Masih ramai yang belum tahu, di Hong Kong, banyak rumah-rumah jenis apartmen yang dibahagikan sendiri oleh pemilik rumah untuk dijadikan beberapa rumah yang didiami oleh beberapa buah keluarga.
Pastinya, rumah-rumah ini mempunyai saiz yang sangat kecil dan sememangnya tidak sesuai untuk didiami oleh tiga ke empat orang sekeluarga walaupun harganya sangat murah.
Bagaimanapun, menurut data pada tahun 2019, Hong Kong dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 71,000 buah rumah yang dibahagikan sebegini dan yang lebih mengejutkan, seramai lebih 300,000 orang direkodkan mendiami rumah yang dibahagikan sebegini. Hal ini bermakna, setiap rumah yang dibahagikan ini didiami oleh sekurang-kurangnya tiga ke empat orang di dalamnya.
Bilangan orang yang mendiami rumah sebegini pastinya bukan satu bilangan yang sihat berikutan saiz rumah yang kecil dan sempit.
Dapat dilihat dalam gambar, ini adalah ruang utama yang menghubungkan beberapa pintu rumah di dalam sebuah rumah apartmen ini.
Ruang yang sempit di dalam rumah yang dibahagikan ini menyebabkan hampir semua peralatan terpaksa diletakkan di mana-mana ruang yang kosong, tanpa pembahagi antara sesebuah ruang.
Keadaan bilik tidur yang menempatkan seramai empat orang ahli keluarga. Kerana ruang yang sempit, mesin basuh terpaksa diletakkan di ruang tidur, bersebelahan dengan katil.
Katil jenis dua tingkat ini digunakan oleh keluarga ini bersama-sama: bapa dan anak lelaki tidur bersama di bahagian bawah manakala ibu dan anak perempuan tidur bersama di bahagian atas katil.
Meja lipat yang kecil ini adalah ruang untuk segalanya: makan, belajar, menyiapkan kerja. Sebuah keluarga yang mempunyai empat orang anggota terpaksa berkongsi sebuah meja lipat ini bersama-sama.
Ruang bilik air yang sempit ini ditempatkan bersebelahan dengan dapur, tanpa apa-apa penghalang yang lengkap.
Dapur yang kecil dan sempit ini terpaksa di optimumkan penggunaannya walaupun tidak mempunyai alat penyedut asap.
Sama seperti mesin basuh, peti sejuk juga terpaksa diletakkan di ruang tidur, berhadapan dengan katil kerana tiada lagi ruang yang sesuai untuk diletakkan.
Walaupun keadaan yang dilihat ini adalah agak menyedihkan, namun kehidupan keluarga yang tinggal di rumah yang sempit di Hong Kong ini bagaimanapun telah menjadi lumrah untuk sebahagian daripada penduduknya.
Mereka malahan menjadikan keadaan kehidupan yang agak sukar ini sebagai satu motivasi untuk mereka terus berusaha menjadi seseorang yang lebih berjaya dan akhirnya keluar dari rumah yang sempit sebegini.