Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi (D-Calif.) berkata beliau tidak berminat untuk mengecam bekas Presiden Donald Trump setelah Senat memutuskan untuk membebaskan Trump dalam perbicaraan pendakwaan kali kedua.
Pelosi menyifatkan tindakan mengecam Trump adalah serupa seperti memberi “sedikit tamparan di pergelangan tangan.”
“Kami mengecam orang kerana menggunakan alat tulis untuk tujuan yang salah. Anda tidak mengecam orang kerana menghasut rusuhan yang membunuh orang di Capitol,” tambahnya.
Pelosi membuat kenyataan itu semasa lawatan mengejut ke dewan pengurus pendakwaan ketika sidang media selepas Senat membebaskan bekas presiden.
Beliau kelihatan berang dengan keputusan membebaskan Trump dari pertuduhan. Pelosi menepuk meja beberapa kali dan membidas para senator yang mengundi untuk membebaskan Trump sebagai ‘kumpulan Republikan yang pengecut’.
Senat memilih untuk membebaskan Trump dengan undi majoriti 57:43. Kesemua ahli Demokrat dan tujuh ahli Republikan memilih untuk mensabitkan Trump. Parti Republikan yang memilih untuk menyertai Demokrat ialah Senator Richard Burr (RN.C.), Susan Collins (R-Maine), Bill Cassidy (R-La.), Mitt Romney (R-Utah), Ben Sasse (R- Neb.), Lisa Murkowski (R-Alaska), dan Pat Toomey (R-Pa.).
Trump dalam satu kenyataan setelah dibebaskan berkata beliau akan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Saya selalu, dan akan selalu, menjadi juara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa goyah, wira pelaksanaan undang-undang, dan hak warga Amerika Syarikat untuk menyuarakan pendapat secara aman dan terhormat mengenai isu-isu hari ini tanpa niat jahat dan berunsur kebencian,” kata Trump.
Trump turut menyatakan gerakan ‘Make America Great Again’ baharu sahaja bermula.
“Pada bulan-bulan akan datang, saya akan banyak berkongsi dengan anda, dan saya berharap dapat meneruskan perjalanan luar biasa bersama-sama anda untuk mencapai kehebatan Amerika Syarikat untuk semua rakyat,” jelas kenyataan itu.
Senat terus bergerak dengan pantas selepas keputusan perbicaraan pendakwaan dengan tindakan untuk memanggil saksi luar jangkaan dari dewan pengurus pendakwaan.
Pemimpin pengurus pendakwaan, Jamie Raskin (D-Md.) berkata mereka ingin memanggil beberapa saksi berkenaan dakwaan panggilan telefon antara Pemimpin Dewan Republikan Kevin McCarthy (R-Calif.) dengan Trump pada 6 Januari.
Ahli Perwakilan Jaime Herrera Beutler (R-Wash.) dalam satu kenyataan mendakwa Trump bertindak secara ragu-ragu untuk menghentikan rusuhan atas permintaan McCarthy semasa pencerobohan perusuh di Bangunan Capitol pada 6 Januari.
Trump didakwa mempercayai bahawa Antifa telah menceroboh dan melakukan rusuhan di Bangunan Capitol sejak awal.
“Ya, Kevin, saya rasa orang-orang ini lebih kecewa dengan pilihan raya daripada anda,” Trump dilaporkan berkata kepada McCarthy setelah ahli republikan itu membantah naratif Antifa.
The Epoch Times tidak dapat mengesahkan kenyataan Beutler secara bebas.
Pejabat Trump dan McCarthy tidak menjawab permintaan untuk memberi komen kepada The Epoch Times.
Dewan Senat pada awalnya mengesahkan untuk memanggil saksi dengan undi 55:45 tetapi mencapai kata sepakat untuk mengelakkan kemungkinan perbicaraan dilanjutkan.
Senat, dewan pengurus pendakwaan dan bekas peguam Trump kemudian bersetuju untuk memasukkan pernyataan Beutler ke dalam rekod perbicaraan pendakwaan terhadap Trump sebagai bukti tanpa memanggil saksi untuk perbicaraan itu.
Perbicaraan beralih ke fasa hujah penutupan setelah kesepakatan itu dicapai.