26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 7, 2026
Utama Blog Laman 393

Umpama pak cik sedang belajar, pemuda 28 tahun luah rasa tersisih di sisi rakan universiti lebih muda demi kejar impian menggenggam ijazah

0

Adalah perkara normal bagi seseorang itu memperolehi ijazah dari universiti pada usia tertentu iaitu sekitar usia 23 hingga 24 tahun, tetapi ada yang memperolehinya pada usia yang berbeza disebabkan kekangan tertentu dalam hidup. Bagi mereka yang berfikiran matang, menuntut ilmu itu adalah tanggungjawab seumur hidup dan tidak semestinya berada di universiti sahaja.

Maka, pandangan untuk melihat seseorang yang lebih berusia berusaha gigih dalam menuntut ilmu di universiti, menggenggam segulung ijazah idaman dan mencapai cita-cita tidak pernah menjadi masalah, malahan ia harus dijadikan satu inspirasi dan membangkitkan rasa kekaguman.

Tetapi entah mengapa, ada masanya adalah menjadi sangat sukar buat anda yang tiba-tiba menjadi satu-satunya individu dalam kelompok umur yang lebih lanjut menjadi pelajar, walaupun tidaklah selanjut mana dan anda dengan tidak semena-mena ditertawakan oleh pelajar lain.

Gambar Hiasan / Pexels

Seorang pemuda berusia 28 tahun memuat naik kisahnya di Facebook dengan menceritakan bagaimana dia melepaskan pekerjaannya sebagai pengurus dengan gaji bulanan RM4,000 demi untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi di universiti. 

Malangnya, dia menerima sindiran dan ejekan daripada rakan-rakan universitinya yang berusia jauh lebih muda.

Menurutnya dalam posting itu, dia berasal dari keluarga miskin dan mereka tidak mempunyai wang untuk menghantarnya ke universiti ketika mendapat tawaran melanjutkan pelajaran. Pada usia 17 tahun, dia mula bekerja sambilan dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti pada masa depan.

Tanpa disangka, ia memerlukan masa 10 tahun untuk menyimpan wang yang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran dan pada masa itu, dia sudah dinaikkan pangkat sebagai pengurus dengan gaji bulanan RM4,000.

Pemuda ini menulis, pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk melepaskan pekerjaannya yang telah stabil, tetapi oleh kerana impiannya perlu dicapai, akhirnya dia memutuskan untuk meletak jawatan dan mengikuti kursus di universiti pada usia 28 tahun.

Semasa memasuki universiti, pemuda ini mendapati bahawa tiada seorang pelajar lain walaupun seorang yang seusia atau hampir seusia dengannya, malahan beberapa pelajar lain secara tidak bertanggungjawab telah mentertawakannya kerana dia menjadi pelajar tertua di fakulti itu.

Gambar Hiasan / Unsplash

“Terus terang, saya berasa rendah diri. Setiap hari, saya berasa seperti seorang pak cik tua berada di kolej,” tulisnya.

“Malahan saudara-mara juga ada mentertawakan saya dan bertanya jenis buku apa yang saya baca ketika saya sangat tua,” tulisnya.

“Walaupun saya tidak peduli dengan gosip orang lain, saya masih berasa sedikit tidak selesa dan berharap saya dapat kembali ke masa lampau,” luahnya.

Setelah mengikuti kursus selama empat tahun, akhirnya dia lulus cemerlang dan menggenggam ijazah pada usia 32 tahun. Dia berkata pada masa itu, rakan-rakan seusianya sudah berkahwin dan mempunyai anak ketika dia masih di universiti.

Gambar Hiasan / Pixabay

Namun, katanya dia masih ingin melihat hikmah dan sudut terang sambil berharap mungkin dia dapat mengenali serta berkenalan dengan teman wanita lebih muda.

Kehidupan tidak selalunya indah, dan kita semua tidak akan kekal muda untuk terus mentertawakan orang lain. Suatu hari kita pula yang mungkin akan berada di tempat itu dan akan ditertawakan, kemudian apa rasanya? 

