28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 382

Pelakon dan pelawak terkenal Hong Kong, Ng Man-Tat meninggal dunia pada usia 70 tahun

0

HONG KONG: Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Ng Man-Tat dilaporkan meninggal dunia pada usia 70 tahun pada hari ini, 27 Februari 2021, jam 5.16 petang di Union Hospital, Hong Kong akibat barah hati, menurut media tempatan.

Salah seorang rakan karib mendiang, Tenky Tin Kai-Man, yang bercakap dengan media menyatakan bahawa mendiang Ng telah meninggal dunia ketika tidur disamping ahli keluarganya, termasuk isteri, bekas isteri, anak-anak serta adik-beradiknya.

“Mendiang meninggalkan kami dengan damai. Doktor telah memberikan ubat untuk membuatnya merasa lebih baik, dia meninggal dalam tidurnya,” kata Tin.

Mendiang Ng sebelum ini telah mengalami masalah kesihatan yang semakin memburuk dalam beberapa tahun terakhir. Pada tahun 2014, mendiang Ng pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah pernafasan sebelum didiagnosis dengan kegagalan jantung.

Pada Disember tahun lalu, pelakon terkenal itu dilaporkan telah menjalani pembedahan dan sesi kemoterapi pada dua bulan yang lalu, tetapi keadaannya menjadi semakin lemah dan kritikal pada hari ini sebelum berada dalam keadaan koma. Mendiang Ng kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi dan pihak hospital telah meminta seluruh ahli keluarganya untuk bersedia secara mental.

Sementara itu, rakan seperjuangannya, Stephen Chow, berkata kepada media, “Saya baru sahaja mengetahui tentang berita yang tragis ini. Walaupun saya telah memberi perhatian terhadap keadaan Ng selama ini dan saya telah membuat beberapa persediaan mental, tetapi berita ini masih sangat menyedihkan. Mendiang Ng telah lama menjadi rakan filem dan rakan lama saya, dan saya tidak dapat menerima kematiannya buat masa ini.”

Pelakon terkenal dari Hong Kong, mendiang Ng Man-Tat sepanjang kariernya telah menerima banyak anugerah berikutan lakonan-lakonannya yang sukar untuk ditandingi dan menghiburkan hati ramai penonton di seluruh dunia.

Mendiang terkenal dengan wataknya yang sering mendampingi pelakon terkenal, Stephen Chow Sing-chi, dalam banyak filem-filem termasuklah The Final Combat, The Justice Life dan Shaolin Soccer.

Sayu anak-anak terima kejutan bila ayah balik senyap-senyap ke Malaysia setelah terpaksa berjauhan sepanjang tahun

0

Berada jauh dengan insan tersayang sudah pasti menjadi satu perasaan yang menyakitkan.

Pandemik membuat ramai yang berasa rindu dengan orang tersayang ekoran lama terpisah untuk jangka waktu yang lama daripada keluarga tercinta, terutama buat mereka yang bekerja di luar negara. Apa yang kita mahu adalah dapat melihat orang yang kita sayangi dalam kehidupan sebenar.

Rakaman video tular di Instagram ini merakamkan detik menggembirakan seorang ayah bertemu dan melepaskan rindu bersama anak-anaknya setelah berjauhan dengan mereka selama setahun. 

Instagram

Syazwana Jamal berkongsi video menyentuh hati ini dan menjelaskan bagaimana anak-anaknya terpaksa menanggung rindu ketiadaan ayah mereka dalam jangka masa yang lama ekoran suaminya yang bekerja di luar negara.

Dalam video tersebut, anda dapat melihat bagaimana wajah anak-anak spontan bersinar ketika melihat ayah mereka yang benar-benar berada di depan mata.

Selepas setahun berpisah antara Qatar dan Malaysia, akhirnya mereka bertemu semula.

