Pada 4 Oktober lalu, TikTok Indonesia membuat keputusan rasmi untuk menamatkan urus niaga di pasaran e-dagangnya, TikTok Shop, untuk mematuhi peraturan tempatan baharu.
Menurut CNBC, langkah itu dibuat selepas Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa diadakan peraturan di media sosial. Beliau berkata kemasukan platform sedemikian telah menyumbang kepada penurunan jualan untuk perniagaan domestik dengan kebanjiran pasaran import asing.
Kementerian Perdagangan Indonesia telah menetapkan tarikh akhir seminggu untuk TikTok menjadi aplikasi kendiri, tanpa sebarang ciri e-dagang, atau ditutup. TikTok membalas dalam satu kenyataan dengan mengatakan bahawa keutamaan mereka adalah untuk terus mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan.
“Oleh itu, kami tidak lagi akan menyediakan transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia menjelang 17:00 GMT +7, 4 Oktober, dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di masa hadapan,” kata TikTok.
Ia dinyatakan dalam artikel oleh The New York Times bahawa Indonesia adalah pasaran kedua terbesar TikTok di dunia, dengan kira-kira 125 juta pengguna.
Pada hari Sabtu, 7 Oktober, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan Malaysia akan meneliti langkah pengharaman yang diambil oleh kerajaan Indonesia.
Bagaimanapun, menurut Bernama, Fahmi berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai tindakan itu. Pada masa sama, beberapa kedai besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga bagi produk yang dijual melalui platform tersebut.
“Ramai rakyat Malaysia menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barangan, jadi saya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kementerian melihat asas tindakan yang diambil oleh kerajaan Indonesia.
“Saya rasa TikTok perlu tampil memberi penjelasan, kerana antara sebab TikTok Shop diharamkan di Indonesia adalah kerana isu harga pemangsa yang mengancam usahawan tempatan di Indonesia,” kata Fahmi.
Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil.
Selain itu, Menteri itu juga menyatakan TikTok perlu memberikan penjelasan mengenai isu perlindungan data peribadi yang menjadi kebimbangan orang ramai ketika membeli-belah di platform tersebut.
“Saya rasa semua platform media sosial akan mengkaji gelagat pengguna, bermula daripada perkara yang kita suka, perkara yang kita kongsi, perkara yang kita beli dan perkara yang kita tonton.
“Jadi ada beberapa isu yang perlu diteliti oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) dan SKMM terutama berkaitan aspek kepenggunaan atau perlindungan data peribadi.
“Oleh itu, saya akan menghubungi TikTok tidak lama lagi untuk membincangkan isu ini,” kata Fahmi.
Kerajaan akan mengembalikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata program latihan kali ini adalah selama 45 hari, di mana pelatih akan menjalani latihan di kem tentera di seluruh negara.
“Kita sedang melihat untuk menghidupkan semula PLKN tetapi dengan ‘template’ baharu dan bukannya ‘template’ lama, yang mana PLKN dahulu dilakukan di banyak kem.
Sekadar Gambar Hiasan
“Dengan pendekatan baharu ini, kita percaya kos menjalani PLKN dapat dikurangkan daripada RM500 juta setahun kepada tidak melebihi RM100 juta setahun,” kata Mohamad Hasan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.
Menteri berkenaan menyatakan PLKN 3.0 akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Mohamad Hasan berkata Fasa 1 akan dijalankan di peringkat sekolah, melibatkan pelajar Tingkatan Empat dengan tumpuan untuk mempertingkatkan program badan beruniform sedia ada.
Fasa 2 ialah latihan selama 45 hari, diadakan selepas pelajar menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan (Gambar Bernama)
“Kita menyasarkan untuk mewujudkan kesinambungan dalam PLKN 3.0, di mana kita boleh meningkatkan modul kurikulum sedia ada untuk pelajar Tingkatan Empat di sekolah menengah, supaya mereka bersedia untuk fasa kedua, yang melibatkan menjalani latihan di kem tentera.
“Itu sebab cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Hasan berkata kertas kerja template itu masih perlu dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan.
“Kita percaya PLKN memberi manfaat dari segi memupuk kesetiaan terhadap negara dalam kalangan anak muda, disiplin diri tinggi dan semangat jati diri yang kuat tetapi kita juga mahukan template baharu bagi memastikan kita tidak berbelanja secara berlebihan,” kata Menteri Pertahanan itu.
Beliau menambah pendekatan baharu itu boleh mengurangkan kos kerana ia akan diadakan di kem tentera sedia ada dengan menggaji anggota tentera sebagai tenaga pengajar dalam kemudahan ini.
Mohamad Hasan berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.
Sekadar Gambar Hiasan
“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan menjalani latihan asas dan rekrut semula.
“Mereka yang sudah masuk IPTA boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang memberikan mereka peluang untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu menjadi bomba, RELA pun memang boleh sebab sudah sedia ada pengalaman,” jelasnya.