Umur itu hanya satu angka kerana pengalaman hidup sebenar yang membezakan anda dengan orang lain. Bertuahlah anda kerana telah melaluinya terlebih dahulu dan menjadi matang sebelum orang lain yang ‘muda’ itu melaluinya.

Mangsa kem Xinjiang dedah tahanan wanita dirogol setiap malam

0

Ramai mangsa dan bekas kakitangan kem tahanan Xinjiang mendedahkan bahawa wanita diperkosa, diserang secara seksual, diseksa atau dibunuh setiap malam di kem tahanan. Mereka sendiri pernah mengalami dan menyaksikannya sendiri.

Menurut laporan BBC, seorang mangsa bernama Tursunay Ziyawudun yang ditahan selama 9 bulan pada tahun 2018, mengatakan bahawa semua wanita di kem tahanan Xinyuan dibawa keluar daripada sel, dan mereka kemudiannya dirogol oleh seorang atau lebih lelaki yang memakai sut dan kasut serta topeng. Perkara itu turut berlaku ke atas dirinya.

Ziyawudun yang berusia 42 tahun, memberitahu BBC bahawa dia telah diseksa dan diperkosa tiga kali oleh beberapa lelaki.

“Saya tidak mahu perkara ini keluar dari mulut saya. Ini mungkin bekas luka yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya”.

Menurutnya, beberapa wanita tidak pernah kembali dan wanita yang dibawa pulang pula telah diugut untuk tidak memberitahu perkara ini kepada orang lain.

“Anda tidak dapat memberitahu sesiapa pun tentang apa yang terjadi. Mereka mahu menghancurkan semangat semua orang”. Setelah dianiaya, ramai kemudiannya berubah menjadi tidak siuman.

Ziyawudun kemudian ditendang di perut oleh polis dan dia terpaksa menjalani pemeriksaan perubatan dan mengambil pil yang tidak jelas. Dia juga diberi ‘vaksin’ yang memualkan setiap 15 hari.

Seorang wanita Kazakh, Gulzira Auelkhan ditahan selama 18 bulan. Dia memberitahu bahawa dirinya terpaksa menanggalkan pakaian wanita Uyghur yang lain dan menggari mereka sehingga beberapa lelaki China atau polis dapat memasuki rumah lalu merogol.

Dia mengatakan bahawa dia sendiri tidak dapat melawan, apatah lagi campur tangan.

Qelbinur Sedik, seorang wanita Uzbekistan yang dulu menjadi guru bahasa Cina di kem tahanan, mengatakan kepada Projek Hak Asasi Manusia Uyghur (UHRP) di Washington bahawa dia ada mendengar kakitangan memasukkan tongkat elektrik ke dalam saluran pembiakan wanita untuk menyiksa tahanan.

Dia juga sering kali mendengar jeritan terutamanya semasa makan tengah hari atau kelas. Menurutnya, seorang polis wanita di kem tahanan itu memberitahu bahawa rogol sudah menjadi budaya.

“Ini adalah rogol secara berkumpulan. Polis China tidak hanya merogol mereka, malah membiarkan mereka diserang menggunakan elektrik. Mereka sangat menderita”.

Setelah laporan BBC disiarkan, pihak berkuasa China menafikannya. Jurucakap Kementerian Luar PKC Wang Wenbin mengatakan bahawa laporan itu tidak berasas.

 Beberapa orang yang ditemuramah oleh media yang ‘relevan’ telah terbukti sebagai pelakon yang menyebarkan maklumat palsu dan tidak pula memberikan bukti.

Perikatan Parlimen Transnasional untuk Dasar China (IPAC) menyatakan bahawa mereka terkejut dengan berita yang dilaporkan oleh BBC dan mengecamnya.

Demokrasi dan masyarakat antarabangsa tidak boleh bercakap, mereka mesti mengambil tindakan bersama agar pemerintah PKC bertanggungjawab dan menghentikan kekejaman ini.

Kluster tempat kerja meningkat, cecah 527 kluster dalam gelombang ketiga COVID-19

0

KULAI – Bermula 20 September 2020 sehingga 12 Februari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 852 kluster di dalam gelombang ketiga pandemik virus COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebanyak 527 kluster daripadanya merupakan kluster di tempat kerja dengan catatan seramai 78,906 pesakit positif daripada 305,100 individu yang menjalani ujian saringan.