Instagram

Selepas setahun, anak-anak ini akhirnya dapat berjumpa dengan ayah mereka. “Rasanya seperti berada dalam mimpi. Bermula sebelum PKP pada awal Mac 2020, ayah mereka kembali ke Qatar, sehingga sekarang bulan Februari 2021, baru kami dapat berjumpa semula,” tulis Syazwana.

Syazwana menulis sebelum COVID-19, suaminya Akram sepatutnya pulang dan mengunjungi keluarganya di Malaysia pada setiap sebulan sekali tetapi pandemik menghentikan rancangan perjalanan yang diatur. 

“Saya selalu memberitahu anak-anak, yang ayah mereka tidak dapat pulang kerana ada virus. Bahaya. Anak-anak, yang baru berusia empat dan lima tahun terpaksa kena difahamkan,” tulisnya.

“Tahun lalu, rancangan asal Akram adalah untuk pulang kerana COVID-19 nampaknya macam sudah terkawal. Tetapi secara tiba-tiba, kes meningkat lagi di Malaysia. PKP sekali lagi. Jadi saya tidak mengharap,” tambahnya.

Tetapi, rupa-rupanya suaminya Akram diam-diam memohon cuti, dan pengurusnya meluluskannya.

Instagram

“Akram memberitahu saya bahawa dia akan terbang pulang ke Malaysia dalam masa dua hari sebelum berangkat. Pada masa itu, saya sedang bekerja, terus menggigil dan menangis. Saya dalam keadaan keliru dan bertanya kepadanya apa maksud dia?” tulis Syazwana.

Adakah suaminya mendapat cuti? Bolehkah dia kembali? Katanya, dia mahu semuanya menjadi kejutan sehingga kembali ke Malaysia, tetapi rakannya menasihatkan untuk memberitahu isteri dan ibunya agar dapat mendoakan yang terbaik akan keselamatan kepulangannya.

Syazwana berkongsi suaminya perlu melakukan ujian COVID-19 di Qatar terlebih dahulu. “Itu menentukan segalanya. Sekiranya positif, semuanya akan hancur,” tulisnya.

“Alhamdulillah, sehari sebelum dia pulang, dan melakukan ujian, dan ia negatif. Jadi sebaik tiba di KLIA, dia menjalani kuarantin selama tujuh hari di Subang.”

“Akram tidak balik untuk jangka masa lama. Dia cuma bercuti sebulan. Tolak kuarantin seminggu di Malaysia, seminggu di Qatar ketika dia kembali ke sana, tinggal dua minggu lagi untuk kami. Dan dengan cuti yang dia ada, tinggal sepuluh hari lagi. Selepas ini, saya tidak tahu bagaimana dan bila dia akan balik sini lagi,” luah Syazwana.

Instagram

“Tetapi kemudian punya ceritalah nanti. Yang penting sekarang ialah anak-anak gembira dan dia akan berada di sini ketika memasuki tadika, baru ayah mereka balik.”

Selain itu, Syazwana turut berkongsi wajah gembira anak-anak perempuannya ketika makan bersama dengan ayah mereka setelah terpisah selama setahun.

Instagram

Katanya semua dapat makan dengan berselera ketika ayah mereka ada. Anak-anak ini bersungguh benar merindui ayah mereka!

Syazwana juga berkongsi gambar anak-anaknya yang tertidur di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tadika setelah berjaga sehingga jam 1 pagi selepas tidak jemu berbual dengan ayah mereka pada waktu malam.

Manjanya mereka dengan ayah, sedih lepas ini terpaksa berpisah kembali.

Tonton video di sini.

Aplikasi WhatsApp akan sekat, padam mana-mana akaun yang masih belum bersetuju dengan pembaharuan terma dan syarat WhatsApp

0

Mulai 15 Mei 2021, mana-mana pengguna aplikasi WhatsApp yang masih lagi belum bersetuju dengan terma dan syarat baharu yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut tidak lagi dibenarkan menggunakan aplikasi pesanan tersebut secara keseluruhannya.

