KUALA LUMPUR – Orang awam dinasihatkan untuk tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan wabak Parti Komunis China (PKC) atau COVID-19 meskipun program imunisasi fasa pertama telah mula dijalankan di negara ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri iaitu Jagdeep Singh Deo, suntikan vaksin akan dilakukan secara berperingkat melalui tiga fasa. Justeru, orang ramai tetap diingatkan untuk mematuhi SOP dan menjaga penjarakan fizikal bagi memutuskan rantaian pandemik ini secara berterusan.
“Ada yang fikir apabila vaksin sampai, kita boleh buat apa sahaja tanpa pedulikan SOP mencegah virus COVID-19. Namun, vaksin sebenar bagi mencegah pandemik ini adalah pematuhan SOP. Saya nasihatkan buat masa ini, sila patuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.”
Pada 21 Februari lalu, kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.
Ketibaan vaksin ini membolehkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan dengan menyasarkan 80% populasi negara atau 26.5 juta individu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menegaskan hal yang sama dan mengingatkan setiap penerima vaksin untuk kekal patuh pada SOP bagi mengelakkan penularan wabak.
“Pematuhan SOP ini masih kekal. Bukan sebab kita tidak yakin dengan keberkesanan vaksin COVID-19 ini tetapi kita masih belum ada data mencukupi. Orang ramai perlu menerima vaksin yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang dibuktikan selamat serta berkesan”.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Facebook turut memberikan penjelasan lanjut tentang enam indikator utama yang akan digunakan dalam melakukan penilaian risiko bertujuan untuk kelonggaran aktiviti.
Sebagai contoh, keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah akan dilakukan berdasarkan kepada penilaian enam faktor di bawah:
- Situasi semasa kes harian
- Tren dan nilai semasa R-Naught (Rt)
- Tren dan situasi semasa kematian
- Situasi penggunaan katil untuk kes COVID-19
- Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19
- Aktiviti ujian makmal dan survelan COVID-19 (RT-PCR dan RTK Antigen)
*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.