27.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 10, 2025
Utama Blog Laman 394

Abang Foodpanda bawa ‘panda’ jalan-jalan pada hari terakhir bekerja raih perhatian warganet

0

Andaikan panda itu boleh dipelihara di rumah, pasti ramai yang akan mula menjadikan panda sebagai haiwan kesayangan mereka! Masakan tidak, kecomelan dan kegebuan panda ini memang sangat menggodakan dan membuatkan kita rasa nak picit-picit sahaja pipi panda itu sekiranya diberi peluang.

Begitulah juga dengan abang Foodpanda ini yang telah menghabiskan hari terakhirnya bekerja sebagai penghantar makanan dengan membawa ‘seekor panda’. Uzair, 22 tahun telah berkongsi di Twitter beberapa gambar dia bersama panda tersebut pada hari terakhirnya sebagai penghantar makanan bagi syarikat Foodpanda.

Namun hakikatnya, panda tersebut bukanlah haiwan sebenar tetapi hasil gambar yang disunting oleh dirinya sendiri. Kemahiran yang sangat menakjubkan sehingga berjaya memperdayakan ribuan warganet!

Perkongsian yang dimuat naik pada 9 Februari lalu sehingga kini telah meraih 17.1K ulang ciapan dengan 46.5K tanda suka. Dalam ciapan tersebut, Uzair telah memuat naik gambarnya dengan kapsyen, ”Hari terakhir, bawa sekali budak malas ini pergi hantar makanan sebelum gantung beg”.

”Saya adalah seorang jurugambar yang mempunyai minat dalam manipulasi foto. Inilah sebabnya mengapa saya memuat naik gambar bersama panda tersebut. Saya cuma ingin menghasilkan kenangan yang menarik bersama Foodpanda memandangkan saya berhenti kerja untuk meneruskan pembelajaran,” jelas Uzair lagi.

”Terima kasih semua! Tak sangka boleh menular. Terharu sangat! Ini gambar terakhir daripada saya dan rakan khayalan saya”.

Penularan gambar ini membuatkan majoriti pengguna Twitter memuji kemahiran dan juga kecomelan panda yang disunting oleh Uzair. Antara komen warganet adalah:

”Untung lah rapat dengan bos (Foodpanda), boleh minta naik gaji”.

”Comelnya panda!”.

”Walaupun ianya disunting tetapi saya bagi 10 bintang untuk kreativiti”.

3 hari tidur di koridor dan tidak mandi, kisah wanita ini mendapat perhatian Uncle Kentang

0

Beberapa hari lalu, seorang wanita telah diusir dari bilik yang disewa di rumah pangsa Suria Magna di Kepong dan insiden ini telah mendapat perhatian daripada Kuan Chee Heng. Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Úncle Kentang merupakan seorang usahawan yang berjaya.

Aktivis sosial ini telah segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja mendapat aduan daripada orang awam yang menyatakan wanita berkenaan telah tidur di laluan koridor selama tiga hari kerana tidak mempunyai hala tuju lain.

Semua barangan miliknya telah dialihkan di bahagian koridor rumah pangsa itu dan wanita ini tidak mampu untuk melakukan apa-apa kerana hanya mempunyai wang sebanyak RM12 sahaja. Wanita ini turut mendakwa pernah cuba untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai dan ahli politik namun tidak berjaya.

”Makcik kena kunci dan barang beliau diletakkan di koridor selepas tak mampu bayar sewa. Tidak mengapa makcik, kita akan bantu. Makcik sudah tidak tidur selama tiga malam. Sedih sangat. Muka cengkung dan duit dalam poket hanya ada RM12. Sebatang kara. Kita akan bantu,” tulis Uncle Kentang menerusi Facebook miliknya pada 9 Februari lalu.

Usahawan dan dermawan berusia 56 tahun ini telah menghulurkan pertolongan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga memastikan bahawa wanita ini ditempatkan di tempat yang selamat. Malah, Uncle Kentang turut berjanji akan menjemput wanita ini untuk menikmati juadah makan malam sempena sambutan Hari Tahun Baharu Cina.

Kuan mendapat gelaran Uncle Kentang apabila dia mengambil tindakan untuk memberikan ubi kentang kepada golongan miskin dan memerlukan beberapa tahun yang lalu. Jelasnya, golongan ini seringkali diberikan sumbangan dalam bentuk beras namun majoritinya terlalu miskin sehingga terpaksa memakan nasi bersama kicap sahaja.

