28.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 11, 2025
Utama Blog Laman 388

Tengkorak manusia ditemui selepas 10 bulan terbabit dalam kemalangan

0

BATU PAHAT – Penemuan tengkorak manusia dan bangkai kereta di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh dipercayai mempunyai kaitan dengan kemalangan yang berlaku hampir 10 bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, pihak polis telah menerima laporan berkenaan penemuan tengkorak itu daripada pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.

Difahamkan pekerja tersebut telah menemui tengkorak manusia di kira-kira 67 meter dari lokasi kereta tersebut di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya berkenaan sekitar jam 1.10 tengah hari.

Tengkorak manusia dan kereta ditemui di kawasan cerun di sebelah kiri Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh (Info Roadblock JPJ/Polis | Facebook)

“Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya manakala tengkorak pula dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan”.

Pemandu kereta Hyundai Sonata dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh ke bawah cerun (Info Roadblock JPJ/Polis | Facebook)

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan berkenaan,” jelas Ismail sambil memaklumkan bahawa kemalangan tersebut dipercayai berlaku sekitar bulan Mei atau Jun tahun lalu.

Pemilik kereta jenis Hyundai Sonata itu telah berjaya dikenal pasti dan pihak polis kini sedang menunggu waris mangsa untuk proses siasatan lanjut.

“Kami sedang berusaha untuk mengenalpasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan. Kami juga sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang yang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan”.

Tengkorak tersebut ditemui kira-kira 67 meter dari lokasi kereta (Info Roadblock JPJ/Polis | Facebook)

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala tengkorak manusia itu telah diserahkan ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.

Ribut Uri melanda Texas, 325,000 kediaman dan premis terpaksa bergelap serta tiada bekalan air

0

HOUSTON – Cuaca sejuk yang melanda kawasan tenggara Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan seluruh Texas terpaksa bergelap manakala sebahagian penduduk tidak memperoleh bekalan air.

Sementara itu, lebih 30 kematian telah dilaporkan oleh pihak media AS dipercayai akibat cuaca sejuk yang melanda negara itu.

Paparan Skrin/YouTube

Pada masa yang sama, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) turut memaklumkan amaran ribut musim sejuk yang dijangka melanda Texas sehingga ke Maryland di pantai timur AS.

Menurut NWS juga, bencana ribut ini akan membawa ais, hujan beku dan salji tebal ke beberapa kawasan di sekitar Texas, Louisiana, Arkansas dan Mississippi.

Paparan Skrin/YouTube

Keadaan cuaca yang buruk turut menyebabkan Joe Biden selaku Presiden AS mengambil keputusan bagi menangguhkan sesi lawatan ke lokasi pengeluaran vaksin untuk virus Parti Komunis China (COVID-19) iaitu Pfizer di Kalamazoo, Michigan.

Paparan Skrin/YouTube

“Tekanan air amat rendah. Tolong jangan gunakan air bagi mengelakkan paip pecah (akibat air di dalam saluran paip beku),” kata Sylvester Turner, Datuk Bandar Houston.

Selain kawasan perumahan, semua premis seperti pasaraya turut mengalami isu kekurangan stok. Keadaan cuaca yang ekstrem dan ketiadaan bekalan elektrik semenjak Ribut Uri melanda telah mengakibatkan krisis bekalan makanan sehingga menyebabkan beberapa pasaraya terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Paparan Skrin/YouTube

H-E-B merupakan syarikat peruncitan terbesar di Texas dengan pembukaan lebih 400 premis di seluruh Texas dan juga Mexico. Bagaimanapun, darurat yang melanda negeri Texas telah mendatangkan impak negatif sehingga memaksa syarikat ini menutup 10 rangkaian premis di bawahnya.

“Sepertimana yang dialami oleh penduduk Texas, gangguan bekalan air dan elektrik telah memberikan kesan yang buruk. Bagi H-E-B, keadaan ini telah memberikan impak sementara terhadap aktiviti pengilangan, pergudangan, operasi stor dan kehidupan para pekerja serta keluarga mereka,” memetik kenyataan daripada syarikat berkenaan.

Paparan Skrin/YouTube

Lebih daripada 325,000 kawasan perumahan dan perniagaan masih tidak mempunyai bekalan elektrik. Ekoran itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) telah mengumumkan perancangan untuk mengagihkan lebih 700,000 liter air botol, 60,000 selimut dan penjana saiz industri demi membantu pihak hospital dan sektor penting lain.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Ikuti langkah-langkah mudah ini untuk memadam gambar bangunan atau objek dalam Google Street View

0

Ramai yang sedia maklum, Google Street View yang dibangunkan oleh Google kini boleh memaparkan apa sahaja objek dan bangunan yang tersedia di sesebuah alamat yang dicari oleh mana-mana individu pun. Hal ini termasuklah rumah anda sendiri.