Dr Adham Baba bersama anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah tempat penginapan pekerja asing

“Daripada jumlah positif itu, 58,318 adalah dalam kalangan bukan warganegara manakala selebihnya iaitu 20,588 adalah warga tempatan”.

Jelas Adham Baba lagi, “Kluster di tempat kerja meliputi sektor pembuatan yang merekodkan 194 kluster diikuti perkhidmatan (175), pembinaan (94), pentadbiran awam (39), pertanian (14) dan perlombongan/kuari (8)”.

Difahamkan beliau telah menyertai operasi bersepadu petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi menjalankan pemeriksaan ke tempat kerja dan juga tempat penginapan pekerja yang terletak di sekitar Kawasan Perindustrian Senai. Operasi ini dijalankan setelah Pejabat Kesihatan Daerah Kulai menerima beberapa aduan daripada orang awam berkenaan isu tempat penginapan pekerja yang dilaporkan tidak mengikut garis panduan atau SOP yang ditetapkan.

Jelas Adham lagi, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan memandangkan Kulai merupakan antara daerah yang mencatatkan kes tertinggi dalam tempoh seminggu. Seramai 327 daripada 568 individu membabitkan pekerja warga asing dari pelbagai sektor perindustrian dan kawasan tapak pembinaan disahkan positif wabak berkenaan.

Seramai 604 pekerja kilang pemprosesan ayam di Serkam disahkan positif COVID-19

Hasil tinjauan mendapati peningkatan kes ini adalah disebabkan oleh kegagalan beberapa syarikat yang tidak menyediakan tempat penginapan yang kondusif kepada para pekerja yang ditempatkan di rumah kedai.

“Pekerja warga asing yang ditempatkan di rumah kedai itu melebihi 23 orang iaitu melebihi kapasiti yang ditetapkan oleh JTK. Ini adalah kesalahan serius yang dilakukan kerana tidak menyediakan tempat tinggal yang kondusif dalam menangani wabak COVID-19”.

“Tempat penginapan itu difahamkan didiami oleh pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza di Senai. Kita dapati tindakan ini melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” jelas Adham lagi.

Keadaan tempat tidur pekerja warga asing di Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang

Adham turut mengarahkan JTK untuk melakukan siasatan lanjut terhadap majikan serta agensi pekerja yang bertanggungjawab terhadap pekerja terbabit sekali gus mengatasi masalah kesesakan di tempat penginapan pekerja.

Agong berkenan kurnia rumah baharu buat mangsa terjejas banjir yang kehilangan tempat tinggal di Pahang

0

Keluarga Yang di-Pertuan Agong sentiasa menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat jelata pada ketika baginda berkenan menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir di negeri Pahang, sehingga Permaisuri sendiri tidak kekok menyingsing lengan baju dan memasak untuk mangsa banjir.

Yang di-Pertuan Agong sekeluarga terus prihatin dan menyentuh hati rakyat jelata, ketika langkah terbaru yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ialah dengan mengumumkan bahawa baginda berkenan untuk mengurniakan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang yang mengalami kemusnahan harta benda dan kehilangan tempat tinggal.

Istana Negara / Facebook

Bimbang dengan keadaan dan keperitan hidup yang sedang dialami rakyat jelata akibat banjir besar yang melanda Pahang pada bulan lalu, Al-Sultan Abdullah sendiri telah turun padang dan meninjau pembinaan rumah baharu di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai pada 12 Februari.

Istana Negara / Facebook

Diiringi oleh empat anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Yang di-Pertuan Agong telah mengunjungi lokasi dan tapak sebuah rumah berukuran 660 kaki persegi yang akan mula dibina bermula minggu ini.

Istana Negara / Facebook

Tempoh 16 minggu telah ditetapkan untuk membina rumah baharu yang akan dilakukan di tanah milik mangsa banjir sendiri.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Hafizah Zakaria dalam taklimat ringkas kepada keluarga diraja, pembinaan rumah berkenaan akan mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas yang selesa.

