Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 yang semakin menular mulai awal tahun 2020, semua penduduk di dunia kini terpaksa menyesuaikan diri untuk hidup dalam norma baharu. Di Malaysia, salah satu norma baharu yang perlu dipraktikkan adalah untuk mengimbas kod QR dalam aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia sendiri.
Walau bagaimanapun, seorang pengguna laman Twitter baru-baru ini mendapat perhatian ramai setelah kisahnya yang lucu yang melibatkan kesalahan nama dalam aplikasi MySejahtera benar-benar membuatkan orang ramai tidak kering gusi.
Syarifah Liyana (@LiyanaTorres), 25, pada 21 Februari lalu berkongsi di laman Twitternya bahawa selama satu tahun penggunaan aplikasi MySejahtera, dia langsung tidak menyedari bahawa nama yang direkodkan dalam aplikasi itu adalah nama ‘lain’ dari nama sebenarnya.
Yang lucunya, nama sebenar yang sepatutnya direkodkan dalam aplikasi itu adalah “Syarifah Liyana binti Sayd Ishak,” tetapi malangnya, disebabkan pembetulan automatik pada telefon lamanya, namanya yang manis itu secara tidak sengaja telah ditukarkan kepada “Starfish Liyana binot Sayd Ishak!”

Bukan sahaja pangkal namanya sahaja yang tertukar, malah “binti” yang menjadi penghubung antara namanya dengan nama bapanya juga ditukar secara automatik kepada “binot!”
Disebabkan hal itu, setelah menyedari kesalahan yang berlaku ini, Syarifah lebih rela mengisi borang maklumat dalam laman web MySejahtera secara manual berbanding menggunakan aplikasi tersebut.
Tetapi menurutnya, adakalanya ketika dalam keadaan terburu-buru, dia tetap akan gunakan aplikasi dengan nama yang lucu itu!

Walau bagaimanapun, kerana namanya yang tidak sama dengan nama dalam kad pengenalan, Syarifah yang berhasrat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 mula berasa tidak keruan kerana namanya yang salah itu didapati tidak boleh ditukar kerana akaun MySejahteranya telah disahkan.

Tetapi syukurlah, akhirnya Syarifah berjaya juga ‘menukar’ namanya setelah dia mendaftar akaun baharu dalam aplikasi itu dengan menggunakan alamat e-melnya berbanding nombor telefonnya sebelum ini.
Syukurlah, akhirnya Starfish kembali menjadi Syarifah!