PLKN, yang mula diperkenalkan pada 2004, merupakan program tiga bulan yang bertujuan untuk melatih remaja berusia 18 tahun yang dirangka dari seluruh negara untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam persekitaran berbilang kaum. Bagaimanapun, program tersebut telah dimansuhkan pada 2018 berikutan kos operasi yang tinggi.
Pada malam 7 Oktober lalu, kerajaan Brunei Darussalam mengumumkan Putera idaman kesayangan ramai dan anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal melangsungkan perkahwinan dengan Dayang Anisha Rosnah Adam.
Berita itu ternyata disambut baik oleh seluruh rakyat dan juga netizen yang tidak putus-putus memberikan ucapan tahniah kepada pasangan diraja ini.
Memiliki paras tampan dan tubuh sasa, sudah pasti anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz ini menjadi perhatian ramai.
Terutamanya tentang siapa gerangan yang bakal menjadi suri hati Putera berusia 32 tahun yang menjadi idaman ramai wanita ini.
Berikut adalah trivia mengenai wanita cantik bernama Dayang Anisha Rosnah Adam yang turut dikenali dengan nama Anisha Isa Kalebic yang dikongsikan Gempak:
1. Pengantin perempuan merupakan cucu kepada penasihat Sultan yang berpengaruh di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Dato Awang Isa Awang Ibrahim.
2. Datuknya juga merupakan seorang Manteri, iaitu golongan pembesar diraja, dengan gelaran ‘Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja’.
3. Pada November 1974 hingga Januari 1984, datuk Anisha juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Syarikat Penerbangan Royal Brunei yang diasaskannya.
4. Abang kandung Anisha yang dikenali dengan nama Danial Deen Isa Kalebic merupakan rakan rapat Putera Mateen.
Abang Dayang Anisha, Daniel Deen Isa Kalebic (kiri) / X
5. Anisha adalah graduan universiti berprestij di England dan memiliki perniagaan fesyennya sendiri diberi nama Silk Collective.
6. Pemilik wajah cantik ini juga dikatakan memiliki perniagaan bersama rakan baiknya yang diberi nama Aunthentirary yang merupakan perniagaan sektor pelancongan.
7. Tidak hanya memiliki wajah yang cantik, Anisha juga suka memasak. Malah wanita anggun ini juga memiliki akaun Instagram yang didedikasikan khas untuk hobi memasaknya.
Kali terakhir Anisha memuat naik video adalah tentang cara membuat kek pandan.
8. Sama seperti bakal suaminya, Anisha juga seorang yang suka bersenam dan bersukan. Memang nampak secocok pasangan Putera Mateen dan Dayang Anisha yang juga merupakan rakan rapat sejak kecil.
Khabar angin mengenai hubungan cinta Putera Mateen dengan Dayang Anisha bermula sejak 2018. Gambar Putera Mateen dan Dayang Anisha menghadiri beberapa acara bersama pernah tular sebelum ini.
Istiadat perkahwinan pasangan diraja ini akan berlangsung selama 10 hari bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024.
Majlis akad nikah pasangan ini dijadual akan berlangsung pada 11 Januari dan Majlis Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari 2024.
KUALA LUMPUR – Bermula 9 pagi, Selasa (10 Oktober) sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual.
Gangguan itu susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Katanya, kerja penyelenggaraan dijangka akan siap pukul 7 malam pada hari sama dan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya 12 tengah hari pada 12 Oktober.
“Bekalan air juga dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat selepas kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air sudah distabilkan,” kata Air Selangor dalam kenyataan pada 7 Oktober.
Sebanyak 37 kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur (201) dan Hulu Langat (100).
Air Selangor juga memaklumkan, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis yang kritikal.
Syarikat itu juga menasihatkan pelanggan yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.
(1/3) Air Selangor akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 9:00 pagi, 10 Oktober 2023 (Selasa). Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah… pic.twitter.com/vFUdbiFRkx
Turut dimaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pendidikan tertiari percuma untuk anak-anak Sarawak di universiti milik kerajaan akan dilaksanakan menjelang 2026.
Semasa penutupan Pesta Benak 2023 di Sri Aman, Abang Johari berkata beliau yakin dapat melaksanakan rancangan itu dalam tempoh tiga tahun memandangkan kemampuan kukuh ekonomi negeri untuk tujuan itu.
Menurut The Borneo Post, beliau menyebut negeri itu memperoleh hasil sebanyak RM12 bilion pada 2022, dan terdapat tanda-tanda ia mungkin melebihi angka itu pada tahun ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. (Gambar Fail Sarawakku /Facebook)
“Berdasarkan pengiraan saya untuk tahun ini, kita mungkin boleh pecahkan rekod tahun lepas. Tahun ini mungkin lebih baik dari 2022,” katanya.
“Saya boleh komited pada 2026 kerana ekonomi kita akan lebih kukuh pada masa itu,” tambahnya.