Istana Negara / Facebook

Semoga Yang di-Pertuan Agong sekeluarga terus menjadi teladan dan pemberi inspirasi kepada pemimpin tertinggi negara yang lain, dengan meletakkan sifat keprihatinan dan memikirkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan mereka kepada negara.

Nancy Pelosi tidak berpuas hati keputusan pendakwaan, tolak untuk mengecam Donald Trump

0

Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi (D-Calif.) berkata beliau tidak berminat untuk mengecam bekas Presiden Donald Trump setelah Senat memutuskan untuk membebaskan Trump dalam perbicaraan pendakwaan kali kedua.

Pelosi menyifatkan tindakan mengecam Trump adalah serupa seperti memberi “sedikit tamparan di pergelangan tangan.”

“Kami mengecam orang kerana menggunakan alat tulis untuk tujuan yang salah. Anda tidak mengecam orang kerana menghasut rusuhan yang membunuh orang di Capitol,” tambahnya.

Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi, berucap di Capitol Hill di Washington DC, pada 11 February 2021. (Gambar oleh Olivier Douliery /AFP /Getty Images)

Pelosi membuat kenyataan itu semasa lawatan mengejut ke dewan pengurus pendakwaan ketika sidang media selepas Senat membebaskan bekas presiden.

Beliau kelihatan berang dengan keputusan membebaskan Trump dari pertuduhan. Pelosi menepuk meja beberapa kali dan membidas para senator yang mengundi untuk membebaskan Trump sebagai ‘kumpulan Republikan yang pengecut’.

Senat memilih untuk membebaskan Trump dengan undi majoriti 57:43. Kesemua ahli Demokrat dan tujuh ahli Republikan memilih untuk mensabitkan Trump. Parti Republikan yang memilih untuk menyertai Demokrat ialah Senator Richard Burr (RN.C.), Susan Collins (R-Maine), Bill Cassidy (R-La.), Mitt Romney (R-Utah), Ben Sasse (R- Neb.), Lisa Murkowski (R-Alaska), dan Pat Toomey (R-Pa.).

Trump dalam satu kenyataan setelah dibebaskan berkata beliau akan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Saya selalu, dan akan selalu, menjadi juara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa goyah, wira pelaksanaan undang-undang, dan hak warga Amerika Syarikat untuk menyuarakan pendapat secara aman dan terhormat mengenai isu-isu hari ini tanpa niat jahat dan berunsur kebencian,” kata Trump.

Trump turut menyatakan gerakan ‘Make America Great Again’ baharu sahaja bermula.

“Pada bulan-bulan akan datang, saya akan banyak berkongsi dengan anda, dan saya berharap dapat meneruskan perjalanan luar biasa bersama-sama anda untuk mencapai kehebatan Amerika Syarikat untuk semua rakyat,” jelas kenyataan itu.

Senat terus bergerak dengan pantas selepas keputusan perbicaraan pendakwaan dengan tindakan untuk memanggil saksi luar jangkaan dari dewan pengurus pendakwaan.

Pemimpin pengurus pendakwaan, Jamie Raskin (D-Md.) berkata mereka ingin memanggil beberapa saksi berkenaan dakwaan panggilan telefon antara Pemimpin Dewan Republikan Kevin McCarthy (R-Calif.) dengan Trump pada 6 Januari.

Ahli Perwakilan Jaime Herrera Beutler (R-Wash.) dalam satu kenyataan mendakwa Trump bertindak secara ragu-ragu untuk menghentikan rusuhan atas permintaan McCarthy semasa pencerobohan perusuh di Bangunan Capitol pada 6 Januari.

Trump didakwa mempercayai bahawa Antifa telah menceroboh dan melakukan rusuhan di Bangunan Capitol sejak awal.

“Ya, Kevin, saya rasa orang-orang ini lebih kecewa dengan pilihan raya daripada anda,” Trump dilaporkan berkata kepada McCarthy setelah ahli republikan itu membantah naratif Antifa.

The Epoch Times tidak dapat mengesahkan kenyataan Beutler secara bebas.

Pejabat Trump dan McCarthy tidak menjawab permintaan untuk memberi komen kepada The Epoch Times.