”Mereka tidak mempunyai duit untuk membeli sayur. Apabila saya memberikan kentang, mereka kelihatan sangat gembira”.

Selain itu, Kuan juga menyediakan perkhidmatan ambulans secara percuma kepada mereka yang memerlukan. Malah, Kuan juga sebelum ini pernah memperkenalkan Pasar Mini 10 sen di mana kewujudan pasar ini adalah khusus untuk golongan miskin membeli barangan yang didermakan oleh orang ramai seperti mesin basuh atau pakaian pada harga sebanyak RM0.10 sahaja!

Semoga Kuan atau Uncle Kentang akan terus dikurniakan limpahan rezeki dan kesihatan yang baik demi kebajikan masyarakat yang dalam kesusahan.

Wanita ini terkejut melihat perubahan besar yang berlaku selepas beberapa jam tinggalkan kucing dan anjingnya di rumah

0

Peribahasa Melayu ada menyebut ‘bagai anjing dengan kucing’ yang membawa maksud selalu bertengkar. Namun sejauh manakah kebenaran yang menyatakan bahawa anjing dan kucing merupakan musuh seteru dan tidak boleh berbaik?

Kisah yang akan dikongsikan kali ini melibatkan seorang wanita yang memelihara seekor anjing betina bernama Saltie. Saltie merupakan anjing yang sangat ceria dan aktif. Saltie gemar melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Apa sahaja yang dirasakan seronok, pasti Saltie akan lakukannya.

Namun begitu, adakalanya wanita ini berasa bersalah setiap kali meninggalkan Saltie sendirian di rumah untuk pergi bekerja. Pasti Saltie akan merasa bosan dan tiada teman untuk bermain bersama. Pada saat itulah wanita ini mengambil keputusan untuk memelihara seekor kucing jantan yang diberi nama Lars. Kewujudan Lars di dalam keluarga ini bukanlah satu perancangan awal. Sebaliknya, Lars telah ditemui di dalam kotak kadbod dan cuaca pada ketika itu sangat sejuk disertai dengan ribut salji.

Ketika ditemui, Lars cuba untuk bertahan sendirian tanpa ibu mahupun kucing lain di sisi. Simpati dengan keadaan itu, Lars telah dibawa pulang ke rumah dengan harapan kucing ini dapat menjadi peneman yang baik buat anjing kesayangannya, Saltie. Pada peringkat awal, Saltie agak terkejut dan sentiasa berhati-hati apabila berada berhampiran Lars. Tingkah laku Saltie boleh dikatakan seperti seorang kakak yang tidak menginginkan ibu bapanya untuk mendapatkan bayi.

Selama beberapa hari, wanita ini terpaksa memantau pergerakan kedua-dua haiwan peliharaannya bagi mengelakkan berlakunya pertengkaran sehinggalah pada suatu hari, wanita ini terpaksa keluar dari rumah dan meninggalkan kedua-duanya bersendirian. Sebaik sahaja dia pulang ke rumah, dia sangat terkejut apabila mendapati Saltie dan Lars sedang bermesra-mesraan di atas katil. Lars sedang asyik menjilat bahagian dalam telinga Saltie dan anjing itu kelihatan sangat gembira dengan layanan yang diberikan oleh kucing tersebut.

”Lars yang bersaiz kecil telah memasukkan seluruh kepalanya ke dalam telinga Saltie untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan Saltie sangat gembira diperlakukan sebegitu”.

Sejak itulah, Saltie mula berbaik dengan Lars kerana Saltie sedar Lars bukanlah seekor kucing yang menakutkan sebaliknya Lars akan memberikan dandanan dan menjilatnya. Tidak kira sama ada di atas katil mahupun sofa, Saltie akan sentiasa dimanjakan oleh Lars.

”Adakalanya, Saltie akan memberikan petunjuk kepada Lars untuk menjilatnya. Saltie akan menjilat Lars beberapa kali dan Lars seolah-olah memahami kehendak Saltie sebelum terus memberikan layanan istimewa kepada Saltie. Apabila Saltie masuk ke rumah selepas berada di luar, Lars akan mencium tapak kaki Saltie untuk mengetahui ke mana Saltie pergi”.

Menurut wanita ini lagi, sepanjang dua tahun pertama Lars menjadi kucing peliharaannya, Lars hanya akan memberikan sepenuh perhatian kepada Saltie sehingga membuatkan wanita ini menggelar Lars sebagai ”kucing kepunyaan Saltie”.

