa 0.01 saat kepada pelumba Taiwan, Huang Yu-lin apabila meraikan kemenangan terlalu awal.

Atlet terbabit dilihat berdiri sambil meraikan kedudukannya yang berada di hadapan, sekali gus membolehkan pesaingnya melunjurkan kaki ke arah garisan penamat.

Gambar Yonhap News

Berdasarkan catatan akhir, kontinjen daripada Korea Selatan mencatatkan masa 4:05:702 sementara lawan mereka merekodkan masa perlumbaan 4:05:692.

Perbezaan berkenaan menyaksikan atlet Korea Selatan, iaitu Cheol-won, Choi In-ho dan Choi Gwang-ho gagal membawa pulang pingat emas.

Cheol-won mengakui dirinya sudah melakukan kesilapan sehingga merugikan pasukannya serta negaranya dalam acara itu, lapor Yonhap News.

“Saya meminta maaf kepada rakan sepasukan serta penyokong yang tidak berhenti memberikan sorakan kepada kami. Kami sudah berusaha keras dengan sedaya upaya, tetapi ini adalah salah saya,” katanya.

Gambar AP

Kegagalan untuk muncul sebagai pemenang pingat emas menyaksikan ketiga-tiga wakil Korea Selatan itu terpaksa menjalani latihan ketenteraan mandatori.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak memberi kesan terhadap jumlah pengumpulan pingat buat Korea Selatan yang berjaya meraih 42 pingat emas, 59 perak dan 89 gangsa secara keseluruhan di tempat ketiga pada akhir temasya.

Sukan Asia Hangzhou 2022 melabuhkan tirainya pada Ahad, 8 Oktober dengan menyaksikan China muncul juara buat kali ke-11 berturut-turut dengan pungutan 201 pingat emas. Jepun yang menduduki tempat kedua dengan 52 emas akan menjadi tuan rumah seterusnya di Aichi-Nagoya pada 2026.

“Senang hidup tak perlu kerja keras,” Duit hasil mengemis lelaki ini buat ramai rasa cemburu

0

Bersedekah merupakan amalan mulia dan patut diamalkan sekiranya seseorang itu berkemampuan.

Kita akan mendapat banyak manfaat dan pahala daripada bersedekah kerana ia dapat melatih diri dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Malangnya, pada hari ini ramai peminta sedekah di pelbagai tempat awam yang mengemis meminta wang dengan tubuh badan mereka yang sihat tidak mahu bekerja.

X

Sampai ada yang sanggup marah-marah, memaki dan bertindak kasar jika kita tidak memberikan wang kepada mereka. 

Dengan muka kasihan dan penampilan kelihatan daif, pasti akan ada orang yang memberikan wang kepada mereka.

Baru-baru ini, tular sebuah video di laman X apabila seorang lelaki mengira wangnya didakwa hasil mengemis telah mendapat perhatian ramai.

X

Lelaki itu duduk di tepi tangga dan mengira wangnya.

Dia kemudian mengeluarkan beberapa bungkusan makanan daripada kainnya, malah dia juga siap mengira wang difahamkan hasil daripada kerjaya mengemis.

Jika dilihat, beberapa wang kertas RM1, RM5 dan RM10 disusun dan dia terus menyimpannya di dalam poket.

X

“Senang dia buat kerja. Kerja meraih simpati orang,” komen seorang netizen.

Antara reaksi dan komen para pengguna X:

“Bang pinjam 100 dulu bang. Gaji minggu depan ni bang..”

“Annual income dia mesti pengguna AMEX!”

“Korang percaya tak kalau kita cakap income diaorang ni lagi besar daripada kita semua, malahan ada kalangan mereka ni boleh tinggal di hotel mewah.”

“Lebih suka bagi sedekah dekat tukang isikan minyak di petrol pam, rider makanan, mak cik cleaner, budak-budak muda kerja kutip pinggan di food court, atau penjaja yang jual makanan kita tak ambil baki. Mereka ni yang layak dapat duit ekstra..”

Jadi fikir dahulu sebelum anda mahu bersedekah. Pastikan di saluran dan tempat yang betul, bukan yang salah tempat dan salah orang yang macam ini.