Premier Sarawak itu juga berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) negeri untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan pendidikan percuma itu.
“Kita mempunyai menteri MEITD Datuk Roland Sagah Wee Inn dan timbalannya Datuk Dr Annuar Rapaee untuk mengkaji penyediaan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak di universiti milik kerajaan negeri,” katanya sambil menambah beliau berasa yakin untuk melihat pelaksanaan itu akan menjadi kenyataan menjelang 2025 atau 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Gambar Borneo Network
Kini, terdapat lima universiti milik kerajaan negeri iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-Cats, dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs).
Abang Johari berhasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma bagi memastikan lebih ramai anak jati Sarawak yang berkelayakan mampu memanfaatkan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri, lapor Borneo Network.
Beliau menambah baki sumber Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak akan ditujukan untuk membiayai pendidikan belia Sarawak dan juga memantapkan ekonomi serta pembangunan infrastruktur negeri.
Membeli-belah secara dalam talian pada hari ini sudah menjadi perkara kebiasaan, dan sebagai pembeli dan penjual dalam platform itu, terdapat beberapa etika yang perlu diamalkan serta dihormati.
Baru-baru ini tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan kelakuan pembeli dalam talian yang selamba meninggalkan ‘review’ produk yang tiada kaitan.
Lelaki ini mengeluh sambil berpesan tolonglah ulas produk yang dibeli, bukan main komen saja hal lain yang tidak berkaitan.
Kebiasaannya, kita perlu meninggalkan ulasan atau ‘review’ produk berserta gambar atau video selepas menerima barang yang dibeli. Namun, ramai dilihat memberi ‘review’ dengan perkara yang tidak berkaitan.
Malah, lelaki itu juga mengatakan ramai yang suka ‘review’ bungkusan dan penghantaran berbanding produk yang dibeli.
“Boleh tak kalau beli barang online dalam aplikasi macam Shopee ke apa, kau review elok-elok boleh tak? Kalau kau beli baju, kau review bajulah. Bukan yang plastik postage tu, pakai baju ambil gambar, ataupun komen baju kain tebal sama macam dalam gambar, warna sama.”
“Kalau beli kasut, test ok size ngam, material cantik, ringan sedap pakai. Bukannya ambil gambar telinga kau, ambil gambar meja tempat kerja, kau faham tak apa itu review?”
“Kalau beli seluar, pakai di kaki tu ambil gambar. Selesa kain sedap. Bukan ambil gambar plastik komen barang dah sampai, thank you cepat sangat. Kau ni review barang ke review courier? Aku tak faham lah,” katanya.
Dia juga menasihati kepada penjual supaya membalas komen negatif dengan cara yang baik.
Tambahan lagi, dia juga tidak berpuas hati kerana seluar yang baru dibeli sangat nipis dan panas bila dipakai.
“Brother ni mewakili semua rakyat Malaysia,” komen seorang pengguna TikTok selepas video itu menjadi tular dengan lebih 4.8 juta tontonan.
Setuju dengan pendapat dan saranannya, pembeli patut meninggalkan ulasan produk yang baik, bersama rating jujur yang berkaitan barang dibeli supaya mereka sama-sama dapat menambah baik, membantu serta membangun dunia perniagaan.
Menjelang Perayaan Pertengahan Musim Luruh, Pusat Beli-Belah Toppen di Johor Bahru, Malaysia, mengadakan Festival Pertengahan Musim Luruh yang berlangsung selama sebelas hari untuk meraikan hari itu dan mempromosikan pertukaran budaya.
Perayaan tradisional itu turut dihadiri dan diraikan oleh ahli kerabat diraja bersama pelbagai kaum di Malaysia.
Gambar oleh Steven Fan/The Epoch Times
Sambutan itu telah berlangsung bermula 14 hingga 24 September, anjuran bersama Pusat Beli-belah Toppen, Tianyi Culture dan Maxima Value.
Semasa sambutan berkenaan, beberapa persembahan menarik oleh kumpulan antarabangsa turut berlangsung, termasuk Pancaragam Tian Guo, kumpulan gendang pinggang dan persembahan muzik tradisional Vietnam, yang telah mewujudkan suasana meriah.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Acara ini telah menampilkan dengan sepenuhnya kepentingan kepelbagaian budaya, sikap saling memahami budaya lain, dan menggalakkan pertukaran budaya di kalangan rakyat.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Justeru, acara itu telah berjaya menarik minat orang ramai untuk memeriahkan penyertaan, malah mengalu-alukan kehadiran kerabat diraja untuk sama-sama meraikan perayaan tradisional berkenaan.
Jemputan kenamaan yang hadir termasuklah YB Datin Faridah Salim iaitu isteri YBM Tunku Dato’ Hassan, YM Tunku Hamidah Putri, YM Ungku Ibrahim Bin YBM Ungku Dato’ Hj Faizal dan Dato’ Wong Siew Poh.