”Terpesona!”. Dulu kurus dan tidak dipandang, transformasi terkini kucing ini buat ramai teruja

0

Tahukah anda, melihat sesuatu yang comel boleh menyebabkan otak manusia mengaktifkan sistem mesocorticolimbic yang kemudiannya membuatkan seseorang merasa gembira. Kucing merupakan antara perkara yang comel. Kita akan menjadi mudah tertarik untuk melihat kucing yang comel dan adakalanya kita akan berasa geram sehingga ingin mencium, memeluk dan meramas kucing!

Walaupun bukan semua kucing dilahirkan dengan fizikal yang comel dan gebu, ada juga segelintir kucing jalanan khususnya yang berada dalam keadaan tidak terurus namun masih berjaya menambat hati para pencinta haiwan. Begitulah nasib yang dilalui oleh kucing liar ini apabila keadaannya telah mencuri perhatian seorang wanita.

Menurut wanita tersebut, ketika dia berjalan ke arah keretanya untuk pulang ke rumah, dia telah mendengar tangisan anak kucing. Wanita ini cuba untuk mengetahui apa yang berlaku dan telah terlihat seekor kucing jalanan yang sangat kurus. Sebaik sahaja didekati wanita ini, kucing berkenaan langsung tidak melarikan diri sebaliknya terus bergolek dan menunjukkan sisinya yang manja.

Simpati dengan keadaan kucing tersebut, wanita ini kemudiannya mengambil keputusan untuk memelihara anak kucing itu. Di rumah, terdapat seekor lagi kucing yang turut dipelihara oleh wanita terbabit. Apa yang lebih menggembirakan adalah apabila melihat kedua-dua kucing tersebut berjaya menyesuaikan diri dan terus membentuk hubungan yang akrab.

Semakin hari, kucing ini kelihatan semakin membesar dan terdapat perubahan yang ketara pada bentuk fizikalnya. Kucing ini bukan sahaja kelihatan bersih dan sihat tetapi kucing ini juga kelihatan sangat ceria dengan kehidupan barunya. Jika dibandingkan dengan rupanya ketika hidup liar dahulu dengan rupa terkini, pasti ramai yang tidak menyangka kucing tersebut boleh berubah menjadi seekor kucing yang sangat cantik persis kucing yang turun dari kayangan!

“Semakin lama, kucing ini menjadi semakin cantik dan saya berasa sangat bertuah. Nasib baik saya tidak memikirkan penampilan kucing ini ketika pertama kali menemuinya”.

Pensyarah Singapura tak sengaja ‘mute’ mikrofon semasa mengajar, hanya menyedarinya 2 jam kemudian

0

Seorang pensyarah dari Singapura tanpa sengaja telah mengaktifkan mod ‘mute’ semasa mengajar pelajarnya secara dalam talian.

Pensyarah yang merupakan pendidik di National University of Singapore hanya menyedari perkara tersebut hampir dua jam selepas itu. Maknanya pelajarnya tidak mendengar apa yang diajarkan!

Video itu yang awalnya dimuat naik menerusi akaun TikTok @queen_xy telah menerima perhatian warganet dan tular.

“Ada soalan? Tiada? Boleh kita tamatkan kelas? Kamu semua ada soalan?”, soal pensyarah yang dikenali sebagai Wang.

Kemudian pelajarnya membalas, “Uh, hai Prof. Sebenarnya Prof ‘mute’ sepanjang kelas. Jadi kami tidak boleh mendengar apa-apa daripada jam 6:08 petang tadi”.

Kelas yang diajar Wang, seorang Profesor Madya dari Jabatan Matematik itu difahamkan berakhir pada jam 8:00 malam hari yang sama.

Terkejut dengan apa yang dikatakan pelajarnya, Wang kemudian bertanya sama ada mereka mendengar apa yang diajarkan.

“Kami hanya dapat dengar beberapa minit awal. Sejak jam 6:08 petang, skrin Prof tidak bergerak dan kami tidak mendengar apa-apa semenjak itu”.

Selepas serangan panik ringan, Wang yang bingung dan mungkin kecewa menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pelajarnya bahawa dia akan mengulang kelas di kemudian hari.

Menurut laporan, pelajarnya sudah mencuba pelbagai cara untuk memberitahu pensyarah mereka termasuklah dengan menghubungi telefon bimbitnya.

Namun Wang tidak memberi sebarang respon dan terus menghabiskan sesi pengajaran bersama para pelajarnya.