Unsplash

Berdasarkan laporan dari BBC, mana-mana pengguna aplikasi WhatsApp yang masih belum bersetuju dengan terma dan syarat yang diperbaharui sebelum tarikh tamat, mereka akan disekat dari memberi dan menerima mesej sehingga mereka menekan butang setuju.

Walau bagaimanapun, jika pengguna tersebut masih lagi tidak bersetuju setelah sekatan dikenakan, akaun aplikasi WhatsApp mereka akan diberikan status “tidak aktif” sebelum akhirnya dipadam selepas tempoh 120 hari.

Unsplash

Pada Januari tahun ini, syarikat aplikasi berkenaan telah mengeluarkan terma dan syarat yang diperbaharui yang didakwa bertujuan untuk melancarkan urusan pembayaran perniagaan.

Walau bagaimanapun, ramai pengguna dari seluruh dunia berasa bimbang dan mendakwa bahawa syarikat tersebut akan berkongsi maklumat pengguna dari aplikasi berkenaan dengan syarikat Facebook, yang merupakan syarikat induk aplikasi pesanan popular itu.

Unsplash

Menurut laporan Independent, aplikasi WhatsApp kini telahpun berkongsi maklumat penggunanya kepada Facebook tentang alamat IP setiap pengguna, maklumat tahap bateri, rangkaian mudah alih, nombor telefon dan penyedia perkhidmatan internet setiap pengguna.

Disebabkan dakwaan ini, dilaporkan banyak aplikasi pesanan lain seperti Telegram dan Signal kini menerima pendaftaran baharu daripada pengguna yang mahu mencari aplikasi alternatif kepada aplikasi WhatsApp.

Gara-gara pembetulan automatik di telefon, nama wanita ini bertukar dari Syarifah kepada “Starfish” dalam aplikasi MySejahtera

0

Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 yang semakin menular mulai awal tahun 2020, semua penduduk di dunia kini terpaksa menyesuaikan diri untuk hidup dalam norma baharu. Di Malaysia, salah satu norma baharu yang perlu dipraktikkan adalah untuk mengimbas kod QR dalam aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Walau bagaimanapun, seorang pengguna laman Twitter baru-baru ini mendapat perhatian ramai setelah kisahnya yang lucu yang melibatkan kesalahan nama dalam aplikasi MySejahtera benar-benar membuatkan orang ramai tidak kering gusi.

Syarifah Liyana (@LiyanaTorres), 25, pada 21 Februari lalu berkongsi di laman Twitternya bahawa selama satu tahun penggunaan aplikasi MySejahtera, dia langsung tidak menyedari bahawa nama yang direkodkan dalam aplikasi itu adalah nama ‘lain’ dari nama sebenarnya.

Yang lucunya, nama sebenar yang sepatutnya direkodkan dalam aplikasi itu adalah “Syarifah Liyana binti Sayd Ishak,” tetapi malangnya, disebabkan pembetulan automatik pada telefon lamanya, namanya yang manis itu secara tidak sengaja telah ditukarkan kepada “Starfish Liyana binot Sayd Ishak!”

@LiyanaTorres/Twitter

Bukan sahaja pangkal namanya sahaja yang tertukar, malah “binti” yang menjadi penghubung antara namanya dengan nama bapanya juga ditukar secara automatik kepada “binot!”

Disebabkan hal itu, setelah menyedari kesalahan yang berlaku ini, Syarifah lebih rela mengisi borang maklumat dalam laman web MySejahtera secara manual berbanding menggunakan aplikasi tersebut.

Tetapi menurutnya, adakalanya ketika dalam keadaan terburu-buru, dia tetap akan gunakan aplikasi dengan nama yang lucu itu!

@LiyanaTorres/Twitter

Walau bagaimanapun, kerana namanya yang tidak sama dengan nama dalam kad pengenalan, Syarifah yang berhasrat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 mula berasa tidak keruan kerana namanya yang salah itu didapati tidak boleh ditukar kerana akaun MySejahteranya telah disahkan.