Gambar oleh Steven Fan/The Epoch Times
Encik Cai yang merupakan konduktor Pancaragam Tian Guo berkata, “Sungguh menggembirakan apabila kami melihat peserta dari pelbagai negara, seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Singapura, membuat persembahan bersama dalam majlis yang bertuah ini.”
“Muzik tidak dinafikan memberi kesan yang berkuasa terhadap kesihatan kita. Harian Metro sebelum ini telah menemu bual Pancaragam Tian Guo, yang memfokuskan kepada perkongsian konsep ‘muzik menggalakkan kesihatan’.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Budaya Cina tradisional kuno
Untuk memperkenalkan budaya Cina kuno yang kaya dan berwarna-warni kepada warga tempatan, penganjur secara khusus mempromosikan karya seni dan karya Shen Yun. Jenama terkenal ini menyerlah dan mempromosikan budaya tradisional Cina yang sebenar.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Salah satu acara kemuncak dalam festival ini ialah Sesi Perkongsian Shen Yun, yang memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang budaya ketuhanan.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Pada masa yang sama, aktiviti dalam festival berkenaan turut merangkumi pertandingan deklamasi puisi Tang, pertandingan kaligrafi Cina, pertandingan mewarna, pertandingan melukis, pertandingan nyanyian dan pertandingan permainan alat muzik, dan lain-lain, membolehkan orang ramai menunjukkan bakat mereka di samping menggalakkan mereka untuk memahami dengan lebih mendalam budaya Cina tradisional.
Gambar oleh Steven Fan / The Epoch Times
Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Pesta Kuih Bulan di Toppen Mall ini adalah salah satu contoh sikap saling hormat-menghormati dan pemahaman budaya yang memberi inspirasi.
Dan kehadiran beberapa ahli kerabat diraja yang terhormat juga menyerlahkan kepentingan untuk menegakkan nilai sejagat yang dikongsi bersama serta berfungsi sebagai simbol harapan dan perpaduan.
NEW YORK: Bersama kecantikan yang hebat datang pengaruh yang besar, sesuatu yang amat disedari oleh penganjur Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang pertama.
Set pentas tersergam indah diilhamkan daripada Dinasti Tang didedahkan pada 30 September yang diapit bersama potret empat wanita—Xi Shi, Wang Zhaojun, Diao Chan dan Yang Guifei.
“Empat Kecantikan” China purba ini dikenang bukan sahaja kerana kecantikan mereka yang terkenal, tetapi kerana mengubah hala tuju sejarah China melalui tindakan dan pengorbanan mereka. Kecantikan mereka yang tiada tolok banding meletakkan mereka pada kedudukan di mana mereka terpaksa membuat pilihan kritikal, biasanya dengan mengorbankan keselesaan dan kebahagiaan diri sendiri, yang menentukan nasib dinasti itu sendiri.
Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Orang dahulu kala tahu bahawa kecantikan, dikuasai oleh kebaikan, boleh menyelamatkan negara dan semudah itu juga kecantikan boleh sahaja membawa kejatuhan. Oleh itu, pertandingan Ratu Cantik NTD memberi tumpuan kepada lima nilai yang menonjol dalam budaya tradisional Cina, terutamanya untuk wanita: moral, kebenaran, kesopanan, kemurahan dan kesetiaan.
Para peserta dinilai berdasarkan kriteria ini sama seperti mereka dinilai berdasarkan keyakinan, bakat, dan persembahan mereka. Para peserta perlu menyampaikannya dengan cara mereka membawa diri semasa acara yang berlangsung selama seminggu, serta kenyataan misi dan temu bual yang diberikan di atas pentas.
32 peserta mempersembahkan tarian klasik Cina di pembukaan Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Larry Dye/The Epoch Times)
Pada penghujung malam, Cynthia Sun dari Texas telah dinobatkan sebagai Ratu Cantik NTD, dengan 11 wanita muda lain dianugerahkan gelaran tambahan.
“Semua orang telah berjalan sejauh ini hanya untuk malam ini, dan saya sangat bersyukur kerana kita dapat berkongsi detik ini bersama-sama sehinggakan saya tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata kerana ia teramat berharga dan sungguh bermakna buat kita semua,” kata Sun di atas pentas.
Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/ The Epoch Times)
Peringatan yang indah
Duduk di kalangan penonton ialah Amanda DeBraux dan Janel Koloski, hos bersama podcast ‘Mindset Artistry’ dan jurulatih kehidupan bertauliah. Kembali kepada nilai tradisional merupakan peringatan yang menyentuh hati buat rakan kongsi perniagaan ini.
“Saya fikir ia sangat mempesonakan, saya fikir mereka membawa intipati yang indah, kata DeBraux. “Ia membuatkan saya berfikir tentang bagaimana saya melihat keindahan dan betapa kepelbagaian dan serba boleh ia menjadi, keunggulan dan sangat universal, dan bagaimana ia boleh mengikat kepada tradisi dan budaya serta betapa indahnya ia, terutamanya semasa berada dalam dunia hari ini.”
