27.2 C
Kuala Lumpur
Friday, June 18, 2021
Utama Berita Utama Video lama diputar belit dan ditularkan, Datuk Seri Ismail Sabri buat laporan...

Video lama diputar belit dan ditularkan, Datuk Seri Ismail Sabri buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Susulan sebuah video di majlis keramaian yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini, 13 Februari telah membuat laporan polis berkenaan penyebaran video lama itu yang menfitnah beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ismail Sabri Yaakob/Facebook

Laporan tersebut telah dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Md Rosdy di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan bahawa dua buah video yang tular itu boleh mengelirukan rakyat yang menontonnya.

Menurutnya, video pendek pertama yang tular itu kononnya cuba menunjukkan bahawa beliau mengumumkan bahawa tiada lagi saman dan kompaun yang akan dikenakan terhadap rakyat sekiranya mereka melanggar SOP, sebaliknya pesalah akan terus dipenjarakan.

Katanya, video berkenaan adalah video lama dan pihak kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP untuk semua rakyat Malaysia.

Untuk video yang kedua pula, video berkenaan diberi tajuk “sendiri buat SOP sendiri langgar (SOP)” yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri menghadiri sebuah majlis keramaian sedangkan video itu sebenarnya dirakam pada bulan September 2020 ketika beliau menghadiri majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan.

“Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baharu Cina dan ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan tersebut.

“Justeru tujuan saya membuat laporan polis terhadap kedua-dua video ini adalah bagi menghentikan penularan fitnah terhadap saya.

“Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Azlina berkata kepada pihak media bahawa pihaknya telah pun mengenal pasti dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video terbabit dan segala maklumat telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disamping itu, beberapa individu lain yang turut terlibat dalam penyebaran video itu juga akan dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

TREN TERKINI