Bagaimanapun, jika anda berasa bahawa perkara ini adalah salah satu daripada gangguan privasi anda, kini anda boleh memadam imej rumah anda dalam Google Street View untuk selamanya demi menjaga privasi anda.

Mashable

Cara-caranya sangat mudah, pertama sekali anda perlu melayari www.google.com/maps di komputer anda dan masukkan alamat rumah anda di ruangan “carian” yang tersedia.

Kemudian, pilih pilihan “Street View” yang tersedia sebelum menekan pilihan paparan “Satellite” di sudut bawah kiri skrin.

Google maps
Google maps

Perlu diingatkan, anda hanya boleh menekan di bahagian garisan berwarna biru sahaja untuk setiap jalan yang tersedia dalam peta berkenaan. Dari situ, anda boleh bergerak terus ke arah rumah anda sendiri.

Apabila anda sudah mendapat paparan gambar rumah anda, klik di bahagian “Report a Problem” yang tertera di bahagian sudut atas kiri skrin.

Google maps

Kemudian, anda akan dibawa ke paparan halaman “Report Inappropriate Street View”. Di halaman ini, anda perlu meletakkan bangunan rumah anda di dalam garisan kotak berwarna merah yang tertera supaya bahagian rumah anda akan dipadamkan dengan tepat.

Google maps

Setelah selesai, anda boleh terus mengisi ruangan soalan yang tersedia sebelum meneruskan laporan.

Selain daripada memadam bangunan di Google Street View, anda juga boleh memadam objek lain seperti kenderaan, nombor pendaftaran kenderaan, wajah seseorang dan sebagainya.

Jika anda telah menghantar laporan, pihak Google akan menghubungi anda untuk mendapatkan kepastian berkenaan laporan yang dihantar. Jika berjaya, pihak Google akan memadam bangunan yang anda laporkan untuk selamanya di Google Street View.

Lebih 3,500 ekor penyu laut yang hampir beku diselamatkan di Texas

0

PULAU PADRE SELATAN, TEXAS – Penduduk di pulau yang tidak berkemampuan untuk menyediakan peralatan pemanasan pada musim sejuk yang melanda pada masa ini telah memutuskan untuk menyelamatkan penyu-penyu laut yang hampir beku kesejukan dan menghantar setiap satunya ke sebuah pusat konvensyen di bandar Texas Selatan.

Associated Press

Menurut Pengarah Eksekutif Biro Konvensyen dan Pelawat Pulau Padre Selatan, Ed Caum, banyak penyu-penyu laut telah dihantar ke pusat tersebut kira-kira “setiap 15 minit.”

Tambahnya lagi, kenderaan-kenderaan yang berhenti di pusat tersebut membawa seekor atau dua ekor penyu laut, dan ada kalanya sehingga “80, 100, 50 ekor penyu.”

Associated Press

Pusat Konvensyen tersebut bagaimanapun sebenarnya hanya menjadi pusat penyelamatan penyu buat sementara waktu sahaja berikutan Sea Turtle Inc. yang terletak di sebelahnya mulai penuh sejak Isnin lalu.

Menurut Caum, pihaknya turut berasa bimbang dengan keadaan cuaca yang dijangka akan terus sejuk pada masa yang akan datang, yang menyebabkan mereka tidak tahu waktu yang sesuai untuk melepaskan penyu-penyu laut yang diselamatkan ke laut semula.

Associated Press

Sehingga kini, dikatakan bahawa pusat konvensyen berkenaan telah pun “mengumpul” sehingga lebih dari 3,500 ekor penyu laut.

Pun begitu, Caum menyatakan bahawa pihaknya akan terus berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan sebanyak mana penyu-penyu laut yang dihantar ke pusat konvensyen berkenaan.

Keadaan sebenar kehidupan empat orang ahli keluarga yang tinggal dalam sebuah rumah jenis “sub” di Hong Kong

0

Masih ramai yang belum tahu, di Hong Kong, banyak rumah-rumah jenis apartmen yang dibahagikan sendiri oleh pemilik rumah untuk dijadikan beberapa rumah yang didiami oleh beberapa buah keluarga.

dinggling

Pastinya, rumah-rumah ini mempunyai saiz yang sangat kecil dan sememangnya tidak sesuai untuk didiami oleh tiga ke empat orang sekeluarga walaupun harganya sangat murah.