“Saya fikir kita memerlukan lebih banyak kecantikan, dan lebih banyak kasih sayang dan lebih banyak sifat kemanusiaan dalam perkara yang kita sentuh dan alami dalam kehidupan ini, di dunia ini,” tambah DeBraux.
Amanda DeBraux hadir menyaksikan Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
DeBraux berkata walaupun dirinya dan peserta pertandingan itu berasal dari budaya yang berbeza, beliau melihat nilai yang menyokong kecantikan adalah universal dari segi budaya, dan berasa terinspirasi untuk berhubung dengan budayanya sendiri secara mendalam.
“Ia sangat membuka mata dan merendah diri untuk menyedari bahawa budaya kita sangat penting di dunia hari ini,” katanya. “Melihat kecantikan adalah lebih daripada penampilan fizikal, memahami bahawa ia adalah dalaman, ia mengenai perkhidmatan, ia mengenai gambaran yang lebih besar, kemanusiaan.”
Menjadikan dunia tempat yang lebih baik
Janel Koloski bersetuju dan berasa amat menggembirakan melihat pertandingan itu memfokus kepada nilai tradisional, “nilai teras yang dimiliki oleh wanita hebat ini.”
“Saya fikir ia adalah sesuatu yang hilang di dunia ini,” kata Koloski, yang juga seorang aktivis hak asasi manusia dan peguam bela untuk golongan berkeperluan khas. Beliau berkata acara itu adalah peringatan tentang apa yang penting.
Janel Koloski hadir menyaksikan Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
“Setiap hari adalah sedikit menakutkan kerana saya berfikir, apa telah terjadi dengan kemanusiaan? Mengapa orang semakin kurang mengambil berat? Jadi sangat baik untuk menonton acara itu … mereka mempunyai nilai-nilai yang indah ini dan mereka benar-benar mengambil berat, dan mereka semua pemimpin. Acara yang sangat menyegarkan,” katanya. “Sungguh indah melihat ada manusia di luar sana yang ingin menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.”
‘Peluang pembelajaran mengagumkan’: Peserta terbaik, reaksi juri terhadap Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD pertama
Hakim Mark Lubric, pengasas sebuah agensi peragaan, berkata misi pertandingan itu adalah satu perkara yang baik untuk masyarakat.
“Saya fikir apabila anda melihat masyarakat hari ini, apabila anda melihat keluarga yang berpecah-belah, perpecahan sesama manusia, saya fikir salah satu puncanya ialah orang ramai telah jauh daripada nilai tradisi,” katanya.
Pempengaruh menjangkau lebih ramai orang berbanding sebelum ini dengan bantuan media sosial, tambahnya, tetapi tidak semuanya membawa mesej positif. “Saya rasa generasi muda sangat memandang tinggi terhadap perkara itu,” kata Lubric. Malah, pelbagai tinjauan menunjukkan mana-mana antara 30 hingga 80 peratus orang muda yang ditinjau mengatakan mereka ingin menjadi pempengaruh media sosial.
“Jadi saya fikir apa yang kami cuba lakukan di sini adalah mencari model contoh yang positif dengan mengembalikan nilai tradisional—yang telah menjadi asas kepada masyarakat yang sihat selama beribu tahun, demi generasi ke generasi,” katanya.
Standard sejagat
Hakim Gabriel Georgiou, seorang penggaya selebriti, berkata tumpuan kepada nilai tradisional adalah sebab utama mengapa beliau bersetuju untuk menyertai panel juri.
Kecantikan luaran masih penting, beberapa hakim berkongsi, kerana ia adalah lambang seseorang menjaga diri sendiri, bertimbang rasa terhadap orang lain, dan dipengaruhi oleh cara seseorang membawa diri.
Georgiou berkata mereka juga melihat kepada tenaga, keyakinan, keanggunan, bakat, kefasihan, dan karisma semua peserta.
Hakim Showyen Liu, CFO syarikat teknologi Ganjing World, berkata kecantikan dalaman semua wanita muda ini benar-benar terserlah melalui “kebijaksanaan, bakat, keterampilan, dan intelektual mereka.”
Liu berkata beliau berbangga dengan Ratu Cantik NTD yang baru dinobatkan, Cynthia Sun, yang walaupun dilahirkan sebagai seorang Cina Amerika, tetapi memiliki semua kualiti yang dimiliki wanita muda Cina tradisional.
“Bukan sahaja cantik, beliau tenang, pintar, bijaksana, dan baik hati,” katanya.
Hakim Alison Chen, penolong profesor tarian di Kolej Fei Tian, berkata sepanjang minggu itu, kesemua peserta membangun dengan pantas.
“Mereka sebenarnya sangat menyokong antara satu sama lain,” kongsinya. “Walaupun ia adalah satu pertandingan, mereka membantu antara satu sama lain, menyokong antara satu sama lain, bersorak antara satu sama lain, dan meraikan satu sama lain.”
