AMERIKA SYARIKAT – Google mengambil tindakan menentang konservatif dengan mengarahkan YouTube untuk memadamkan rakaman temubual terkini bersama bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut wakil jurucakap Newsmax kepada The Epoch Times, syarikat itu dimaklumkan mengenai pemadaman rakaman tersebut pada 17 Februari atas dasar ianya didapati melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh YouTube.
“Kami memiliki Garis Panduan Komuniti yang sangat jelas bagi menentukan jenis video yang akan kekal berada di YouTube. Kami juga melaksanakan Garis Panduan Komuniti ini secara konsisten tanpa mengambil kira pandangan politik. Sesuai dengan dasar integriti pilihan raya presiden kami, kami memutuskan untuk memadam video ini daripada saluran Newsmax TV,” jelas wakil jurucakap Google.
Antara dasar yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk menangani aktiviti spam, penipuan dan amalan yang bersifat tidak jujur. Hal ini turut merangkumi dasar yang mula dilaksanakan pada akhir tahun lalu di mana Google akan menyingkirkan ”kandungan yang mempengaruhi individu dengan menyebarkan penipuan secara meluas atau mengubah hasil keputusan pilihan raya Presiden AS 2020″.
Ketika sesi wawancara bersama Newsmax, Trump mendakwa dirinya telah memenangi sesi pilihanraya 2020. Malah, Trump turut mengemukakan dakwaan yang sama dalam sesi temubual bersama Fox News.
Pada masa yang sama, bekas Presiden itu turut ditemubual oleh One America News namun video rakaman temubual masih belum dimuat naik meskipun telah hampir sebulan.
Pada penghujung tahun 2020, YouTube turut menyekat iklan kempen Trump yang mendakwa berlakunya penipuan dalam sesi pilihanraya berkenaan.
Malah, YouTube turut memadamkan pernyataan yang diberikan oleh salah seorang peguam Trump ketika sesi persidangan kongres.
Sementara itu, bulan lalu menyaksikan YouTube memadam kandungan daripada saluran Trump dan membekukan akaun tersebut atas sebab video itu melanggar ”dasar yang menghasut keganasan”.
Sehingga ke hari ini, YouTube masih lagi meneruskan sekatan akaun terhadap Trump. Selain YouTube, Twitter dan Facebook turut menyekat Trump.
Sekatan media sosial oleh syarikat gergasi ini telah menyebabkan Trump mengambil inisiatif untuk memulakan platform media sosial miliknya. Kata Trump, pihaknya sedang berunding dengan beberapa individu dan pilihan lain adalah dengan menubuhkan laman sesawang sendiri.
Trump juga dipercayai bakal menggunakan Parler, sebuah laman sosial baharu yang menjadi pesaing kepada Twitter namun platform baharu itu disyaki tidak mampu untuk mengendalikan jumlah trafik yang bakal dicetuskan oleh Trump.
Parler sebelum ini telah disingkirkan dari pelayan Amazon namun telah membuat kemunculan semula setelah berjaya mencapai kesepakatan dengan tuan rumah yang baru.
“Jika Donald Trump mahu ke sini dan terlibat dalam kebebasan bersuara, kehadirannya ke platform ini adalah dialu-alukan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Parler yang baru, Mark Meckler.