BATU PAHAT – Penemuan tengkorak manusia dan bangkai kereta di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh dipercayai mempunyai kaitan dengan kemalangan yang berlaku hampir 10 bulan lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, pihak polis telah menerima laporan berkenaan penemuan tengkorak itu daripada pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.
Difahamkan pekerja tersebut telah menemui tengkorak manusia di kira-kira 67 meter dari lokasi kereta tersebut di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya berkenaan sekitar jam 1.10 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya manakala tengkorak pula dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan”.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan berkenaan,” jelas Ismail sambil memaklumkan bahawa kemalangan tersebut dipercayai berlaku sekitar bulan Mei atau Jun tahun lalu.
Pemilik kereta jenis Hyundai Sonata itu telah berjaya dikenal pasti dan pihak polis kini sedang menunggu waris mangsa untuk proses siasatan lanjut.
“Kami sedang berusaha untuk mengenalpasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan. Kami juga sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang yang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan”.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala tengkorak manusia itu telah diserahkan ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.