@LiyanaTorres/Twitter

Tetapi syukurlah, akhirnya Syarifah berjaya juga ‘menukar’ namanya setelah dia mendaftar akaun baharu dalam aplikasi itu dengan menggunakan alamat e-melnya berbanding nombor telefonnya sebelum ini.

Syukurlah, akhirnya Starfish kembali menjadi Syarifah!

Cara mencetak dokumen atau gambar langsung dari telefon pintar tanpa guna komputer, mudah hanya perlu sambungan kabel OTG

0

Biasanya apa yang semua orang tahu, mereka perlu mencetak dokumen atau gambar dengan menggunakan komputer dan pencetak, tetapi tidak berapa ramai yang tahu kini telefon pintar lebih mudah melakukannya.

Satu lagi fungsi telefon pintar yang lebih baik bagi mereka yang perlu cepat untuk mencetak dokumen atau gambar ketika ketiadaan komputer, tetapi ada pencetak yang biasa dengan sambungan USB OTG, tanpa wayar (wireless) juga melalui bluetooth.

Gambar Hiasan / Unsplash

Cara yang amat mudah apabila anda hanya perlu menggunakan telefon pintar yang disambungkan terus kepada pencetak tidak kira jenama apa, tanpa menggunakan komputer (biasa kena memindahkan fail terlebih dahulu dari telefon pintar).

Sekiranya anda mempunyai beberapa gambar atau dokumen dalam telefon bimbit yang perlu dicetak, anda boleh menggunakan kaedah ini.

Cara mencetak dokumen atau gambar melalui telefon pintar:

Langkah 1

Muat turun aplikasi NokoPrint atau PrinterShare dalam Google Playstore bagi pengguna Android.

NokoPrint

PrinterShare

Langkah 2

Sediakan kabel sambungan OTG.

Kabel USB OTG atau Kabel OTG Type C, boleh dibeli dalam talian atau kedai gajet dengan harga yang tidak mahal, di bawah RM10 bergantung kepada kualiti.

Langkah 3

Gunakan kabel OTG untuk menyambungkan telefon pintar ke pencetak.

Langkah 4

Buka aplikasi NokoPrint atau PrinterShare dalam telefon pintar.

Contoh NokoPrint

Langkah 5

Pilih pencetak untuk pautan.

Langkah 6

Ikuti langkah-langkah dalam aplikasi pilihan NokoPrint atau PrinterShare untuk menyelesaikan cetakan dokumen atau gambar. 

Cetakan dokumen atau gambar dari telefon pintar selesai.

Penduduk Kechau, Lipis diarah segera hentikan aktiviti perlombongan emas jika enggan dikenakan tindakan undang-undang

0

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengeluarkan arahan kepada penduduk tempatan untuk segera menghentikan aktiviti perlombongan emas di kawasan Kechau, Lipis.

Lombong emas / Foto Arkib NSTP

Menurut Menteri Besar iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, arahan untuk menghentikan kegiatan melombong emas itu dikeluarkan bagi mengawal situasi dan mengelakkannya daripada menjadi lebih serius. Tindakan tersebut turut dilakukan bagi mengelakkan kerajaan negeri daripada kehilangan hasil pendapatan.

“Walaupun kegiatan melombong emas itu dilakukan di atas tanah milik sendiri, hasil mineral tertakluk kepada peraturan dan hak kerajaan Pahang. Sebab itu saya minta mereka hentikan kegiatan itu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan”.

Wan Rosdy minta rakyat yang tidak mempunyai lesen melombong emas termasuk di tanah milik sendiri untuk menghentikan aktiviti tersebut / BERNAMA

Memetik beberapa laporan tempatan, beberapa penduduk yang terlibat dalam kegiatan melombong emas itu berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan hasil keuntungan daripada penjualan mineral tersebut. Malah, ada juga penduduk yang mampu mengubah nasib hidup dan membeli kenderaan secara tunai.