Ramai pelajarnya kemudian meninggalkan kelas dalam talian itu namun seramai 20 orang daripada mereka kekal berada di dalam talian, menunggu Wang dengan begitu sabar.

Selepas insiden ini, Wang difahamkan akan meletakkan telefon bimbitnya di sebelah ketika beliau mengajar agar pelajarnya dapat menghubungi jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka sebegini.

Tengku Zafrul : KWSP sedang dalam proses mansuhkan syarat pengeluaran i-Sinar

0

Kementerian Kewangan telah mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses untuk memansuhkan syarat pengeluaran i-Sinar.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pemansuhan itu dibuat selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan maklum balas awam.

“Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19”.

Pemasuhan syarat ini tambahnya akan membolehkan ahli KWSP berumur kurang 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.

“Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi”, katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau lagi, pihak KWSP memerlukan sedikit masa untuk mempersiapkan struktur pengeluaran baharu ini.

“Bagi ahli yang sudah memohon pengeluaran i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan dipersetujui secara automatik”, katanya.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Kaki tupai putih lumpuh sementara ekoran dilanggar. Mujurlah wanita penyayang ini jaga, pulihkan hingga sihat

0

Haiwan tidak dapat mengelak untuk keluar daripada sarang bagi mencari makanan. Misalnya haiwan liar seperti tupai.

Memandangkan mereka turut dikelilingi oleh manusia, maka perkara tidak diingin seperti kemalangan dilanggar oleh kereta masih boleh berlaku.

Itulah yang terjadi pada seekor tupai unik berwarna putih ini, apabila dilanggar oleh kenderaan dan dibiarkan di tepi jalan di kawasan Andover, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Pada suatu hari, Jane Newhouse yang merupakan individu yang mengusahakan santuari hidupan liar ada menerima satu panggilan.

“Seorang wanita ada hubungi saya dan memberitahu dia ada terjumpa seekor tupai di tepi jalan. Ia sangat cantik namun kecederaannya agak teruk”.

Menurut Jane, pada 3 hari pertama, tubuh tupai tersebut tidak menunjukkan fungsinya. Tupai itu hanya mampu menelan sahaja.

“Keesokan harinya, ia mampu mengangkat kepala namun saya bimbang kerana saya masih tidak nampak lagi sebarang pergerakan daripada kaki belakangnya”, kata Jane.

Pada hari ke-9, tupai itu sudah mampu mengawal kepala dan tangannya namun kakinya masih tiada sebarang perkembangan yang memberangsangkan.

“Pada hari ke-10, saya sedang menggaru belakang kepalanya kerana kelihatan ia mengalami gatal pada bahagian itu. Pada ketika itulah, saya lihat kakinya bergerak”.

Itulah kali pertama Jane dapat melihat sendiri tupai itu mula bergerak sama seperti tupai normal yang lain. Alangkah terujanya Jane!

Malah tupai tersebut juga sudah mampu mengumpul kekuatan. “Ia ada semangat untuk melawan keadaan itu. Setiap hari saya dapat lihat perkembangan positif, sedikit demi sedikit”.

Kemudian tupai tersebut juga mula memanjat. Namun kakinya tidak dapat mencengkam dahan kayu. Sungguhpun begitu, ia tidak mengalah.

“Saban hari, saya nampak keadaan itu berubah menjadi lebih baik, sedikit demi sedikit”, ujar Jane yang memberi nama tupai itu sebagai Macintosh.

Sebaik sahaja cuaca tidak lagi begitu sejuk di sana, Jane menyediakan sangkar di luar buat Macintosh. “Ia kerap menunjukkan bahawa dirinya benar-benar bersedia untuk dilepaskan”.

Tambah Jane, Macintosh hidup di  bawah jagaannya selama 5 bulan sebelum dia benar-benar yakin Macintosh sudah bersedia untuk pulang ke habitat asalnya.

Sehinggalah pada suatu ketika, hari untuk melepaskan Macintosh tiba. “Inilah dia, kawan-kawan. Saya akan mengucapkan selamat tinggal buat Macintosh. Ia sangat beremosi untuk saya”.

Walaupun begitu, Jane mengatakan bahawa ia adalah saat yang paling ditunggu dan dimahukannya sejak hari pertama Macintosh muncul dalam hidupnya.

“Kami meletakkan bekas sarangnya di sebuah pokok dan kami membiarkannya keluar”, tambah Jane yang tidak sempat merakamkan saat itu.