Dewan Senat pada awalnya mengesahkan untuk memanggil saksi dengan undi 55:45 tetapi mencapai kata sepakat untuk mengelakkan kemungkinan perbicaraan dilanjutkan.

Senat, dewan pengurus pendakwaan dan bekas peguam Trump kemudian bersetuju untuk memasukkan pernyataan Beutler ke dalam rekod perbicaraan pendakwaan terhadap Trump sebagai bukti tanpa memanggil saksi untuk perbicaraan itu.

Perbicaraan beralih ke fasa hujah penutupan setelah kesepakatan itu dicapai.

133 kenderaan terlibat kemalangan ngeri di lebuh raya Texas, 6 disahkan maut

0

DALLAS – Enam orang disahkan terbunuh dan 65 mangsa cedera apabila 133 buah kenderaan terlibat dalam perlanggaran satu sama lain yang menyebabkan kemalangan dahsyat ketika cuaca sejuk dan lebuh raya berais di Texas pada pagi Khamis, 11 Februari.

Daily Mail melaporkan menurut pihak berkuasa, perlanggaran kenderaan satu sama lain itu berlaku pada jam pukul 6 pagi waktu tempatan, ketika beberapa bahagian Amerika Syarikat mengalami musim sejuk yang menurunkan hujan ais dan salji, menyebabkan lebuh raya berkeadaan licin.

Daily Mail/Facebook

Menurut pihak berkuasa, kemalangan berlaku di sebuah lebuh raya sibuk Interstate 35 di Forth Worth dan pada ketika itu 133 buah kenderaan yang terdiri daripada treler, kereta dan lori telah saling berlanggar antara satu sama lain akibat jalan licin berais.

Jurucakap Jabatan Bomba Forth Worth, Michael Drivdah dalam kenyataannya berkata kemalangan tersebut berlaku dengan kemungkinan disebabkan oleh lebuh raya yang berais.

Daily Mail/Facebook

Seramai 65 mangsa dilaporkan telah mendapatkan rawatan di hospital dengan 36 daripadanya dibawa dengan ambulans dari lokasi nahas, termasuk beberapa mangsa yang kritikal, menurut jurucakap Medstar, Matt Zavadsky yang menyediakan perkhidmatan ambulans.

Menurutnya beberapa mangsa telah dirawat di tempat kejadian manakala sebahagian lagi mangsa meninggalkan lokasi kemalangan, tetapi terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Twitter

Jason McLaughlin, seorang pemburu ribut yang memuat naik video kemalangan menerusi akaun Twitter miliknya yang menunjukkan beberapa kenderaan termasuk lori dan treler terlibat dalam kemalangan di lebuh raya itu, sebelum sebuah lori FedEx hilang kawalan akibat jalan yang licin dan menghentam berpuluh kenderaan lain.

Beberapa kenderaan lain yang berada di belakang lori itu turut berlanggar satu sama lain, yang telah menyebabkan kemalangan dahsyat dengan barisan kenderaan yang terlibat sepanjang kira-kira 2.4 kilometer.

Twitter

McLaughlin memberitahu, lebih 100 buah kenderaan terlibat dalam kejadian itu, ketika dia menyaksikan sendiri kemalangan tersebut.

“Suasana di tempat kejadian masih kelam-kabut. Ia seperti beberapa kenderaan telah hilang kawalan akibat jalan licin,” katanya kepada media.

Daily Mail/ Facebook

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran tentang hujan ais di kawasan tersebut sekali gus menyukarkan pemanduan. 

Ahli meteorologi dari Pusat Ramalan Cuaca Ribut Kebangsaan di Norman, Oklahoma, Steve Goss berkata fenomena ribut ais polar vortex kini telah bergerak berhampiran sempadan Amerika Syarikat – Kanada, yang telah menyebabkan cuaca lebih sejuk menuju jauh ke selatan.

PDRM ‘jejaki’ pembuang sampah berdasarkan alamat yang tertera pada bungkusan plastik yang dibuang

0

Berikutan penemuan longgokan sampah yang dibuang di kawasan larangan buangan sampah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ‘mengunjungi’ rumah pembuang sampah berdasarkan alamat yang tertera pada bungkusan plastik yang dibuang.