Difahamkan terdapat beberapa penduduk dan pemilik tanah yang mengambil inisiatif dengan memohon lesen pelombong kecil namun Wan Rosdy menegaskan bahawa kelulusan akan diberikan setelah permohonan itu diteliti oleh kerajaan negeri.

Serpihan emas yang ditemui ketika melombong di kawasan Lipis / Kosmo!

Bagi memastikan aktiviti perlombongan berjalan lancar tanpa sebarang isu berbangkit di samping mematuhi undang-undang, kerajaan negeri telah mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK) terutamanya bagi aktiviti yang melibatkan kawasan seluas kurang daripada 4.05 hektar.

“SPK yang dijangka berkuatkuasa pada Jun akan diselaraskan oleh Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC) dengan tujuan memudahkan cara dan membantu penduduk melakukan aktiviti perlombongan secara sah selain memastikan tiada ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram”.

“Operasi perlombongan juga akan menjadi lebih teratur menerusi SPK. Bagaimanapun, mereka yang diberi kelulusan perlu terus mematuhi peraturan kerana pemantauan tetap dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pencemaran yang akan menyusahkan lebih ramai orang, jelas Wan Rosdy.

Hasil emas yang lumayan berjaya ditemui salah seorang penduduk / Facebook

Dilaporkan bermula 3 Februari hingga 24 Februari, sebanyak 16 serbuan dan sitaan telah dilaksanakan dengan 14 kes yang melibatkan daerah Lipis manakala dua kes lagi di Raub. Dalam serbuan ini, sebanyak 15 buah jentera, 16 pam air, sebuah enjin air dan generator turut dirampas.

Penerima vaksin tetap perlu patuhi SOP yang ditetapkan KKM

0

KUALA LUMPUR – Orang awam dinasihatkan untuk tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan wabak Parti Komunis China (PKC) atau COVID-19 meskipun program imunisasi fasa pertama telah mula dijalankan di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin COVID-19 menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan / Pejabat Perdana Menteri Malaysia

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri iaitu Jagdeep Singh Deo, suntikan vaksin akan dilakukan secara berperingkat melalui tiga fasa. Justeru, orang ramai tetap diingatkan untuk mematuhi SOP dan menjaga penjarakan fizikal bagi memutuskan rantaian pandemik ini secara berterusan.

Seorang individu menjalani Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diberikan secara percuma kepada rakyat tempatan dan penduduk warga asing / Free Malaysia Today

“Ada yang fikir apabila vaksin sampai, kita boleh buat apa sahaja tanpa pedulikan SOP mencegah virus COVID-19. Namun, vaksin sebenar bagi mencegah pandemik ini adalah pematuhan SOP. Saya nasihatkan buat masa ini, sila patuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.”

Pada 21 Februari lalu, kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.

Ketibaan vaksin ini membolehkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan dengan menyasarkan 80% populasi negara atau 26.5 juta individu.

Penerima vaksin COVID-19 tetap perlu mematuhi SOP bagi menangani penularan wabak / The Malaysia News

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menegaskan hal yang sama dan mengingatkan setiap penerima vaksin untuk kekal patuh pada SOP bagi mengelakkan penularan wabak.

“Pematuhan SOP ini masih kekal. Bukan sebab kita tidak yakin dengan keberkesanan vaksin COVID-19 ini tetapi kita masih belum ada data mencukupi. Orang ramai perlu menerima vaksin yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang dibuktikan selamat serta berkesan”.

Pergerakan merentas negeri atau daerah masih tidak dibenarkan sehingga pengumuman terkini / Facebook

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Facebook turut memberikan penjelasan lanjut tentang enam indikator utama yang akan digunakan dalam melakukan penilaian risiko bertujuan untuk kelonggaran aktiviti.

