PULAU PADRE SELATAN, TEXAS – Penduduk di pulau yang tidak berkemampuan untuk menyediakan peralatan pemanasan pada musim sejuk yang melanda pada masa ini telah memutuskan untuk menyelamatkan penyu-penyu laut yang hampir beku kesejukan dan menghantar setiap satunya ke sebuah pusat konvensyen di bandar Texas Selatan.
Menurut Pengarah Eksekutif Biro Konvensyen dan Pelawat Pulau Padre Selatan, Ed Caum, banyak penyu-penyu laut telah dihantar ke pusat tersebut kira-kira “setiap 15 minit.”
Tambahnya lagi, kenderaan-kenderaan yang berhenti di pusat tersebut membawa seekor atau dua ekor penyu laut, dan ada kalanya sehingga “80, 100, 50 ekor penyu.”
Pusat Konvensyen tersebut bagaimanapun sebenarnya hanya menjadi pusat penyelamatan penyu buat sementara waktu sahaja berikutan Sea Turtle Inc. yang terletak di sebelahnya mulai penuh sejak Isnin lalu.
Menurut Caum, pihaknya turut berasa bimbang dengan keadaan cuaca yang dijangka akan terus sejuk pada masa yang akan datang, yang menyebabkan mereka tidak tahu waktu yang sesuai untuk melepaskan penyu-penyu laut yang diselamatkan ke laut semula.
Sehingga kini, dikatakan bahawa pusat konvensyen berkenaan telah pun “mengumpul” sehingga lebih dari 3,500 ekor penyu laut.
Pun begitu, Caum menyatakan bahawa pihaknya akan terus berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan sebanyak mana penyu-penyu laut yang dihantar ke pusat konvensyen berkenaan.