“Saya fikir itu adalah sesuatu yang sangat, sangat berharga, dan sangat sesuai dengan maksud pertandingan itu … menyokong nilai-nilai tradisional tentang kebaikan dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya. “Saya fikir mereka telah menyerlahkan dan mereka sebenarnya dapat menerima bahagian budaya ini, apa yang dimaksudkan sebagai wanita yang tidak mementingkan diri dan wanita yang prihatin, jadi saya sangat berbangga dengan mereka.”
Peserta pertandingan bersorak antara satu sama lain sebelum mempersembahkan tarian klasik Cina di pembukaan Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Wanita Cina purba mungkin terpelihara, dan walaupun malu, tetapi elegan, serta membawa daya tarikan yang intrinsik, kata Chen. Pertandingan ratu cantik diadakan oleh sebuah syarikat Amerika di Barat, jadi ekspresi luaran dinilai sama lebih kepada keyakinan dan berkarisma, jelasnya.
“Saya fikir kriteria seperti itu, ia tidak terikat dengan Timur atau Barat, ia adalah pandangan universal tentang apa itu makna kecantikan,” katanya.
Pertandingan itu berusaha untuk menuntut semula pandangan tradisional tentang kecantikan, dan Chen merasakan para peserta berjaya melakukannya.
“Kami telah mencipta sejarah,” katanya.
Konsep kecantikan
Belle Meng, naib juara kedua dan penerima Anugerah Pakaian Kecergasan Terbaik, menyifatkan suasana hangat setiap peserta dan individu yang saling membantu serta mengambil berat antara satu sama lain, menjadi seperti adik beradik menjelang acara akhir selama seminggu. Sehingga ke akhir pertandingan, mereka terpaksa menggalak dan menenangkan satu sama lain untuk tidak menangis.
“Semua orang datang ke sini dari jauh, dari negara yang berbeza, dan ini hari terakhir kami bersama,” kata Meng. “Semua orang di sini sangat tidak mementingkan diri … kami seperti keluarga dan kawan, bukannya pesaing.”
Kata Meng, konsep kecantikannya datang dari Pencipta. Budaya tradisional dari seluruh dunia semuanya mengatakan bahawa manusia dicipta oleh Tuhan, dan budaya mereka adalah anugerah dari Tuhan, jelasnya.
Belle Meng menyertai Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Larry Dye/The Epoch Times)
“Pelbagai ekspresi kecantikan mereka, seperti kecantikan estetik, kemurahan hati, kebaikan, ini adalah ungkapan paling awal untuk menghormati ilahi, menyatakan kepercayaan kita kepada Tuhan,” katanya. “Kita semua adalah anak-anak Tuhan, kita diciptakan oleh Tuhan, dan dari Tuhan kita menerima sifat-sifat yang indah dan mulia ini juga,” katanya.
“Kecantikan dalaman seseorang, seperti fokus pertandingan ini … bagi saya adalah ungkapan kepercayaan,” katanya. “Mungkin ini adalah idea yang asing buat sesetengah orang, tetapi saya fikir … ekspresi seseorang boleh menjadi murni dan baik, dan mereka boleh mematuhi standard moral yang tinggi, mempunyai hati yang tenang, dan juga berhubung dengan ilahi, menerima pengajaran dari Tuhan. Ini ada kaitan dengan iman anda. Saya rasa semua orang yang beriman mempunyai perasaan ini.”
Vicky Zhao mempersembahkan tarian Cina klasik untuk pameran bakatnya di Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Larry Dye/The Epoch Times)
Vicky Zhao, naib juara dan penerima anugerah Tarian Terbaik, berkata beliau berharap kebaikan yang dikongsi oleh semua peserta melalui pertandingan itu akan terus tersebar.
“Saya fikir kecantikan sebenar … adalah manifestasi sifat manusia,” katanya. “Sifat kemanusiaan asli anda sangat murni, penuh dengan belas kasihan, dan itu hanya datang dari dalam dan secara semula jadi merebak ke luar. Saya fikir belas kasihan adalah tenaga yang boleh berpindah antara satu sama lain.”
Wandi Zhu, naib juara keempat, berkata beliau bersyukur kerana dapat bertemu dengan semua peserta yang lain dan berasa lebih terinspirasi untuknya.
Wandi Zhu (tengah) naib juara keempat Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan di Purchase, New York pada 30 September 2023. (Gambar oleh Larry Dye/The Epoch Times)
“Saya telah belajar bahawa kecantikan datang melalui keikhlasan. Saya telah melihat kecantikan dalam setiap peserta di sini, tetapi juga setiap pekerja di sini. Mereka begitu ikhlas mencurahkan isi hati mereka ke dalam perkara ini,” katanya. “Saya telah melihat bahawa keikhlasan benar-benar diterjemahkan kepada sejenis kecantikan yang sangat, sangat memberi inspirasi. Saya juga sangat terharu dengan apa yang saya alami.”