Info Roadblock JPJ/Polis/Facebook

Menurut perkongsian laman kumpulan Info Roadblock JPJ/Polis, pihak berkuasa telah menjejaki pesalah berdasarkan alamat yang tertera dan ‘mengunjungi’ mereka untuk mengeluarkan saman.

Info Roadblock JPJ/Polis/Facebook
Info Roadblock JPJ/Polis/Facebook

Selain daripada tindakan ini yang jelas sekali melanggar peraturan, tindakan membuang sampah dengan maklumat peribadi yang jelas sebegini juga adalah satu tindakan yang berisiko kerana para penjenayah dengan mudah boleh menjejaki pembuang sampah untuk dijadikan mangsa jenayah.

Info Roadblock JPJ/Polis/Facebook

Perkara ini pernah berlaku pada bulan Disember tahun lalu dimana seorang penjenayah telah mendapat maklumat mangsa melalui bungkusan yang dibuang merata-rata.

Dengan maklumat yang ada, penjenayah tersebut mula menghubungi dan meminta wang disamping pergi ke rumah ibu bapa mangsa dan menyamar sebagai penghantar barangan sambil meminta wang bayaran ketika penghantaran (cash on delivery).

Info Roadblock JPJ/Polis/Facebook

Jelas sekali, tindakan membuang sampah dengan maklumat penting sebegini bukanlah satu tindakan yang bijak, malah boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak membuang sampah terutamanya sampah yang mempunyai maklumat peribadi di kawasan yang tidak sepatutnya.

Video lama diputar belit dan ditularkan, Datuk Seri Ismail Sabri buat laporan polis

0

KUALA LUMPUR: Susulan sebuah video di majlis keramaian yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini, 13 Februari telah membuat laporan polis berkenaan penyebaran video lama itu yang menfitnah beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ismail Sabri Yaakob/Facebook

Laporan tersebut telah dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Md Rosdy di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan bahawa dua buah video yang tular itu boleh mengelirukan rakyat yang menontonnya.

Menurutnya, video pendek pertama yang tular itu kononnya cuba menunjukkan bahawa beliau mengumumkan bahawa tiada lagi saman dan kompaun yang akan dikenakan terhadap rakyat sekiranya mereka melanggar SOP, sebaliknya pesalah akan terus dipenjarakan.

Katanya, video berkenaan adalah video lama dan pihak kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP untuk semua rakyat Malaysia.

Untuk video yang kedua pula, video berkenaan diberi tajuk “sendiri buat SOP sendiri langgar (SOP)” yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri menghadiri sebuah majlis keramaian sedangkan video itu sebenarnya dirakam pada bulan September 2020 ketika beliau menghadiri majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan.

“Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baharu Cina dan ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan tersebut.

“Justeru tujuan saya membuat laporan polis terhadap kedua-dua video ini adalah bagi menghentikan penularan fitnah terhadap saya.

“Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Azlina berkata kepada pihak media bahawa pihaknya telah pun mengenal pasti dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video terbabit dan segala maklumat telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disamping itu, beberapa individu lain yang turut terlibat dalam penyebaran video itu juga akan dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

Syed Saddiq tumpangkan warga emas OKU yang hidup daif tinggal di rumahnya

0

MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan beliau akan menumpangkan seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan di kawasan yang diwakilinya itu.

Kisah sedih lelaki warga emas itu dimuat naik oleh Saddiq di laman Facebook miliknya. Menurutnya lelaki berusia 59 tahun dikenali sebagai Pakcik Hashim tinggal di sebuah rumah yang uzur dan usang sejak lebih enam bulan lalu.

Facebook
Facebook

“Dinding rumah sudah dimakan anai-anai. Tangga rumah sudah patah dua. Atap pun sudah bocor dan kalau hujan, rumahnya sudah tidak lagi boleh jadi tempat berteduh. Bila saya sampai dalam pukul empat petang tadi, memang rasa sedih,” tulisnya.

“Pertama, ini tanggungjawab saya menjaga kebajikan Pakcik Hashim. Kedua, masih ada lagi penduduk yang tinggal di rumah yang begini uzur pada tahun 2021.