Bagaimanapun, menurut data pada tahun 2019, Hong Kong dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 71,000 buah rumah yang dibahagikan sebegini dan yang lebih mengejutkan, seramai lebih 300,000 orang direkodkan mendiami rumah yang dibahagikan sebegini. Hal ini bermakna, setiap rumah yang dibahagikan ini didiami oleh sekurang-kurangnya tiga ke empat orang di dalamnya.

Bilangan orang yang mendiami rumah sebegini pastinya bukan satu bilangan yang sihat berikutan saiz rumah yang kecil dan sempit.

dinggling

Dapat dilihat dalam gambar, ini adalah ruang utama yang menghubungkan beberapa pintu rumah di dalam sebuah rumah apartmen ini.

Ruang yang sempit di dalam rumah yang dibahagikan ini menyebabkan hampir semua peralatan terpaksa diletakkan di mana-mana ruang yang kosong, tanpa pembahagi antara sesebuah ruang.

dinggling

Keadaan bilik tidur yang menempatkan seramai empat orang ahli keluarga. Kerana ruang yang sempit, mesin basuh terpaksa diletakkan di ruang tidur, bersebelahan dengan katil.

dinggling

Katil jenis dua tingkat ini digunakan oleh keluarga ini bersama-sama: bapa dan anak lelaki tidur bersama di bahagian bawah manakala ibu dan anak perempuan tidur bersama di bahagian atas katil.

dinggling

Meja lipat yang kecil ini adalah ruang untuk segalanya: makan, belajar, menyiapkan kerja. Sebuah keluarga yang mempunyai empat orang anggota terpaksa berkongsi sebuah meja lipat ini bersama-sama.

dinggling

Ruang bilik air yang sempit ini ditempatkan bersebelahan dengan dapur, tanpa apa-apa penghalang yang lengkap.

dinggling

Dapur yang kecil dan sempit ini terpaksa di optimumkan penggunaannya walaupun tidak mempunyai alat penyedut asap.

dinggling

Sama seperti mesin basuh, peti sejuk juga terpaksa diletakkan di ruang tidur, berhadapan dengan katil kerana tiada lagi ruang yang sesuai untuk diletakkan.

dinggling

Walaupun keadaan yang dilihat ini adalah agak menyedihkan, namun kehidupan keluarga yang tinggal di rumah yang sempit di Hong Kong ini bagaimanapun telah menjadi lumrah untuk sebahagian daripada penduduknya.

Mereka malahan menjadikan keadaan kehidupan yang agak sukar ini sebagai satu motivasi untuk mereka terus berusaha menjadi seseorang yang lebih berjaya dan akhirnya keluar dari rumah yang sempit sebegini.

Sesat di tengah padang pasir, lapan sekeluarga ditemui meninggal dunia dipercayai kerana kebuluran

0

Lapan sekeluarga dari El-Fasher, Sudan ditemui meninggal dunia di padang pasir di Libya setelah enam bulan berangkat menuju Kufra, menurut laporan The New Arab.

Oman Observer

Dipercayai, kesemua anggota keluarga itu maut kerana kebuluran setelah tersesat di padang pasir Libya ketika mereka menaiki sebuah Toyota Sequoia.

Penemuan tragis tersebut telah dilakukan oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut pada 10 Februari 2021 sebelum mereka menemui mayat-mayat ahli keluarga itu sekitar 400km dari bandar Kufra, Libya.

Oman Observer

Menurut laporan, anggota keluarga yang dikenal pasti di tempat kejadian terdiri daripada tiga mayat wanita dan lima lelaki yang bergelimpangan di padang pasir bersama dengan barangan mereka.

Penemuan lain yang terdapat di lokasi itu termasuk sekeping catatan tulisan tangan, yang bertulis, “Bagi sesiapa yang menemui surat ini, ini adalah nombor saudara saya, Muhammad Saifuddin.”

Oman Observer

“Maafkan saya ibu, kerana tidak dapat menghubungi kamu. Ayah dan Nasir, saya sayangkan kamu. Doakan kami dengan rahmat, beri kami Al-Quran dan suluhkan jalan kematian kami di sini.”

Beberapa laporan menyebutkan bahawa tragedi seperti itu bukan yang pertama ketika pelarian berusaha untuk keluar dari wilayah yang dilanda konflik di kawasan itu.