Dahulunya seorang yang pemalu, Zhu berkata beliau terkejut apabila betapa cepatnya beliau menjadi kawan, malah “saudara perempuan,” dengan peserta yang lain. Mereka telah saling menyokong, dan memberi inspirasi kepadanya untuk terus berhubung satu sama lain untuk berkongsi kemesraan yang sama.
“Terdapat kecantikan dalaman dalam diri anda. Tidak kira apa sahaja budaya tradisional asal anda, saya berharap anda menghargai budaya itu dan anda dapat menemui ketenangan dan keindahan dalam hal itu,” katanya. “Saya fikir masih terdapat banyak kecantikan di dunia ini dan anda pasti akan dapat menemuinya dalam diri anda,” kata Zhu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan mereka.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata antara langkah boleh diambil adalah mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan, dan memakai pelitup muka sekiranya terpaksa berada di luar.
“Aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan, sekali gus menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan. Keadaan itu boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Oktober.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka dengan perubahan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dengan merujuk laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.
Dr Muhammad Radzi berkata, langkah pencegahan lain termasuk menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan, serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara di dalam rumah atau bangunan, dengan tidak merokok.
Selain itu, beliau berkata, menggunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mod) kitaran udara dalaman ketika memandu kenderaan dan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.
Lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
Setakat jam 6 pagi, Khamis (5 Oktober), Bukit Rambai di Melaka mencatatkan bacaan IPU tidak sihat paling tinggi dengan paras 151.
Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Tangkak, Johor (102), Bandaraya Melaka (115), Batu Pahat, Johor (117), dan Serian, Sarawak (120).
Sementara itu 53 kawasan mencatatkan bacaan sederhana, manakala 10 yang lain mencatatkan bacaan IPU yang baik.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya.
Bagi Cynthia Sun, dinobatkan sebagai Ratu Cantik NTD adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Saya tidak pernah memakai kasut tumit tinggi untuk sekian lama dalam hidup saya!” kata peguam berusia 24 tahun dari Houston, Texas itu. Sun merupakan seorang peguam bela hak asasi manusia, penyelidik isu sosial, jurucakap Pusat Maklumat Falun Dafa, dan baru berpindah ke New York.
Tertarik dengan misi menghidupkan semula budaya tradisional, Sun menyertai Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan dan berjaya mara ke pusingan akhir sebelum akhirnya dinobatkan sebagai pemenang pada 30 September lalu.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
NTD merujuk kepada singkatan untuk “New Tang Dynasty”, iaitu zaman kegemilangan tamadun Cina purba. Rangkaian itu, media sekutu dengan The Epoch Times, menganjurkan siri pertandingan dalam misinya untuk menyokong budaya tradisional Cina. Oleh yang demikian, pertandingan itu tidak hanya memfokuskan pada kecantikan luaran dan keterampilan, tetapi juga lima nilai yang menonjol dalam budaya tradisional Cina iaitu moral, kebenaran, kesopanan, kesetiaan dan kemurahan hati.
Fokus kepada budaya tradisional itulah yang menarik Cynthia Sun untuk menyertai pertandingan ratu cantik.
“Saya berasa sangat tertarik dengan bahagian misinya, iaitu untuk menghidupkan dan meraikan nilai tradisional sebagai seorang wanita Cina tradisional,” katanya.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Jalinan pantas persahabatan dan persaudaraan
Sun menyifatkan pertandingan selama seminggu itu sebagai “sungguh berharga dan bermakna,” bukan sahaja kerana persahabatan mendalam yang terjalin dengan 31 wanita muda lain dari seluruh dunia, tetapi kerana pengalaman itu membuatkan beliau lebih terhubung dengan warisan.
Kelahiran Texas dinobatkan sebagai Ratu Cantik NTD pertama
Cynthia Sun dilahirkan dan dibesarkan di Texas, dan lulusan Universiti Texas—Austin. Beliau pada mulanya merasakan beberapa gadis lain mempunyai lebih banyak pengetahuan dan hubungan dengan warisan Cina mereka, yang lebih sesuai serta bersedia untuk pertandingan itu. Selepas upacara kemahkotaan, beliau menyedari betapa banyak yang perlu dipelajarinya dalam tempoh masa singkat.
“Ia benar-benar menarik perhatian melihat perkembangan diri saya sepanjang minggu ini, betapa lebih erat dengan warisan tradisional Cina dalam diri,” katanya. “Ia adalah satu peluang pembelajaran yang menakjubkan, bukan hanya tentang penyiaran, bukan sahaja tentang apa itu peserta ratu cantik, tetapi bagaimana wanita Cina tradisional yang sepatutnya, dan bagaimana nilai-nilai itu boleh dijelmakan dalam peribadi kita, dan bagaimana ia ditunjukkan dalam tindakan kita terhadap satu sama lain serta mesej apa yang kami semua hantar kepada dunia.”