“Jadi, saya dan Pejabat Parlimen Muar bantu kemaskan pakaian Pakcik Hashim dan saya bawa Pakcik Hashim tumpang berteduh di rumah saya buat sementara waktu di Parit Unas.

Facebook
Facebook

“Basikal baru saya beli. Saya beri ruang untuk Pakcik Hashim mandi dan berehat di rumah saya sementara kami cari tempat tinggal sementara untuk Pakcik Hashim.”

Menurutnya lagi, warga emas berkenaan pada masa ini hanya menerima bantuan OKU (Tidak Berupaya Bekerja) sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara dia masih menunggu bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Baitulmal.

“Saya ingin merayu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk meluluskan permohonan beliau untuk bina rumah baharu di atas tanah warisan yang sedang didiaminya melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Lagi lama kita tangguh, lagi berat beban yang ditanggung Pakcik Hashim,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata akan menumpangkan Pakcik Hashim tinggal di rumahnya sementara urusan rumah jagaan disegerakan dan berharap agar sumbangan orang ramai (crowdfunding) akan dapat menampung sewa rumah dan perbelanjaan hidup warga emas tersebut.

“Saya minta maaf kerana kemampuan saya sebagai ahli parlimen sangat terhad. Peruntukan kepada parlimen Muar telah dipotong dari RM3.8 juta kepada RM 100,000 setahun. Apa yang ada, saya bantu. Tapi sangat terhad,” tambahnya lagi.

Kepada yang mahu turut sama membantu bolehlah menghulurkan sumbangan melalui akaun bank di bawah:

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar
CIMB Bank: 8603323060
Rujukan: Pakcik Hashim

China dedah terdapat vaksin tiruan dihasilkan menggunakan air mineral telah beredar di pasaran

0

BEIJING – Dasar ‘pencegahan pandemik wajib’ PKC telah mengubah ujian asid nukleik dan pemberian vaksin virus PKC menjadi industri yang menguntungkan, dengan pelbagai produk tiruan turut menyusul. 

Baru-baru ini, Parti Komunis China secara rasmi mengumumkan terdapat dua kes penipuan pemberian vaksin, dengan salah satunya adalah vaksin tiruan menggunakan air mineral.

Pada 10 Februari, Parti Komunis China menerusi akaun WeChat rasmi mereka mengumumkan terdapat kes jenayah yang melibatkan pemberian vaksin virus PKC.

Gambar oleh Noel Celis/AFP via Getty Images

Dalam salah satu kes yang dinyatakan, suspek dikenali Kong dan Qiao mula mengedarkan suntikan vaksin dengan air garam sejak bulan Ogos 2020, dan kemudian memperluas skala penipuan berkenaan dengan meminta bantuan saudara-mara dan rakan-rakan bagi melariskan penjualan suntikan vaksin.

Pada peringkat seterusnya, air garam fisiologi tiba-tiba tidak mencukupi, dan mereka menggunakan air mineral sebagai gantinya. Setelah pengeluaran selesai, pembungkusan dan label vaksin ditampal dan vaksin tiruan dijual secara meluas di pasaran.

Pada bulan November tahun lalu, Kong dan Qiao telah berjaya diberkas dan ditahan. Menurut pegawai yang terlibat dalam serbuan itu, sindiket ini menghasilkan 58,000 vaksin tiruan pada sebelum dan selepas, dengan keuntungan 18 juta yuan (RM11.27 juta).

Sekiranya air mineral disuntik ke dalam tubuh manusia, ia boleh menyebabkan jangkitan bakteria dan masalah lain, malahan membahayakan nyawa penerimanya.

Dalam kes lain, suspek dikenali Li membeli 2,000 vaksin tiruan daripada Kong dalam usaha untuk menyeludupnya ke luar negara bagi tujuan mendapatkan keuntungan.

Sebelum ini, media China melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menahan kumpulan sindiket penipuan vaksin yang terdiri daripada 80 orang yang membuat vaksin Sinopharm tiruan.

Vaksin Virus PKC tiruan yang dihasilkan mereka terdiri daripada bahan garam biasa telah dijual di kebanyakan wilayah dan bandar di seluruh China.