Ini kerana, Macintosh lari keluar memanjat pokok dengan begitu pantas. Namun seminggu kemudian, seorang wanita ada mengirim e-mel pada Jane.

Wanita itu memberitahu bahawa dia melihat kelibat Macintosh di persekitaran rumahnya ada turut melampirkan gambar bersama.

“Ia benar-benar Macintosh. Saya begitu gembira”, akhiri Jane yang sangat teruja.

Wajah tak lekang senyuman, petani durian paling comel di dunia adalah seekor anjing bernama Jubjib

0

Kita semua sangat ternanti-nantikan musim durian. Dalam pada kita teruja untuk menikmatinya, para petani pula sibuk mahu mengumpulkan hasil tanaman durian mereka.

Dan inilah petani paling comel yang mengusahakan tanaman durian – seekor anjing baka Golden Retriever bernama Jubjib dari Thailand.

Anjing comel ini sudah mula membantu mengusahakan ladang durian di Nonthaburi sejak tahun 2014, iaitu ketika Jubjib masih lagi kecil.

Tidak percaya? Ini foto yang membuktikannya :

Semenjak daripada itu, pada setiap kali musim durian, Jubjib akan bergambar bersama hasil tanaman durian di ladang berkenaan. Ini pula fotonya pada tahun 2015 :

Oleh kerana cuaca yang panas, maka Jubjib nampaknya terpaksa melindunginya ketika bekerja, termasuklah dengan memakai topi. Macam manusia!

Setiap tahun pasti ada foto Jubjib dengan hasil durian di ladang milik keluarganya itu :

Malah ketika hujan juga, Jubjib bertanggungjawab dalam menjaga hasil tanamannya. Hujan-hujan pun Jubjib jaga tau!

Berikut foto-foto Jubjib yang lain..

Pasti pemilik Jubjib amat menyayanginya. Jubjib juga sangat berbangga dengan tugasannya sebagai petani durian yang paling comel. Syabas Jubjib.

Perkhidmatan percuma guna aplikasi dalam talian yang mengutip barangan kitar semula dan anda boleh menukarnya dengan wang

0

Adakah anda sedang membersihkan rumah atau pejabat dan ingin membuang barangan lama? Daripada pergi ke pusat kitar semula, apa kata anda mendapatkan perkhidmatan percuma yang akan datang ke rumah atau premis anda dan mengutip barangan yang boleh dikitar semula.

Seorang netizen Neyra Shazeyra berkongsi di Twitter yang kini bebenangnya menjadi tular apabila beliau berkata buat kali keduanya selepas menggunakan Trash4Cash, aplikasi percuma itu amat menyenangkan. 

Twitter

Trash4Cash akan menghantar lori untuk mengutip barang-barang kitar semula yang telah disusun oleh anda dari rumah atau pejabat sendiri.

Pada pertama kali Neyra menggunakan perkhidmatan ini, dia membuang sampah yang boleh kitar semula seberat 125 kilogram.

Twitter

Kali ini, dia dapat membuang sampah bernilai dengan berat 73 kilogram yang antara lain berupa plastik, kertas boleh kitar semula, barangan elektronik, serta barangan lain.

Pengguna digalakkan untuk memisahkan barang-barang dengan teliti dan teratur terlebih dahulu untuk dikitar semula. Harga untuk setiap barangan yang akan ditimbang dinyatakan pada aplikasi berkenaan.

Twitter

Perkhidmatan ini juga mengumpulkan barang-barang lain seperti botol kaca, kadbod, minyak terpakai, dan tin.

Setelah barang dikumpulkan, anda akan menerima pembayaran terus ke dalam akaun bank anda.

Twitter

Neyra berkongsi tip untuk mengelakkan daripada mencampurkan kertas berwarna, serta kertas hitam dan putih kerana Trash4Cash akan membayar anda lebih untuk kertas hitam dan putih yang telah diasingkan.

Harga untuk kertas campuran ialah 15sen / kg manakala kertas hitam dan putih ialah 35sen / kg.

Twitter

Perkhidmatan ini hanya tersedia di kawasan tertentu di Malaysia, seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Tonton video di sini.

PKC disyaki beri bantuan kepada kerajaan tentera Myanmar ketika menyekat akses internet, rakyat lancar protes di hadapan kedutaan China

0

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 dan rakyat Myanmar mempersoalkan campur tangan dan bantuan Parti Komunis China (PKC) terhadap tentera Myanmar dalam kawalan siber. 