“Saya benar-benar merasakan kami semua melakukannya sebagai satu pasukan. Saya tidak memenangi mahkota ini untuk diri saya sendiri, ia mewakili perkembangan diri yang telah dilalui oleh semua peserta.”
“Kami memanggil satu sama lain jie-mei, iaitu ‘saudara perempuan’ dalam bahasa Cina, kerana ia benar-benar terasa begitu,” katanya. “Kami telah tinggal bersama, kami telah berlatih bersama, siang dan malam, siang dan malam, dan rasanya semua hati kami bersatu pada malam ini.”
“Esok semua orang akan melakukan perjalanan beribu-ribu batu pulang ke kampung halaman mereka di seluruh dunia, tetapi saya benar-benar merasakan detik yang kita ada sekarang ini sangat istimewa, dan kami akan mengingatinya sepanjang hayat,” katanya.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Suara buat mereka yang tidak dapat bersuara
Cynthia Sun bekerja dalam bidang guaman untuk kerajaan, bercakap untuk mereka yang telah dianiaya kerana kepercayaan mereka terhadap komunis China. Sebagai Ratu Cantik NTD, beliau berharap dapat lantang bersuara mewakili mereka yang mempertahan kepercayaan, yang hidup di bawah penindasan.
“Saya telah bertemu dengan begitu ramai orang secara individu yang telah memberitahu saya kisah mereka yang dianiaya kerana kepercayaan mereka,” katanya. “Ia adalah peluang yang bermakna dan menyenangkan untuk berkongsi suara mereka bersama dunia. Bersuara untuk mereka yang tidak bersuara, itulah yang selalu kami katakan.”
“Malam ini, antara 32 peserta terdapat beberapa yang terlepas daripada penganiayaan di China, dan mereka mempunyai perkara yang sangat mendalam dan bermakna untuk dikongsi bersama saya sejak beberapa hari lalu. Dengan hanya sekadar mendengar, ia benar-benar membuatkan saya ingin mengangkat makna ini dan isu hak asasi manusia pada skala yang lebih meluas. Ia adalah isu antarabangsa dan ia adalah isu yang berkaitan dengan setiap individu,” katanya.
China telah menjadi negara komunis kurang daripada satu abad, dan sebelum itu, China mempunyai warisan 5,000 tahun sejarah yang tidak terputus. Ia pernah dipanggil “Tanah Dewa Dewi” dan “Empayar Surgawi,” kerana orang Cina percaya budaya mereka adalah anugerah dari syurga. Walaupun majoritinya etnik Han, China adalah sebuah negara dengan kepelbagaian etnik iaitu 50 etnik minoriti. Kepercayaan secara menyeluruh merentasi kumpulan dan dinasti yang berbeza adalah prinsip utama kehidupan mereka yang seiring dengan syurga, bumi, dan umat manusia.
Tetapi sejak Parti Komunis China (PKC) mengambil alih kuasa pada 1949, ia telah melancarkan banyak kempen ganas untuk menghapuskan budaya dan sejarah tradisional China. Malah pada hari ini, etnik Uyghur Muslim, Kristian, dan pengamal Falun Dafa (juga dikenali sebagai Falun Gong) dianiaya kerana kepercayaan mereka. Penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap pengamalnya terdiri daripada fitnah, pemenjaraan sehingga penyeksaan dan penuaian organ hidup secara paksa.
Sebagai peguam bela, Sun wajib meningkatkan kesedaran tentang isu sedemikian, dan akan menggunakan platformnya untuk menjelaskan isu hak asasi manusia, yang kebanyakannya telah lama cuba disembunyikan oleh PKC.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Keyakinan
Bagi Cynthia Sun, kecantikan dalaman dan keyakinan berkait secara intrinsik.
“Saya benar-benar percaya jika kita dapat mempamerkan kecantikan dalaman masing-masing, keyakinan diri, landasan diri, dan mengetahui diri kita siapa, jika kita menterjemahkannya dan menyebarkan mesej itu kepada orang lain, saya fikir ramai orang akan dapat membentuk diri mereka dengan lebih baik, dan berpegang teguh kepada nilai budaya, warisan, latar belakang, dan keluarga,” katanya. “Itu akan menjadikan masyarakat yang lebih makmur dan berjaya secara keseluruhannya,” katanya.
Anugerah
Ratu Cantik NTD telah menganugerahkan mahkota phoenix dengan lima batu nilam, hadiah wang tunai AS$10,000, set emas putih 18 karat padanan kalung dan anting-anting Heavenly Phoenix, serta hadiah lain.
Beliau juga akan diberi peluang selama setahun untuk liputan dan promosi media di seluruh dunia merentasi platform media sosial, dan berpeluang untuk menjadi tuan rumah program NTD, berkhidmat sebagai hos majlis untuk acara NTD, mengambil bahagian dalam ucapan global dan peluang mengembara ke seluruh dunia, dan hadir sebagai tetamu kehormat di beberapa acara.