Satu letupan berlaku di tingkat lima Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur pada jam 1.58 tengahari, 24 Oktober.
Letupan kecil itu telah menyebabkan kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terpaksa keluar dari bangunan yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat mengesahkan letupan itu susulan kebakaran dalam sebuah bilik elektrik.
“Berlaku letupan kecil dalam bangunan, bagaimanapun letupan hanya melibatkan jumlah voltan rendah dan tiada kerosakan besar berlaku.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat masalah pada kabel voltan rendah bawah tanah,” katanya menurut Kosmo.

Sinar Harian pula melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu turut berada di lokasi kejadian kerana beliau sepatutnya menyertai sesi libat urus bersama media dijadualkan berlangsung kira-kira 2.30 petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rusdi Ismail, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 2 petang.

Beliau berkata, pasukan itu tiba pada 2.09 petang dan hasil pemeriksaan bersama juruelektrik bangunan mendapati letupan berpunca daripada kebakaran kabel bawah tanah.
“Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan dan juga mangsa di lokasi kejadian,” menurut Rusdi.