Sebagai contoh, keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah akan dilakukan berdasarkan kepada penilaian enam faktor di bawah:

  1. Situasi semasa kes harian
  2. Tren dan nilai semasa R-Naught (Rt)
  3. Tren dan situasi semasa kematian
  4. Situasi penggunaan katil untuk kes COVID-19
  5. Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19
  6. Aktiviti ujian makmal dan survelan COVID-19 (RT-PCR dan RTK Antigen)

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Seluruh Chengdu bergelap kerana tindakan lelaki ini panjat tiang elektrik untuk bangkit tubi

0

CHINA – Seluruh daerah Chengdu terpaksa bergelap buat seketika apabila syarikat janakuasa tempatan menghentikan bekalan elektrik bagi menyelamatkan seorang lelaki yang memanjat tiang elektrik dan melakukan bangkit tubi.

Folkspaper

Menurut laporan Folkspaper, insiden yang berlaku pada 21 Februari 2021 lalu itu memaparkan aksi berani mati seorang lelaki tempatan yang memanjat tiang elektrik tersebut dan melakukan bangkit tubi ketika berada di puncak tiang.

Kejadian ini turut dirakamkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum menyebarkannya di media sosial terutamanya Weibo.

@PDChina/Twitter

Difahamkan, beberapa penduduk setempat yang menyaksikan tindakan lelaki berkenaan memanjat tiang elektrik telah menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian.

@PDChina/Twitter

Sejurus panggilan kecemasan dibuat, pasukan perubatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan lelaki tersebut sekali gus mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

@PDChina/Twitter

Pada masa yang sama, syarikat tenaga elektrik turut segera menghentikan bekalan elektrik secara mengejut dan puluhan ribu perumahan di seluruh Chengdu telah terjejas. Setelah diselamatkan, lelaki tersebut telah ditahan oleh anggota polis China atas tindakannya yang berbahaya.

Kejadian ini turut membuatkan pihak kerajaan mengeluarkan arahan kepada orang awam untuk tidak meniru sebarang tindakan yang berbahaya dan boleh membawa maut.

‘Terdampar’ kekenyangan selepas makan tengah hari, gelagat selamba kumpulan anjing ini berjaya tarik perhatian ramai

0

Siapa antara anda yang sering mengantuk selepas makan? Mengaku sahaja lah jika anda salah seorangnya. Perkara tersebut bukan hanya dialami anda malah sebenarnya ramai antara kita yang turut ‘dijangkiti’ dengan perkara yang sama.

Namun, tahukah bukan kita sahaja yang mengantuk selepas makan, malah haiwan juga begitu. Buktinya, lihat sahaja sekumpulan anjing yang kelihatan sedang enak tidur bersama-sama ini.

Facebook
Facebook

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysian Dogs Deserve Better (MDDB) baru-baru ini ada memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan anjing-anjing yang sedang ‘terdampar’ sebaik sahaja selepas menikmati makanan masing-masing.

Facebook
Facebook

Apa yang menariknya bukan hanya seekor dua yang tertidur malah kesemua turut tidur sama di situ selesai sahaja makan tengah hari. Ada antara mereka yang tidur di bawah kipas, ada pula yang lebih selesa di bawah sinar matahari.

Buat yang tidak tahu MDDB adalah merupakan sebuah NGO yang melindungi dan menjaga kebajikan terutama kepada anjing-anjing jalanan.

Individu yang melanggar SOP boleh dikenakan kompaun RM 10,000 bermula 11 Mac ini

0

Kuala Lumpur: Kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah pencegahan dan kawalan COVID-19.

Berdasarkan paparan di e-Warta Persekutuan, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini, kompaun berkenaan akan berkuat kuasa 11 Mac depan.

Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati tindakan serta-merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, 11 Januari lalu.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 Ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Peranti pengesanan iaitu gelang tangan atau peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.