Dua penyamun gagal dapat RM50,000 bertindak sorokkan bayi 3 bulan dalam tong

0

Berang tidak kerana tidak dapat wang berjumlah RM50,000 daripada seorang wanita, dua individu bertindak menyorokkan bayi wanita itu di dalam tong.

Mulut bayi lelaki malang berusia 3 bulan itu juga turut disumbat dengan tuala kecil sebelum ditampal dengan pita pelekat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, Pulau Pinang pada 15 Februari lalu sekitar jam 10:30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, mangsa yang merupakan suri rumah tersebut ketika itu didatangi suspek di rumahnya.

Mereka memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier sambil membawa tong tersebut. “Selepas buka pintu, seorang daripadanya bertindak mengeluarkan pisau”.

Bernama

Suspek itu kemudian meminta agar wanita itu tidak menjerit. Suspek juga bertindak mengambil rantai emas milik mangsa sebelum meminta wang RM50,000.

Oleh kerana gagal mendapatkan wang tersebut, kedua-dua suspek kemudian bertindak mengambil dan meletakkan bayinya ke dalam tong putih di rumah itu.

Walau bagaimanapun, seorang lagi anak mangsa berusia 3 tahun tidak diapa-apakan oleh suspek. Mereka kemudian beredar dan meninggalkan rumah mangsa.

Difahamkan bahawa ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah ekoran bekerja di Batu Kawan. Pihak polis kini sedang meneruskan siasatan dan giat mengesan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 04-2825922 sambungan 228.

Ismail Sabri : Aktiviti pelancongan di negeri PKPB dan PKPP dibenarkan

0

Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan aktiviti di premis pelancongan, kebudayaan dan seni di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu walau bagaimanapun tertakluk kepada operasi dengan kadar 50% daripada kapasiti premis dengan penjarakan fizikal.

Tambahnya, kebenaran itu termasuklah di lokasi seperti zoo, akuarium, pusat ‘edutainment’, taman semula jadi, sukan ekstrim, rekreasi dan ladang.

Bernama

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

SOP lain seperti mendaftarkan perincian atau mengimbas kod MySejahtera dan pemeriksaan suhu akan terus dilakukan.

“Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP), aktiviti pelancongan domestik dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal”.

Sungguhpun kebanyakan sektor dan aktiviti telah dibenarkan, menurutnya masih terdapat sektor dan aktiviti yang masih dibawah senarai terlarang.

Orang ramai bolehlah merujuk perincian berkenaan di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini.

Kerajaan benar makan semeja lebih dua orang tertakluk saiz meja bermula 19 Februari

0

Kerajaan dilaporkan telah menarik semula larangan makan semeja dua orang di kedai makan berkuatkuasa 19 Februari.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan kini membenarkan pelanggan duduk lebih dua orang semeja.

Namun ianya perlu mengambil kira saiz meja yang bersesuaian di sesebuah premis.

Harian Metro

Keputusan ini mula dikuatkuasakan di semua negeri, termasuklah di negeri yang masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Mesyuarat bersetuju semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP dibenarkan ‘dine in’ dengan kebenaran makan berdasarkan keluasan meja dan adanya penjarakan fizikal satu meter”.

Harian Metro

Malah kerajaan turut membenarkan orang ramai untuk melakukan perjalanan lebih daripada dua orang dalam satu kereta, bergantung kepada kapasiti penumpang kereta masing-masing.

Pada 16 Februari lalu, beliau mengumumkan PKP dilanjutkan lagi di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sementara negeri lain di seluruh negara kini diletakkan di bawah PKPB.

Sementara Perlis adalah satu-satunya negeri yang diletakkan di bawah PKPP.

Rosmah diarah bela diri berhubung kes rasuah projek hibrid solar

0

Datin Seri Rosmah Mansor telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Februari untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah terhadapnya.

Rosmah berhadapan pertuduhan meminta sejumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Keputusan itu dibuat Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Rosmah difahamkan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan berpeluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Hakim menetapkan 9 hari untuk pembelaan (9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun serta 12 dan 15 Julai) untuk kes tersebut selepas tarikh itu dipersetujui kedua-dua pihak.

Astro Awani

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Untuk pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya bernilai RM187.5 juta dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor – 15% nilai kontrak daripada Saidi.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin di kediamannya di Jalan ‪Langgak ‪Duta pada 7 September 2017.

Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 10 April 2019 atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.