Ratusan warga Myanmar berkumpul di hadapan kedutaan China di Myanmar pada pagi 11 Februari dan meminta supaya PKC untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman kerajaan Myanmar.

Central News Agency melaporkan junta tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari, yang menimbulkan kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa. Rasa tidak puas hati masyarakat Myanmar semakin meningkat, dengan penunjuk perasaan menyatakan bantahan selama 6 hari berturut-turut yang menunjukkan kemarahan mereka berikutan tentera menggulingkan kerajaan dari parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.

Gambar oleh STR/ AFP via Getty Images

Sejak tentera Myanmar menghentikan capaian internet dan menyekat akses media sosial dari semasa ke semasa sebaik rampasan kuasa, PKC dilaporkan telah menghantar juruteknik ke Myanmar untuk membantu menyekat akses internet. 

Beberapa gambar yang beredar di media sosial menunjukkan barisan pekerja sedang memuat turun beberapa kotak mencurigakan berisi barangan dari pesawat penerbangan. 

Rakyat Myanmar mengesyaki bahawa ini adalah bekalan peralatan teknikal yang digunakan oleh PKC untuk membantu memutuskan rangkaian jalur lebar dan komunikasi di Myanmar.

Kedutaan Besar China di Myanmar menerbitkan kenyataan dari Dewan Perniagaan Myanmar-China di Facebook pada 10 Februari yang menyatakan pesawat pergi balik antara China dan Myanmar adalah penerbangan kargo biasa, yang membawa barang import dan eksport seperti makanan laut. 

Berita tentang sekatan internet adalah khabar angin semata-mata, dan rakyat tidak sepatutnya mempercayai khabar angin tersebut, menurut kenyataan itu.

Mengenai kenyataan China menghantar petugas teknikal dan peralatan ke Myanmar, jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin mendakwa pada sidang media pada 10 Februari bahawa beliau tidak pula mendengar dan dimaklumkan dengan berita seperti itu.

Hashtag ‘Chinese CargoYGN’ menjadi salah satu hashtag media sosial paling popular pada 12 Februari di negara ini, apabila netizen Myanmar mempersoalkan bagaimana ada peniaga yang akan mengimport makanan laut buat masa ini, dan bagaimana mereka hanya menggunakan kayu untuk makanan laut dengan penghantaran menggunakan kotak.

@may_lay_/Twitter

Ratusan warga Myanmar berkumpul di hadapan kedutaan China di Yangon pada pagi 11 Februari untuk melancarkan protes bagi membantah campur tangan PKC dalam urusan dalaman negara Myanmar. 

Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk, “Sokong Myanmar, bukan diktator tentera”, “Tolong hormati pilihan kami, diktator tentera mesti gagal”, dan “Berhenti membantu”. Disamping slogan berbahasa Cina dan Inggeris seperti “Tentera Perampas” dan “Berhenti Mencampuri Urusan Negara Kami”.

Masih terdapat gelombang besar tunjuk perasaan di bandar-bandar besar di seluruh Myanmar. Media bebas berbahasa Inggeris ‘Myanmar Now’ melaporkan bahawa trend tunjuk perasaan tidak menunjukkan tanda-tanda reda, kerana semakin ramai penjawat awam termasuk pegawai polis menyertai tunjuk perasaan itu.

@Myanmar_Now_Eng/Twitter

Pada 6 Februari, bandar terbesar Myanmar, Yangon dipenuhi tunjuk perasaan terbesar sejak tentera melancarkan rampasan kuasa. Ribuan rakyat turun ke jalanan bagi mengecam rampasan kuasa oleh pemerintah junta tentera Myanmar. 

Tentera Junta menyekat akses internet pada hari itu. Laman web ‘NetBlocks’ melaporkan bahawa berita mengenai Myanmar telah disekat di seluruh negara, dan tahap capaian internet telah menurun sebanyak 16% dari tahap normal. Saksi melaporkan bahawa perkhidmatan data mudah alih dan rangkaian jalur lebar telah ditutup.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden meluluskan perintah eksekutif pada 10 Februari dengan mengumumkan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar yang memerintahkan rampasan kuasa di Myanmar, dan menuntut mereka untuk melepaskan kuasa dan menyerahkannya kembali kepada pemimpin demokratik dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi bersama Presiden U Win Myint yang kini berada dalam tahanan. 

Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) mengadakan mesyuarat khas pada 12 Februari untuk membincangkan ‘kesan krisis Myanmar terhadap hak asasi manusia’.